Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

27 Ogos 2011

Salam Aidil Fitri daripada PERDIQMA KPMB


 Pihak PERDIQMA ingin mengambil kesempatan sempena Aidil Fitri ini dengan memohon maaf kepada semua pengunjung blog PERDIQMA KPMB dari seluruh dunia di atas segala kesilapan dan kekurangan. Pihak PERDIQMA juga ingin mengucapkan selamat menyambut Aidil Fitri kepada semua umat Islam tidak kira di mana anda berada, terutama kepada warga KPMB dan semua yang beragama Islam.

Sisipan video sambutan Hari Raya:

Kembalilah ke laman ayah dan bonda di lebaran ini sementara mereka masih ada.

MAHAR CINTA SYAWAL

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…

Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Allah hu Akbar, Alllah hu Akbar, Allah hu Akbar!


Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda SAW mendapati bahawa kaum Ansar mempunyai dua hari istimewa yang disambut dengan suka ria. Lalu Nabi SAW mengulas hal ini dengan sabdanya yang bermaksud:

"Allah telah menggantikan bagi kamu semua dua hari yang jauh lebih baik, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha" 
(HR. Abu Daud dan An-Nasa'i dengan sanad hasan).
"SYAWAL BULAN KEMENANGAN, BULAN KEMAAFAN & BULAN KEBAHAGIAAN BAGI YANG MENJALANKAN IBADAH RAMADHAN PENUH KEINSAFAN"

Panduan Raya:1. Dengan siapa kita boleh & tidak boleh bersalaman? kilk  "sini".
                           2. Panduan menyambut Aidil Fitri mengikut sunnah: Klik "sini". 

P/S: Pihak PERDIQMA akan berehat seketika sempena cuti Aidil Fitri di KPM Beranang. Harap Maklum.


23 Ogos 2011

Iftar Ramadhan di KPMB

Ramadhan 1234 Hijrah..Alhamdulillah dengan izin Allah sekali lagi kita dapat melalui Ramadhan dan kini syawal sedang meniti ke penghujung. Namun begitu, walau ramadhan telah meninggalkan kita di situ ada terpalit beberapa memori indah terutamanya dalam kalangan ahli perdiqma sendiri.

Sepanjang Ramadhan 1234 Hijrah yang lalu pihak Perdiqma telah mengadakan beberapa aktiviti bagi memenuhi bulan ramadhan yang penuh barakah itu. Antara aktiviti yang terutama yang juga merupakan aktiviti tahunan Perdiqma ialah iftar jama'e Ramadhan di Surau Annur pada setiap hari Isnin hingga Khamis.Iftar ramadhan ini di uruskan sendiri oleh Biro Makanan dan Protokol Perdiqma. Apa yang menariknya ialah juadah nasi dan lauk untuk iftar ini dimasak sendiri oleh Biro Makanan secara gotong-royong dengan kerjasama dari pelajar lain.Gotong– royong memasak ini dimulakan pada jam 5 petang.

Saat Yang paling istimewa pada bulan Ramadhan ini ialah makanan yang disediakan oleh Biro Makanan dihidang di dalam talam dan dimakan secara beramai– ramai. Setiap satu talam yang disediakan dikongsi bersama seramai 6 orang siswa/siswi. Antara tujuan Biro Makanan menyediakan makanan di dalam talam ini adalah untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim antara satu sama lain. Semasa berbuka inilah siswa dan siswi dapat berbual dan berkongsi cerita setelah penat pergi ke kelas dan menelaah pelajaran. Aktiviti ini dijalankan pada setiap bulan Ramadhan dengan harapan dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli PERDIQMA dan siswa– siswi diKPMB.

Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah tadarus Al-quran yang telah dibahagikan kepada 10 kumpulan , 5 kumpulan muslimat dan 5 kumpulan muslimin.Aktiviti tadarus ini dijalan dari hari ahad hingga jumaat. Alhamdulillah kerana aktiviti tadarus itu berjaya dilaksanakan dengan diakhiri dengan Majlis Khatam Al-Quran Ramadhan dan Majlis Berbuka Perdana yang dijalankan di surau. Pada malam itu juga dijemput beberapa orang pensyarah, felo, ahli alumni Perdiqma dan para siswa dan siswi KPMB. Antara yang istimewanya pada malam itu adalah hidangan berbukanya iaitu nasi tomato, sate, dan aiskrim sebagai pencuci mulut. Terima kasih pada hadirin yang hadir.

Pada malam itu juga diselitkan penyampaian hadiah untuk semua pertandingan sempena ramadhan yang dianjurkan Perdiqma. Antara pertandingan yang diadakan sepanjang ramadhan adalah seperti pertandingan tazkirah, tulisan khat, menjawikan hadis, melukis poster, dan mencipta prototaip. Hadiah untuk semua pertandingan ini adalah wang tunai. Jadi taniah kepada semua pemenang yang mendapat 'duit raya'.

Alhamdulillah dengan izin Allah, semua aktiviti di atas dapat dilaksanakan. Semoga semua ahli perdiqma dan para siswa dan siswi tidak bosan atau jemu untuk membantu Perdiqma lagi.Terima kasih kepada semua yang telah membantu dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ini. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa sahabat sekalian. Semoga Allah panjangkan umur kita dan berjumpa pada Ramadhan yang akan datang, InsyaAllah...
penolong biro makanan sedang sibuk menyediakan iftar


AJK biro Makanan yang bertungkus-lumus menyedikan iftar

Majlis Khatam Al-Quran Dibulan Ramadhan


Jemputan yang hadir pada Majlis Khatam Al-Quran


21 Ogos 2011

Iftar di Palestin Vs Iftar di Malaysia

Berikut merupakan antara gambar suasana berbuka puasa warga palestin di sebuah kem pelarian di Gaza, Palestin setelah rumah mereka dihancurkan oleh regim Zionis. Bandingkan dengan suasana berbuka puasa di Malaysia.

PALESTIN:




Sisipan Video (Bahasa Inggeris):


MALAYSIA:

Bersyukurlah dengan nikmat Ramadhan yang Allah kurnikan buat kita di Malaysia dan di bumi Beranang ini. Namun janganlah kita sampai terlupa ada saudara kita nun jauh di sana memerlukan bantuan dari kita. Lalu apakan yang kita hulurkan ramadhan kali ini?

Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ambillah ikitibar Ramadhan di Palestin. Bersyukurlah. Hentikanlah sokongan terhadap produk-produk musuh-musuh mu. Dan jadikanlah dirimu tidak pernah berhenti mendoakan mereka jikalau tidak mampu menginfaqkan sedikit harta mu. Dan infaqkanlah sebahagian harta mu jika tidak mampu berjuang bersama mereka dibarisan hadapan. Dan berjuanglah dibarisan hadapan sekiranya engkau tidak mampu menuntut kejayaan untuk mereka. Namun sekiranya semua ini engkau tidak mampu, bukankan menyebarkan usaha dakwah seperti ini begitu mudah sekali? Like posting ini dan post/titipkan buat sahabat-sahabat mu. 

Salam ukhwah. Salam Ramadhan. Salam perjuangan untuk bangsa Palestin yang terjajah dan terhina di tanah air sendiri sejak sekian lama.

Salam Ukhwah dari: Alumni PERDIQMA KPMB.


Artikel berkaitan: Klik sini









18 Ogos 2011

Nuzul Quran @ KPMB


Alhamdulillah,pada Nuzul Quran yang baru saja berlalu, PERDIQMA telah menganjurkan berberapa aktiviti. bermulanya 17 ramadhan 1424 Hijrah bersamaan 17 Ogos 2011 pada jam 4.00 pagi, kami bersama-sama bangun untuk berqiamullail. Alhamdulillah,seramai 16 org lelaki dan 20 orang perempuan yang menghadiri qiamullail tersebut dan bersama-sama bertanggungjawab bagi menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah didunia untuk beribadah dan memohon keampunan kepadanya. Walaupun pagi itu tidak seramai bala tentera Salahuddin Al-Ayyubi,tapi kami tetap meneruskan perjuangan demi memantapkan ukhwah para pelajar juga guru-guru di KPM Beranang. Setelah selesai menunaikan solat sunat tahajjud,hajat dan taubat, kami bersama-sama melaksanakan sunnah Rasullallah SAW untuk bersahur didalam surau An-Nur KPM Beranang. InsyaAllah,pagi yang penuh barakah itu diteruskan dengan solat subuh berjemaah dan sedikit tazkirah disampaikan oleh saudara Danial Ifran.


Subhanallah,pagi yang mulia itu tidak kami sia-siakan dengan tidur,(YA ALLAH,LINDUNGILAH KAMI DARI MELAKUKAN PERKARA YANG LAGHA) tetapi kami mengisi dengan mengadakan pertandingan tazkirah dan gotong-royong. Semua ahli perdiqma bersama-sama membantu membersihkan surau dan kawasan sekitar surau. Gotong-royong bermula pada jam 8.00 pagi. Ahli yang tidak mengenal erti letih bersama-sama menjayakan gotong-royong tersebut.


Biro Dakwah,Tarbiah dan Ekonomi berkumpul pada jam 7.30 untuk bersama-sama memikul tanggungjawab sebagai penganjur pertandingan tersebut. Kami menjemput Ustaz Imran Ramzi dan Ustazah Hafidzah sebagai juri. Dengan izin Allah SWT, setelah selesai pendaftaran, majlis pertandingan tazkirah bermula pada jam 9.20 pagi dipengerusikan oleh saudara Zulzairi dan majlis dibuka dengan surah Al-Fatihah dan doa yang diketuai oleh saudara Afif. Seramai 9 orang peserta yang meluangkan masa untuk menyampaikan ilmu pada pagi itu. Para pemenang akan diumumkan pada 25 Ramadhan bersamaan 25 Ogos pada jam 6.30 hingga 10 malam. kepada semua,jangan lupa untuk menghadiri,anda semua dijemput.




Allahhuakbar, selepas zohor pun ada lagi aktiviti yang PERDIQMA anjurkan. BUBUR LAMBUK!!! perasaan orang yang sedang berpuasa,memang begitu, apatah lagi bubur lambuk yang berada depan mata.(YA ALLAH,KAU KUATKANLAH IMAN KAMI AGAR KAMI MENDAPAT RAHMATMU DAN KEBERKATANMU DI BULAN RAMADHANMU YANG MULIA INI). Bubur lambuk selesai dimasak dalam masa 1jam 40 minit sahaja(tahniah kepada yang memasak) dan selepas itu,kami beramai-ramai menunaikan solat asar apabila telah tiba waktunya. Kepenatan terlihat disetiap wajah hamba Allah yang bertungkus lumus menjalankan aktiiti pada hari itu. tetapi dengan kekuasaah Allah,kami masih lagi bertenaga sehingga selepas asar, kami beramai-ramai memasak untuk majlis berbuka puasa.


Astaghfirullah, hari yang penuh dengan nikmat di bulan ramadhan sempena menyambut hari Nuzul Quran. Semoga Allah memberi peluang untuk kita semua menyambutnya sekali lagi pada Ramadhan Al-Mubarrak yang akan datang. Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya segala kebaikan itu datang dari Mu,kami berdoa kepada-Mu agar kami diberi peluang untuk berada pada hari yang mulia(Nuzul Quran) pada tahun hadapan. Alhamdulillah,Subhanallah,Allahuakbar..


17 Ogos 2011

Menghayati Nuzul Al Quran

Bulan Ramadhan juga diingati sebagai bulan turunnya Al Quran. Al Quran merupakan mukjizat agung Nabi Muhammad SAW . Nuzul Quran bermaksud turunya wahyu suci kalam Allah melalui malaikat Jibrail a.s. yang berlaku pada 17 Ramadhan 13 tahun sebelum Baginda berhijrah ke Madinah Al Munawarah.

Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 185 bermaksud:”Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan salah.......”

Penurunan Al Quran berfungsi sebagai petunjuk sekalian manusia dalam segenap lapangan kehidupan. Tiada yang tidak benar melainkan pertunjuk belaka.Fungsi kedua merupakan bayinat atau keterangan yang nyata serta tidak boleh didustakan oleh sesiapa jua.Manakala fungsi ketiga adalah furqan iaitu membezakan yang hak dengan batil. Memisahkan yang benar dengan yang salah hingga tiada sesiapa yang mampu untuk membina atau mengubah fakta yang terkandung dalam Al Quran.

Firman Allah dalam surah Al Isra ayat 88 yang bermaksud:”Katakanlah(wahai Muhammad)sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding Al Quran, maka mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya walaupun mereka saling bantu-membantu”

Proses penurunan Al Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah secara serentak. Kemudian Al Quran diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah s.a.w. mengikut ketetapan dan perintah Allah dalam jangka masa lebih kurang 23 tahun demi penyempurnaan misi dan visi Nubuwah serta manhaj Islam untuk manusia sejagat.

Al Quran merupakan mukjizat agung bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak ada syak dan waham baginya seperti Firman Allah s.w.t. “ Alif Lam Mim Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan baginya,petunjuk bagi mereka yang bertaqwa “ ayat 1-2 surah al Baqarah.


Penegasan kebenaran dan kesucian Al Quran jelas lagi nyata dengan FirmanNya “ Sekiranya kamu merasa ragu tentang apa yang kami turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cuba buat dan datangkan satu surah yang sebanding dengannya (surah dalam Al Quran) serta ajaklah saksi-saksi kamu (tuhan-tuhan yang kamu sembah) selain daripada Allah ( yang kamu percaya boleh menolong kamu) jika kamu orang yang benar “ ayat 23 surah al Baqarah. Golongan kuffar terus gagal menyahut cabaran Allah tersebut meskipun cabaran ini telah berlangsung semenjak 15 abad yang lalu.

Benarlah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruhNya sebagai rahmat bagi sekalian alam; Benarlah Islam sebagai agama Hanif yang diperakui dan diredhaiNya sepertimana firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 19 “ Sesungguhnya agama (yang diiktiraf) di sisi Allah hanyalah Ad-Dinul Islam”

Kitab suci Al Quran perlu didampingi, dibaca, difahami, dihayati, dikaji, dianalisa dan diterokai akan khazanah ilmunya yang mencakupi segenap lapangan kehidupan insan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan dan kebahagian hidup di dunia mahupun di akhirat.

Kegemilangan umat Islam silam seperti yang tercatat dalam tinta sejarah dunia jelas menunjukkan bahawa kehebatan umat Nabi Muhammad adalah terhasil daripada program tamrin,tanzim dan tarbiyah nubuwah yang terencana dengan begitu halus dan rapi sehingga terbentuknya satu generasi yang digelar sebagai generasi Al Quran yang cukup istimewa.


Generasi Al Quran ini telah membelanjakan seluruh kehidupan mereka untuk berjihad membawa cahaya dan panji-panji kebenaran Islam agar dapat dikecapi oleh manusia sejagat. Perjuangan dan pengorbanan mereka untuk membebaskan penghambaan sesama makhluk kepada pentauhidan terhadap yang Maha Esa; Menyelamatkan kekalutan nilai sosial ekonomi zaman Jahiliyah kepada kehidupan yang aman dan sejahtera dari sebarang bentuk penindasan dan kezaliman sesama insan.

Alangkah sedihnya kegemilangan ketamadunan terbina dek generasi Al Quran ini gagal dipertahankan kelangsungannya. Umat Islam hari ketinggalan dalam segenap aspek kehidupan mereka berbanding umat lain. Bahkan mereka bercakaran sesama sendiri; Perpecahan, peperangan saudara, pertelingkahan ideologi politik, penindasan dan pembolotan hasil ekonomi dan lain-lain lagi.

Apakah punca terjadinya segala kekalutan dan kepincangan ini? Jawapannya ialah kerana umat ini telah meninggalkan ajaran dan petunjuk Al Quran. Al Quran tidak lagi menjadi sumber rujukan dan panduan dalam merencana dan menentukan hala tuju setiap program,projek dan aktiviti kehidupan insan muslim. Hawa nafsu dan logikal akal telah mendominasi setiap tindakan dan polisi yang digubal. Kita telah terikut-ikut dan terperangkap dalam teori dan ideologi golongan kuffar dalam mengurus tadbir negara dan ehwal umat Islam ; Umat ini telah kehilangan jati diri ; Hidup miskin dalam negara yang kaya dengan sumber hasil bumi. Menagih ihsan dan menjadi pengguna hasil rekacipta sains dan teknologi bakan Islam.

Bilangan umat ini ramai sepertimana yang digambarkan oleh Baginda Rasulullah tetapi umpama air buih selepas banjir yang tiada kekuatan yang terumbang-ambing; Ramai yang menjadi hidangan diratah kerakusan golongan kuffar.

Adakah ini ciri-ciri khairul ummah seperti yang digambar dalam Al Quran ? Sesungguhnya umat ini mulia, kuat, gagah perkasa kerana mereka mendampingi Al Quran siang dan malam. Mereka membaca,meneliti dan menganalisa setiap ayat suci untuk dijadikan pedoman dan kunci kejayaan segala urusan duniawi dan ukhurawi mereka.

Kehebatan umat Islam yang berpegang teguh kepada Al Quran telah diakui oleh perdana menteri Britain yang pertama “ Selama mana kitab ini (Al Quran) berada di tangan orang Islam,maka selama itulah Eropah tidak dapat menguasai Timur Tengah”

Al Quran merupakan benteng terakhir agama yang menjaga keaslian dan kebenaran Agama Allah ini. Selama mana dipetahankan ajarannya maka selama itulah Islam akan kukuh di jiwa penganutnya. Jika Al Quran telah terpisah jauh daripada umat Islam,maka akan hilanglah kekuatan umat Islam. Akan tetapi jika umat Islam berpegang teguh dengan Al Quran,musuh-musuh Islam tidak akan dapat menghancurkan Islam dan umatnya.

Apabila Al Quran telah terpahat di lubuk hati umat Islam dan subur di dalam jiwa,maka tiada sebarang senjata yang dapat memusnahkannya,tiada pengaruh jahat yang akan dapat menyesatkannya walau di mana sahaja mereka berada.

Ayuh sempena menyambut hari Nuzul Al Quran tahun ini, setiap lapisan masyarakat Islam samada lelaki atau perempuan, tua atau muda,kaya atau miskin kembalilah kepada Al Quran yang maha suci ini menerusi aktiviti dan program tadarus dan pengajian tafsir Al Quran. Usaha kembali kepada Al Quran ini perlu dilakukan secara kolektif dan terancang oleh pihak kerajaan mahupun swasta.

Insya’ Allah dengan kesungguhan dan kesepaduan semua lapisan umat Islam dalam menghayati ajaran Al Quran, Generasi Al Quran yang memiliki segala kehebatan,yang disegani kawan dan dihormati lawan bakal menjelma lagi untuk membawa panji-panji keagungan Islam ke arah pembentukan sebuah Daulah Islamiah yang baik dan senantiasa beroleh keampunan Ilahi serta menabur khidmat bakti untuk umat manusia seluruhnya.

Rujukan:  Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor


15 Ogos 2011

PERTANDINGAN SEMPENA BULAN RAMADHAN.



1. Pertandingan Menyampaikan Tazkirah (Anjuran Biro Dakwah, Tarbiah dan Ekonomi)

*Tajuk tazkirah tambahan:
  • Kelebihan amalan bersedekah.

2. Pertandingan Poster (Anjuran biro kebersihan dan keceriaan)
  1. Setiap penyertaan bersamaan dengan  SEORANG pelajar sahaja. 
  2. Lukisan mestilah dilukis di atas kertas bersaiz A3 dan berwarna.
  3. Komputer TIDAK DIBENARKAN sama sekali. 
  4. Setiap peserta haruslah menggunakan peralatan sendiri untuk menyiapkan poster kerana bahan – bahan tersebut tidak disediakan.
  5. Lukisan mestilah bertemakan "Ramadhan, Bulan Penuh Keberkatan"
  6. Poster mestilah dihantar kepada  Mohd Firdaus (Bilik 316) dan Syarifah Nurliyana      (Bilik 3B ) sebelum atau pada 22 Ogos 2011 (ISNIN)


3. Pertandingan Mereka Prototaip (Anjuran biro kebersihan dan keceriaan)
  1. Pertandingan ini terbuka kepada penyertaan berkumpulan sahaja. 
  2. Setiap kumpulan mestilah mempunyai  ahli kumpulan  tidak melebihi  3 orang pelajar. 
  3. Setiap kumpulan  haruslah menggunakan peralatan sendiri untuk menyiapkan model tersebut kerana bahan – bahan tersebut tidak disediakan.
  4. Bahan – bahan tersebut mestilah dari barangan kitar semula. 
  5. Hasil kerja tersebut mestilah dihantar kepada  Mohd Firdaus (Bilik 316) dan Syarifah Nurliyana (Bilik 3B) sebelum atau pada 23 Ogos 2011 (SELASA)
4. Pertandingan Menulis Jawi (Anjuran biro media dan informasi)

TARIKH: 23 OGOS 2011
MASA: 5.30 ptg
TEMPAT: SURAU AN-NUR

  1. Warga KPMB
  2. Peserta Lelaki atau Perempuan
  3. Penyertaan secara individu
  4. Masa diberikan hanya 20 minit sahaja
  5. Segala keputusan adalah muktamad
CARA - CARA:
  1. Pilih salah satu daripada 2 petikan hadith yang diberi
  2. Peserta akan dibekalkan sehelai A4.
  3. Menggunakan pen sendiri.
5. Pertandingan Menulis Khat (Anjuran biro media dan informasi)

  1. Warga KPMB
  2. Peserta Lelaki atau Perempuan
  3. Penyertaan secara individu
  4. Segala keputusan adalah muktamad
  5. Menggunakan tulisan tangan sahaja
  6. Tarikh tutup: 23 Ogos 2011 sebelum 4 petang


CARA - CARA:
  1. Peserta akan diberi 1 ayat untuk membuat khat
  2. Sila dapatkan ayat daripada urusetia pertandingan
  3. Menggunakan pensil sendiri.


12 Ogos 2011

Pemimpin yang Terpimpin

Calon Majlis Perwakilan Pelajar 2011/2012 bersama Pengarah KPMB
Bermula pada malam tadi, bermulalah kempen piliharanraya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Profesional MARA Beranang untuk sesi 2011/2012. Seramai 21 orang calon daripada pelbagai latar belakang telah dipilih untuk menjadi calon dalam piliharanraya yang bakal berlangsung pada 16 Ogos 2011 (Selasa) ini.

Kami dari pihak PERDIQMA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon Majlis Perwakilan Pelajar. Apa yang diharapkan, bukanlah menjadi seorang wakil pelajar itu adalah untuk sekadar menggalas jawatan mahupun mendapat nama dimata pelajar lain tetapi adalah menjadi permulaan menjadi pemimpin dikalangan pelajar.

 Kepada para pelajar yang bakal mengundi pada selasa ini, diharapkan para pelajar memilih calon yang yang betul dan mempunyai ciri - ciri seorang pemimpin yang mampu menggalas amanah dan tanggungjawab. Artikel kali ini ditujukan khas kepada calon - calon Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2011/2012. Mudah - mudahan ia menjadi peringatan dan panduan anda semua menjadi seorang pemimpin

Pemimpin ialah umpama kepala bagi sesebuah jasad, mereka juga merupakan simbol kesatuan dan kekuatan sesebuah organisasi. Pemimpin yang hebat merupakan individu yang mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai khalifah bersesuaian dengan garis panduan Al-Quran dan As-Sunnah. 
 
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Haj, ayat 41 :
 
"Iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".


 

Islam memandang isu kepimpinan suatu perkara yang amat besar. Beberapa nota penting yang perlu kita ketahui berkaitan kepimpinan iaitu :
 
Pertama  : Islam menganggap setiap individu adalah pemimpin sama ada pemimpin masyarakat, persatuan dan sebagainya.
 
Kedua     : Sesungguhnya melantik pemimpin adalah tuntutan syariat. Islam menyarankan bagi  perkumpulan manusia yang berjumlah tiga orang dan lebih agar memilih salah seorang daripada mereka sebagai ketua. Jelas kepada kita keutamaan melantik ketua dan membentuk organisasi dalam perkumpulan manusia yang ramai adalah penting.
 
Ketiga     : Hendaklah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang jujur dan amanah. Kepimpinan Islam dalam semua peringkat organisasi hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi ciri-ciri seorang pemimpin yang ikhlas dan bertawakkal kepada Allah. Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah s.a.w awal-awal lagi menegaskan supaya umatnya menjadi pemimpin yang amanah. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghifari berkata kepada Rasulullah yang bermaksud:
 
 "Tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi pemimpin wilayah?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : 

"Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia adalah sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya." (Riwayat Muslim)


Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikannya. Islam mengajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya, akan tetapi apa yang ditanya kelak ialah mengapa tidak berusaha menunaikan amanah?.
 
Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang menggalas tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara perlu kepada pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai matlamat  tidak akan berhasil kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah Ta'ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakkal dan pohonlah bantuan daripada Allah SWT.


Video Sejarah Kehebatan Islam di bawah Kepimpinan Islam dan Nasib Umatnya Selepas Perpecahan


Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu perkara yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan satu system kepimpinan bagi memastikan pelaksanaan yang syar'ie dan jelas antaranya adalah:

Pertama : Tugas sebagai Khalifah.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah, Ayat 30 :
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...."

Para ulama' menjelaskan bahawa tugas khalifah ialah meneruskan tugas Nabi dan Rasul dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya(agama). Dalam takrifan ini, kita dapati dua perkara yang penting dalam tujuan kejadian manusia iaitu menjaga agama (amar maaruf nahi mungkar) dan mentadbir dunia (berdasarkan syariat Allah).


Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan ‘peruntukan-peruntukan kuasa' yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi. Pemimpin mestilah yakin untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 19:
"Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam..."

Kedua : Menyambung tugas Rasul

 
Bahawa Rasulullah saw merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf rasul, namun tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah diwujudkan pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk menyambung tugas para rasul yang terdahulu. Walaupun tugas para rasul ini sewajarnya diteruskan oleh semua umat Islam.

Ketiga : ‘Ibatullah (pengabdian diri kepada Allah).

Semua manusia adalah hamba Allah. Sama ada mereka orang biasa ataupun pemimpin mereka terletak di bawah tujuan mereka diciptakan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah Ta'ala:

 
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku" (Surah az-Dzariat, ayat 56).

 
Imam Abu Yusuf r.a menulis kepada khalifah Harun ar-Rasyid menasihati beliau:
"Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya bagi Allah sahajalah segala pujian, yang telah mengangkat kamu melaksanakan urusan yang amat besar, pahalanya amat besar dan balasan seksanya pun amat besar....".


Hal ini menunjukkan bahawa persoalan kepimpinan ini termasuk di dalam perkara ibadat yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Oleh itu,  kepimpinan tidak boleh lari daripada persoalan dosa dan pahala, halal dan haram dan sebagainya.

Rujukan:Jabatan Agama Islam Selangor

Kesimpulannya, marilah kita berusaha bersama-sama menjadi pemimpin yang melaksanakan amanah kepimpinan seperti yang dituntut oleh Islam. Apabila kita melaksanakan tugas dengan penuh keadilan dan kerendahan diri kepada Allah S.W.T, maka yakinlah bahawa itu adalah merupakan usaha kita untuk merintis jalan ke syurga yang akan dapat dinikmati buat selama-lamanya.

Justeru, kita hendaklah muhasabah diri, adakah telah sempurna amanah dan kepimpinan yang ditugaskan kepada kita?. Mohonlah pertolongan dan bantuan Allah agar dipermudahkan segala urusan dalam melaksanakan beban amanah dan kepimpinan ini, demi keselamatan dan kemaslahatan hidup kita di dunia yang sementara ini dan akhirat yang kekal selama-lamanya.

"Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu keputusan mengenai sesuatu perkara, mereka mempunyai pilihan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata". (Surah Al-Ahzab:36)

Artikel PERDIQMA berkaitan panduan memilih Pemimpin: Klik "Sini"




11 Ogos 2011

Kurma, Buah Berkat, Makanan Berzat Untuk Kesihatan Manusia

ALLAH SWT telah menjadikan kurma atau tamar dengan banyak keistimewaan dan kelebihannya. Kurma adalah satu mukjizat dan sumber rezeki, manfaat serta memberi kesihatan bagi kehidupan manusia.

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menyebutkan kelebihan dan keutamaan kurma. Antara lain Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan gegarlah ke arahmu batang pokok tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” – (Surah Maryam, ayat 25).

Allah memerintahkan Siti Maryam untuk menggegarkan batang pokok kurma ketika melahirkan anaknya, Nabi Isa as. Tanpa seorang pun yang membantunya, air mengalir di sisinya. Air itu kemudian diambil dan diminumnya sebagai ganti cairan tubuh yang hilang ketika melahirkan Nabi Isa. 

Firaun juga memilih batang kurma untuk menyalib orang yang beriman kepada Tuhan Musa dan Harun sebagai azab bagi mereka kerana kekuatan dan kekukuhan yang ada pada pokok itu. Penyihir itu berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa.” (Surah Taaha, ayat 70). 

Mengenai kurma sebagai buah yang berkat, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada umatnya untuk memakannya ketika berbuka puasa. 
Daripada Salman Ibnu Amir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu akan berbuka puasa, maka berbukalah dengan kurma sebab kurma itu berkat, kalau tiada, dengan air kerana air itu bersih dan suci.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi). 

Daripada Anas RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa rothab (kurma mekar yang dipetik dari pohonnya) sebelum bersolat (Maghrib). Kalau tidak ada rothab, maka dengan beberapa kurma matang (kering), kalau tidak ada, maka dengan beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi). 

Tidak diragukan lagi bahawa di sebalik sunnah Nabi SAW ini, ada petunjuk perubatan dan manfaat yang banyak bagi kesihatan dan hukum yang elok dan bagus untuk manusia. Rasulullah SAW telah memilih makanan ini (kurma) atau tamar dan tidak memilih yang lainnya kerana adanya manfaat yang sangat besar dan mulia. 

Dalam hadis juga disebutkan keutamaan tamar atau kurma itu. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Rumah yang tidak memiliki kurma adalah rumah yang penghuninya sentiasa berasa lapar.” (Hadis riwayat Bukhari). 


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya tamar itu menghilangkan penyakit dan tidak ada penyakit di dalamnya kerana ia adalah tanaman dari syurga yang boleh dijadikan sebagai ubat.” 

Sa'ad RA berkata: “Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah (kurma Nabi), maka akan terhindar daripada racun dan sihir.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Ibnu Qaiyyim dalam kitabnya Zaadul Ma'ad berkata: “Kurma ialah buah-buahan yang sangat sesuai untuk mengisi perut yang kosong dan mampu memberi tenaga bagi tubuh. Kurma juga buah yang bermutu tinggi dan bermanfaat bagi kesihatan hati manusia dan dapat menghaluskan tabiat manusia yang kasar.” 

Satu kajian dilakukan untuk mengetahui kandungan kimia dan biologis dalam kurma. Kajian itu berkesimpulan bahawa, setiap bahagian kurma yang dimakan mengandungi kandungan zat gula 70-75 peratus, 2-3 peratus protein, 5-8 peratus serat dan sedikit kandungan lemak. Selain itu, dalam penelitian perubatan juga didapati bahawa kurma mengandungi 65-70 peratus air jernih, 24-58 peratus zat gula, 2-2.1 peratus protein, 5.2 peratus serat dan sangat sedikit kandungan lemak. 



Antara hasil penelitian kimia dan psikologi mengenai manfaat berbuka puasa dengan kurma yang telah dilakukan oleh Dr Ali Abdul Ra'uf dan Dr Ahmad Ali as-Syahhat ialah: 

  • Memakan kurma rothab (kurma mekar) atau kurma kering ketika berbuka puasa akan menambah kandungan zat gula, sehingga kekurangan zat gula pun dapat diatasi dan tubuh menjadi lebih bertenaga. 


  • Oleh kerana alat penghadaman seperti perut dan usus kosong dalam keadaan lapar (berpuasa), maka kandungan zat gula yang ada di dalam kurma mudah dan cepat diserap. 


  • Orang berpuasa akan kehilangan sebahagian zat gula melalui tenaga yang dikeluarkannya. Zat penting yang diperlukan oleh tubuh akan diganti melalui makanan ketika sahur dan berbuka puasa, yang mana dalam hal ini, puasa sangat berguna bagi penghidap diabetes. Inilah nikmat Allah Taala yang bertujuan untuk menjaga dan membersihkan anggota tubuh. 




  • 7 Ogos 2011

    Ramadhan Di Palestin

    Jumaat, 05/08/2011 - Tujuh ribu tawanan Palestin di penjara Israel menyambut datangnya bulan Ramadhan dengan suasana yang sangat menyedihkan. Keadaan penderitaan berganda akibat pemerintah Zionis yang senantiasa menekan para tawanan dengan segala penindasan, menyusul undang-undang Shalit, yang menambah beratnya penyiksaan yang dialami para tawanan di dalam penjara.
    Penjara Nagev yang berada di tengah-tengah padang pasir yang dihuni 1500 tawanan Palestin menyambut datangnya bulan Ramadhan dengan cuaca yang sangat panas. Disamping penolakan dari pemerintah Israel terhadap tambahan fasilititi yang merupakan hak bagi para tawanan, seperti kantin selain daripada kualiti makanan yang sangat teruk di dalam penjara selama bulan Ramadhan.
    Tawanan Muhammad Ubaidi di penjara Nagev mengatakan, udara di Nagev sangat terik pada musim panas. Jika orang yang berada di luar tawanan dapat menikmati penyaman udara, namun kami datangnya Ramadhan disambut dengan kekasaran dan tekanan Israel hingga ketika kami sedang makan.

    Sisipan khas Ramadhan Untuk Palestin:


    Bersyukurlah dengan nikmat Ramadhan yang kita miliki di Malaysia dan di bumi Beranang ini. Semoga Allah memberikan bantuan & kekuatan kepada saudara-saudara kita di Palestin. Juga jangan lupa untuk sentiasa mendoakan kebebasan bagi mereka.


    Berita diolah dari: palestinkini.info


    3 Ogos 2011

    Warkah Cinta kepada Sang Pencipta



    Salam kasih dan rindu
    dari hambaMu yang daif lagi kerdil ini...

    *Sempena di bulan Ramadhan ini marilah kita meningkatkan lagi cinta kita kepada Pencipta kita, Allah SWT. Di bulan yang mulia ini telah Allah bukakan laluan yang luas untuk hambaNya yang ingin kembali ke pangkal jalan. Jangan lah kau biarkan laluan yang luas itu semak kembali...Shukran.
    Salam Ukhuwah dan salam Ramadhan...Jaza al kahair..

    Nukilan : DIA's Student


    2 Ogos 2011

    PELAKSANAAN RAMADHAN YANG MENEPATI SUNNAH

    Puasa hendaklah dilaksanakan dengan “manual” lahiriah dan batiniah seperti yang telah ditetapkan dalam sunnahRasulullah s.a.w , antara pakej latihan pada bulan ramadhan ini ialah solat tarawih, membaca Al-Quran, memperbanyakkan sedekah,beriktikaf di masjid dan qiamullail.


    Pelaksanan puasa mesti mengikut hukum sah dan batalnya, syarat-syarat dan adap-adap yang telah ditentukan melalui sunnah Rasulullah s.a.w. Ia tidak boleh dilaksanakan mengikut adat,nilai tradisi atau kebiasaan semata-mata. Antara sunnah Rasulullah s.a.w. dalam berpuasa ialah:


    1) Memantapkan Niat
    Wajib berniat puasa sebelum terbit fajar. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:”sesiapa yang tidak menetapkan untuk berpuasa pada malam hari sebelum fajar, maka tiadalah puasa baginya.”(Riwayat Imam al-Dar Qutni dan al-Baihaqi)


    2) Melewatkan Makan Sahur
    Hadis Nabi s.a.w. melewatkan makan sahur iaitu sebaik-baiknya sebelum subuh(fajar).
    Hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:”Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan sementara piring sudah di tangan, jaganlah piring itu diletakkan sehingga ia menunaikan hajatnya.”(Riwayat al-Hakim)

    3) Meninggalkan Menipu,percakapan kotor dan karut
    Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Bukanlah dari itu, dari makan dan minum, namun puasa adlah dengan menahan diri daripada bercakap kosong dan lucah, maka jika seseorang memaki atau menyakitimu, maka jika seseorang memaki atau menyakitimu, maka katakana:”Sesungguhnya aku sedang berpuasa.”(Riwayat Ibn Khuzaimah,hadis sahih).


    4) Tidak berlebihan dalam berkumur
    Rasulullah s.a.w. berkumur-kumur dan memasukkan air kedalam hidung dan ketika itu dia berpuasa, akan tetapi dia tidak melakukannya secara melampau-lampau. Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:”Berlampau-lampau semasa memasukkan air ke dalam hidung melainkan ia sedang berpuasa.”(Riwayat Abu Daud, hadis sahih)


    5) Menyegerakan berbuka puasa
    Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:” Sentiasa manusia itu berada dalam kebaikan selama dia mendahulukan berbuka puasa.”(muttafaq’alaih)


    6) Berpuasa dan tidak meninggalkan solat
    Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meninggalkan satu rukun penting dalam rukun islam selepas tauhid. Puasa tersebut tidak bermanfaat selagi dia meninggalkan solat. Sesungguhnya solat itu tiang agama dan ia bergantung kepadanya.


    7) Menghidupkan malam dengan solat tarawih
    Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”barang siapa yang mendirikan solat(tarawih) pada malam hari bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.”(Riwayat al-Bukhari)


    8) Membayar zakat fitrah
    Zakat fitrah merupakan amalan fardu, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:” Rasulullah s.a.w. telah menfardhukan zakat fitrah pada bulan ramadhan atas manusia.”(Muttafaq’alaih)

    Perbanyakkan ibadat di bulan mulia ini,selamat beramal semua. :)


    Artikel daripada:MAJALAH SOLUSI isu (No.34)


    1 Ogos 2011

    Selamat Menjalani Ibadah Ramadhan Daripada PERDIQMA


    KEDATANGAN bulan yang penuh berkat, bulan yang terdapat padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Pihak PERDIQMA mengucapkan selamat menjalani ibadah dibulan Ramadhan kepada semua umat Islam tidak kira di mana anda berada, terutama kepada warga KPMB dan semua yang beragama Islam.


    Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuniNya segala dosanya yang telah lalu.

    (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

    RAMADHAN, BULAN PENYUCIAN ROHANI, BULAN MEREBUT GANJARAN DAN AMAL SOLEH.







    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...