Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

Memaparkan catatan dengan label Amalan Sunnah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Amalan Sunnah. Papar semua catatan

2 Jun 2014

ZIKRULLAH DALAM KEHIDUPAN KITA



Assalamualaikum semua ,

Bagaimana dengan kesihatan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian?
Memandangkan cuaca kurang baik sekarang ini, sama-samalah kita menjaga kesihatan agar mudah menjalani kewajipan sebagai umat islam.

Sebelum itu adakah iman kita sihat? Mari tepuk dada tanya diri kita sejauh mana amalan kita.
Apa yang hendak dikongsikan disini ialah tentang  Zikrullah. Apakah itu Zikrullah? Kadang-kadang ramai yang tidak tahu apakah itu Zikrullah. Zikrullah ialah memuji nama dan kebesaran ALLAH SWT atau dikenali sebagai zikir.


Mengapa penting zikir dalam kehidupan kita??

Antara kebaikan-kebaikan berzikir  yang perlu kita tahu :

1.  Membersihkan hati
 Ramai yang tidak tahu bahawa berzikir dapat membersihkan hati kita yang kotor akibat dosa-dosa lalu yang telah kita lakukan. Apatah lagi jika amalan zikir sebati dalam diri kita, secara automatik kita ingin melakukan kebaikan dan sentiasa memuji kebesaran ALLAH SWT secara sendiri tanpa paksaan.

2. Menaikkan Iman
 Seperti yang diberitahu tadi , apabila hati menjadi bersih selepas zikir menjadi rutin harian kita akan ingin melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan ALLAH SWT. Mengapa? Hal ini kerana berzikir telah menaikkan iman kita kerana kita mengingati ALLAH SWT.


3. Membersihkan Dosa
Setiap kebaikan yang kita lakukan seperti berzikir, In Shaa ALLAH mengugurkan dosa-dosa lampau kita kerana ALLAH SWT maha pengampun. Justeru ia juga mempermudahkan kita menerima hidayah kerana hidayah itu milik ALLAH SWT  apatah lagi kepada hambanya yang mencari hidayah dan mencari islam yang sebenarnya. In Shaa ALLAH yakinkan diri dengan sepenuh yakin terhadap ALLAH SWT.

4. Semakin yakin terhadap kebesaran ALLAH SWT
Dengan amalan berzikir dan memahami semua kebesaran ALLAH SWT melalui nama-namanya yang indah, kita semakin yakin dengan kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT .  Apatah lagi dengan menghayati nama-namanya yang indah. SubhanAllah.
Jadi dengan perkongsian disini , harap ianya dapat meningkatkan semangat kita dalam meningkatkan amalan dan dapat diterapkan dalam kehidupan. Segala keburukan dan kesalahan datang dari diri saya sendiri dan yang baik semuanya dari ALLAH SWT. In Shaa ALLAH. 

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

 "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram"

 (Ar-Ra'af:28)











15 Februari 2014

Amalan Sunnah: Adab Tidur



Sunnah sebelum tidur yang seharusnya tidak ditinggalkan oleh seorang muslim adalah seperti berikut.

Pertama : Tidurlah dalam keadaan berwudhu.

Hal ini berdasarkan hadits Al Baro 'bin' Azib, Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,
" Jika kamu mendatangi tempat tidurmu maka wudhulah seperti wudhu untuk solat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu "(HR. Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710)

Kedua : Tidur berbaring pada sisi kanan.

Adapun manfaatnya sebagaimana disebutkan oleh Ibnul Qayyim, "Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak kesusahan untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat pada jantung. Sedangkan tidur pada sisi kiri berguna bagi badan (namun membuat seseorang semakin malas) "(Zaadul Ma'ad, 1/321-322).

Dilarang meniarap ketika tidur. Seperti mana dalam hadith, dari Abu Hurairah ra., beliau berkata; Rasulullah saw. pernah melihat ada seseorang yang berbaring di atas perutnya (meniarap/tengkurap), maka baginda berkata, “Sesungguhnya cara berbaring seperti ini dibenci oleh Allah.” (HR. Tirmidzi)

Ketiga : Meniup kedua telapak tangan sambil membaca surah Al-Ikhlas (qul huwallahu ahad), surah Al Falaq (qul a'udzu bi robbil falaq), dan surah An Naas (qul a'udzu bi robbinnaas), masing-masing sekali. Selepas itu mengusap kedua tangan tersebut ke wajah dan bahagian tubuh yang dapat dijangkau. Hal ini dilakukan sebanyak tiga kali. Inilah yang dicontohkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam sebagaimana dikatakan oleh isterinya 'Aisyah.

Dari 'Aisyah, beliau radhiyallahu 'anha berkata " Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam ketika berada di tempat tidur di setiap malam, beliau mengumpulkan kedua telapak tangannya lalu kedua telapak tangan tersebut ditiup dan dibacakan' Qul huwallahu ahad '(surat Al Ikhlash),' Qul a'udzu birobbil falaq '(surat al Falaq) dan 'Qul a'udzu birobbin naas' (surat An Naas). Kemudian beliau mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota badan yang mampu dicapai bermula dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. Beliau melakukan yang demikian sebanyak tiga kali . "(HR. Bukhari no. 5017).

Membaca Al-Quran sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam ini lebih menenangkan hati dan fikiran daripada sekadar mendengar alunan muzik.

Keempat : Membaca ayat kursi sebelum tidur.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menugaskan aku menjaga harta zakat Ramadhan kemudian ada orang yang datang mencuri makanan namun aku merebutnya kembali, lalu aku katakan, " Aku pasti akan mengadukan kamu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ". Lalu Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu menceritakan suatu hadits berkenaan masalah ini. Selanjutnya orang yang datang kepadanya tadi berkata, " Jika kamu hendak berbaring di atas tempat tidurmu, bacalah ayat Al Kursi kerana dengannya kamu selalu dijaga oleh Allah Ta'ala dan syaitan tidak akan dapat mendekatimu sampai pagi ". Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, " Benar apa yang dikatakannya padahal dia itu pendusta. Dia itu syaitan ". (HR. Bukhari no. 3275)

Kelima : Membaca do'a sebelum tidur " Bismika allahumma amuutu wa ahyaa ".

Dari Hudzaifah, ia berkata, " Apabila Nabi shallallahu 'alaihi wasallam hendak tidur, beliau mengucapkan:' Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama-Mu, Ya Allah aku mati dan aku hidup). ' Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: "Alhamdulillahilladzii ahyaana ba'da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nya lah tempat kembali) . "(HR. Bukhari no. 6324)

Keenam : Sebanyak mungkin membiasakan tidur di awal malam  jika tidak ada kepentingan yang bermanfaat.

Diriwayatkan dari Abi Barzah, beliau berkata, " Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam membenci tidur sebelum solat' Isya dan bersembang-sembang setelahnya. "(HR. Bukhari no. 568)

Ibnu Baththol menjelaskan, "Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam tidak suka berjaga setelah solat' Isya kerana beliau sangat ingin melaksanakan solat malam dan bimbang jika sampai luput dari solat subuh berjemaah. 'Umar bin Al Khottob sampai-sampai pernah memukul orang yang berjaga setelah solat Isya, beliau berkata, " Apakah kalian sekarang berjaga di awal malam, nanti di akhir malam tertidur lelap?! "(Syarh Al Bukhari, Ibnu Baththol, 3/278, Asy Syamilah)

Ketujuh : Membaca surah As-Sajadah dan Surah Al-Mulk sebelum tidur.
Daripada Jabir r.a sesungguhnya Rasulullah SAW tidak tidur hingga baginda membaca Alif laam Mim,Al Sajadah dan Al Mulk.
(HR. At Tarmizi)




Adab semasa bangun dari tidur.

Pertama: Mengusap wajah
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun dari tidur, baginda duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangan.” (HR. Muslim)

Kedua: Membaca doa
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun dari tidur, baginda akan membaca Alhamdulillahil lazi ahyana ba' dama ama tana wailai hin nushur (Segala puji Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan(tidur) kami dan kepadaNya tempat kembali). (HR Bukhari)

Ketiga: Bersiwak
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun dari tidur, baginda membersihkan mulutnya dengan bersiwak.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Keempat: Mencuci tangan sebanyak tiga kali
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Apabila kamu bangun dari tidur, janganlah memasukkan tangannya ke dalam bekas air sebelum dia mencucinya tiga kali.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Kelima: Memasukkan air ke dalam hidung
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Apabila kamu bangun dari tidur, beristintsaarlah (memasukkan air ke dalam hidung) tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidung.” (HR. Bukhari dan Muslim)



Semoga kita semua mempunyai kekuatan untuk sentiasa beramal dengan sunnah baginda. Wallahu 'alam.


15 Januari 2014

Amalan Sunnah: Selawat


‘Selawat’ (صلوات) adalah jamak dari kalimat solat bererti doa atau seruan kepada Allah SWT. Di segi bahasa pula, selawat bermaksud mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan Rahmat-Nya untuk Nabi dengan ucapan, kenyataan dan pengharapan, semoga beliau (Nabi) sentiasa sejahtera (beruntung, tak kurang suatu apapun, keadaannya tetap baik dan sihat).

Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW juga bermaksud memperbesarkan, mengagungkan, menambahkan kehormatan dan kepujian serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur sebagai penyampai utusan-Nya yang menjadi rahmat seluruh alam, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda;  “Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”




Mengucap Salam Kepada Nabi

Salam pula bererti damai, sejahtera, aman sentosa dan selamat. Jadi ketika seseorang muslim membaca selawat untuk Nabi, bermaksud ia mendoakan Baginda SAW semoga tetap damai, sejahtera, aman sentosa dan selalu mendapatkan keselamatan.

a. Allah SWT memberi salam kepada setiap orang yang memberi salam kepada Nabi SAW.
Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya berjumpa Jibril, maka dia berkata: ‘Sesungguhnya saya memberi khabar gembira kepadamu bahwa sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: ‘Sesiapa memberi salam kepadamu, maka Aku memberi salam kepadanya dan sesiapa membaca selawat untukmu, maka Aku membaca selawat untuknya ‘.”

b. Mengucap salam kepada Nabi SAW, lebih utama daripada memerdekakan budak.
Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata: “Membaca selawat untuk Nabi itu boleh menghapuskan dosa-dosa, seperti air sejuk memadamkan api, dan salam kepada Nabi itu lebih utama daripada memerdekakan budak”. Nabi SAW., Bersabda: “Sesiapa membaca selawat untuk ku satu kali, maka dia menjadi tidak berdosa walaupun sebesar atom dan biji sawi.”

c. Sesiapa yang membaca salam untuk Nabi 100 kali setiap hari, akan dikabulkan oleh Allah 100 hajat. 30 diberikan di dunia dan 70 diberikan di akhirat.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai tujuh puluh malaikat yang selalu berjalan di muka bumi serta menyampaikan kepadaku salam dari umatku. Maka, apabila ada seseorang dari umatku membaca selawat untukku seratus kali dalam sehari, maka Allah Ta’ala akan akan mengabulkan seratus macam hajatnya, tujuh puluh diberikan diakhirat dan tiga puluh di dunia.”

Keutamaan dan Kebesaran Selawat
Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi atau mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bukti seseorang itu berbuat demikian ialah dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan keistimewaan bagi mendapatkan pertolongan dan perlindungan dari Nabi Muhammad SAW serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.

“Sesiapa yang berselawat kepadaku (Muhammad SAW) satu kali saja, maka aku akan berselawat kepadanya sepuluh kali”
Hukum berselawat

Hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib ketika:
1.  Mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua / tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.


Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu lebih utama.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.”  (Surah Al-Ahzab: 56).

Berselawat ertinya: kalau dari Allah bererti memberi rahmat: dari malaikat bererti meminta keampunan dan kalau dari orang-orang yang beriman bererti berdoa supaya diberi rahmat seperti dengan perkataan: Allahuma shalli ala Muhammad. 

Dengan mengucapkan perkataan seperti: Assalamu’alaika ayyuhan nabi ertinya: semoga keselamatan tercurah kepadamu hai Nabi.

Membaca Selawat

Lafaznya selawat ke atas Nabi SAW, cukup mudah, tidak mengambil masa yang panjang. Sebagai tanda kasihnya Allah kepada umatnya supaya mampu mengerjakan amal mulia dan memperoleh ganjaran daripadanya.

1. Membaca Selawat harus disertai dengan niat dan dengan sikap hormat kepada Nabi. Orang yang membaca selawat untuk Nabi hendaklah disertai dengan niat dan rasa cinta kepada Nabi dengan tujuan untuk memuliakan dan menghormati Baginda.
Dalam penjelasan hadis (akhbar al-hadis) disebutkan bahawa apabila seseorang membaca selawat tidak disertai dengan niat dan perasaan hormat kepada Nabi, maka timbangannya tidak lebih, hanya berat sekadar sehelai bulu sayap.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sahnya amal itu tergantung niatnya”.
Ada tiga perkara yang timbangannya tidak lebih berat dari pada selembar bulu sayap, iaitu:
Solat yang tidak disertai dengan tunduk dan khusyuk. Zikir dengan tidak sedar. Allah SWT tidak akan menerima amal orang yang hatinya tidak sedar. Membaca Selawat untuk Nabi Muhammad SAW tidak disertai dengan niat dan rasa hormat.
Rasulullah SAW bersabda: “Dan kalau kamu membaca selawat, maka bacalah dengan penuh penghormatan untuk ku.”

2. Membaca selawat bertujuan untuk mencintai dan memuliakan Rasulullah SAW. Siti Aisyah ra. berkata: “Sesiapa cinta kepada Allah Taala, maka dia banyak menyebutnya dan hasilnya ialah Allah akan mengingati dia, juga memberi rahmat dan keampunan kepadanya, serta memasukkannya ke syurga bersama para Nabi dan para wali. Dan Allah memberi kehormatan juga kepadanya dengan melihat keindahan-Nya. Dan sesiapa cinta kepada Rasulullah SAW maka hendaklah ia banyak membaca selawat untuk Nabi SAW, dan hasilnya ialah ia akan mendapat syafaat dan akan bersama Rasulullah SAW di syurga.”

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca selawat untukku kerana memuliakan, maka Allah Ta’ala menciptakan dari kalimat (selawat) itu satu malaikat yang mempunyai dua sayap, yang satu di timur dan satu lagi di barat. Sedangkan kedua-dua kakinya di bawah bumi sedangkan lehernya memanjang sampai ke Arasy."

Allah Ta’ala berfirman kepadanya: “Bacalah selawat untuk hamba-Ku, sebagaimana dia telah membaca selawat untuk Nabi-Ku. Maka Malaikat pun membaca selawat untuknya sampai hari kiamat.”

Cara Membaca Selawat

Disunatkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW:
Menggunakan kata-kata beradab dan sopan, menzahirkan sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW, keagungan darjat, kehormatan dan kebaikkan budi serta jasa Rasulullah SAW.

Paling afdal, berselawat seperti ketika tahiyyat dalam solat.

اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد

Ya Allah! Berilah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau telah member shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di dalam alam semesta ini hanya Dikau sahajalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia!

Allaahumma shalli ‘alaa Muhammadin wa’alaa aali Muhammadin, kamaa shallaita ‘alaa Ibraahim wa’alaa aali Ibrahim, wa baarik ‘alaa Muhammadin wa’alaa aali Muhammadin,, kama baarakta ‘alaa Ibrahiima wa’alaa aali Ibraahima, fil ‘aalamiina innaka hamiidun majiid.

Jenis-Jenis Selawat

Terdapat berbagai jenis selawat susunan para ulama dan antara lafaz selawat yang baik diamalkan adalah:
1) Selawat Ibrahimiyah.
2) Selawat Tafrijiyah.
3) Selawat Munjiyah
4) Selawat Ummi
5) Selawat Fatih
6) Selawat Syifa’.
7) Selawat Syafaat.
8) Selawat Badriyah
9) Selawat kebajikan.
10) Selawat menolak kecelakaan.
11) Selawat untuk Nabi SAW dan keluarganya.

Bencana Tidak Berselawat
Mereka yang tidak berselawat adalah orang yang paling kedekut dan akan;
  • Dijauhkan dari rahmat Allah.
  • Mendapat kehinaan yang memalukan.
  • Setiasa mengalami kerugian dan penyesalan.
  • Termasuk kalangan yang mendapat kesusahan.
  • Mengalami kebingungan di hari kiamat.
  • Mengalami kesukaran di Padang Mahsyar.
  • Menjadi ahli neraka.
Nabi Muhammad SAW. Bersabda;  “Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”

Waktu Afdal Berselawat
Masa paling afdal dituntut berselawat:
  • Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
  • Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
  • Sesudah tasyahud wuduk, sebelum membaca doa.
  • Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
  • Di akhir qunut dalam solat.
  • Di dalam solat jenazah.
  • Di antara takbir solat hari raya.
  • Ketika masuk dan keluar dari masjid.
  • Setiap waktu pagi dan petang.
  • Hari Khamis malam Jumaat,
  • Sepanjang hari Jumaat,
  • Ketika telinga berdesing.
  • Ketika terlupa sesuatu perkara.
  • Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan.
  • Ketika memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting.
  • Masa menghadiri  tempat perhimpunan yang baik.
  • Waktu meninggalkan sesuatu majlis.
  • Ketika berziarah di makam Rasulullah SAW.

Fadilat Berselawat
  • Allah limpahkan rahmat berkali ganda.
  • Allah menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
  • Menghilangkan kesusahan dan meluaskan rezeki.
  • Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
  • Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.
  • Terselamat daripada keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat.
  • Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langt.
  • Memperolehi doa malaikat selama sedang berselawat.
  • Beroleh syafaat yang khusus daripada Rasulullah SAW pada hari akhirat.
  • Dapat sentiasa berada bersama Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak.
  • Jaminan terpelihara dan terselamat dari segala perkara yang mendukacitakan dan membimbangkan di dunia dan akhirat.
  • Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar.
  • Meneguhkan tapak kaki ketika melalui Titian Siratul Mustaqim.

Keberkatan Dan Kelebihan Berselawat
 

1. Para Malaikat berjanji,  sesiapa yang membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap hari sebanyak 10 kali:
  • Jibril akan membimbing tangan bawa melintasi titian seperti kilat menyambar.
  • Mikail akan memberi minum dari telaga Rasulullah SAW.
  • Israfil akan sujud kepada Allah dan tidak akan mengangkat kepalanya sehingga Allah mengampuni orang itu.
  • Malaikat Izrail akan mencabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti mencabut roh nabi-nabi bila mati kelak.

2.   Dalam beberapa hadis, sabda Rasulullah SAW:
 
  • Sesiapa membaca selawat untukku sekali saja dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi 10 rahmat kepadanya serta diangkat ke 10 tingkat dan diampunkan 10 dosa.
  • Sesiapa berselawat 11 kali setiap lepas solat fardu, segala dosa kecilnya diampuni Allah serta tenteram hati dan jiwanya.
  • Sesiapa membaca selawat kepadaku 100 kali sehari, maka Allah akan menyampaikan 100 hajatnya iaitu 70 hajat akhirat dan 30  lagi hajat dunia.
  • Sesiapa berselawat ke atasku pada Jumaat sebanyak 80 kali, diampunkan baginya dosa selama 80 tahun.
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkanlah amalan berselawat ke atasku kerana selawat kamu itu disampaikan terus kepada ku.”


3. Antara hadis-hadis lain yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah SAW ialah:

“Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. “ (Riwayat Tabrani).

“Sesiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”  (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

“Sesiapa yang membaca salawat untuk Ku satu kali, Allah bersalawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa bersalawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan bersalawat kepadanya sebanyak seratus kali.  Dan sesiapa yang bersalawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari nifak dan kebebasan dari neraka.  Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid.” [Riwayat At-tabrani].

” Sesiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku, maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).

“Sesungguhnya orang yang dekat kepadaku daripada kalangan kamu pada hari kiamat pada setiap tempat aku berada ialah orang yang lebih banyak berselawat kepadaku di dunia.”


Hikmah Berselawat ke atas Rasulullah SAW
  • Berasa lebih mencintai Rasulullah SAW.
  • Menjadi zakat dan pembersih diri.
  • Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah SWT.
  • Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah.
  • Para malaikat memberi jaminan keistimewaan masing-masing.
  • Ganjaran yang diberikan bukan saja di dunia, malah di akhirat.
  • Menyedari betapa besarnya pahala orang yang berdoa dan berselawat ke atas Nabi.
  • Sebagai mengenang semula budi dan jasa baik Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berusaha mengajak manusia ke arah kebaikan, walaupun Baginda SAW sudah wafat.

Rasulullah SAW bersabda: “Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafaku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan ‘Alhamdulillah’, dan apa saja amal kamu yang jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu.”    (Riwayat Ibni Mas’ud)

Bayangkanlah betapa beruntungnya orang yang mendapat ucapan salawat dan begitu banyak manfaat daripada Allah Subhanahu Wataala disebabkan amalan bersalawat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.


15 Disember 2013

Amalan Sunnah: Qailullah


Ramai individu yang kerap melakukan ‘tidur siang’ atau ‘napping’ tetapi sayangnya disebabkan tidak ada pengetahuan dan keperihatinan, tujuan sebenar perlakuan tersebut semakin diabaikan. Syarikat besar di luar negara seperti Google, PnG telah mengamalkan amalan sunnah ini sebagai "power nap". Menurut kajian, mengamalkan "power nap" ini meningkatkan produktiviti pekerja sebanyak 34 peratus. Ternyata, amalan sunnah Rasulullah ini sangat memberikan kebaikan dan memberi panduan hidup.




Di dalam Islam, tidur sekejap di waktu siang, dinamakan ‘Qailullah’ atau ‘Qoilulah’ iaitu tidur singkat (sebentar) di pertengahan hari yang disertai dengan niat. Tidur ini adalah suatu sunnah dan nikmat dari Allah swt. Sekiranya tidur siang dilakukan tidak mengikut spesifikasi dan sunnah iaitu tidur melampau dan tanpa berniat untuk bangun malam (berqiamullail), maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada ‘Qailullah’ tersebut.

Firman Allah s.w.t:

“Dan di antara tanda-tanda KemurahanNya dan Kasih SayangNya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari, dan usahamu mencari sebahagian dari KurniaNya. Sesungguhnya pada hal yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).”
(Surah Ar-Ruum : Ayat 23)

Nabi Muhammad telah menjadikan amalan Qailullah sejak usia muda sebagai memudahkan Baginda untuk bangun melakukan ibadah di tengah malam  (Qiamullail).
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan Qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zuhur) boleh memberi kekuatan untuk Qiamullail.”
(Hadis Riwayat Ibnu Abbas).

Waktu Qailullah

Waktu Qailullah (tidur siang) adalah selama beberapa minit sebelum masuk waktu solat Zuhur atau selepas makan tengahari hingga awal Asar iaitu dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit sahaja . Waktu paling afdhalnya ialah dalam tempoh setengah jam sebelum masuk waktu solat Zuhur. Imam Muslim menyatakan bahawa

“Yang dimaksudkan dengan ‘Qailullah’ adalah tidur di pertengahan hari.”

Manakala al-Hafizh Ibnu Hajar pula berkata,

“Qailullah adalah tidur di tengah siang, iaitu ketika matahari tergelincir ke barat, dan beberapa waktu sebelum atau sesudahnya.” (Fath al-Bari [11/79]).

Niat Qailullah

Setiap kehidupan itu bermula dengan niat. Sebelum melakukan Qailullah, berniatlah agar tidur itu bagi memudahkan terjaga di malam hari dan dapat bangun melakukan solat-solat sunat malam dan berzikir untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Khaliq. Sekiranya tidur tanpa berniat untuk bangun malam, maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada Qailullah tersebut.

Cara Niat Qailullah

Niat kena betul dan ia adalah lintasan hati untuk tidur dan bangun beribadah di malam hari nanti seperti contoh berikut:

“Daku tidur sebentar kerana hendak bangun beribadah tengah malam ini, kerana Allah Ta’Ala.”
Atau:~
“Daku tidur sebentar dan mohon terbangun tengah malam ini kerana rasa imanku terhadap-Mu (Allah) dan untuk mendekatkan diri denganMu.”
Qailullah adalah menjadi budaya masyarakat Arab dan kebiasaan orang Islam terdahulu, terutama pada musim panas dan bulan Ramadhan. Para solehin dan ulama terdahulu menjadikan tujuan tidur seketika siang hari sebagai persediaan supaya boleh bangun mendirikan solat Tahajjud pada malam harinya.

1.  Imam Al Ghazali, di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’, menyatakan: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat Zuhur.”
2.  Dalam sebuah riwayat, Imam Abu Hanifah selama 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam. Beliau tidur hanya sebentar pada siang hari.
3.  Tidur siang merupakan kebiasaan para salaf. Sebagaimana yang dikatakan oleh Sahl bin Sa’ad radhiyalahu’anhu, “Dahulu kami sering tidur siang, sebelum waktu Zuhur dan baru menikmati makan tengah hari selepas solat Jumaat.” (HR. Bukhari).




Syaitan Tidak Tidur

Sebenarnya tidur sebentar di pertengahan siang adalah suatu perkara yang sangat dianjurkan Islam dalam meningkatkan keimanan kerana syaitan tidak pernah tidur disebabkan mereka sibuk melekakan manusia agar keletihan dan liat melakukan ibadah malam.
Sabda Rasulullah s.a.w:

“Lakukanlah Qailullah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan Qailullah.”
(Hadis Riwayat At-Tabrani)

Bermalas-Malasan

Islam menganggapnya tidur tengahari sebagai suatu sunnah dan kebaikan sebagai asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Tidur siang bukanlah sebagai satu yang keji atau tanda kemalasan kerana tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dalam kitab ‘Mishkatul Masabih’ disebutkan: “Tidur sekejap pada waktu tengah hari (Qailullah) bukanlah perbuatan keji kerana Rasulullah ?  ada melakukannya.”
Banyak keterangan lain yang menganjurkan tidur seketika terutama bagi orang berpuasa. Amalan ini semakin dilupakan dan tidak diambil perhatian, jika pun dibuat, ia tidak mengikut spesifikasi sunnah.

Sebahagian orang terutama ketika berpuasa, mereka menggunakan tidur siang sebagai alasan untuk melayan rasa malas dan letih mereka. Jika memang berniat untuk membolehkan bangun malam untuk beribadat, tentulah ini mengikut sunnah Rasulullah. Tetapi nilai sunnah daripada tidur siang ini akan hilang begitu sahaja jika untuk bermalas-malasan dan malam harinya tidak didirikan Solat Tahajjud, berzikir, solat-solat sunat lain dan atau bertarawih di bulan Ramadhan. Seharusnya setiap orang muslim pandai dan dapat mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika dan bukannya sepanjang hari walaupun sewaktu berpuasa.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.
Firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.”
(Surah az-Zariyat; Ayat 15-18 )
.
Firman Allah s.w.t:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat malam” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”




(Surah al-Israa’ (17); Ayat : 79)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“Rabb (Tuhan) kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Daku akan mengabulkannya; Sesiapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Daku akan memberinya; Sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Daku akan mengampuninya.”  

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145).

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata :
“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk Solat Zuhur.”

Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu siang ketika kebanyakan orang melakukan qailullah. Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.” Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Abi Aufa, ada menyebut bahawa: “Tidurnya orang puasa adalah ibadah.”
Pengertian hadis ini harus difahmi bahawa tidur orang puasa adalah terjaganya (terpelihara) diri orang yang puasa daripada setiap perbuatan maksiat dan mungkar, dari situlah wujud makna ibadah itu. Kalau tidur hanya untuk bermalas-malasan dan meninggalkan kewajiban serta melalaikan tugas, tentulah ini sangat bertentangan dengan makna ibadah puasa itu.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat pernah menjalani puasa Ramadhan dengan tugas yang cukup berat seperti Perang Badar dan penaklukan Makkah. Ini semua petunjuk bahawa puasa bukan untuk menjadikan kita bermalas-malasan, tetapi pencetus semangat agar memberikan yang terbaik meskipun dengan keterbatasan kecerdasan fizikal sebagai orang berpuasa.

Larangan

 
Jika tidur selepas solat dan makan tengahari, hendaklah berzikir beberapa ketika terlebih dahulu. Jangan terus tidur selepas makan kerana ia akan menyebabkan sembelit dan tidurlah sebelum masuknya waktu Asar. Tidur seketika pada waktu siang umpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari, tetapi jangan tidur di siang hari terlalu lama, lebih-lebih lagi pada waktu petang iaitu selepas asar, kerana ia bakal mengundang pelbagai penyakit. Jauhkan diri juga daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan lemah badan dan fikiran, lembap, wajah jadi kusam, keruh, mudah marah dan boleh mengurangkan rezeki.

Manfaatkan waktu itu adalah lebih penting daripada sekadar tidur siang. Khalifah Umar  bin Khattab pernah mengingatkan  “Sekiranya kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat; jika kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (bukan sepanjang hari) walaupun pada musim panas atau bulan Ramadhan. Cubalah amalkan sunnah Qailullah ini dengan istiqamah. Ambillah sebahagian kecil waktu rehat tengahari dengan memilih untuk mencuba dan tidur sebentar sama ada di pejabat, tempat kerja atau di dalam kereta.








15 November 2013

Amalan Sunnah: Bismillah


 Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Alhamdulillah dikala bersiap menumpukan study dikala exam mahupun assignment, Allah masih lagi memberi kesempatan untuk menulis agar tertegaknya kalamnya dan sampaikan ilmu walaupun sedikit. Dan InsyaAllah kami bawakan satu siri artikel amalan sunnah sebagia perkongsian setiap bulan bermula bulan ini. InsyaAllah artikel ini berada diblog kami setiap 15hb setiap bulan. Moga kalian yang membaca mendapat manfaat serta kongsi kepada sahabat yang lain serta mendoakan kami sentiasa diberi kekuatan untuk terus menulis berkongsi ilmu. Amin

Kebanyakan kita menyebut Bismillah, tetapi tidak tahu akan nilai sebenar kalimah tersebut. Apa maksud kita membaca Basmalah ketika kita bergerak, minum, makan, berdiri, ketika hendak masuk atau keluar, dan dalam semua urusan harian kita. Sebenarnya maksudnya begitu indah sekali. Pertama kita dapat merasai yang kita mencontohi Allah. Allah membuka kalamnya dengan sebutan Bismillahir Rahmanir Rahim. Sebutan ini merupakan satu tiket anugerah untuk kita mulakan amalan harian dan menikmati seluruh kebaikan. Jika kita fahami, kita akan tahu kenapa kekasih kita, Nabi Muhammad s.a.w begitu prihatin membaca bismillahir Rahmanir Rahim setiap masa dan keadaan.




Hinggakan Rasulullah s.a.w bersabda, Setiap perkara penting yang tidak dimulakan dengan Bismillah maka dia terputus atau cacat atau terpotong. Setiap insan apabila melakukan sesuatu yang dia rasakan dirinya mengikut Allah swt dan Rasul-Nya saw merasakannya begitu bernilai. Maksudnya indah. Kita rasakan nama Allah swt adalah anugerah atau teknik yang diberikan kepada kita. Satu anugerah yang dapat kita gunakan dalam menangani semua perkara yang ada di dunia. Semuanya adalah ciptaan tuhan bumi, langit, kejadian, material, peralatan dan cahaya. Semuanya adalah ciptaan tuhan kita. Jika kita tangani alam ini dengan nama Allah swt bagaikan kita membuka seluruh peti karun yang terdapat di dalam setiap zarah yang ada di dunia ini. Maha suci Allah, setiap perkara ada hikmahnya, kebaikannya, keberkatan, seluruh ciptaan Allah mempunyai misterinya. Jika kita tangani ciptaan tersebut atau urusan kerja atau alam ini dengan bismillah, Allah akan muliakan kita dengan anugerah keberkatan daripadaNya.

Andai antara kamu membaca: 




Dengan nama Allah takkan ada kemudaratan didunia atau di langit, Dia mahu mendengar dan mengetahui. InsyaAllah tidak ada yang dapat memudaratkannya. Bacaan ini dinyatakan oleh Rasulullah saw. Nabi begitu minat dan sukakan bacaan basmillah. Hinggakan pada suatu hari dia membacanya dalam solat, Bismillahir Rahmanir Rahim dan mengulanginya sekali lagi dan mengulangi sehingga 20 kali dalam satu masa. Apa yang dirasai oleh Rasul kesanyangan kita ketika dia mengulangi bacaan basmallah ini tidak diketahui. Rasulullah dapat merasai emosi seperti ini bagaimana nilainya bacaan basmallah yang menjadi teman sepanjang kehidupanNya.

Basmallah adalah satu zikir yang digunakan pada semua perkara. Seseorang ketika menguruskan kerja, tetapi lupa doa atau zikir yang sesuai dibaca maka bacalah dengan bismillah. Kerana bismillah dibaca pada permulaan semua doa, zikir dan kerja. Dengan membaca  Bismillahir Rahmanir Rahim bagaikan kunci milik Allah. Diberikan kepada kita, dengannya kita dapat membuka seluruh pintu kebaikan. Memanfaatkan dari setiap ciptaan dan kejadian yang berlaku disekelilimg kamu, jauhi diri kamu dari bahaya segala kejadian yang berlaku disekeliling kamu. Bila manusia dapat merasai emosi tersebut dia takkan lupa dan leka dari membaca basmallah, bahkan akan hidup dengan penuh bermakna, dengan merasai kelazatan iman yang bermutu tinggi.

Seperti seseorang yang hendak bermusafir ke luar negara takkan dapat melakukannya melainkan mempunyai pasport, mustahil dia lupa tentang pasport kerana dengan dia lalui satu negara ke negara lain. Lesen, IC dan semua kemudahan tersebut adalah satu pelepasan atau sebab mereka sampai ke sesuatu destinasi. Manusia takkan lupa nilai dan pentingnya benda tersebut.


Sekiranya manusia fikirkan yang dia memiliki bismillah, dia akan dapat keberkatan dari seluruh amalannya dan dihindari seluruh kemudaratan setiap kali membacanya. Bacaan basmallah juga ada ganjaran pahala yang besar. Kerana dia salah satu ayat AlQuran, satu huruf "Ba" ganjarannya 10 pahala kebaikan sehingga 700 pahala kebaikan.  Bismillahir Rahmanir Rahim terdiri dari 19 huruf iaitu mengandungi 190 pahala kebaikan, setiap huruf kita gandakan sehingga dapat 700 ribu kebaikan dari Allah. Lihatlah berapa kali manusia membaca bismillah dalam sehari. Mungkin 50 kali, 100 kali mungkin lebih dari itu dalam sehari. Jika kita biasakan dalam hidup dengan bismillah, kita akan diliputi dengan nama Allah. Yang Allah perintahkan kita agar mengagungkanNya dengan FirmanNya: Bertasbihlah dengan nama tuhanmu yang Maha Agung. 

Jika kita mengagung menyucikannya dan kita terikat dengan namaNya, cara hidup kita akan berbeza. Kita dan seluruh alam akan harmoni kerana kita harmoni dengan nama Allah. Disini kita baru tahu nilai didikan Rasulullah saw. Benar, manusia terikat dengan sunnah ini ketika siang, malam, ketika bersendirian atau dikhalayak ramaipada setiap keadaan. Maka dia terikat dengan sunnah Nabi yang sentiasa diulangi sehingga mengukuhkan hubungan dengan Rasulullah saw dan mendapat manfaat besar serta ganjaran pahala disisi Allah swt. Lihatlah, nilai fadhilat kalimat yang mudah yang terdiri daripada huruf-huruf yang mudah.

Selamat beramal.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...