Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

Memaparkan catatan dengan label Buku Pilihan PERDIQMA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku Pilihan PERDIQMA. Papar semua catatan

1 Disember 2011

Mereka Adalah Para Tabi'in

Mereka Adalah Para Tabi'in

Judul Buku: Shuwaru min Hayati At-Tabi’in
Penulis: Dr Abdurrahman Ra’fat Basya
Judul Terjemahan: Mereka Adalah Para Tabi’in
Penterjemah: Abu Umar Abdillah
Penerbit: At-Tibyan, Solo
Halaman: 416 M/s



Di saat sebahagian besar manusia lebih kenal kepada artis-artis, ahli politik mahupun pemain-pemain bola sepak, mungkin tinggal sedikit sahaja yang mengenal nama-nama seperti Hasan al-Bashri, Umar bin Abdul Aziz dan Abu Hanifah—semoga Allah merahmati mereka—. Cuba renungkan adakah kita termasuk mereka yang sedikit itu? Cuba pula tanyakan, “Sejauh mana kita mengenal mereka?”. Bagaimana pula dengan sosok-sosok seperti Atha bin Abi Rabah, Raja’ bin Haiwah, Muhammad bin Sirin, Sa’id bin Musayyab dan Thawus bin Kaisan?

Siapakah mereka ini?

Mereka adalah orang yang telah mendahului kita hidup di dunia, juga telah mendahului kita dalam meninggalkan dunia. Mereka adalah orang-orang yang hidup di zaman yang mana Islam berada pada puncaknya dan telah merasai kegemilangannya, walaupun mereka tidak merasai segala pembangunan yang kita rasakan pada detik ini. Mereka adalah orang-orang yang telah disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai generasi terbaik. Generasi terbaik setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan sahabat-sahabat baginda. Merekalah yang digelar sebagai Tabi’in. Tabi’in adalah orang-orang yang telah bertemu dengan Sahabat, dalam keadaan beriman dan mati dalam keislaman.

Nama mereka harum di sisi para ulama, ahlul hadits, orang-orang soleh dan para penuntut ilmu yang hidup selepas mereka. Biografi-biografi mereka tercatat indah di kitab-kitab para ulama dan sejarahwan. Kisah-kisah mereka juga disebut di majlis-majlis ilmu. Walaupun jasad mereka telah lama bersatu dengan bumi, namun ilmu-ilmu mereka tidak pernah mati! Ilmu-ilmu mereka sentiasa hidup dan mengalir dari zaman ke zaman. Pahala-pahala mereka terus mengalir hasil kebaikan-kebaikan yang telah mereka ajarkan kepada manusia. Subhanallah! Demikianlah hidupnya para ulama, pewaris para Nabi, pencinta ilmu dan pengagung Sunnah. Ketika hidup mereka mulia, ketika mati juga mereka tetap mulia. Maha benar Allah yang telah berfirman: ”…nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…” (QS Al-Mujaadilah: 11)

Untuk apa kita mengenal mereka?

Kita membaca kisah-kisah mereka bukan semata-mata untuk mengetahui bahawa nama-nama ini pernah wujud, akan tetapi kita ingin mengambil segunung teladan dan pengajaran daripadanya. Maka tidak hairanlah, Imam Abu Hanifah pernah berkata: “Membaca kisah-kisah (salaf) lebih aku sukai daripada fikih.” Namun, bukanlah maksud beliau ingin meremehkan ilmu fikih, akan tetapi dengan membaca kisah para salaf, banyak kebaikan dan perangai yang layak untuk dijadikan teladan. Terlebih lagi, wujud semangat untuk mencontohi dan mengikuti mereka.

Ada lagi satu kisah menarik. Abdullah bin Mubarak segera beranjak pulang selepas solat di masjdi, ketika teman-temannya mengajak beliau berbincang-bincang di depan masjid, beliau berkata: “Apa yang bisa aku perbuat bersama kalian? Kalian duduk-duduk untuk menggunjing manusia, sedangkan saya hendak bergabung dengan majlisnya para sahabat dan tabi’in.” Teman-temannya bertanya hairan: “Bagaimana anda bergabung dengan mereka padahal mereka telah tiada?” Beliau menjawab: “Dengan membaca buku-buku tentang mereka.” (Kata Pengantar Penterjemah, ms 12)

Bergabunglah bersama mereka...

Diolah dengan bahasa yang indah, dan gaya penceritaan yang menarik, penulis benar-benar telah menghasilkan sebuah bahan bacaan yang begitu mengasyikkan. Tidak jemu untuk membacanya, dan tidak sabar untuk menyelak halaman-halaman berikutnya.

Bacalah kisah-kisah agung yang dapat membuatkan anda menggeleng kepala tanda kekaguman terhadap mereka ini.Kisah-kisah yang benar-benar menakjubkan yang belum tertandingi hingga ke hari ini. Paling indah adalah terbitnya rasa cinta kepada mereka, di samping muncul semangat ingin mencontohi mereka. Orang-orang pendahulu yang termasuk generasi terbaik, pewaris para Nabi, penjaga Hadis, ahli ibadah, ahli zuhud yang sebenar, dan orang-orang yang apabila matinya adalah sebuah kehilangan besar bagi umat. Semoga Allah merahmati mereka semuanya. Dan semoga kita kelak dapat berkumpul bersama mereka. Kerana kita kelak akan bersama-sama orang yang kita cintai..

Antara nama-nama yang mana kisah-kisah mereka tercatat di dalam buku ini adalah:
  • Atha bin Abi Rabah
  • Hasan Al-Basri
  • Said bin Musayyab
  • Raja’ bin Haiwah
  • Thawus bin Kaisan
  • Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar As-Siddiq
  • Urwah bin Zubair
  • Muhammad bin Sirin
  • Dan lain-lain


21 September 2011

Contengan Jalanan: Coretan Pengalaman Perjalanan Mencari Tuhan

PERDIQMA: Kategori  Buku Pilihan PERDIQMA adalah ruangan baru di dalam Blog ini bertujuan berkongsi bersama pengunjung buku-buku pilihan yang mempunyai ibrah dan sesuai untuk pembacaan warga KPMB serta remaja Islam.

Pembaca yang memiliki koleksi bacaan berbentuk Novel, Travelog, Dukumentari, Koleksi Cerpen dan lain-lain buku yang mempunyai ibrah (pengajaran) dan mempunyai unsur pencerahan jiwa amat digalakkan untuk menghantar sinopsis atau komen/huraian anda berkenaan buku yang anda telah baca. Semoga manfaatnya dapat dikongsi bersama. Hantarkan ke: kpmbperdiqma@gmail.com atau hantarkan ke note PERDIQMA Fan Page, klik "sini"
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bulan Ramadhan yang penuh keberkatan itu telah jauh meninggalkan kita.Berganti bulan yang baru, Syawal penuh keraian.Tiada salahnya kita sama-sama renungkan,a dakah kita semua sudah berjaya memenuhinya dengan pelbagai amalan serta pengisian yang berguna bagi menambahkan iman dan takwa dari hari ke hari. Ingin juga saya kongsikan bersama sahabat-sahabat  mengenai sebuah novel hasil karya Hlovate terbitan Jemari Seni Sdn. Bhd pada Mei 2011. Mungkin ada yang berfikir, mengapa sebuah novel diketengahkan berbanding sumber rujukan lain sebagai panduan dan pengajaran.Mungkin ada yang terkejut atau tidak memahami mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang pada awalnya. Namun, percayalah setiap bait tulisan yang disampaikan mengandungi manfaat serta peringatan buat diri kita bersama,menjadi lebih baik dari semalam.

Novel ini terbahagi kepada dua bahagian:
  • I – Fend
  • II – K² ( Ksquare)
Contengan Jalanan memberi sedikit kelainan kepada pembaca dari segi pemahaman serta pengajaran yang disampaikan.Berkisarkan tentang Fend yang mahu mencari erti hidup, mencari ‘Affendy’ dan cerita kembara seorang K² melihat dunia dari sudut berbeza. Disebalik pencarian itu, Fend dan sepupunya Chad turut mengenali erti sebuah Ramadhan yang pasti dirindui di bumi asing Sydney, Australia.

I – Fend
Namanya Affendy. ‘Fend’; jika dipendekkan untuk panggilan. Umur – baru hampir masuk usia mengundi. Bergelar pelajar fotografi yang dunianya hanya berpaksikan lensa dan warna serta muzik! Dia gitaris merangkap vokalis Creepy Hues. Definisi hidupnya mudah. Selagi ada warna dan irama, itu namanya bahagia. Hinggalah dia bertemu dengan Amalia. Sepotong ayat daripada gadis itu membuatkan erti hidup yang difahaminya selama ini hilang makna.

"The man who decided to change on the 12th hour dies on 11th"
( I – Fend: 126 )

Kata-kata ini dipetik dari sebuah video bertajuk "The 11th Hour" yang dihasilkan oleh Sami Haque bersama sahabatnya Hasan Shaikh. Video ini telah memberi kesan yang mendalam serta mendapat sambutan hebat dalam komuniti mereka. Contengan Jalanan mencoret pengalaman Fend sepanjang dia cuba menyusun semula kamus hidup. Contengan kisah perjalanannya di celah-celah sesak kota Kuala Lumpur. Contengan kisah perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis. Contengan kisah perjalanannya melangkah benua dari Malaysia ke Australia kerana mahu mencari erti hidup yang sebenar. Kerana mahu mencari ‘Affendy’. Perjalanan di bumi Australia bersama sepupunya Chad (Arsyad) secara 'backpacking' membuka mata Fend dari prinsipnya yang dahulu. Bagaimana Ramadhan yang seharusnya dipenuhi. Juga betapa kita lupa cara yang sebenar untuk kita hayatinya.

"Roh Ramadhan tu lagi terasa kat sini sebenarnya.Erti Ramadhan sebenar tu, baru betul-betul rasa kat sini. Kat Malaysia sekarang ni aku rasa Ramadhan tu dah jadi lebih kepada benda budaya."

"Ramadhan tu bukannya diertikan dengan Malam Tujuh Likur pasang pelita. Bukan diertikan dengan lawan meriam buluh antara kampung. Bukan diertikan dengan berbuka puasa di hotel-hotel. Bukan diertikan dengan rancangan masak-masak bulan puasa di TV.Tapi benda-benda tu la yang dah jadi definisi Ramadhan kat Malaysia." (Akmal)
( I – Fend: 161-162 )

II – K²
Namanya Ku Kamaruzzaman. Dipendekkan menjadi K² untuk teman-teman. Dia teman Fend. Pelajar Creative Studies. Drummer untuk Creepy Hues. Paksi hidupnya hanya satu: seni. Perkara lain boleh ditolak tepi. Hidup itu mudah, tidak perlu mencari susah.Namun erti itu mula berubah arah selepas kematian seorang teman iaitu Chad.Tambah dikusutkan dengan perubahan Fend yang seolah-olah tersampuk badi krisis pertengahan usia. Kembaranya ke Australia untuk menemani Fend yang merindui suasana di sana dirasakan hanya sebuah percutian. Tiada erti yang diperoleh. Tiada hati yang tersentuh. Tiada perubahan yang dilakukan.

"Hati kau bukan aku yang pegang." (Fend)
( I – Fend: 160)

Kembaranya ke Tanah Seberang di negara jiran yang membuka pintu hati dan mata untuk melihat dunia dari sudut berbeza. Dia memahaminya. Memahami mengapa Fend berubah, dan apa yang perlu dalam hidup seorang insan bergelar hamba pada yang Esa.Sedarilah bahawa hidayah itu perlu dicari. Bukan dinanti tanpa sebarang tindakan dan perubahan. Bukan semua hambaNya berjaya memperolehinya dengan mudah, kadang-kala perlu melalui pelbagai keadaan dan halangan. Bersyukurlah sekiranya kita, insan terpilih untuk menerima hidayah daripadaNya.

"Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu." (Al-Hadiid : 9)

Tajuk Novel       : Contengan Jalanan
Terbitan            : Jemari Seni Sdn. Bhd.
ISBN                 : 978-967-5118-53-1
Harga               : RM21.00 (Sem. M'sia)
                        : RM24.00 (Sabah/Sarawak)

Ditulis oleh: Aimi Rahman*

Aimi Rahman pernah menjadi blogger di Blog PERDIQMA KPMB Sesi Januari-Jun 2011. Penulisan ini juga diambil dan disiarkan dengan kebenaran dari facebook beliau di "sini".

Pembaca yang memiliki koleksi bacaan berbentuk Novel, Travelog, Dukumentari, Koleksi Cerpen dan lain-lain buku yang mempunyai ibrah (pengajaran) dan mempunyai unsur pencerahan jiwa amat digalakkan untuk menghantar sinopsis atau komen/huraian anda berkenaan buku yang anda telah baca. Semoga manfaatnya dapat dikongsi bersama. Hantarkan ke: kpmbperdiqma@gmail.com @ hantar ke note PERDIQMA Fan Page, klik "sini"


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...