Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

13 Jun 2016

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA






Assalamualaikum, Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat islam. Semoga Ramadhan yang dikurniakan sekali lagi buat kita oleh Allah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perbaiki amalan sebagai bekalan di kemudian hari. Tahun ini agak berbeza untuk PERDIQMA mahupun KPMB sendiri kerana akan menjalani ibadah puasa di kampung halaman masing - masing memandangkan KPMB sedang bercuti dan akan kembali selepas AidilFitri. InsyaAllah kita akan merindui aktiviti yang saban tahun diadakan semasa Ramadhan.

Sempena Ramadhan yang masih baru membuka tirai (padahal dah seminggu), insyaAllah nak share sikit apa yang telah dipesan oleh Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut :-
• Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah S.W.T.
• Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
• Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah S.W.T telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud :-
"Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." (Surah Al-Maidah:42)
• Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
• Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah S.W.T daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Moga - moga sedikit perkongsian ini dapat memberikan kita panduan dalam mendapatkan kesempurnaan ibadah puasa. Ramadhan yang hadir ini, ayuhlah kita bersama berusaha untuk mendapatkan hasil tarbiah yang akan menjadikan kita hambaNya yang bertakwa dan peroleh syurga. InsyaAllah...







21 Mac 2015

BERNIQAB ATAU BERTABARUJJ???



Bismillah,
Assalamualaikum, dan salam sejahtera kepada sahabat NUR sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana dengan izin NYA kami ahli Perdiqma diberi kelapangan untuk memberi sedikit perkongsian.

Pada kali ini Perdiqma ingin membuat sedikit perkongsian berkenaan AURAT, TABARUJJ, PAKAIAN dan sebagainya yang melibatkan kaum muslimat.Begitu juga berkenaan isu berpurdah atau berniqab.

Kali ini,  memilih satu tajuk yang sudah lama ain ingin coretkan di blog NUR.Tajuk kali ini BERNIQAB ATAU BERTABARUJJ.



Alhamdulillah, semakin ramai kaum muslimah yang mempunyai kesedaran dan keinginan untuk berniqab.Persoalan yang perlu ditanyakan pada mereka yang sudah berniat atau sudah pun berniqab tidak kira setahun, dua tahun, atau pun sudah bertahun-tahun lamanya.Tanyakan soalan ini pada diri kita sendiri wahai niqabis:

-Adakah kita benar-benar menghayati dan memahami kepentingan dan tujuan berniqab itu sendiri? 

-Adakah kita berniqab tapi masih ingin kelihatan cantik?

-Adakah kita berniqab kerana menanti pujian semata-mata?

-Adakah dengan berniqab kita boleh berpakaian sesuka hati?

Persoalan ini bukan hanya ditujukan pada sahabat-sahabat niqabis blog NUR semata, tetapi juga pada diri ain sendiri.Adakah ain berniqab untuk kelihatan cantik? Adakah dengan berniqab ain akan lebih dihormati? Nauzubillah min zalik..Moga dijauhkan dari perasaan sebegini!

Kebanyakkan niqabis gemar mengenakan ikatan niqab dari luar, iaitu selepas mengenakan selendang atau tudung.Namun, HATI-HATI apabila memilih cara ikatan sebegini terutamanya apabila niqab yang anda gunakan itu adalah jenis satu lapis sahaja.Jika niqab satu lapis [seperti dalam gambar] yang anda gunakan, maka, tanpa kita sedar sanggul rambut kelihatan.Maka, aurat kita sebenarnya sudah dipamerkan dikhalayak ramai.Mata-mata yang melihat pasti akan cuba meneka apa yang ada di sebalik kain tudung yang anda kenakan itu. 

Daripada Abu Hurairah r.a kata beliau: Bersabda Rasulullah s.a.w:
"Dua golongan daripada Ahli Neraka yang belum pernah aku melihatnya (wujud) iaitulah:
Kaum yang bersama mereka itu cemeti-cemeti seperti ekor lembu, memukul manusia, dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, mereka itu mengajak manusia menjauhi perintah Allah dan mereka sendiri menjauhi perintah Allah, kepala mereka seakan-akan bonggol-bonggol unta yang senget, mereka ini (dua golongan ini) tidak masuk ke syurga dan tidak pula mendapat baunya sedangkan baunya dapat dihidu dari jarak sekian dan sekian.

(H.R. Muslim, Ahmad, al-Baihaqi dalam al-Kubra, dan al-Tabrani dalam Mukjam al-Awsat)

dan

“akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis&ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”
- hadith riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223.

serta

“dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini”

– hadith riwayat Muslim. Hadith no 212-

Jika sahabat niqabis gemar berniqab dengan mengikatnya dari luar, maka pilihlah niqab yang boleh melindungi ikatan anda di bahagian kepala itu.Pilih niqab jenis 2 atau 3 lapis.InsyaAllah, jika ada sahabat niqabis yang sukar mendapatkan niqab sedemikian boleh berhubung dengan ain.Ain kini dalam usaha menyediakan keperluan muslimah berniqab agar dapat mengenakan niqab dengan cara yang sebaik mungkin, InsyaAllah.



Perhatikan gambar di atas, berniqab namun masih bertabarujj.Lihat foto pertama dan kedua dari kanan yang tumpuan diberikan di bahagian mata niqabis.Berniqab namun masih bersolek/bertabarujj.Berniqab namun masih memperagakan kecantikkan diri.Berniqab namun masih tidak faham apa itu tabarujj.

Sekali lagi ain tegaskan, tidak kiralah kita ini berniqab atau hanya bertudung labuh sahaja BERTABARUJJ DITEGAH DALAM ISLAM!!! Carilah ilmu wahai muslimah sekalian.Untuk berniqab juga perlu ada ilmu.Tanpa ilmu, maka sia-sia sahaja amalan kita selama ini.

Perkara lain yang cuba disampaikan melalui gambar di atas adalah, AURAT WANITA ISLAM.Adakah kita benar-benar faham apa itu aurat? Bertudung, berpakaian labuh, berniqab tidak bererti kita sudah menutup aurat dengan sempurna jika kita tidak peka di mana letaknya aurat itu sendiri.Perhatikan dan anda akan temui jawapannya.InsyaAllah.

Salah satu tujuan berniqab adalah melindungi diri sendiri daripada dilihat oleh orang lain.Berniqab juga bertujuan mengurangkan pandangan sekeliling pada diri para niqabis, selain mendidik diri kita agar menjadi seorang muslimah yang mengerti perasaan malu.

Namun, apabila kain niqab/purdah yang dipilih terdiri daripada kain yang nipis dan jarang hingga menampakkan bayang-bayang wajah, maka sia-sia sahaja berniqab.Selain itu ain pernah terlihat niqabis yang mengenakan niqab yang terlalu ketat hingga melekap di muka hingga menampakkan bentuk hidung dan ukiran bibir.

Nauzubillah min zalik.Moga diri ini dijauhi dari perbuatan demikian.Wahai sahabat niqabis ain kasihi sekalian, telitilah apabila memilih kain yang ingin dijahit sebagai niqab.Pastikan:

-kain dipilih adalah tebal, tidak jarang atau nipis.
-kain bukan dari material yang melekap pada kulit.

Seperkara lagi harus ain ingatkan pada diri ain sendiri dan sahabat sekalian, ELAK MENJAHIT NIQAB DENGAN MENGENAKAN MANIK ATAU SULAMAN.Memadailah memakai niqab yang kosong semata.Pilih warna-warna yang lembut dan tidak garang atau terlalu menonjol.

Mungkin ada sahabat niqabis yang tidak selesa mengenakan full niqab hingga menutupi bahagian dahi.Terpulanglah pada niat masing-masing.Namun sebaik-baiknya, tutuplah bahagian dahi anda itu walau pun tidak mampu menutup bahagian kening.Jika anda mengenakan half niqab sahaja, pastikan mengenakan anak tudung sebelum mengenakan selendang atau tudung biasa.Ini bagi mengelak, anak-anak rambut jelas kelihatan seperti gambar di atas.




Seperti ain katakan tadi, jika tidak mampu mengenakan full niqab maka memadai mengenakan anak tudung agar tertutup bahagian ubun-ubun rambut.Bagi yang mengenakan half niqab juga, ain nasihatkan pada diri ain sendiri dan sahabat niqabis sekali lagi, elak bertabarujj di bahagian kening anda.Jika tidak mampu full niqab, maka janganlah bersolek di bahagian kening atau sekeliling mata.





berniqab bukan bertujuan menunjuk kehebatan diri..
berniqab bukan bertujuan menunjukkan diri mu adalah wanita solehah..
berniqab bukan bertujuan membangga diri..
berniqab bukan bertujuan membuktikan kita adalah berbeza daripada yg lain..

apalah guna berniqab andai foto-foto dikongsi untuk tatapan sesiapa sahaja..
apalah guna berniqab andai masih ada keinginan untuk tabarruj..
apalah guna berniqab andai hanya menanti pujian semata-mata..
apalah guna berniqab andai diri masih terlibat dlm pergaulan bebas..

berniqablah hanya untuk mendapatkan redha Allah SWT..
berniqablah hanya untuk mendapatkan kasih sayang Allah SWT..
berniqablah semata-mata ingin melindungi diri dari perkara-perkara kemungkaran..
bersihkanlah niat untuk berniqab hanya untuk Allah SWT..bukan selainnya...



nukilan dari blog nurainvivian





13 Mac 2015

Kucing Kesayangan Nabi Muhammad SAW





Ramai yang suka memelihara dan menyayangi kucing. Tahukah antum bahawa Nabi Muhammad ﷺ memiliki seekor kucing kesayangan yang Baginda namakan ‘Mueeza’.

Muezza Kesayangan Rasulullah
Setiap kali Rasulullah ﷺ menerima tetamu di rumah, Baginda selalu mengendong Mueeza dan diletakkan di atas paha Baginda. Salah satu sifat Mueeza yang paling Rasulullah ﷺ suka ialah Mueeza selalu mengiaw sewaktu mendengar azan, seolah-olah bunyi suaranya seperti mengikuti alunan suara azan tersebut.

Pernah berlaku suatu kejadian ketika Rasulullah ﷺ hendak mengambil jubahnya, ternyata Muezza sedang tidur dengan santai di atas jubah Baginda. Oleh kerana tidak ingin mengganggu kucing kesayangannya itu, Rasulullah ﷺ pun memotong bahagian lengan jubah Baginda yang dibaringi oleh Mueeza dari supaya tidak membangunkan Muezza.
Ketika Baginda pulang ke rumah, Muezza terbangun dan menundukkan kepala kepada tuannya. Rasulullah ﷺ menunjukkan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing itu.


Kucing Tidak Najis

Nabi menekankan bahawa kucing itu tidak najis. Bahkan dibenarkan untuk berwudhuk menggunakan air bekas minum kucing kerana dianggap suci.

Abu Qatadah Radliyallaahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda, “Kucing itu tidak najis. Ia adalah termasuk haiwan yang suka berkeliaran di rumah (haiwan pemeliharaan).” [HR At-Tirmidzi, An-Nasa’I, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah].

Diriwayatkan dan Ali bin Al-Hasan, dan Anas yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah. Lalu, Baginda berkata, “Ya Anas! Tuangkan air wudhuk untukku ke dalam bekas.” Lalu, Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Rasulullah ﷺ menuju ke arah bekas tersebut.

Namun, seekor kucing datang dan menjilat bekas tersebut. Melihat itu, Rasulullah ﷺ berhenti sehingga kucing tersebut berhenti minum lalu berwudhuk.

Rasulullah ﷺ ditanya mengenai kejadian tersebut, Baginda menjawab, “Ya Anas! Kucing termasuk perhiasan rumah rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, malah tidak ada najis.”
Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa budak suruhannya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun, ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang mendirikan solat. Lalu, ia memberikan isyarat untuk meletakkannya.

Sayangnya, setelah Aisyah menyelesaikan melakukan solat, ia terlupa pada buburnya. Datanglah seekor kucing, lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika ia melihat bubur tersebut dimakan kucing, ‘Aisyah ra. Lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing dan Aisyah memakannya.

Rasulullah ﷺ bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliaran di rumah.” Aisyah juga pernah melihat Rasulullah ﷺ berwudhuk dari sisa jilatan kucing, [Hadis Riwayat alBaihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Al-Daruquthni].

Hadis ini diriwayatkan dari Malik, Ahmad dan imam hadis yang lain. Oleh kerana itu, kucing adalah binatang yang badan, peluh, bekas makanannya adalah suci.

Demikianlah kisah tentang kucing Nabi Muhammad ﷺ Mueeza. Semoga dengan menghayati kisah di atas, kita akan ketahui betapa kasih dan sayangnya Rasulullah ﷺ terhadap haiwan.

Rasulullah ﷺ ada berpesan supaya menyayangi kucing kesayangan sebagaimana kita menyayangi keluarga sendiri. Aisyah binti Abu Bakar As-Shiddiq, isteri Rasulullah ﷺ juga amat menyayangi kucing dan berasa amat kehilangan jika ditinggal pergi oleh kucingnya. Beberapa orang terdekat Nabi turut memelihara kucing. Abdul Rahman bin Sakhr Al Azdi. diberi gelaran Abu Hurairah (bapa para kucing jantan), kerana kegemarannya menjaga dan memelihara berbagai jenis kucing jantan dirumahnya.

Hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan lucu ini sangatlah berat, dalam sebuah hadis sahih Al-Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya dan tidak pula melepas kucingnya untuk mencari makan sendiri, Nabi SAW pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah seksa neraka.

Abdullah bin Umar ra. juga meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ. bersabda: “Seorang wanita diseksa kerana mengurung seekor kucing sampai mati. Kemudian wanita itu masuk neraka kerananya, iaitu kerana ketika mengurungnya dia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum sebagaimana dia tidak juga melepasnya mencari makan dari serangga-serangga tanah.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)


22 Disember 2014

Peristiwa Penting Di Bulan RabiulAwal

12 Rabi ul awwal background

Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur kita untuk menjadi khalifah di dunia ini. Tanpa kita sedari kita telah berada di bulan Rabi'ul Awal, bulan ke 3 dalam kalendah hijrah. Bulan Rabiul Awal bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tumbuh-tumbuhan. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiul Awal, pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Selepas kedatangan Islam, Rasulullah ﷺ telah mengekalkan nama Rabiul Awal ini dan berterusan penggunaannya sehinggalah kini.

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Bulan Rabiul Awal,bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini tercatat berbagai peristiwa besar dan penting, sejarah jatuh bangunnya Tamadun Islam yang menjadi ingatan kepada seluruh umat mukmin, di antaranya ialah;

1) Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ pada 9 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi.

2) Rasulullah ﷺ mengahwini Siti Khatijah binti Khuwailid pada 10 Rabiul Awal.

3) Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul pada 1 Rabiul Awal ketika berusia 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

4) Rasulullah ﷺ bersembunyi di Gua Hira’ pada 2,3 & 4 Rabiul Awal.

5) Sewaktu berhijrah ke Yatsrib (Madinah), Rasulullah ﷺ singgah di Qubah pada 8 hingga 12 Rabiul Awal.

6) Nabi Muhammad ﷺsampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awal dan terus membina Masjid Quba’, masjid pertama dalam sejarah Islam.

7) Rasulullah ﷺsampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal dan menunaikan solat Jumaat yang pertama bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu.

8) Di antara peperangan yang berlaku di bulan Rabiul Awal ialah peperangan ‘Safwan’ (Badar pertama), ‘Bawat’, ‘Zi Amar’ (Ghatafan), ‘Bani An-Nadhir’, ‘Daumatul Jandal’ dan peperangan ‘Bani Lahyan’.

9) Dalam Peperangan ‘Safwan’, Baginda ﷺ keluar bersama para sahabat mengejar Karar bin Jabir Al Fihriy yang telah melakukan serangan ke atas binatang ternakan Madinah pada tahun kedua Hijrah.

10) Peperangan ‘Bawat’ – satu kawasan di Yanbu’- pada tahun kedua Hijrah bagi menyekat kafilah perniagaan Quraish yang mengandungi 1500 ekor unta, diketuai oleh Umaiyah bin Khalaf.

11)  Pada tahun ketiga Hijrah, satu kumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah dihantar bagi membunuh Kaab bin Al Ashraf seorang ketua kaum Yahudi yang menghina Islam dengan syair-syairnya, menyeru kaum Quraish supaya memerangi Islam. Ia menunjukkan sikap penentangan terbuka yang ditunjukkan oleh orang Yahudi terhadap Islam dan penganutnya pada permulaan seruan Islam lagi kerana kedengkian yang menebal di sanubari mereka.

12) Peperangan ‘Zi Amar’ (Ghatafan) pada tahun ketiga Hijrah di daerah Najd.

13)  Peperangan ‘Bani An Nadhir’ pada tahun keempat Hijrah, mereka adalah salah satu goolongan Yahudi yang mengadakan perjanjian damai dengan Baginda ﷺ, tetapi mereka mengkhianatinya dengan cubaan bagi membunuh Nabi ﷺ. Baginda ﷺ bersama para sahabat telah mengepung mereka selama 15 hari sehinggalah mereka bersetuju menyerah kalah kepada Rasulullah ﷺ. Mereka telah dikeluarkan dari Madinah dengan meninggalkan segala alat perang mereka kecuali barang makanan dan pakaian sahaja. Kesemuanya menuju ke Khaibar dan pada akhirnya kesemua kaum Yahudi telah dikeluarkan dari Semenanjung Tanah Arab ke Bumi Syam pada zaman Umar Al Khattab.

14) Pada bulan Rabiul Awal tahun kelima Hijrah berlakunya peperangan ‘Dumatu Al Jandal’.

15) Peperangan ‘Bani Lahyan’ pada 15 haribulah tahun keenam Hijrah. Tentera Muslimin seramai 200 orang termasuk 20 penunggang kuda yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah ﷺ tetapi tidak berlaku apa-apa peperangan disebabkan oleh Banu Lahyan melarikan diri ke bukit-bukau.

16) Pelepasan penghantaran tentera Islam oleh Abu Bakar As Siddiq yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid bagi berhadapan dengan orang Rom, ianya telah diarahkan oleh Baginda ﷺ supaya menuju ke tanah jajahan Rom tetapi terhenti disebabkan oleh kewafatan Baginda ﷺ.

17) Nabi Muhammad ﷺ wafat pada Isnin 12 Rabiul Awal tahun ke-11 Hijrah bersamaan 7 Jun 632 Masihi, di rumah isterinya Aisyah r.ha. selepas sakit selama 13 hari dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

18) Para sahabat melantik dan membai’ah Saidina Abu Bakar As Siddiq menjadi Khalifah pada tanggal 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah di Dewan Bani Sa’idah, iaitu pada hari Rasulullah wafat.

19) Pada zaman saidina Abu Bakar r.a., tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra berjaya menaluki Iraq secara damai dalam bulan Rabiul Awal dan memulakan pembukaan ‘Al Hirah’ serta pemerintahan Islam di bumi Iraq.

20) Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib peperangan ‘Al Hittin’ dan seterusnya membuka Baitul Muqaddis pada bulan Rabiul Awal tahun 583 H.

21) Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada bulan Rabiul Awal tahun 897H.

22) Kemasukkan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella ke bumi Gharnada, bandar dan kubu terakhir tentera Islam di Andalusia pada tahun 897 Hijrah.

 Kekalahan di Andalusia, merupakan kejatuhan sebuah negara Islam yang amat menyayatkan hati. Orang Islam di sana dibunuh dengan kejamnya dan segala warisannya dimusnahkan. Antara sebab kejatuhan negara tersebut pepecahan sesama ummat Islam, tidak menurut perintah Allah سبحانه وتعالى., kelemahan stategi dan tenaga untuk berhadapan dengan kaum Kristian. Kejatuhan tersebut ditangisi oleh semua ummat Islam sehinggakan ada dikalangan penyair yang mengarang kedukaan itu di dalam syair-syair mereka. Kehilangan itu bermakna kemusnahan tempat sejarah warisan ummat Islam, masjid-masjid ditukarkan menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan berkumandang di negara tersebut.
.



20 September 2014

KEHILANGAN

Sebelum saya mula,  bagaimana kesihatan sahabat-sahabat sekalian?

Bagaimana iman sahabat-sahabat? sihat?

Pada kali ini , saya ingin berkongsi sedikit tentang topik yang bertajuk "Kehilangan". Bila kita dengar sahaja ayat kehilangan , pasti kita akan bayangkan kesedihan , pengalaman dan saat-saat kita bersama orang yang kita sayang. Ini kerana bukan mudah untuk kita kehilangan orang yang kita sayang terutama ibu bapa dan ahli keluarga. Disaat kita kehilangan orang yang kita sayang pasti kita tidak berhenti bersedih , tidak menerima ketentuan dan sebagainya. Jadi disini saya ingin berkongsi sedikit tips tentang cara untuk menerima segala ketentuannya.



1.  Segalanya Pasti Ada Sebabnya.
              
  Disini pasti kita tahu yang segala perancangan ALLAH SWT itu adalah sebaik-baik perancang. Hal ini kerana apa yang dirancang adalah demi kebaikan kita dan bukan untuk keburukan kita. Dengan kehilangan yang kita terima , ALLAH SWT akan gantikan dengan yang lebih baik yang kita tidak nampak pada waktu kini dan mungkin pada waktu akan dtg.

2. ALLAH SWT Sayang Akan Kita.
              
  ALLAH SWT  memberi ujian dan dugaan adalah kerana ALLAH sayangkan kita dan mahu kita ingat akannya. Disinilah peluang kita , disaat kita jatuh mengadulah pada ALLAH SWT dengan sepenuh hati maka hati kita akan semakin tenang dan semakin sayang padanya. Jadi janganlah kita menyalahkan pada takdir tetapi yakinlah takdir itu sememangnya memberi kebaikan pada kita In shaa ALLAH.

3.  Pengalaman Mendidik Kita.

 Yakinlah , segala yang ditetapkan adalah untuk menjadikan kita semakin kuat menempuh dugaannya. Apabila kita sudah susah , segalanya menjadi semakin mudah dan tenang. Ini kerana pengalaman kita yang sedih , duka dan kecewa menjadikan kita semakin mudah menghadapi kekecewaan selepas ini. Jadi percayalah , dengan semua ini  anda menjadi semakin kuat dan tabah menghadapi dugaan selepas ini.

Moga dengan sedikit  perkongsian ini , kita semakin percaya dengan ketetapan ALLAH SWT. Tidak lupa juga sentiasa menghadapi hidup ini dengan penuh ceria dan gembira. Ini kerana jika kita gembira , semua orang akan bertambah gembira.

p/s: Nukilan daripada seorang hamba Allah

                


17 Julai 2014

Panduan Qiamullail Sepanjang Ramadhan




Pada waktu siangnya umat Islam diwajibkan berpuasa, manakala malamnya disunatkan ‘Qiamullail’ iaitu ‘memakmur dan menghidupkan malam dengan ibadat’.
Qiamullail dituntut dan dijanjikan dengan pelbagai kelebihan. Antaranya sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.“
.
.

Malam al-Qadar (Lailatul Qadar)

.
Salah satu kelebihan yang Allah SWT berikan untuk umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam al-Qadar’. Lailatul Qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan dan ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa pada siang hari dan beribadat pada sebelah malamnya.
.
Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?  Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
.
Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan diberikan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah SWT. Gandaan pahala melakukan ibadah pada malam ini dikatakan mempunyai nilai lebih 29,500 kali ganda. Maka ianya boleh dijadikan perangsang kepada umat mukmin bagi melipat-gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan al-Mubarak.
.
Malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.
.
Allah SWT amat Penyayang kepada hamba-Nya sekiranya kita tidak berputus asa dan menggunakan sepuluh malam terakhir ini bagi menebus kesilapan seumur hidup kita yang lalu.
Firman Allah SWT:  “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”  (Al-Dukhan : 4)
Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ ialah pada malam tersebut Allah menentukan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur, sakit atau sihatnya seseorang dan ajal manusia untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun hadapan.
.
.

Amalan Pada Malam Lailatul Qadar

.
Menggandakan amalan sunat pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
  1. Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan Qiamullail.
  2. Habiskan malam beramal ibadat di masjid (beriktikaf).
  3. Solat Qiamulail sebanyak mungkin.
  4. Solat Tarawih 20 rakaat, tanpa witir.
  5. Bermula 12 malam, Solat Tahajud 8 rakaat dan Solat Witir 3 rakaat.
.
.

 Itikaf Lailatul Qadar

.
Itikaf ini dikenali juga sebagai ‘Iktikaf Asyrul-Awahir’. Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan dan waktu tamat iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.
.
Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid.”   (Al-Baqarah: 187)
.
Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” ( Muttafaqun alaih)
Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.” ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).
.
.

Amalan Rasulullah SAW Di Malam Lailatul Qadar

.
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).
.
Antara amalan yang dilakukan Rasululah SAW dan para sahabat pada malam-malam terakhir Ramadhan ialah:
  • Mandi, berpakaian cantik dan berwangi-wangian.
  • Beriktikaf iaitu mendampingi masjid untuk mentaati Allah.
  • Mengejutkan keluarga agar bangun beribadah.
  • Uzlah (tidak mendekati) isteri.
  • Memperbanyakkan amal ibadat dan berqiamulail di masjid atau surau.
  • Menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji hadith, tafsir dan sirah nabi.
  • Memperbanyakkan bertasbih, tahmid, takbir, istighfar dan bersalawat.
  • Membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah.
  • Bersolat Tarawih, Witir, Tahajud, Taubat dan solat Hajat.
  • Bertaubat daripada segala kesalahan dan dosa selama ini.
  • Berdoa ke hadrat Ilahi. Baginda SAW sering membaca doa:  “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”
  • Berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
Daripada Amru bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat pada malam Ramadhan dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran, maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”    (Hadis Riwayat Abu Daud r.a.)
.
Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.
.
.

Doa Qiamullail

.
Rasulullah SAW sering membaca doa di bawah sebelum Baginda melakukan Qiamullail;
.
.

Amalan Tengah Malam Lailatul Qadar

.
Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah;
  1. Mengambil wuduk dan mendirikan Solat Sunat Wuduk.
  2. Membaca surah Ali Imran; ayat 190 –200.
  3. Solat Sunat Tahajjud – bagi memantapkan iman dan akidah tauhid.
  4. Solat Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
  5. Membaca Al-Quran.
  6. Beristighfar dan berzikir
.
.
     7.  Bertasbih dan berselawat
.
.
     8.  Bersolat Sunat.
    1. Solat Sunat Taubat – Mohon keampunan.
    2. Solat Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa.
    3. Solat Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat.
    4. Solat Sunat Witir. – Solat Penutup
.
.
.

BERDOA

.
a.  Saat Makbul Doa
Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
  1. Masa berlalunya separuh malam.
  2. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.
Ulama tasauf dan fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: “Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”
.
.
b.  Doa Bertemu Lailatul Qadar
Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera kita membaca:
.
Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Bacalah:

اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.

“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.
 .
.
c. Doa Di Malam Al-Qadar
.
Berikut ini adalah salah satu doa di malam-malam Al-Qadar: malam ke 19, 21, dan ke 23 Ramadhan;
.

بسم الله الرحمن الرحيم

Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

اللهم صل على محمد وآل محمد

Allâhumma shalli ‘alâ Muhammad wa âli Muhammad
 Ya Allah! Sampaikan selawat kepada Rasulullah SAW dan keluarganya

اَللَّهُمَّ اِنِّي اَمْسَيْتُ لَكَ عَبْداً دَاخِراً

Allâhumma innî amsaytu laka ‘abdan dâkhiran,
Ya Allah! Malam ini daku datang kepada-Mu sebagai hamba-Mu yang hina,

لاَ اَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً، وَلاَ اَصْرِفُ عَنْهَا سُوْءاً،

lâ amliku linafsî naf’an wa lâ dharrâ, wa lâ ashrifu ‘anhâ sûan,
yang tidak mempunyai kemampuan untuk memberi manfaat dan mudarat dan tak mampu menyingkirkan keburukan dari diriku.

اَشْهَدُ بِذَلِكَ عَلَى نَفْسِي، وَاَعْتَرِفُ لَكَ بِضَعْفِ قُوَّتِي، وَقِلَّةِ حِيْلَتِي،

Asyhadu bidzâlika ‘alâ nafsî, wa a’tarifu laka bidha’fi quwwatî wa qillati hîlatî
Dengan itu daku bersaksi atas diriku dan mengakui di hadapan-Mu tentang kelemahanku dan ketidakupayaanku,

فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ،

Fashalli ‘alâ Muhammadin wa âli Muhammad
sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad,

وَاَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي وَجَمِيْعَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ مِنَ الْمَغْفِرَةِ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ،

wa anjizlî mâ wa’adtanî wa jamî’al mu’minîna wal mu’minât minal maghfirati fî hâdzihil laylah
kurniakan  padaku malam ini, pengampunan dari-Mu sebagaimana telah Dikau janjikan padaku, pada kaum mukminin dan mukminat,

وَاَتْمِمْ عَلَيَّ مَا آتَيْتَنِي

wa atmim ‘alayya mâ ataytanî
sempurnakan padaku apa yang telah Dikau kurniakan padaku,

فَاِنِّي عَبْدُكَ الْمِسْكِيْنُ الْمُسْتَكِيْنُ الضَّعِيْفُ الْفَقِيْرُ الْمَهِيْنُ.

fainnî ‘abdukal miskînul mustakîn, adhdha’îful faqîrul mahîn
kerana aku adalah hamba-Mu yang miskin dan papa, lemah, fakir dan hina.

اَللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي نَاسِياً لِذِكْرِكَ فِيْمَا اَوْلَيْتَنِي،

Allâhumma lâ taj’alnî nâsiyan lidzikrika fîmâ awlaytanî
Ya Allah! Jangan biarkan daku lalai untuk  mengingat-Mu, dalam pertolongan yang telah Dikau berikan,

وَلاَ لاِ حْسَانِكَ فِيْمَا اَعْطَيْتَنِي،

wa lâ li-ihsânika fîmâ a’thaytanî
dan kebaikan yang telah Dikau anugerahkan.

وَلاَ آيِسًا مِنْ اِجَابَتِكَ وَاِنْ اَبْطَأَتَ عَنِّي،

wa lâ âyisan min ijâbatika wa in abtha’ta ‘anni
Janganlah jadikan daku orang yang berputus asa dari balasan-Mu walaupunDikau menundakannya,

فِي سَرَّاءَ اَوْ ضَرَّاءَ، اَوْ شِدَّةٍ اَوْ رَخَاءٍ،

fî sarra’ aw dharra’ aw syiddatin aw rakhâ’
dalam suka atau duka, bahagia atau derita,

اَوْ عَافِيَةٍ اَوْ بَلاَءٍ، اَوْ بُؤْسٍ اَوْ نَعْمَاءَ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءِ

aw ‘âfiyatin aw bala’, aw bu’sin aw na’mâ’, innaka samî’ud du’â’.
dalam keselamatan atau bencana, sengsara atau kenikmatan. Sesungguhnya Dikau Yang Maha Mendengar permohonan doa!
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)
.
.

Amalan Orang Uzur (Malam 21-30)

.
Cara beramal orang uzur di malam Lailatul Qadar.
 .
1) Kepada orang tua dan lemah, telah dikira beramal Al Qadar sekiranya solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadhan. Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”
.
2) Orang yang tidak sanggup solat malam yang panjang, bacalah:
    • Ayat akhir surah Al Baqarah
    • Ayat Kursi
    • Surah Yaasin
    • Surah Al Zalazah
    • Surah Al Qafirun
    • Surah Al Ikhlas
.
3) Bagi orang yamg kuat dan cergas;
    • Bangunkan isteri dan anak
    • Mandi, bersuci dan berwuduk
    • Solat malam – Tahajjud,Taubat,Tasbih,Hajat,Istikharah
    • Baca Al Quran.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa bangun pada malam lailatulqadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” (Muttafaqun ‘alaih).
.
.

 Fadilat Lailatul Qadar

.
Jika 10 hari pertama adalah bulan penuh kerahmatan; 10 hari pertengahan Ramadhan sebagai hari pengampunan segala dosa; Maka 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Padanya terdapat ‘Malam al-Qadar’ yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa.
.
Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
.
.
.

TANDA LAILATUL QADAR

.
Ketenangan yang dirasai pada malam al-Qadar ini bersempena turunnya malaikat beserta pelbagai rahmat dan berkat untuk hamba-Nya yang benar-benar menghayati kedatangannya. Firman Allah SWT.: “Turunlah malaikat dan rohnya dengan izin Allah. Selamatlah malam itu hingga terbit fajar.”   (Surah al-Qadr, ayat 5 – 6).
.
Rasulullah SAW bersabda:  “Pada saat berlakunya Lailatul Qadaritu, malam terasa jernih, terang, tenang dan cuaca sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan.”     (Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi).
.
Sebahagian ulama berpendapat, orang yang mendapat al-Qadar itu akan melihat beberapa tanda antaranya ialah:
a.  Tanda malam Qadar ialah :
  • Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
  • Alam terang benderang walaupun berada di tempat gelap.
  • Segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Tiada kedengaran suara salakan anjing.
  • Mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.
  • Malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
.
b.  Tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah:
  • Pada paginya terbit matahari dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.
  • Sinar mentarinya tidak terasa terlalu panas walaupun cahaya cerah memancar.
  • Alam dan udara terasa begitu segar dan bersih.
  • Terasa seperti diperkenankan segala doanya.
 .
Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah Ta’ala biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai hikmahnya tersendiri supaya kita berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada semua malam dan untuk menguji keimanan Islam terhadap janji Allah SWT.
.
Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka bersungguh merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada bulan lain.
Nabi SAW bersabda: “Apabila malam akhir Ramadhan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umatku.” Sahabat bertanya: Apakah musibah itu? Rasulullah menjawab: “(Musibah) kerana perginya Ramadhan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Jabir)
.
.
Diharapkan semoga anda semua mengisi malam tersebut dengan pelbagai ibadah yang disarankan dan menjauhkan diri daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Bersamalah kita mengimarahkanlah 10 malam terakhir Ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT secara ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Allah SWT yang kelebihan pahalanya melebihi 1,000 bulan atau 83 tahun umur kita.


Muat turun panduan qiamullail, klik sini

Rujukan: http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/08/15/qiamullail-lailatul-qadar-dan-amalannya/
.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...