Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

21 Mei 2012

Rejab Yang Dirahmati


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog perdiqma. Alhamdulillah kita masih diberi ruang oleh Allah untuk hidup di muka bumi ini disamping menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Hari ini merupakan hari terakhir kita berada di bulan JamadilAkhir 1433H. Begitu pantas masa berlalu dan tanpa kita menyangka kita berada di ambang bulan Ramadhan, bulan penuh barakah. Moga-moga agar Allah mengizinkan kita bertemu dengan Ramadhan.

"Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." [Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi]


Kini kita berada di bulan Rejab, bulan ke 7 di dalam kalendar Islam. Rejab ertinya mulia atau agung. Bulan Rejab begitu dianggap mulia khususnya bangsa Arab. Orang-orang Arab menamakan bulan Rejab kerana pada masa dahulu mereka begitu memuliakan bulan tersebut dengan berbagai cara, di antaranya:



1.   Mereka menyembelih unta pada tanggal 1 Rejab sebagai binatang korban dan menamakan korban itu dengan nama Fara'


2.   Menjelang 10 Rejab, mereka kan menyembelih seekor lagi unta dan korban ini dinamakan Utairah


3.   Sepanjang bulan Rejab, mereka diharamkan berperang dan berbunuhan


4.    Pada tanggal 1 Rejab, mereka akan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan memberi peluang kepada orang ramai beribadat  sepuas-puasnya.


Walaubagaimanapun,setelah kedatangan Islam, sebahagian amalan tersebut tidak dilakukan lagi seperti menyembelih unta pada 1 dan 10 Rejab berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Tidak ada penyembelihan haiwan pada tanggal 1 dan 10 Rejab dalam Islam"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Makna dan Huraian "Rejab"


Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana keagungan, kebesaran dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan kebajikanNya terhadap hamba-hambaNya yang beriman dab beramal soleh pada bulan Rejab dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan sengan (bulan Allah).


Rahmat :


Diantara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan ditambahkan amalan-amalan seperti berpuasa pada siangnya dan mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat disamping fardhunya yang tertentu dan banyak berzikir, bertasbih, berselawat, membaca al-Quran, beristighfar, mohon keampunan dan taubat dosa-dosanya yang lalu dan pada malamnya berjaga malam atau bangun tengah malam sembahyang sunat tahjud, sembahyang sunat tasbih, berzikir, beristighfar, bertasbih, berselawat, membaca al-Quran, berdoa dan sebagainya. Pad bulan rejab inilah dilipat gandakan pahalanya, dilipat ganda keampunan dosa-dosanya dengan mudah mendapat keampunan dan taubat dari allah, diangkat darjat keimanan oleh allah didunia, dan diangkat darjat yang tinggi didalam syurga di akhirat. Sungguh beruntung sekali bagi hamba-hambaNya yang menggunakan kesempatan bulan rejab ini berlumba-lumba memperbanyakan amalan ibadat dalam hidupnya sungguh satu rahmat Allah yang terbesar yang dianugerahkan kepada hambaNya denagn mendapat keredhaanNya yang besar dan rugilah orang-orang yang ketinggalan rahmat yang melepaskan kita daripada azab neraka dan mendapatkan kita ke dalam syurga.


Judu (Pemurah) : 


Begitu sekali pemurahNya dan baikNya allha kepada hambaNya yang beriman dan beralam soleh kepadaNya dengan balasan pahalaNya yang begitu banyak sekali, dan diangkat darjatnya yang tinggi didalam syurgadengan mudahnya diberi keampunan dan taubat yang begitu bangyaknya pula. Sesungguhnya pemurahNya dan baikNya allah terhadap hambaNya pada bulan yang mulia ini.


Berkebajikan : 


Sungguh bulan Rejab ini adalah bulan kebajikan dan kebaikan Allah kepada hambaNya. Bulan yang diperintah banuak berbuat amal kebajikan padanya, bulan yang digalakkan berbuat amal ibadat, sembahyang fardhu dan sembahyang-sembahyang sunat, bulan diperbanyakkan beristighfar memohon keampunan dan taubat ke hadrat allah, berzikir, bertasbih, berselawat, berdoa bersedekah, dan segala rupa kebaikkan dan kebajikan yang diperintah Allah dan rasulNya. Bulan Allah membuka pintu kebajikan dengan luas (banyaknya amal-amal kebajikan, dan banyak serta besar palu anugerah balasannya yang tidak terhingga). Banyak pemberian allah dan banyak pula hambaNya lumba-lumba memenuhi amalnya - banyak Allah memberi kebajikan dan banyak pula banyak pula hambaNya berbuat kebajikan. Bertambah dekat hambaNya dengan Tuhannya dan bertambah dekat pula Tuhannya dengan hambaNya. Betapa besar keredhaan allah terhadap hambaNya dan betapa besar pula keredhaan hambaNya terhadap Allah.


Al Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyebut secara tidak langsung iaitu Surah al Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah At Taubah (ayat 2, 36 dan 37)


"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT." (Al Baqarah ayat 217)


Bulan Rejab merupakan salah satu daripada Al Ashur Hurum selain bulan Muharram,  Zulkaedah dan  Zulhijjah)


Manakala kebanyakkan hadis menceritakan amalan berpuasa dalam bulan ini walaupun tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.


Seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya "Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama "Nabi bersabda" Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu"semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam "Maka tanya Rasulullah SAW" Kenapa kamu seksa diri kamu? Lalu sabdaNya" Berpuasalah pada bulan sabar yakni bulan Ramadhan dan satu hari dari setiap bulan "Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu "Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi." Tambahlah lagi "Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda "Berpuasalah dalam bulan suci (haram ) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak 3 kali sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan"


(hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majjah dan Baihaqi dengan sanad yang baik)





Peristiwa Penting Di Dalam Bulan Rejab


1. Hijrah Pertama Dalam Islam


Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.


Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.


2. Israk dan Mikraj


Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.


Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.


3. Peperangan Tabuk


Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dangeru n kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.


4. Pembebasan Baitul Maqdis


Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah,orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya     ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali     tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


5. Lahirnya Imam Syafie RH


Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.


Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dari hadith-hadith Sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah. 


Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qimullail, puasa Isnin dan Khamis. Tadarus Al Quran dan lain-lain lagi.Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan.











16 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012




Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah,dengan izin Allah,dapat lagi kita bersama-sama berada di bumi Allah ini untuk mengabdikan diri pada Allah SWT dan dengan izinNya juga kita telah tiba pada hari yang penuh mulia dimana kita bersama-sama menyambut Hari Guru.

Menimba ilmu pengetahuan merupakan suatu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam diseluruh dunia. Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai kemanusiaan. Al-Quran banyak menekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis Rasulullah yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan.

Kita perlu sedar, dalam menimba ilmu pengetahuan,mengetahui adab-adab yang mesti kita jaga agar ilmu kita diberkati dan dirahmati. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk mengambil ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan ego terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain.

Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi. Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.

Kita sebagai pelajar juga tidak boleh berdendam kepada guru sehingga hilang perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidik kita. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya.

Saya dengan setinggi-tinggi penghargaan sebagai wakil dari PERDIQMA KPMB memohon segala kemaafan kepada semua guru yang telah mengajar segala ilmu kepada kami. Doakan kejayaan kami dunia dan akhirat. Saya dengan ini mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru di dunia terutamanya di KPMB kerana tlah banyak mengajarerti kehidupan kepada kami. Tidak lupajuga kepada penasihat kami Ustaz Wan Muzakkir,Ustazah Hafidzah dan juga Ustazah Hidayu keranan banyak memberikan ilmu baru kepada saya juga rakan-rakan yang lain. Terima kasih dan semoga kita berjumpa di semester hadapan. InsyaAllah.

Presiden PERDIQMA
Danial Ifran Khairuddin


13 Mei 2012

Keutamaan Menghormati Ibu

Khas Sempena Hari Ibu

 
Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” 
 
 Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]

 
Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

 bu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: 
 
“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

    Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

    Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]
 
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: 
 
“Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]

Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.
 
Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)

lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:

“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya. Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):

“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya

dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui
(yang demikian itu).  [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]


Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

 
Berdasarkan sebab-sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?” 

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.” 

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.”[5] 
 
Kredit untuk artikel asal: klik sini
 __________________________________________________________________________

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2]  Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799


5 Mei 2012

Kasih ayah (Pendorong Hadapi Peperiksaan)

 Kasih ayah

  • Mungkin ibu lebih kerap menelefon untuk menanyakan keadaan kita setiap hari.Tapi tahukah kita, sebenarnya ayahlah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita?
  • Semasa kecil, ibulah yang lebih sering mendukung kita..Tapi tahukah kita bahawa sebaik saja ayah pulang bekerja dengan wajah yang letih, ayahlah selalu menanyakan apa yang kita lakukan seharian.
  • Saat kita sakit ataudemam, ayah sering membentak “sudah diberitahu! jangan minum ais!”.Tapi tahukah kita bahawa ayah sangat risau.??
  • Ketika kita remaja, kita meminta izin untk keluar malam. Ayah dengan tegas berkata “tidak boleh!”..Sedarkah kita bahawa ayah hanya ingin menjaga kita? Kerana bagi ayah, kita adalah sesuatu yang sangat berharga dan sangat disayangi.
  • Saat kita sudah di percayai, ayah pun melonggarkan peraturannya. Maka kita telah melanggar kepercayaannya…Maka ayah lah yang setia menunggu kita di ruang tamu dengan rasa sangat risau..
  • Setelah kita dewasa,ayah telah menghantar kita ke kolej untuk belajar. Di saat kita memerlukan ini-itu, meminta wang untuk belanja dan keperluan kuliah kita, ayah hanya mengerutkan dahi.tanpa menolak, beliau memenuhinya..
  • Saat kita berjaya, .Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan bertepuk tangan untuk kita. .Ayah akan tersenyum dengan bangga..
  • Sampai ketika jodoh kita telah datang dan meminta izin untuk mengambil kita dari ayah..Ayah sangat berhati-hati mengizinkan nya..Dan akhirnya..Saat ayah melihat kita bahagia bersama pasangan, .ayah pun tersenyum bahagia.
  • Apa kita tahu,bahawa ayah sempat pergi ke belakang dan menangis? Tahukah anda bahawa ayah akan terasa seperti anak yang selama ini disayanginya bakal di ambil oleh orang lain?
  • Ayah menangis kerana ayah sangat bahagia..Dan dia pun berdoa “Ya Tuhan, tugasku telah selesai dgn baik..Bahagiakanlah putra putri kecilku yg manis bersama pasangannya”..
  • Setelah itu ayah hanya akan menunggu kedatangan kita bersama cucu-cucunya yg sesekali dtg untuk menjenguk..Dengan rambut yang memutih dan badan yang tak lagi kuat untuk menjaga kita.
  •  Adakah kita akan menjaga ayah kita bila kita dewasa kelak? Lihat keadaan diri kita sekarang. Bagaimana sikap kita dengan ayah? Sesungguhnya sikap kita dengan ayah pada hari ini adalah cerminan sikap kita padanya apabila kita dewasa kelak.

“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 


Jangan lupa hubungi ayah selagi dia masih ada. Apatah lagi restunya dan doanya sangat diperlukan saat-saat ini.  Semoga menjadi pendorong kepada semua mahasiswa KPMB yang sedang menjalani peperiksaan akhir semester.


Artikel asal: klik sini.


20 April 2012

Selamat Berjuang Wahai Sahabat.


Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh..


Alhamdulillah,bersyukur kehadrat Allah swt,dengan izin dan limpah kurniNya kita berada dimuka bumi ini dengan nikmat yang begitu luas. Antara nikmat yang diberikan oleh Allah swt adalah ilmu. Diambang perperiksaan,seharusnya kita lebih tekun dalam mendalami ilmu yang dipelajari dengan berberapa aspek. Aspek-aspek tersebut telah di bahagikan kepada berberapa antaranya:

DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA- Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan "uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil".

MENGHORMATI GURU- Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI - Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan.

semoga dengan ilmu yang kita perolehi dapat dimanfaatkan kejalan Allah SWT.

Danial Ifran Khairuddin
Presiden PERDIQMA

Sedikit Tazkirah juga diambil dari:


15 April 2012

POSMORTEM AKHIR DAN JAMUAN AKHIR AJKT PERDIQMA JAN-JUN 2012

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Alhamdulillah,bersyukur kehadrat Allah SWT dengan limpah rahmah dan kurnia-Nya, selesai sudah majlis akhir PERDIQMA pada 14/4/2012. Sangat menggembirakan dengan kehadiran semua keluarga PERDIQMA untuk bersama-sama berkongsi suka duka sepanjang semester ini dan bersama-sama buat kali terakhirnya berbincang perancangan untuk semester seterusnya.

Alhamdulillah,kami memulakan aktiviti seawal jam 6.00 pagi dengan menunaikan solat fardhu subuh berjemaah dan kemudian penyampaian ta'lim sehingga jam 7. Persiapan diri sehingga jam 8 dan berkumpul didepan surau An-nur untuk penyiapan sarapan bersama-sama. pada jam 8.45,kami menunaikan solat sunat dhuha berjamaah di gelanggang bola tampar KPMB dan seterusnya bersama-sama berkongsi suka-duka dengan menceritakan pengalaman dalam game paling-paling. setiap sorang dapat 1 kertas dan tertulis "kenangan paling gembira/pahit/kecewa/malu" dan setiap orang mesti menceritakan pengalaman mereka sepanjang berada dalam perdiqma.

Kami meneruskan lagi aktiviti dengan berkumpul di kelas B2 untuk bersama-sama membincangkan perancangan PERDIQMA untuk KPMB pada semester hadapan. InsyaAllah,semoga perancangan yang dibincangkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Perbincangan selesai pada jam 1.20 petang dan disambung pada waktu malam jam 8.00-8.40 malam.

Majlis diteruskan dengan malam akhir PERDIQMA dan dipengerusikan oleh saudara Azmil Ulya. Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Zaim Rashdan dan makan malam bersama. Seterusnya,majlis diserikan dengan ucapan oleh AJKT yang bakal bergraduasi pada tahun ini iaitu saudari Suhaili dari Biro Media dan Informasi dan saudari Hidayah dari Biro Makanan.Utiliti dan Ekonomi. Ucapan semangat kamu semua dapat membantu kami dimasa akan datang,InsyaAllah. Tidak lupa juga kepada AJKT baru didalam keluarga PERDIQMA ini iaitu Izat Hafiz sebagai Timbalan Pengerusi 1,Afif Maahi sebagai bendahari 1, Nurul Afiqah Jannah sebagai Penolong Biro Makanan, utiliti dan Ekonomi dan Thaqifah aqilah sabagai Penolong Biro Media & Informasi. Harapan dan semangat anda semua dapat mengukuhkan lagi persatuan Islam ini,InsyaAllah.

Sebelum majlis bersurai,kami bersama-sama menukar hadiah tanda kenang-kenangan terutama kepada AJKT yang bakal bergraduasi. Semoga malam akhir ini dapat memberi semangat baru kepada AJKT PERDIQMA untuk meneruskan perjuangan dalam keagamaan di KPMB dengan lebih konsisten,komited dan istiqomah. Allahuakbar!




AJK Tertinggi baru dan lama PERDIQMA



Zaim Rasdan mengetuai bacaan Doa


Ucapan daripada Presiden PERDIQMA, Danial Ifran.


7 April 2012

MAJLIS KHATAM QURAN PELAJAR SEMESTER 1 JAN-JUN 2012

Bismillahhirrahmanirrahim..

Al-Quran adalah kalamullah yang sebaiknya kita jadikan wirid harian.Jika para sahabat dapat mengkhatamkannya tiga hari sekali dan ada yang sehari sekali, malahan Saiyidina Osman dapat menghabiskan kalamullah itu hanya dalam solat tahajudnya sahaja.

Sebagaimana Hadis Riwayat Ad-Dalimi yang maksudnya :
Barang siapa membaca Al-Quran kemudian berdoa sesudahnya (khatam), nescaya turut serta mengucap aminkan doanya oleh para 4000 malaikat .

Khatam Al-Quran atau dalam bahasa Melayunya, tamat baca Al-quran. Majlis khatam quran diadakan sebagai tanda kesyukuran serta mengiktiraf pembaca itu menghabiskan bacaan Al-Quran keseluruhannya


Alhamdulillah, pada 5 april yang lalu iaitu pada hari khamis, telah berlangsung satu majlis rasmi di KPM Beranang iaitu majlis khatam Al-quran. majlis ini merupakan majlis istiadat kepada semua pelajar semester 1. majlis ini dianjurkan oleh persatuan organisasi islam kpm beranang sendiri iaitu ''PERDIQMA'' . majlis disertai seramai 22 orang peserta semester 1 di mana setiap mereka akan diberikan surah yang berlainan iaitu bermula dari surah dhuha hinggalah surah An-nas.

Majlis berlangsungt di surau An-nur, bermula pada jam 7.45 hinggalah pada jam 8.35. Majlis diacarakan oleh pengerusi majlis iaitu saudara Bukhari. sebelum majlis bermula, beliau memberikan sedikit ucapan dan kata-kata aluan, secara ringkas, beliau juga turut menceritakan tentang serba-serbi sejarah majlis khatam Al-quran yang merupakan majlis tradisi di kpm beranang.


Majlis bermula dengan bacaan umul kitab (Al-fatihah) sebagai permulaan sebelum membaca surah. Seterusnya, bermulalah majlis khatam Al-quran di mana surah pertama mula dibaca. Selepas lebih kurang 45 minit, bacaan Al-quran telahpun selesai dibaca oleh kesemua 30 orang pelajar semester 1.

Sebelum majlis melabuhkan tirai, saudara pengacara majlis, Bukhari telah mempersilakan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar KPM Beranang iaitu Ustaz Mad Zan bin Mad Yausof untuk memberikan sepatah dua kata tentang majlis ini. ucapannya juga menyelitkan kata-kata perangsang buat semua pelajar terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim.


selepas itu, tibalah pula majlis penyampaian cenderahati dari kpm beranang kepada ustaz Mad Zan bin Mad Yausof, selaku timbalan hal ehwal pelajar. cenderahati disampaikan oleh Presiden Perdiqma iaitu saudara Daniel irfan bin Khairuddin dan Presiden Alumnai, saudara Ikhwan hadid. bukan itu sahaja, Cenderahati juga disampaikan kepada semua peserta dan pelajar semester 1 sebagai tanda penghargaan dan terima kasih pada mereka yang hadir.

sebagai penutup tirai majlis khatam Al-quran jan-jun 2012, saudara Bukhari selaku pengacara majlis pada malam itu memberikan kata-kata penutup serta berharap majlis seperti ini akan terus berjalan hinggalah pada masa akan datang. tidak kurang itu, majlis juga turut menyediakan jamuan serta juadah buat semua tetamu yang hadir,Akhir kalam, pihak kpm beranang memanjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T kerana majlis akhirnya berjalan dengan lancar, semoga pada masa akan datang, majlis seperti ini akan terus kekal agar dapat merapatkan ukhuwah dan menyemarakkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T ..sekian..Assalamualaikum

berikut adalah gambar-gambar sepanjang program dijalankan :













-SHAZWAN-



4 April 2012

PROGRAM KEMASYARAKATAN ORIENTATION COMMITEE





Assalamualaikum..


Pada 1 April yang lalu, Orientation Commitee Kolej Profesional Mara beranang telah mengadakan program "Dekat Padamu" di Rumah Orang-orang Tua Seri Kenangan, Hulu Kinta, Perak. program seperti ini dibuat bertujuan untuk memupuk semangat persaudaraan antara insan. di samping itu, dapat juga menjalin ukhwah serta mencipta pengalaman.


Orientatiaon Commitee telah bertolak dari kolej pada malam 30 March pada jam 12.30 a.m. sebelum bertolak, kami berkumpul di hadapan bilik peers serta diberi peringatan tentang barang barang yang perlu dibawa. pengerusi (OC) saudara shazlan tahir mengulaskan serba sedikit tentang beberapa peraturan dan etika ketika melawat.

Selepas selesai penerangan, kami mula bertolak pada jam 1.00 pagi. walaupun mengantuk, perjuangan harus diteruskan. keazaman dan semangat dilipat rapi di dalam diri. perjalanan kami dari beranang ke perak mengambil masa lebih kurang 5 jam. setiap perjalanan kami lalui dengan penuh kesabaran. setelah hampir 5 jam perjalanan, Alhamdulillah, akhirnya kami selamat tiba di tempat yang dituju. kami tiba pada jam 5.5o pagi. kami memilih untuk menginap di Homestay yang bernama '' Homestay Maklong". Homestay tersebut terletak di daerah Tambun dimana daerah tersebut berdekatan dengan Hospital Bahagia yang akan kami kunjungi.


Demi melepaskan kepenatan, kami mengambil keputusan untuk tidur sebentar sebelum waktu subuh merangkak tiba pada jam 6 a.m. selepas menunaikan solat subuh, kami menyiapkan diri untuk ke Rumah Orang Tua Seri Kenangan di Ulu Kinta, Perak. Perjalanan kami ke rumah tersebut mengambil masa selama 30 minit. hospital tersebut mengandungi keluasan seluas 18 ekar. saiz hospital tersebut yang besar bukan sahaja memuatkan pesakit gila sahaja, bahkan memuatkan hostel, office, tam,an permainan, kedai-kedai, ladang, rumah warden dan kemudahan yang lain. rumah orang tua yang ingin kami kunjungi terletak di bahagian yang paling akhir. pendek kata, perjalanan kami menuju ke rumah orang tua tersebut agak jauh.

Setibanya kami tiba di rumah orang tua tersebut, kami dijemput oleh pegawai bertugas mereka. pegawai bertugas tersebut kemudiannya menjemput kami ke dalam untuk mendengar ucapan perasmian dan kata kata ''selamat datang'' oleh pengarah rumah orang tua ulu kinta. setelah itu, pengarah menjemput kami untuk memulakan program khidmat kami iaitu melayan serta beramah mesra dengan penghuni rumah tersebut. setiap OC dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu perempuan dan lelaki. yang perempuan akan melawat penghuni perempuan manakala lelaki pula sebaliknya. sepanjang kami beramah mesra, bermacam macam kisah yang kami dengar, rintihan mereka ibarat jarum yang menusuk hati kami, ada di antara mereka yang gembira dan ada pula di kalangan mereka yang kurang upaya. perasaan yang menaburi hati kami pada masa itu hanya Allah yang tahu bagaimana pilunya melihat keadaan mereka yang dhaif dan serba kekurangan.





Setelah hampir 1 jam setengah kami melakukan khidmat masyarakat. akhirnya sampailah sudah ke majlis penutup. majlis penutup di dahulukan oleh ucapan tuan pengarah orang tua seri kenangan dan dirasmikan oleh ketua pemuda B4. kata ketua pemuda itu, sebagai anak muda, program seperti inilah harus dianjurkan bagi membangkitkan semangat perjuangan jati diri. majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati dari saudara shazlan, pengarah Orientation Committee kepada pengarah rumah orang tua sri kenangan. tidak kurang itu, saudara shazlan juga menerima cenderahati daripada tuan pengarah rumah orang tua sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

Pilu hati kami semasa hendak berpisah dengan penghuni rumah tersebut, setiap sayup pandangan mereka menampakkan impak kedhaifan yang mampu mengalirkan air mata. walaubagaimanapun kami semua berasa gembira kerana dapat mencurahkan bakti kepada mereka walaupun hanya seketika.

Pada keesokan harinya, kami berkunjung pula ke ''Lost world of Tambun'' sebagai program riadah. Lost world of tambun ini terletak di daerah tambun yang mana lokasinya tidak jauh dari homestay kami. tempat ini dikunjungi bagi merehatkan diri akibat kepenatan dari segi mental dan fizikal. kami bertolak ke sana pada jam 10 pagi dan pulang pada jam 1.45 tengahari. walaupun semua berasa penat, tetap terdetik kegembiraan dan kepuasan di hati kami.


Dari Lost World Of Tambun, kami terus bergerak ke destinasi yang seterusnya iaitu Tanah Tinggi Cameron Highlands. lokasi tersebut juga termasuk dalam salah satu program riadah kami di samping dapat menimba pengalaman dan minda. perjalanan bas menaiki Tanah Tinggi cameron mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. di sana, kami berkunjung ke beberapa tempat yang menarik, iaitu ladang strawberry, bukan itu sahaja, kami juga berpeluang menikmati hidangan dessert berasaskan strawberry.

Setelah hampir 2 jam setengah kami berjalan di sana, kini tibalah waktu untuk kami bertolak pulang semula ke KPM beranang. kami bertolak pulang pada jam 7 malam dan tiba di kolej pada jam 1.45 pagi. perjalanan kami memakan masa lebih kurang 5 jam.

Setelah tiba di kolej, terserlah wajah wajah kami yang berada dalam kepenatan yang teramat. sungguhpun begitu, hati kami berasa gembira dengan perjalanan selama dua hari tersebut. ini kerana, program ini bukan sahaja dapat berbakti pada masyarakat, bahkan juga dapat membuka mata tentang aspek kehidupan serta luasnya pemandangan hidup ini. pengalaman yang ditimba sangat bernilai. bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. semoga program-program seperti ini dapat diadakan lagi bagi memupuk nilai mahmudah dalam diri. Insyaallah...

-SHAZWAN-









1 April 2012

Fatwa & Hukum Menyambut April Fool

Pada 1 April setiap tahun, sebahagian masyarakat menyambut hari tersebut dengan mengadakan perbuatan menipu atau gurauan untuk mengenakan orang lain. Mereka memanggil tarikh 1 April ini sebagai April Fool. Kita sedia maklum bahawa April Fool bukanlah budaya kita, tetapi ia merupakan budaya yang dibawa masuk dari Barat. Dan ISLAM juga sangat-sangat melarang ummatnya melakukan perbuatan menipu dengan sengaja, walau dalam bentuk apa sekalipun, samada dalam bentuk gurauan ataupun bukan.

Mari kita lihat beberapa pendapat `ulama muktabar berkaitan isu April Fool ini:

1) Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi:

Beliau menyebutkan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah.” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah sallAllahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu `alaihi wasallam bersabda:

“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda:

“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran.” [HR Ahmad dan At-Thabrani].

Sebahagian hadis Nabi sallallahu `alaihi wasallam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]

Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:

Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

2) Shaikh Atiyyah Saqr:

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.

Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. [Islamonline.net]

3) Shaikh Shalih Fauzan:

Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834, beliau menyatakan bahawa:

Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallAllahu `alaihi wassalam bersabda:

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.

Muslimin/muslimat sekalian,

Jika tanpa melihat fatwa dan pandangan ulama pun, kita sedia maklum bahawa amalan menipu melanggar etika seorang manusia yang bermoral. Tiada satu pun manusia yang normal fikirannya yang suka atau rela dia ditipu.

Apatah lagi ditambah lagi dengan komen-komen para ulama yang disertakan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang melarang kita menipu, maka ternyatalah bahawa tradisi April Fool ini wajar dihentikan dan ditinggalkan oleh mereka yang selalu menyambutnya, walau untuk tujuan bergurau! (Ketiga-tiga pendapat ulama di atas telah saya petik dari laman sebuah laman blog, terima kasih.)

Mudah-mudahan peringatan ini bisa membuka minda dan menyedarkan kita semua betapa ISLAM adalah agama yang sejahtera dan mensejahterakan. Larangan ini bagi menjaga hak setiap jiwa manusia agar tidak teraniaya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...