Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

22 Mei 2011

BLOG PERDIQMA MENGALAMI MASALAH TEKNIKAL

.
Untuk makluman pengunjung blog PERDIQMA KPMB, laman sesawang ini sedang mengalami sedikit masalah teknikal sejak beberapa hari yang lalu. Masalah yang berlaku telah menyebabkan beberapa item di dalam blog ini berubah dan hilang yang melibatkan paparan gambar, maklumat kandungan blog dan beberapa gadget seperti radio IKIM.fm, facebook gadget dan lain-lain. Walaubagaimanapun semua posting masih boleh di baca seperti biasa di blog ini. Team blogger kami sedang berusaha untuk membaik pulih laman ini kembali Insya Allah. Kami memohon maaf diatas segala kesulitan yang berlaku.


16 Mei 2011

Selamat Hari Guru Buat Seluruh Warga Pendidik KPMB.





(Dedikasi Sempena Hari Guru)

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979






14 Mei 2011

15 MEI 1948: MENGINSAFI TRAGEDI BERDARAH NAKBA


Muqaddimah
Hakikat kenyataan bahawa agenda dunia kini dikendalikan oleh media Barat, yang majoritinya memihak kepada Yahudi, Zionis dan Israel yang sentiasa menyembunyikan kebenaran peristiwa-peristiwa yang berlaku di mana-mana di dunia ini terutamanya di Palestin. Namun, beberapa kejadian yang berupa kezaliman dan kekejaman yang keterlaluan serta bersifat kebinatangan telah didokumentasikan oleh pertubuhan-pertubuh an antarabangsa dan Tragedi Deir Yassin yang berlaku 60 tahun yang lalu adalah satu daripada ratusan peristiwa yang menggambarkan sifat brutal penjajah Yahudi Zionis di bumi Palestin.

Lokasi
Deir Yassin dahulunya adalah sebuah perkampungan kecil orang-orang Palestin yang terletak di sebelah barat wilayah Baitul Maqdis.


Deir Yassin terletak kira-kira 1400 meter di utara Yad Vashem, sebuah tugu peringatan Holocaust yang paling terkenal di mana Yahudi Zionis telah mengajar dunia agar “Tidak Akan Lupa” terhadap Holocaust.

Latar Belakang Tragedi Deir Yassin
Tahun 1948 adalah tahun malang bagi rakyat Palestin apabila secara sistematik negara mereka terus dicabuli dengan penjajahan Yahudi Zionis. Rentetan duka Palestin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181′ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah Palestin pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.


Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.

Namun rakyat Palestin terus bangkit berjuang hampir bersendirian di kala penjajah Yahudi Zionis terus dibantu oleh British dan PBB secara langsung sehinggalah berlakunya penubuhan Negara Haram Israel pada tanggal 15hb Mei 1948.

Tragedi Deir Yassin
Pada malam 9hb April 1948, penduduk desa Deir Yassin dikejutkan dengan perintah yang keluar dari corong-corong pembesar suara supaya mereka mengosongkan kampung mereka. Sebelum mereka mengetahui dan memahami apa yang berlaku, mereka telah dibunuh terlebih dahulu oleh kumpulan pengganas Yahudi Zionis dari kumpulan Stern, Irgun dan Haganah.

Pegawai-pegawai daripada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa dan PBB yang datang ke tempat kejadian menyaksikan bagaimana rumah-rumah penduduk Deir Yassin telah dibakar, manakala yang cuba melarikan diri dari api yang menyala telah ditembak bertalu-talu. Dalam serangan ini, wanita-wanita yang hamil telah dirobek perutnya dengan pisau hidup-hidup. Selama dua hari peristiwa ini berlaku, 52 orang kanak-kanak telah disiksa lalu dibunuh di hadapan ibu mereka dan kepala-kepala mereka dipenggal selepas itu. Lebih daripada 60 orang wanita telah dibunuh dan anggota-anggota badan mereka telah dikerat-kerat.

Tidak puas dengan pembunuhan tersebut, pihak teroris Zionis ini telah mengumpulkan semua wanita dan remaja perempuan yang masih hidup di desa Deir Yassin, menanggalkan seluruh pakaian mereka lalu membaringkan mereka di atas kenderaan secara terbuka. Para teroris ini telah membawa mereka ke sekeliling kawasan perumahan yahudi di wilayah Baitul Maqdis di dalam keadaan tanpa seurat benang sebelum mereka semua dibunuh dengan muntahan peluru-peluru yang kejam.

Kata-kata saksi:
Diantara kata-kata saksi pelarian tragedi Deir Yassin yang sempat menyelamatkan diri termasuklah:

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,“Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.
Fahmy Zaidan, satu-satunya yang selamat daripada seluruh isi keluarganya dan berumur 12 tahun pada tragedi tersebut menceritakan mimpi ngerinya,“Pengganas Yahudi telah mengarahkan semua ahli keluargaku berdiri mengadap ke dinding. Mereka kemudiannya menembak semua ahli keluargaku satu persatu. Aku terselamat kerana aku sempat berlindung di kalangan ahli keluargaku yang dewasa. Mereka terus menembak sehinggakan sebutir peluru telah mengenai Qadriya, adik perempuanku yang berumur 4 tahun. Kemudian seorang demi seorang gugur termasuklah ayauku, ibuku, datuk dan nenekku, pak cik dan mak cik saudaraku serta anak-anak mereka”.


Jacques de Reynier, Ketua misi Pertubuhan Palang Merah ke Palestin pada 1948, yang melihat anggota-anggota mayat yang dipotong serta berselerakan berkata:

“Keadaan yang ada sungguh mengerikan. Saya juga melihat orang-orang muda lelaki dan perempuan yang memegang senapang dan bom tangan. Tangan-tangan mereka masih berlumuran dengan darah. Saya melihat seorang wanita Yahudi yang kelihatan sebagai seorang penjenayah yang sangat kejam. Dia memperlihatkan darah-darah yang menitis dari kedua-dua tangannya seraya mengangkatnya dengan bangga seolah-olah dia sedang memegang dua piala kejuaraan”.

Angka korban yang besar
Tiada siapa yang pasti jumlah penduduk desa Deir Yassin yang terkorban dalam tragedi ini. Ada laporan yang menyatakan bahawa jumlah yang terkorban adalah seramai 254 orang termasuk kanak-kanak dan wanita serta orang-orang tua. Menurut laporan PBB, hanya 40 orang daripada kira-kira 400 orang penduduk desa ini yang sempat menyelamatkan diri sedangkan yang lainnya telah disembelih dan dibunuh dengan kejam.

Siapakah arkitek kepada tragedi ini?
Harus diperjelaskan bahawa para teroris yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini bukanlah anggota organisasi ekstrimis Yahudi yang bertindak bersendirian bahkan mereka telah mendapat arahan terus daripada pemerintah Israel.

Kumpulan pengganas Haganah (yang kemudiannya mejadi batalion tentera Israel), telah mengebom desa Deir Yassin menggunakan mortar manakala kumpulan Irgun dan kumpulan Stern menyerang dari jarak dekat. Semasa kejadian ini, David Ben-Gurion yang merupakan Perdana Menteri Israel yang pertama telah menentukan polisi kumpulan Haganah; manakala Menachem Begin yang merupakan Perdana Menteri Israel yang ke 6, telah mengetuai Irgun dan Titzhak Shamir yang merupakan Perdana Menteri Israel yang ke 7, adalah bekas ketua pengganas kumpulan Stern.

Menachem Begin telah menggambarkan operasi yang tidak berperikemanusaan ini sebagai salah satu contoh resmi betapa kejam dan brutalnya regim Israel dengan kata-kata, “Tragedi ini tidak hanya dibenarkan, malahan tidak akan wujud Negara Israel ini tanpa ‘kemenangan’ di Deir Yassin”.

Kesan Deir Yassin
Rejim Yahudi Zionis telah menjadikan serangan seperti itu untuk menghukum dan menzalimi rakyat Palestin dan mengusir mereka dari bumi Palestin sehinggalah pendatang-pendatang haram Yahudi mempunyai tempat dan masa depan untuk hidup di Palestin. Israel Eldad, seorang pemimpin Zionis yang terkenal pernah berkata,”Jika tidak ada Deir Yassin, setengah juta orang Arab akan tetap tinggal di Negara Israel (pada tahun 1948). Dengan demikian, Negara Israel tidak akan pernah wujud”.

60 tahun selepas Deir Yassin
Kini telah 60 tahun berlalunya tragedi hitam Deir Yassin. Tragedi ini hanyalah satu daripada ratusan tentetan tragedi yang berlaku kepada rakyat Palestin. Negara Palestin yang dahulunya aman dan rakyatnya yang telah dinaungi keadilan terus dijajah oleh rejim Yahudi Zionis. Penangkapan, penyiksaan, penyembelihan dan pembunuhan terus berlaku tanpa mendapat perhatian yang selayaknya dari media antarabangsa. Konspirasi senyap lagi bisu di kalangan mereka juga telah menular di kalangan media Arab serta dunia Islam sekeliannya.
Sudah sampai masanya untuk kita mengambil berat isu dan permasalahan umat ini agar terbelalah maruah Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.

Persoalan yang timbul, adakah kita rakyat Malaysia akan bersimpati dan prihatin dengan isu terbesar umat Islam di abad ini. Apalah sangat sumbangan yang telah kita berikan jika dibandingkan dengan saudara kita di Palestin yang telah mengorbankan keringat dan keselesaan, jiwa dan kehidupan demi mempertahankan maruah umat di bumi mulia ini.

Janganlah kita biarkan peristiwa demi peristiwa yang berlaku ini sekadar menjadi lembaran sejarah tetapi marilah kita bersama melakari sejarah baru ketika umat amat menantikan fasa kebangkitan dan kegemilangan. Jangan tengok kiri atau kanan, jangan tanya orang lain tetapi tanya diri kita sendiri. Apa yang telah dan yang akan aku sumbangkan?
 
Semoga Palestin dan Al Aqsa terbela!

Dr Zainur Rashid Zainuddin,


26 April 2011

Ibrah Treasure of Iman: Berukhuwwah Hingga Ke Syurga


Mungkin artikel ini sekadar artikel ringkas. Tetapi ringkasnya artikel ini, pada saya tetap membawa sesuatu yang besar. Baru pulang dari menguruskan program “TREASURE OF IMAN” anjuran PERDIQMA sendiri, yang bertemakan ‘berukhuwwah hingga ke syurga’, saya mendapat sesuatu yang amat berharga.
Itulah dia, Ukhuwwah di atas keimanan itu satu motivasi jua.

Motivasi ke arah apa?

Ya. Pertamanya perlu dilihat semula, motivasi ke arah apa? Menuju ke mana?
Semestinya bukan menuju ke arah keduniaan semata-mata. Motivasi ini adalah ke arah akhirat, untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Bukan ke arah lain.

Bagaimana ukhuwwah atas keimanan itu memotivasikan?

Apabila kita mempunyai rasa cinta kepada seseorang itu, kerana Allah SWT, pastinya antara perkara yang kita tidak akan berusaha untuk lakukan kepadanya adalah – menyusahkannya. Juga, apabila kita mempunyai rasa cinta kepada seseorang itu, kerana Allah SWT, pastinya antara perkara yang kita mati-matian usahakan kepadanya adalah – menjadi seorang yang mampu membantunya.

Maka di sini kita lihat, apabila kita mencintai seseorang itu kerana Allah SWT, akan wujud satu ‘force’ untuk menjadi seorang hamba Allah SWT yang baik. Kita akan lebih berusaha untuk menjaga diri. Kita akan berusaha mempertingkatkan diri, ketahanan ruhi, dan juga kematangan mental kita. Sekaligus, kita berusaha juga menjauhkan diri dari perkara-perkara yang Allah larang, yang akan menjemput kemurkaan Allah SWT dan yang akan merendahkan darjat kita sebagai hamba Allah SWT.

Jadi, akan timbul satu persoalan.

Mengapa apabila kita cintakan seseorang itu kerana Allah SWT, kita seakan ada ‘force’ untuk bergerak sedemikian rupa?

Kerana kita cintakan dia. ^.^

Hal ini kerana, kita cintakan dia kerana Allah SWT. Kita nak, kita dan dia mampu berpimpinan tangan ke syurga sana.

Maka, sekiranya kita cintakan dia kerana Allah SWT, kita perlulah menjadi ‘peringan beban’ kepada sahabat kita. Sebab itu, kita berusaha untuk tidak menyusahkannya dengan mencampakkan diri kita ke neraka. Sebab, sekiranya kita merosakkan diri kita, membiarkan diri kita dicengkam jahiliyyah, kita sudah ‘menyukarkan’ sahabat kita dengan membuatkan dia ‘perlu meluang masa dan tenaga’ untuk ‘menyelamat’kan kita. Tidakkah kita melihat?

Dan, sekiranya kita cintakan dia kerana Allah SWT, kita juga perlulah menjadi seorang yang ‘kuat’ kepada sahabat kita. Agar, sekiranya ditakdirkan Allah jatuhkan sahabat kita, yakni dia tersasar dari jalan yang membawanya ke syurga, kita ‘mampu’ menyelamatkan dia. Kita ‘mempunyai’ kekuatan untuk menyelamatkan dia. Kita ‘boleh’ mempertahankan dia. Bukan sekadar mampu memandang, tengok, dan kata belakang semata-mata. Jadi, kekuatan untuk melakukan kerja-kerja menyelamtkan sahabat yang gugur ini, hanya mampu dilakukan oleh seorang sahabat yang punya kekuatan sahaja. Sebab itu, sekiranya kita sahabat yang baik, kita akan siapkan diri kita sungguh-sungguh untuk menghadapi kemungkinan tersebut.
Tidakkah kita melihat?

Indah bukan ukhuwwahfillah ini?

Indah. Bukanlah ukhuwwah itu sebenarnya ditunjukkan dalam bentuk “Si A berikan Si B sesuatu”. Tetapi ukhuwwah juga sebenarnya tertonjol dalam bentuk “Si A jaga dirinya betul-betul” walaupun situasi itu nampak macam situasi persendirian. Namun hakikatnya, ia adalah satu hubungan dua hala.
Indah. Amat indah. Itulah dia ukhuwwahfillah.

Moga, sedikit motivasi ini, membuatkan kita semakin berlumba-lumba untuk menjadi seorang pengejar akhirat, hamba Allah SWT yang terhebat insyaAllah. Tidak menyusahkan sahabat kita, pada masa yang sama, menjadi seorang yang kuat untuk mempertahankannya.

Semoga hal ini, mampu kita bumikan dalam kehidupan kita.

Mohd Asyraff Bin Aziz
Exco Pembangunan Insan & Kerohanian
Majlis Perwakilan Pelajar KPMB


Treasure of Iman Siri II


Pada  tarikh 16 April  2011, PERDIQMA telah menganjurkan sebuah progra yang treasure hunt di KPMB. Program ini betujuan bagi memupuk semangat kerjasama antara kumpulan dari segi fizikal dan mental serta membina ilmu yang baru dalam diri para remaja di KPMB. Program ini telah diberi nama “treasure of iman” yang bermaksud, khazanah keimanan dan kata lain adalah pencarian iman.

Program ini disertai oleh 4 kumpulan iaitu, 3 kumpulan lelaki dan 1 kumpulan perempuan. Peserta diminta berkumpul pada jam 8 pagi bagi sarapan dan aktiviti berlangsung pada jam 9 pagi. Peserta berkumpul dihadapan surau bagi aktiviti senaman ringan sebelum memulakan permainan. Selepas aktiviti memanaskan badan dijalankan, sarapan disediakan oleh pihak urusetia. Setelah para peserta bersarapan, sedikit taklimat dari ketua urusetia tentang perjalanan sepanjang aktiviti tersebut. Permainan bermula pada jam 9.20 pagi kerana pagi tersebut Allah memberi rahmat hujan. Setelah urusetia membenarkan permainan bermula, keempat2 kumpulan berjalan menuju tempat yang dinyatakan.

Pelbagai aktiviti menarik sepanjang program tersebut antaranya aktiviti menggunakan telur. Telur akan dibalut dengan menggunakan surat khabar dan akan di jatuhkan dari tingkat atas di pejabat felo. Kesemua kumpulan sedaya upaya melakukan namun mereka tidak berjaya melakukannya tetapi semangat berkumpulan dalam membentuk pelbagai idea adalah yang paling diutamakan. Selain dari itu, mereka juga diminta untuk mengisi air kedalam botol menggunakan mangkuk bertali. Peserta tidak dibenarkan memegang mangkuk tersebut untuk mengisi air ke dalam botol tetapi hanya dibenarkan menggunakan tali yang diikat pada mangkuk tersebut. Mereka telah melakukan dengan baik tetapi tidak berjaya kerana air yang dituang tidak mencukupi. Seterusnya, mereka juga diminta menjawab berberapa soalan. Soalan  yang dijawab kebanyakannya tepat. Hal ini mungkin kerana mereka berpengetahuan luas. 

Aktiviti selesai pada jam 1 petang. Peseta kelihatan penat pada waktu ini. Majlis penutup dan penyampaian hadiah dijalankan pada waktu sebelum  zohor. Pada waktu ini peserta kelihatan berdebar menantikan saat dimana pemenang akan diumumkan. Setelah diumumkan, peserta kelihatan gembira dan diteruskan dengan solat zohor. Setelah selesai solat zohor, sesi mengambil gambar diadakan bagi kenang-kenangan dalanm program ini. Terima kasih diucapkan  kepada peserta kerana memeriahkan program ini. Ucapan ini juga di tujukan kepada semua urusetia dan peserta program ini dan di akhiri dengan ucapan Assalamualaikum warah matullah hi wabarakatuh.

Oleh: Nurdin Haikal Bin Ab Lathif


23 April 2011

MINGGU KESENIAN ISLAM


 Pada 13 April hingga 16 April 2011,satu program yang  bertemakan islamik iaitu “Minggu Kesenian Islam ” telah didakan di KPMB. Program ini telah diadakan khusus buat pelajar  Kolej Professional Mara Beranang dan telah dianjurkan oleh  PERDIQMA KPMB. Minggu kesenian Islam yang berjalan selama seminggu ini di isi dengan beberapa aktiviti menarik dan sangat berfaedah untuk pelajar KPMB. Antara aktiviti yang telah diadakan ialah seperti  pertandingan Video Pendek, Nasyid, Syarahan, Poster, Hafazan, Azan dan Treasure Of Iman. Dengan pertandingan yang diadakan ini diharap dapat mencungkil dan mangasah bakat para siswa dan siswi dari segi pengetahuan Islam. Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar siswa dan siswi.

Di samping itu juga, minggu kesenian Islam ini juga diselitkan satu pengisian yang sangat menarik dan berguna iaitu ceramah “ Bersamamu Palestin”. Ceramah yang diadakan pada hari khamis malam jumaat bertempat di surau An-Nur ini telah disampaikan oleh Dr Syed Muhamad Halim Bin Syed Hassan iaitu salah seorang sukarelawan dari floatila Mavi Marmara. Beliau serba sedikit berkongsi pengalaman beliau ketika peristiwa Kapal Mavi Marmara yang diserang hendap oleh komando laknatullah Israel. Perkongsian yang diberikan diharap serba sedikit dapat memberi kita kesedaran, pengetahuan dan keinsafan tentang situasi sebenar saudara kita di Palestin, Gaza dan tempat-tempat lain yang sedang ditindas oleh musuh-musuh Islam. Selain itu, ceramah ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan dan tanggungjawab sebagai seorang khalifah yang peka dan mengambil tahu tentang permasalahan umat Islam di masa sekarang.

Selain itu juga, ceramah ini bertujuan untuk memberi maklumat tentang keadaan yang sedang berlaku dan langkah yang perlu diambil oleh umat Islam,terutamanya golongan remaja Muslim. Melalui cara ini para pelajar dapat memperbaiki diri dan ilmu pengetahuan yang sedia ada.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk para pelajar mendalami cara hidup Islam yang sebenar dan dapat disematkan dalam jiwa setiap umat Islam. Program ini juga dapat menanamkan unsur-unsur Islamik dalam jiwa remaja kini yang boleh membawa perubahan untuk mengatasi permasalahan sosial pelajar.

Setelah seminggu berlalu, majlis penutup Minggu Kesenian Islam telah diadakan pada malam hari terakhir program. Para pelajar dan pensyarah dijemput hadir bagi memeriahkan majlis penutup. Pada awal majlis penutup jemputan dihidangkan dengan sedikit tayangan ilmiah. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan  oleh Ustaz Madzan Bin Md Yausuf, Timbalam Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan seterusnya beliau merasmikan majlis penutup Program Minggu Kesenian Islam 2011. Pada malam penutup itu juga diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menyertai pertandingan yang telah diadakan sepanjang program. Bagi memeriahkan lagi majlis, kumpulan nasyid KPMB “Tilmiz Voice” telah dijemput hadir  untuk membuat persembahan sebagai halwa telinga jemputan.

Oleh itu, ribuan terima kasih kepada semua ajk terlibat dan siswa siswi yang sudi menyokong dan menyertai Minggu Kesenian Islam. Diharapkan program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa di masa akan datang dan taniah kepada para pemenang..Jumpa lagi pada Minggu Kesenian Islam yang akan datang, InyaAllah..
                  
Oleh: NOOR SYAHIRAH HUSNA BT MD NASIR


18 April 2011

Program Asas Kepimpinan Islam 2011 (PAKI 2011)

Pertama kalinya, pada 9 April 2011 satu program kerjasama antara PERMUDA (Persatuan Dai'e Muda)dari KKTM dan PERDIQMA dari KPMB telah diadakan bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM). Program kerjasama Asas kepimpinan Islam Permuda dan Perdiqma ini lebih berkonsepkan perkongsian tentang asas- asas yang perlu ada pada seseorang pemimpin Islam. Objektif program ini adalah untuk menyediakan generasi pelapis pemimpin gerakan dakwah yang mantap dan konsisten dalam perjuangan Islam.  Program ini juga bermottokan ‘Berakhlak, Berbudi & Istiqamah’.


 Para peserta sedang mendengar slot yang sedang disampaikan oleh fasilitator

Kursus ini melibatkan 10 orang fasilitator dari PERDIQMA, 8 orang peserta dari KPMB, dan 30 orang peserta dari Permuda KKTM. Program yang bermula pada jam 8 pagi didahului dengan pendaftaran peserta dan diisi dengan beberapa slot perkongsian yang sangat menarik. Antaranya slot pertama yang berkongsi dan merungkai persoalan tentang “Mengapa Perlu Gerakan Dakwah Bergerak Secara Berjemaah/Organisasi? Slot kedua pula perkongsian tentang Sifat Pemimpin: Seharusnya Bagaimana? Selain itu, modul 1 yang membincangkan tentang Interpersonal Skills: “Makarons With Musfirah Asri”. Modul ini membincangkan bagaimana untuk kita menjadi seorang pemimpin yang berani untuk tampil kehadapan dan bersuara. Modul kedua pula mengeketengahkan bagaimana “Persediaan Asas Menjadi seorang pendakwah.


Peserta muslimin sedang membuat presentation tugas yang diberikan 
Peserta muslimat sedang membuat presentation tugas yang diberikan


Kemuncak program ini adalah modul LDK (Latihan dalam kumpulan) yang diberi nama “All Out”. Untuk modul ini setiap kumpulan diberi satu tugasan untuk membuat satu program dan membina satu ‘story board’ untuk menceritakan bagaimana penghasilan sesuatu kertas kerja sebelum membuat sesuatu program. Selepas itu peserta ditugaskan untuk membentangkan ‘story board’ yang telah dibina. Sememangnya semua peserta mempunyai bakat terpendam dan sangat kreatif ketika melakukan tugas ini. Program yang berakhir jam 6.30 petang ini diakhiri dengan penyerahan cenderahti kepada para peserta.



Pengerusi PERMUDA sedang menyampaikan cenderahati kepada Aizudin Jamalan selaku pengerusi PERDIQMA


Semoga dengan adanya program seperti ini dapat menyuntik semangat baru untuk meneruskan organisasi dakwah supaya lebih berkembang dan bertahan. Kerana sudah lumrah dunia yang dihiasi dengan pelbagai dugaan yang tidak akan pernah berhenti menduga. Allah telah berfirman:



“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu”(Muhammad : 7)

Para peserta dan fasilitator muslimin
 Para peserta dan fasilitator muslimat


Jadi janganlah kita berhenti untuk berjuang kerana agama Allah….


Sekalung budi dan ribuan terima kasih diucapkan kepada PERMUDA dan pengarah program, En. Muhammad Asyraf Bin Hassan @ Zulkifli serta ajk yang lain yang terlibat: Zulhafiz Bin Buyong, Ahmad Sufian Bin Sokhaimi, Nurul Afiqah Bte Ishak, Nur Najwa bt Abdullah Hafiz serta semua yang terlibat bagi menjalankan prgram ini.


13 April 2011

Ceramah: Bersamamu Palestin



Marilah bersama-sama kita memahami:

1. Apakan sebenarnya tanggungjawab kita terhadap permasalahan Palestin?
2. Perlukah kita membantu mereka?
3. Bagaimana untuk kita membantu mereka?

Marilah kita mencari jawapan kepada persoalan ini dengan memulakan langkah pertama untuk menghadiri program ini. Semoga Allah bersama kita.

                                     "Berjuang untuk Palestin"


Klik sini untuk maklumat lanjut 
Menyedari kepentingan pengisian kesedaran dan pemahaman tentang isu umat Islam yang ditindas di Palestin, PERDIQMA menjemput Haluan Palestin, untuk memberi ceramah agar dapat memberikan kesedaran tentang tanggungjawab umat Islam terutamanya golongan remaja dalam membantu dan mengambil berat terhadap permasalahan yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia pada hara ini.


Objektif Program:

OBJEKTIF

1.Memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan menyedari tanggungjawab mengambil peduli permasalahan umat Islam di Palestin.
2.Memberi maklumat keadaan yang sedang berlaku dan apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam kini terutamanya golongan remaja Muslim.
3.Dapat mengambil iktibar kepada para pelajar agar dapat memperbaiki diri.
 


5 April 2011

Pertandingan Sempena Minggu Kesenian Islam KPMB

..

Klik "sini" untuk melihat syarat penyertaan


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...