www.perdiqmakpmb.blogspot.com
Muhamad Syaari bin Ab. Rahman
29 Mei 2010, genaplah 557 tahun  kemenangan Islam di kubu pertahanan terkebal dunia, Konstantinopel di  Turki. 29 Mei setiap tahun seharusnya dijadikan bukan sekadar hari  memperingati kejayaan Sultan Al-Ghazi Muhammad bin Murad membuka  Konstantinopel sehingga menebalkan lagi sindrom ‘hero worshipping’ umat  Islam, tetapi lebih penting dari itu ia adalah hari untuk gerakan  mahasiswa Islam melakukan muhasabah ke atas soal pemerkasaan organisasi  khususnya dalam aspek produktiviti (pencapaian visi) dan kompetensi  ahli-ahlinya. Juga sejauhmana agenda ‘sharpen the saw’ organisasi dengan  peneluran idea-idea segar dan ‘out of the box’ diraikan mahupun  dilaksanakan dengan tujuan agar gerakan anak muda Islam terus  berpengaruh di kampus. (Klik more untuk baca selanjutnya)
Kemenangan menjejakkan keadilan Islam  di Haghia Sofia oleh Muhammad Al-Fateh perlu dianalisa dengan pembacaan  yang lebih meluas sumbernya dan analisa yang lebih tersirat sifatnya  dari fakta yang tersurat, jika benar mahu membongkar hikmah dan mukjizat  hadis pujian Nabi kepada baginda dan pasukan baginda. Proses  pengepungan yang memakan masa hampir 2 bulan hakikatnya suatu proses  yang sangat sukar, mustahil  dan hampir-hampir sejarah sedang bersedia  saat itu untuk menguburkan sebagai percubaan ke 12 tentera Islam yang  gagal selepas 800 tahun Nabi mensabdakannya.
Misi menyebarkan keadilan  kerajaan Islam Usmaniah di Konstantinopel bukan sahaja dihalang oleh  kesombongan Maharaja Constantine XI dan 40,000 orang komando Byzantine,  tetapi juga oleh dua benteng kebal yang mencapai ketebalan 10-15 meter,  parit besar sedalam 10 meter, 3 perairan laut, 7 anak bukit dan 400  matarantai gergasi memagari Tanduk Emas dari dijejaki kapal-kapal  Usmaniah. 
Peristiwa penawanan  Konstantinopel oleh sepasukan manusia biasa berajakan seorang yang tidak  pun berketurunan Nabi dan bukan pula berbangsa Arab, ditambah pula  dengan usia remaja yang mungkin terlalu sangat mentah bagi kebanyakan  orang, hakikatnya menyerlahkan kombinasi ampuh persiapan ilmu dan  teknologi (IQ), persiapan moral dan emosional tentera (EQ) dan persiapan  kerohanian (SQ) terbaik pernah ditonjolkan oleh tentera Islam yang  tidak berada dalam lingkaran 300 kurun yang terbaik.  
Misi mengibarkan panji Islam di  atas tembok Konstantinopel pada 1453 Masihi tersebut ternyata tidak  memadai dengan semata doa munajat dan keimanan yang kental pada hadis  penawanan Konstantinopel andaikata tiada teknologi membabitkan 4 meriam  gergasi Urban dan serangan mortar – pertama kali dalam sejarah - untuk  memecahkan benteng kebanggaan empayar Byzantine. 
Keseimbangan pendidikan ilmu  ‘intelectual sciences’ dan ‘spiritual sciences’ sebagaimana direkodkan  Taskopruluzade Ahmed, penguasaan 7 bahasa kawan dan lawan Usmaniah,  pemilihan bulan dan tahun kempen pengepungan pada masa paling meresahkan  moral pemerintah dan kepercayaan rakyat Byzantine, penggunakan  teknologi (meriam gergasi) dan kepakaran musuh tradisi Usmaniah sendiri  iaitu Hungary, hakikatnya belum memadai juga tanpa didikan kerohanian  yang ketat ke atas Sultan Muhammad sehingga baginda tidak pernah  meninggalkan tahajjud sejak dari aqil baligh.  Manakala idea ‘brilliant’  sebagaimana diakui oleh sejarawan dunia seperti Runciman, Babinger dan  Schumberger iaitu pemindahan 70 buah kapal dari semenanjung Fera di  Bhosporus ke Golden Horn melalui jalan bukit sejauh 5 kilometer - dalam  masa hanya satu malam tanpa disedari musuh - takkan mampu dilakukan  tanpa ketinggian emosi Zugnush Basha  ketika mempertahan keputusan  meneruskan serangan dan semangat kental 200,000 orang tentera di fasa  akhir serangan. 
Syekh Dr Ali Muhammad  As-Shollabi dalam bukunya “Ad-Daulah Al-Uthmaniyyah : ‘Awâmil al-Nuhoodh  wa Asbâb al-Suqooth” merakamkan peristiwa tersebut denga  menyebut: “Keadaan  tanah ketika itu tidaklah mudah untuk dilayarkan kapal, tetapi  perencanaan itu mesti tetap diteruskan segera. Lantas tentera Usmaniah  meratakan tanah dalam hanya beberapa jam, dan dibawakan  lembaran-lembaran kayu yang telah disapu dengan minyak dan lemak, dan  kemudian disediakan sebuah laluan jalan yang besar untuk memudahkan  pergerakan kapal-kapal, dan sesungguhnya peristiwa ini benar-benar  luarbiasa andaikata diambilkira keadaan zaman itu dengan teknologi yang  telah digunakan jauh mendahului zaman, ini jelas menunjukkan kepantasan  berfikir Sultan Muhammad dan kepantasan pelaksanaan tenteranya.” 
Muhammad juga sudah hampir pasti  mengarahkan tentera pulang andaikata beliau tidak mahu bertemu lantas  meminggirkan naqib utama beliau Syekh Aq Syamsuddin Al-Wali ketika  tertekan dengan kegagalan Sulaiman Palta Oglu Basha merempuh rantai besi  di Tanduk Emas.
Muhammad dilahirkan ke dunia  sebagai seorang anak yang sangat nakal dan pemuda diraja yang panas  baran serta gopoh membuat keputusan. Namun demikian, sebagaimana diakui  sejarawan Turki, Halil Inalchik, kuasa tarbiyah (“medresse”) dan usrah  dengan para ulama terbaik Usmaniah sejak dari kecil sehinggalah menjadi  ahli politik Usmaniah paling sibuk sekalipun, itulah yang telah merobah  beliau menjadi pemimpin agung Islam yang telah melorongkan jalan kepada  Sulaiman Al-Qanuni dan pemimpin terkemudian Usmaniah memerintah dua  pertiga dunia suatu ketika dahulu. Sarjana Usmaniah dan bekas pensyarah  UIAM, Profesor Mehmet Maksudoglu dalam bukunya “Osmanli History 1289 –  1922” pernah merakamkan keadilan pemerintahan Usmaniah sejak dari zaman  Muhammad Al-Fateh melalui kenyataan dua bekas pendeta Kristian Ortodoks  pada masa itu iaitu Granduke Notaras dan Gennadios. Mereka pernah  menyebut pada 1453 Masihi itu bahawa “Kami lebih rela melihat  serban-serban Turki daripada topi-topi paderi Latin dari Eropah di kota  ini”. 
Demikianlah kombinasi persediaan  syariatullah dan sunnatullah, jawapan terbaik sejarah yang gagal dibaca  oleh mereka yang tidak berminat untuk menjadikan sejarah sebagai  pedoman menuju kejayaan organisasi di masa depan dan kemenangan Islam  sekaligus. Profesor Ilber Ortayli dalam “Discovering The Ottoman” pernah  menyebut: “Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and  Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengetahui betapa dahsyatnya  ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik  Sultan Muhammad untuk membuka Balkan. Sesungguhnya penaklukan Balkan  antara 1461 dan 1463, penaklukan Balkan dilakukan dengan cara yang sama  dengan cara menawan Konstantinopel!”
Sesungguhnya kisah-kisah sejarah  di atas akan terus menjadi subjek yang membosankan mahasiswa atau  fakta-fakta yang akan terus memberatkan minda aktivis mahasiswa Islam  andaikata gesaan 'ulil albab' (ketajaman fikiran) surah Yusuf ayat 111  tidak dipedulikan. Ibnu Khaldun sudah lama mengingatkan kita bahawa  sejarah memang akan berulang, beruntunglah mereka yang meneladani  sunnatullah yang baik serta binasalah mereka yang memilih untuk  mengulangi sunnahtullah yang hitam. 
Penulis terkenal Inggeris, Aldous Leonard Huxley pernah menyebutkan bahawa: “That men do not learn very much from the lessons of history is the most important of all the lessons that history has to teach. Experience is not what happens to you. It is what you do with what happens to you.”
Artikel asal:rijal82.blogspot.com
Oleh: Muhamad Syaari bin Ab. Rahman
          Mantan Setiausaha GAMIS 
        *penulis kini bekerja sebagai Motivator  di I.P Minda Training & Consultancy
 

 
 0 Comments
0 Comments





 
 
 
