Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

23 Jun 2012

Countdown To Ramadhan


Assalamu'alaikum kepada semua pembaca setia blog perdiqma. Diharapkan anda semua sentiasa sihat sejahtera. Sentiasalah kita bersyukur atas nikmat hidup, islam dan iman masih dikecapi. Didoakan agar kita semua sentiasa berada dalam keredhaan-Nya.Walaupun tajuk posting kali ini berbahasa Inggeris, tetapi artikel ini ditulis tetap didalam bahasa kebangsaan. Alhamdulillah, tanpa kita sedari kurang dari sebulan dari sekarang kita akan menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh dengan keberkatan. Sememangnya seluruh umat Islam di seluruh dunia menantikan kedatangan Syaidul Syuhur.

Rasulullah SAW ketika menyambut ketibaan Ramadhan ada bersabda yang bermaksud:"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, selamat datang Ramadhan...." 
(Riwayat Baihaqi)

Kalimah itu begitu popular di kalangan masyarakat arab yang menggambarkan pernyataan gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan.Umpama seorang kekasih yang telah lama tidak menemui pasangannya, maka apabila ia bertemu buat kesekian kalinya, maka ia sudah tentu akan menuturkan dan meluahkan kata-kata indah yang menggambarkan kecintaan dan kegembiraannya . Itulah gambaran luahan kalimah di atas bagi umat Islam yang diangkat sebagai umat istimewa. Kita hendaklah sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diberi kesempatan untuk menemui lagi Ramadhan pada kali ini serta terus mengharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun-tahun yang mendatang. Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud:

"Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun".



Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan kelapan dalam taqwim Islam. Bulan yang penuh kemuliaan dan banyak kelebihan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah di bulan ini seperti ibadah puasa sunat. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmah puasa yang dilakukan dalam bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:

”Bulan Syaaban yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa”

Disinilah sepatutnya proses madrasah Ramadhan bermula. Kita perlulah bersiap sedia menghadapi tarbiyyah Ramadhan agar kita tidak menjadi golongan yang rugi selepas Ramadhan berlalu. Namun, anehnya wahai manusia, belum bermula Ramadhan sudah berkira-kira untuk membuat persediaan menyambut Syawal. Langsir sudah ditempah, rumah mungkin sudah dicat baru, perabot diganti baru. Tidak ketinggalan mereka yang sudah berkira-kira menerima tempahan kuih raya. Media elektronik pula sibuk dengan persediaan drama syawal, dan rakaman lagu sempena hari raya.  Alangkah bertuahnya sekiranya  persiapan yang sebegini rapi kita  lakukan sempena menyambut ketibaan Ramadhan yang dinanti-nantikan.

Banyak amalan yang boleh kita lakukan sebagai persediaan kita menghadapi Ramadhan yang bakal mendatang.

Puasa sunat

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

”Saidina Aisyah pernah berkata:Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban”  (hadis riwayat Bukhari)

Hikmah perbuatan rasulullah yang memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban boleh dikiaskan kepada kita sebagai  suatu bentuk sesi  latihan untuk menghadapi sebulan berpuasa. Melazimi perut dengan berlapar akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi Ramadhan agar tidak berlaku kejutan kepada sistem pemerosesan makanan dalam organ badan kita. Bayangkan dengan amalan puasa sunat yang jarang-jarang atau tidak pernah  kita lakukan, secara tiba-tiba kita terus berpuasa selama sebulan mungkin memberi kesan tahap kesempurnaan ibadah dan juga kesihatan tubuh badan.   

Ibn Rajab di dalam kitabnya Latoif al-Ma’a rif menyebut: Sesungguhnya puasa bulan Syaaban merupakan latihan sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan ,agar apabila telah masuk Ramadhan seseorang itu tidak merasa beban dan kesukaran. Selain daripada itu ia akan menjadikan orang yang berpuasa pada bulan Syaaban dapat merasai nikmat dan kelazatan berpuasa seterusnya apabila masuknya Ramadhan berpuasa dalam keadaan kuat dan cergas.

Mengqada' puasa wajib

Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqada  kepada setiap mukallaf. yang diberi keharusan berbuka seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan sebagainya. Saidatina Aisyah pernah memberi keterangan kepada Muazah al Adawiah yang bermaksud:

”Maka kita diperintahkan mengqada puasa (kerana kedatangan haid) tidak disuruh mengqada sembahyang yang tertinggal(semasa kedatangan haid)”     
(Hadis riwayat Muslim)

Perbuatan melengah-lengahkan qada tanpa uzur hingga datang Ramadhan berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya qada dan membayar fidyah.Malah fidyah itu akan berganda setiap tahun apabila masih gagal mengqada puasa tersebut. Perlu diingat, puasa qada tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang. Malah fidyahnya akan terus berganda selagi ia belum melunaskan puasa tersebut. Alangkah meriahnya di meja makan ketika berbuka, isteri berbuka kerana puasa qadanya, manakala suami dan anak-anak berbuka kerana puasa sunat. Suasana Ramadhan telah dijelmakan di bulan Syaaban.

Memperbanyakkan amalan sunat, doa, zikir dan membaca selawat atas Nabi  

Amalan seperti berdoa, berzikir dan berselawat akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit”                     (dipetik dari kitab Zubdatul Maizin)

Amalan sunat lain seperti berqiamullail pada sepertiga malam juga boleh diamalkan. Amalan ini melatih kita agar mudah kita bangkit di malam hari terutama untuk mengecapi malam yang lebih baik dari seribu bulan; Lailatul Qadar.

Memperbayakkan membaca Al-Quran

Antara amalan yang boleh dimulakan seawal mungkin ialah  membaca al-Quran. Anas bin Malik sahabat Baginda SAW berkata: Apabila masuk bulan Syaaban, Umat Islam pada ketika itu menumpukan sepenuh perhatian membaca al-Quran. Berkata seorang ahli Salaf: Bulan Syaaban adalah bulan pembaca-pembaca al-Quran, Sesiapa yang istiqamah dan dapat memelihara amalan membaca al-Quran sebelum Ramadhan nescaya dia dapat memeliharanya sehingga bulan Ramadhan.

Pernah diceritakan, seorang muslim yang sudah lama meninggalkan bacaan al-Quran merasa terlalu berat dan malas untuk membaca walaupun baru membaca beberapa potong ayat.. Maka dia dinasihatkan agar terus-menerus membaca al-Quran. Apabila dia telah membaca sekitar 2/3 al-Quran, perasaan malas dan berat itu hilang sebaliknya dia semakin minat untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Keadaan inilah yang biasa berlaku kepada mereka yang jarang dan lalai membacanya. Oleh yang demikian memperbanyakkan  membaca al-Quran di bulan Syaaban mampu menjernihkan hati sehingga hati dipenuhi dengan cahaya dan memudahkan jiwa untuk tunduk melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.

Persediaan ilmu agama.

Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan  mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa.  Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa. 

Adakah kita mahu menjadi umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:

"Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa".
(Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)

Menjaga kesihatan

Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya. Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.

Memperbanyakkan bersedekah

Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:

“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” 
(HR. Bukhari)

Mereka yang jarang-jarang  bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur. Bagi mendapat kelebihan  bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah  pada bulan-bulan  lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan  dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.

Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.

Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan  sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Bola Sepak Euro. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut  kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.

Menjaga tingkah laku

Pada bulan Ramadhan nanti, kita diseru untuk berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga malah menjaga seluruh pancaindera insan juga berpuasa. Oleh itu hendaklah bermula sekarang dijaga, dididik dan dikawal seperti menyempurnakan aurat, menjaga pandangan dan mengelak dari mengumpat dan berkata yang sia-sia. Demi untuk mencapai keberkesanan yang terbaik daripada amalan puasa maka umat Islam hendaklah melakukan segala perkara mahmudah dan menjauhi segala perkara mazmumah, zahir mahupun batin. InsyaAllah dengan berbuat demikian kita akan dapat menghasilkan kesan puasa yang terbaik. Malahan ianya akan menjadi bekalan di sepanjang kehidupan ke arah mendapat redha Allah S.W.T

Setiap Muslim hendaklah bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual untuk menjadikan ramadhan sebagai medan yang mampu mendidik jiwa ke arah memperkukuh jati diri sebagai Muslim sejati. Muslim Mukmin, sama ada lelaki mahupun wanita, muda ataupun tua, yang cergas atau lemah selagi tertakluk kepada tuntutan syarak, serta melalui proses tarbiyyah ramadhan dengan ikhlas, bakal menjadikannya insan berkualiti kental yang mampu memahami, merasai serta merealisasi nilai-nilai kemanusiaan yang merentas wilayah dan kelompok kemanusiaan. 




Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan banyak memohon taufik, hidayah, berdoa dan bertaubat agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi untuk kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itu mereka yang berjaya melalui tarbiyyah di madrasah ramadhan serta memiliki jiwa mujahadah yang mantap akan menjadi seorang Muslim yang soleh, bersih dan berkualiti. Rebutlah ganjaran Allah S.W.T sebagaimana maksud hadis qudsi;

"Allah S.W.T berfirman pada setiap malam Ramadhan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya, dan Allah akan membebaskan pada setiap malam ramadhan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang telah ditentukan mendapat azab". 
(Riwayat Al-Muwatta')  

Pada kesempatan ramadhan yang bakal tiba, marilah kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai amal dan usaha kebajikan secara serius sehingga mampu mempertingkat tahap mujahadah. Jadikanlah mujahadah sebagai sebahagian daripada cara hidup kaum Muslimin. Hanya dengan itu kita akan dapat menjadi Muslim, Mukmin yang Muttaqi. Janganlah kita membazir serta mensia-siakan waktu serta kesempatan supaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari.



16 Jun 2012

Mukjizat Israk dan Mikraj


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah. Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.


Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin manakala Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
3. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),


Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wa La Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SubhanAllah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha IllAllah Allahu Akbar dan Wa La Haula Wa La Quwwata Illa Billahil- 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.


Sumber: www.iluvislam.com


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...