Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

Memaparkan catatan dengan label Edisi Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Edisi Ramadhan. Papar semua catatan

13 Jun 2016

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA






Assalamualaikum, Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat islam. Semoga Ramadhan yang dikurniakan sekali lagi buat kita oleh Allah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perbaiki amalan sebagai bekalan di kemudian hari. Tahun ini agak berbeza untuk PERDIQMA mahupun KPMB sendiri kerana akan menjalani ibadah puasa di kampung halaman masing - masing memandangkan KPMB sedang bercuti dan akan kembali selepas AidilFitri. InsyaAllah kita akan merindui aktiviti yang saban tahun diadakan semasa Ramadhan.

Sempena Ramadhan yang masih baru membuka tirai (padahal dah seminggu), insyaAllah nak share sikit apa yang telah dipesan oleh Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut :-
• Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah S.W.T.
• Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
• Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah S.W.T telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud :-
"Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." (Surah Al-Maidah:42)
• Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
• Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah S.W.T daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Moga - moga sedikit perkongsian ini dapat memberikan kita panduan dalam mendapatkan kesempurnaan ibadah puasa. Ramadhan yang hadir ini, ayuhlah kita bersama berusaha untuk mendapatkan hasil tarbiah yang akan menjadikan kita hambaNya yang bertakwa dan peroleh syurga. InsyaAllah...







25 Julai 2014

Iftar Jam'ie 1435H Bersama Alumni Perdiqma





Aktiviti tahunan perdiqma, iftar jam'ie tak dapat dipisahkan. Alhamdulillah program rasmi untuk bulan Ramadhan itu sekali lagi dapat dilaksanakan. Walaupun kali ini jangka masa yang dapat dilaksanakan agak pendek kerana Ramadhan lebih awal dari tarikh kemasukan semester. Walaupun begitu, program ihya' Ramadhan tetap dilaksanakan sepanjang Ramadhan di kampus.

Berbalik kepada tajuk asal artikel ini, alhamdulillah pada 19 Julai 2014 bersamaan 21 Ramadhan 1435H (Sabtu) kami telah melaksanakan iftar jam'ie bersama alumni Perdiqma. Program seumpama ini telah memasuki tahun yang ketiga penganjurannya. Program ini adalah bertujuan untuk berukhwah dan mengeratkan silaturrahim antara ajk perdiqma dan dan alumni perdiqma. Alumni perdiqma yang terdiri dari bekas pimpinan perdiqma dan pelajar kpmb sendiri merindukan suasana Ramadhan tatkala berada di kpmb. Oleh kerana itu, mereka mengaturkan program seperti ini bagi merasai kembali nikmat iftar dikampus seperti dahulu.

Selepas solat fardhu asar, kami masing - masing berganding bahu memulakan gotong royong memasak. Bagi yang muslimin, mereka mengerjakan ayam (bukan makan ok) dan memasak nasi dan muslimat giat menyiapkan penyediaan bahan masakan (potong bawang, blender bagai) untuk iftar hari ini. Menu pada hari ini ialah ayam masak rendang dan sayur lontong (fuh macam sedap je). Pada petang itu, chef utama kami ialah saya (oopss), saudara Aizudin. Alhamdulillah, dengan bantuan ajk perdiqma lain telah dipermudahkan segala urusan.

Sementara itu, kebetulan alumni perdiqma yang baru selesai dengan program P.A.U.R@TAR minggu lepas mempunyai lebihan penawaran kit iftar. Dan kami mengambil kesempatan untuk menghabiskannya dengan memberi kepada pelajar kpmb. Kit iftar diberi pada jam 7:00 pm disekitar kamsis dan kafe.



Antara istimewanya iftar di kpmb adalah makan didalam talam. Alhamdulillah, cara makan sunnah ini antara yang paling berkat dan dapat mengeratkan ukhuwah sesama saudara Islam. Alhamdulillah, masakan yang dimasak tetap memenuhi citarasa walaupun dibulan puasa ni (almaklum mana boleh rasa masa masak).








 Program diteruskan lagi dengan solat isyak, terawih dan tazkirah yang dikendalikan sendiri dengan beberapa alumni. SubhanaAllah, pengalaman mengendalikan terawih suatu ketika dahulu terkenang kembali. Ia merupakan suatu memori yang indah buat mereka yang berada dalam Perdiqma. Tazkirah yang disampaikan oleh saudara Anwar antara lain mengingatkan kepada para jemaah untuk kembali kepada Allah dengan memberikan sepenuh pengharapan sebagaimana ikrar disetiap solat kita dan dalam bacaan Al-Fatihah.






Selesai solat terawih, kami berkumpul bersama dengan alumni perdiqma untuk sesi seterusnya. Kami berta'aruf sesama kami dan sedikit perkongsian tazkir oleh Saudara Mus'ab. Antara yang disampaikan adalah mengingatkan kepada kami agar mendalami lebih ilmu dalam agama untuk menjadi pembimbing dikalangan ahli perdiqma sendiri. Beberapa suntikan semangat diberi kepada kami kerana maklum tahun ini Perdiqma dipimpin oleh seorang pengerusi baharu yang sentiasa dahagakan dorongan dan sokongan dari semua. Moga Allah memberkati usaha semua alumni yang sentiasa tidak jemu membantu adik-adik disini.




Maka berakhirlah sudah program ini pabila selesai sesi perkongsian itu tadi. Kami bersalam -salaman dan menikmati moreh yang disediakan. Tu dia, sate kajang mari bak hang. Majlis bersurai jam 11:00 malam. Diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan dimasa akan datang. Jangkaan kami, program ini cuma akan dapat dilaksanakan 4 tahun akan datang memandangkan Ramadhan yang akan datang akan lebih awal bermula dan ketika itu kpmb mungkin masih bercuti semester. Moga generasi akan datang dapat melaksanakan tradisi ini dan berkekalan sampai bila - bila.




b/p: Perdiqma


17 Julai 2014

Panduan Qiamullail Sepanjang Ramadhan




Pada waktu siangnya umat Islam diwajibkan berpuasa, manakala malamnya disunatkan ‘Qiamullail’ iaitu ‘memakmur dan menghidupkan malam dengan ibadat’.
Qiamullail dituntut dan dijanjikan dengan pelbagai kelebihan. Antaranya sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
.
Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.
.
.

Malam al-Qadar (Lailatul Qadar)

.
Salah satu kelebihan yang Allah SWT berikan untuk umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah ‘Malam al-Qadar’. Lailatul Qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan dan ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa pada siang hari dan beribadat pada sebelah malamnya.
.
Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?  Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
.
Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan diberikan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah SWT. Gandaan pahala melakukan ibadah pada malam ini dikatakan mempunyai nilai lebih 29,500 kali ganda. Maka ianya boleh dijadikan perangsang kepada umat mukmin bagi melipat-gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan al-Mubarak.
.
Malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.
.
Allah SWT amat Penyayang kepada hamba-Nya sekiranya kita tidak berputus asa dan menggunakan sepuluh malam terakhir ini bagi menebus kesilapan seumur hidup kita yang lalu.
Firman Allah SWT:  “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”  (Al-Dukhan : 4)
Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ ialah pada malam tersebut Allah menentukan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur, sakit atau sihatnya seseorang dan ajal manusia untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun hadapan.
.
.

Amalan Pada Malam Lailatul Qadar

.
Menggandakan amalan sunat pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
  1. Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan Qiamullail.
  2. Habiskan malam beramal ibadat di masjid (beriktikaf).
  3. Solat Qiamulail sebanyak mungkin.
  4. Solat Tarawih 20 rakaat, tanpa witir.
  5. Bermula 12 malam, Solat Tahajud 8 rakaat dan Solat Witir 3 rakaat.
.
.

 Itikaf Lailatul Qadar

.
Itikaf ini dikenali juga sebagai Iktikaf Asyrul-Awahir’. Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjd sebelum terbenam matahari kedua puluh Ramadhan dan waktu tamat iktikaf ialah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan. Iktikaf menjadi sunnah muakkad jika dilakukan di bulan Ramadhan terutama pada 10 terakhir Ramadhan.
.
Pada hari-hari tersebut Rasululllah SAW. mengajak isteri dan keluarga serta para sahabat Baginda menghidupkan malam dan mengisinya dengan pelbagai kegiatan ibadah yang menunjukkan ‘taqarrub‘ (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah dekati (jimak) mereka (isteri kamu) dalam keadaan kamu beriktikaf di dalam masjid.”   (Al-Baqarah: 187)
.
Daripada Aishah r.a telah berkata : “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan).” ( Muttafaqun alaih)
Daripada Aishah r.a bahawa Nabi SAW beriktikaf pada 10 terakhir dari Ramadhan sehingga diwafatkan Allah, kemudian diteruskan isteri-isteri baginda.. ( muttafaqun alaih)
Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : “Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadhan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.” ( Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah).
.
.

Amalan Rasulullah SAW Di Malam Lailatul Qadar

.
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).
.
Antara amalan yang dilakukan Rasululah SAW dan para sahabat pada malam-malam terakhir Ramadhan ialah:
  • Mandi, berpakaian cantik dan berwangi-wangian.
  • Beriktikaf iaitu mendampingi masjid untuk mentaati Allah.
  • Mengejutkan keluarga agar bangun beribadah.
  • Uzlah (tidak mendekati) isteri.
  • Memperbanyakkan amal ibadat dan berqiamulail di masjid atau surau.
  • Menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji hadith, tafsir dan sirah nabi.
  • Memperbanyakkan bertasbih, tahmid, takbir, istighfar dan bersalawat.
  • Membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah.
  • Bersolat Tarawih, Witir, Tahajud, Taubat dan solat Hajat.
  • Bertaubat daripada segala kesalahan dan dosa selama ini.
  • Berdoa ke hadrat Ilahi. Baginda SAW sering membaca doa:  “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”
  • Berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
Daripada Amru bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat pada malam Ramadhan dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran, maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”    (Hadis Riwayat Abu Daud r.a.)
.
Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.
.
.

Doa Qiamullail

.
Rasulullah SAW sering membaca doa di bawah sebelum Baginda melakukan Qiamullail;
.
.

Amalan Tengah Malam Lailatul Qadar

.
Di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa Qiamullail, iaitu mulai 12.00 tengah malam ialah;
  1. Mengambil wuduk dan mendirikan Solat Sunat Wuduk.
  2. Membaca surah Ali Imran; ayat 190 –200.
  3. Solat Sunat Tahajjud – bagi memantapkan iman dan akidah tauhid.
  4. Solat Sunat Hajat dan berdoa kepada Allah mohon dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
  5. Membaca Al-Quran.
  6. Beristighfar dan berzikir
.
.
     7.  Bertasbih dan berselawat
.
.
     8.  Bersolat Sunat.
    1. Solat Sunat Taubat – Mohon keampunan.
    2. Solat Sunat Tasbih – Mengagungkan Yang Maha Esa.
    3. Solat Sunat Lailatul Qadar – Tanda Syukur dapat meraih Malam Berkat.
    4. Solat Sunat Witir. – Solat Penutup
.
.
.

BERDOA

.
a.  Saat Makbul Doa
Rasulullah SAW amat menyukai dan menyuruh umatnya berdoa pada Lailatul Qadar dengan meminta keampunan kepada Allah. Lailatul Qadar adalah satu saat yang makbul dan sesiapa yang berdoa dan bertepatan doanya dengan Lailatul Qadar, maka pastilah doanya dikabulkan Allah. Oleh kerana itu perbanyakkanlah doa pada malam itu, khususnya pada:
  1. Masa berlalunya separuh malam.
  2. Ketika berada pada bahagian malam yang akhirnya.
Ulama tasauf dan fikah terkenal, Sufian as-Sauri berkata: “Berdoa pada Lailatul Qadar itu lebih disukai daripada mengerjakan solat. Malah apabila seseorang membaca al-Quran, berdoa dan meningkatkan doanya kepada Allah, mudah-mudahan dia memperoleh waktu yang mustajab.”
.
.
b.  Doa Bertemu Lailatul Qadar
Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera kita membaca:
.
Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar (bertepatan dengan malam Qadar), maka apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: Bacalah:

اَللَّهُمَّ اِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّىْ وَاغْفِرْلِى.

“Allahumma innaka ‘afuwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni wagh’firli”
Ya Allah! Sesungguhnya Dikaulah Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi suka mengampun. Maka ampunilah dan lindungilah diriku.
 .
.
c. Doa Di Malam Al-Qadar
.
Berikut ini adalah salah satu doa di malam-malam Al-Qadar: malam ke 19, 21, dan ke 23 Ramadhan;
.

بسم الله الرحمن الرحيم

Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

اللهم صل على محمد وآل محمد

Allâhumma shalli ‘alâ Muhammad wa âli Muhammad
 Ya Allah! Sampaikan selawat kepada Rasulullah SAW dan keluarganya

اَللَّهُمَّ اِنِّي اَمْسَيْتُ لَكَ عَبْداً دَاخِراً

Allâhumma innî amsaytu laka ‘abdan dâkhiran,
Ya Allah! Malam ini daku datang kepada-Mu sebagai hamba-Mu yang hina,

لاَ اَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعاً وَلاَ ضَرّاً، وَلاَ اَصْرِفُ عَنْهَا سُوْءاً،

lâ amliku linafsî naf’an wa lâ dharrâ, wa lâ ashrifu ‘anhâ sûan,
yang tidak mempunyai kemampuan untuk memberi manfaat dan mudarat dan tak mampu menyingkirkan keburukan dari diriku.

اَشْهَدُ بِذَلِكَ عَلَى نَفْسِي، وَاَعْتَرِفُ لَكَ بِضَعْفِ قُوَّتِي، وَقِلَّةِ حِيْلَتِي،

Asyhadu bidzâlika ‘alâ nafsî, wa a’tarifu laka bidha’fi quwwatî wa qillati hîlatî
Dengan itu daku bersaksi atas diriku dan mengakui di hadapan-Mu tentang kelemahanku dan ketidakupayaanku,

فَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ،

Fashalli ‘alâ Muhammadin wa âli Muhammad
sampaikan selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad,

وَاَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي وَجَمِيْعَ الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ مِنَ الْمَغْفِرَةِ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ،

wa anjizlî mâ wa’adtanî wa jamî’al mu’minîna wal mu’minât minal maghfirati fî hâdzihil laylah
kurniakan  padaku malam ini, pengampunan dari-Mu sebagaimana telah Dikau janjikan padaku, pada kaum mukminin dan mukminat,

وَاَتْمِمْ عَلَيَّ مَا آتَيْتَنِي

wa atmim ‘alayya mâ ataytanî
sempurnakan padaku apa yang telah Dikau kurniakan padaku,

فَاِنِّي عَبْدُكَ الْمِسْكِيْنُ الْمُسْتَكِيْنُ الضَّعِيْفُ الْفَقِيْرُ الْمَهِيْنُ.

fainnî ‘abdukal miskînul mustakîn, adhdha’îful faqîrul mahîn
kerana aku adalah hamba-Mu yang miskin dan papa, lemah, fakir dan hina.

اَللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْنِي نَاسِياً لِذِكْرِكَ فِيْمَا اَوْلَيْتَنِي،

Allâhumma lâ taj’alnî nâsiyan lidzikrika fîmâ awlaytanî
Ya Allah! Jangan biarkan daku lalai untuk  mengingat-Mu, dalam pertolongan yang telah Dikau berikan,

وَلاَ لاِ حْسَانِكَ فِيْمَا اَعْطَيْتَنِي،

wa lâ li-ihsânika fîmâ a’thaytanî
dan kebaikan yang telah Dikau anugerahkan.

وَلاَ آيِسًا مِنْ اِجَابَتِكَ وَاِنْ اَبْطَأَتَ عَنِّي،

wa lâ âyisan min ijâbatika wa in abtha’ta ‘anni
Janganlah jadikan daku orang yang berputus asa dari balasan-Mu walaupunDikau menundakannya,

فِي سَرَّاءَ اَوْ ضَرَّاءَ، اَوْ شِدَّةٍ اَوْ رَخَاءٍ،

fî sarra’ aw dharra’ aw syiddatin aw rakhâ’
dalam suka atau duka, bahagia atau derita,

اَوْ عَافِيَةٍ اَوْ بَلاَءٍ، اَوْ بُؤْسٍ اَوْ نَعْمَاءَ اِنَّكَ سَمِيْعُ الدُّعَاءِ

aw ‘âfiyatin aw bala’, aw bu’sin aw na’mâ’, innaka samî’ud du’â’.
dalam keselamatan atau bencana, sengsara atau kenikmatan. Sesungguhnya Dikau Yang Maha Mendengar permohonan doa!
(Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 3)
.
.

Amalan Orang Uzur (Malam 21-30)

.
Cara beramal orang uzur di malam Lailatul Qadar.
 .
1) Kepada orang tua dan lemah, telah dikira beramal Al Qadar sekiranya solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadhan. Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”
.
2) Orang yang tidak sanggup solat malam yang panjang, bacalah:
    • Ayat akhir surah Al Baqarah
    • Ayat Kursi
    • Surah Yaasin
    • Surah Al Zalazah
    • Surah Al Qafirun
    • Surah Al Ikhlas
.
3) Bagi orang yamg kuat dan cergas;
    • Bangunkan isteri dan anak
    • Mandi, bersuci dan berwuduk
    • Solat malam – Tahajjud,Taubat,Tasbih,Hajat,Istikharah
    • Baca Al Quran.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa bangun pada malam lailatulqadar kerana dorongan iman dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya terdahulu.” (Muttafaqun ‘alaih).
.
.

 Fadilat Lailatul Qadar

.
Jika 10 hari pertama adalah bulan penuh kerahmatan; 10 hari pertengahan Ramadhan sebagai hari pengampunan segala dosa; Maka 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Padanya terdapat ‘Malam al-Qadar’ yang dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa.
.
Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
.
.
.

TANDA LAILATUL QADAR

.
Ketenangan yang dirasai pada malam al-Qadar ini bersempena turunnya malaikat beserta pelbagai rahmat dan berkat untuk hamba-Nya yang benar-benar menghayati kedatangannya. Firman Allah SWT.: “Turunlah malaikat dan rohnya dengan izin Allah. Selamatlah malam itu hingga terbit fajar.”   (Surah al-Qadr, ayat 5 – 6).
.
Rasulullah SAW bersabda:  “Pada saat berlakunya Lailatul Qadaritu, malam terasa jernih, terang, tenang dan cuaca sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan.”     (Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi).
.
Sebahagian ulama berpendapat, orang yang mendapat al-Qadar itu akan melihat beberapa tanda antaranya ialah:
a.  Tanda malam Qadar ialah :
  • Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
  • Alam terang benderang walaupun berada di tempat gelap.
  • Segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
  • Tiada kedengaran suara salakan anjing.
  • Mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.
  • Malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
.
b.  Tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah:
  • Pada paginya terbit matahari dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.
  • Sinar mentarinya tidak terasa terlalu panas walaupun cahaya cerah memancar.
  • Alam dan udara terasa begitu segar dan bersih.
  • Terasa seperti diperkenankan segala doanya.
 .
Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah Ta’ala biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Tujuan disembunyikan malam Lailatul Qadar itu mempunyai hikmahnya tersendiri supaya kita berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada semua malam dan untuk menguji keimanan Islam terhadap janji Allah SWT.
.
Lailatul Qadar adalah satu malam untuk Allah berikan kelebihan berlipat ganda kepada orang yang meyakini janji Allah. Mereka bersungguh merebut peluang di penghujung Ramadan yang tidak diperoleh pada bulan lain.
Nabi SAW bersabda: “Apabila malam akhir Ramadhan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umatku.” Sahabat bertanya: Apakah musibah itu? Rasulullah menjawab: “(Musibah) kerana perginya Ramadhan kerana dalam bulan ini doa dimakbulkan semua sedekah di terima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.” (Hadis diriwayatkan oleh Jabir)
.
.
Diharapkan semoga anda semua mengisi malam tersebut dengan pelbagai ibadah yang disarankan dan menjauhkan diri daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Bersamalah kita mengimarahkanlah 10 malam terakhir Ramadhan dengan beribadat kepada Allah SWT secara ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita mendapat kurniaan Allah SWT yang kelebihan pahalanya melebihi 1,000 bulan atau 83 tahun umur kita.


Muat turun panduan qiamullail, klik sini

Rujukan: http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/08/15/qiamullail-lailatul-qadar-dan-amalannya/
.




28 Julai 2013

Andai Ini Ramadhan Terakhirku

My last Ramadhan ? Could it be ? No one knows.
Allahuakbar.
  





"Aduh, kenyangnya perut aku", kata Syafiq ketika masuk ke biliknya. dia baru sahaja pulang dari berbuka puasa di luar bersama rakan-rakanya. Cakap sahaja dimana ada offer buffet atau pantang diajak rakan untuk berbuka puasa, pasti dia tidak ketinggalan.

"Alhamdulillah, hahh malam 16 ini berbuka kat mana? lambat kau balik, makan apa?" sapa Naqib. Naqib merupakan rakan sebilik dengan Syafiq. "Aku buka kat Kampung Baru tadi, makan chicken chop. biasa la, malamkan  masih muda." Tatkala itu jam menunjukkan jam 11.30 malam. "Dah solat isyak belum, terawih?" tanya Naqib.
"Isyak dah, terawih tak payah, kan sunat." Naqib menggelengkan kepala. Mereka terus berbual sambil berbaring, dengan keadaan Syafiq yang kekenyangan. Tanpa tidak sedar, Syafiq terlena.

Tiba-tiba Syafiq tersedar didalam lamunan yang dia berada di sebuah taman yang indah. Taman itu penuh dengan buah-buahan yang bermacam bagai. Satu persatu Syafiq perhatikan, hasil buah-buahan itu dipetik dan dimakan oleh orang ramai. Mereka turut menjaga dengan baik pokok-pokok disitu seperti membaja, menyiram dan membersihkan sekitarnya. Pokok buah-buahan disana bagaikan tiada henti untuk berbuah biarpun hampir tiap-tiap hari diambil oleh orang ramai. Semakin ramai orang mengambil hasil buah-buahan tersebut dan semakin kerap mereka membela dengan elok tanaman mereka, semakin banyak hasil yang mereka perolehi.

Syafiq  yang sudah lama berada disitu, terasa ingin menikmati buah-buahan ditaman itu. Lalu dia berjumpa dengan seorang pemuda yang sedang mengusahakan tanaman itu. "Wahai pemuda, bolehkah saya menikmati sedikit hasil  buah-buahan tersebut", kata Syafiq. Lalu dengan pantas, pemuda itu memberikan sebahagian hasil tanamannya.

Hampir setiap hari Syafiq berjumpa dengan pemuda tersebut dengan niat yang sama, tetapi pemuda yang pemurah itu tetap tidak jemu memberikan sebahagian daripada hasil tanamannya. Dan hasil tanaman pemuda itu kian bertambah. Setelah lama dari itu, pemuda itu menghadiahkan sebuah pohon dari kebun tanamannya dengan syarat menjaganya seolah-olah pokok itu akan mati esok. Pokok itulah paling lebat hasilnya diantara pohon buah-buahan yang lain. Syafiq berterima kasih kepada pemuda tersebut dan berjanji akan menjaga sebaik mungkin pokok tersebut.

Hari demi hari,Syafiq menikmati hasli buah-buahan pokok itu tanpa henti sehingga lupa apa yang sepatutnya dia lakukan untuk pohon tersebut. Dia leka dengan kenikmatan yang diberi itu.
Sehingga suatu hari, hasil buah dari pohon tersebut kian berkurang. Syafiq terpaksa mengurangkan pemakanan dari hasil pohon itu, sehinggalah pohon tersebut tiada lagi mengeluarkan buah dan mati. 

Syafiq baru teringat akan pesanan pemuda tersebut untuk menjaga dengan baik pokok tersebut. Dia pun berusaha membaja, menyiram dan sbg kepada pokok tersebut. Tetapi setelah sekian lama, usahanya seakan sia-sia. Pokok itu tetap tidak mengeluarkan hasilnya.

Akibat terdesak, Syafiq mencari semula pemuda tersebut dan bertanyakan masalah yang dihadapi. Pemuda itu tersenyum dan menceritakan perihal masalah tersebut. Kata pemuda tersebut, "bukankah aku berpesan kepadamu supaya menjaganya seolah-olah pokok itu akan mati esok? Adakah kau melakukan seperti yang aku pesankan?". Syafiq terdiam.

Sambung pemuda itu lagi, "lihatlah kepada pokok yang telah mati itu, sia-sia sahaja kau kerjakan kerna pokok itu telah mati. Sekiranya kamu melakukan semua itu seperti yang aku pesankan, ianya tidak terjadi seperti ini."

Begitulah juga dengan kehidupan didunia. Allah telah memberikan pelbagai nikmat dan kita sebagai hambanya mensyukuri nikmatnya dan sentiasa beramal seperti kita kan mati esok hari, nescaya itulah amalan yang terbaik kita lakukan untuk Tuhan kita. Tetapi sekiranya kita telah mati, tiada apa yang boleh kita lakukan untuk diri kita. Syafiq tersedar dengan kata-kata itu.

Pemuda itu menambah "Lihatlah apa amalan yang kau lakukan sekarang. Sekarang kau berada di Bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, tetapi lihatlah, kau hanya biarkannya dengan sia-sia, tanpa kau bajai dan beramal dengannya? Lupakah kau bahawa Nabi pernah bersabda:

"Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian pada langkah pertama mengatakan : "Amiinn", pada langkah kedua mengatakan :"Amiinn" sampai pada langkah ketiga mengatakan : "Amiinn".Para sahabat bertanya."Kenapa engkau berkata Amiinn, Amiinn, Amiinn, sedangkan kami tidak melihat seorangpun wahai Rasulullah?" Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda:"Telah datang malaikat Jibril yang naik mimbar didepanku dan berkata : Wahai Muhammad. aku berkata : labbaika wasa'daik. dan ia berkata : Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin! maka kukatakan, ‘Amiinn’ ".Kemudian pada langkah kedua Jibril berkata lagi. Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan, puasa pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal tidak diampuni dosanya dan masuk neraka dan katakanlah Amiinn!’, maka aku berkata : ‘Amiinn’.Kemudian pada langkah ketiga Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak berselawat kepadamu dan katakanlah Amiinn!’ maka kukatakan, ‘Amiinn’." 
(HR Bukhari)

Dengan rasa insaf, Syafiq bertanya siapakah dirimu wahai pemuda. Maka pemuda itu menjawab, akulah amalanmu. Lalu pemuda itu hilang dalam pandangan matanya. Teringat Syafiq tentang hadith:

Diriwayatkan oleh Huzaifah bin Yamani  R.A, mereka bertanya kepada Rasulullah S.A.W.

"Berapakah ketetapan usia umatMu Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah;   saat kematian mereka pada umumnya antara usia enam puluhan dan tujuh puluhan. Mereka bertanya lagi, Bagaimana dengan mereka yang mencapai usia lapan puluhan? Jawab Rasulullah, sedikit sekali umatku yang dapat mencapainya. Semoga Allah merahmati mereka yang mencapai umur lapan puluh tahun" 

 ( H.R HUZAIFAH IBNUL YAMANI )

Dan Surah Al-Qadr, Ayat 3

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Ya Rabbi, Begitu hikmahnya datang Ramadhan, dan Lailatul-Qadar. Kita merupakan umat yang bertuah sungguhpun umur umat kita yang pendek jika dibandingkan dengan umat Nabi lain telah diberi ganjaran amalan seperti hidup 83 tahun, Sungguh ajal maut itu perkara ghaib dan sangat hampir dengan kita. Dan semestinya kita perlu sedia sentiasa agar kita tidak rugi dikemudian hari. Dalam Ramadhan yang berbaki beberapa minggu lagi, janganlah kita hanya melebihkan persiapan raya dari memanfaatkan Ramadhan yang berbaki ini sebaik mungkin. Andai Ini Ramadhan terakhir kita, apa yang kita bawa diakhirat nanti.







Ramadhan, kami pasti merinduimu dan kami tidak mengetahui sama ada kami berpeluang atau tidak untuk bertemu denganmu di masa akan datang. Allah Yang Maha Mengetahui ~

Wassalam.





15 Julai 2013

AHLAN WASAHLAN


HAI -- HELLO -- BONJOUR !


Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera. 

Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...kita masih diberi peluang untuk bernafas lagi pada hari ini dan dapat duduk membaca entri diblog ini dengan selesa. Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah beri ini. Sungguh hebat ciptaan Allah. Haaaaaaaaa amacam Ramadhan sahabat-sahabat semua ? InsyaAllah semestinya owsem2 belaka kannnnn kerana anda semua muslim yang superhebat !. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari Ramadhan sebelumnya. Dibulan Ramadhan yang mulia ini, kita bukan sahaja menahan lapar dan dahaga malah dapat menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang sia-sia dan menggantikannya dengan pelbagai jenis ibadah antaranya ialah solat sunat terawikh, tadarus Al-quran dan banyak lagi, haaaaaa yang paling best sekali dapat Iftar Jam'ie di Surau Annur. hehehe ~~ Semoga kita ikhlas dalam melakukan ibadah dan diterima oleh Allah. Sungguh indahnya Islam , Allahuakbar ! 



BANYAK IBADAHNYA, BANYAKLAH PAHALANYA...
BERBALOI-BALOI ~~~ InsyaAllah.







Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah, sebenarnya entri kali ini kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan AHLAN WASAHLAN atau Selamat Datang kepada semua pelajar yang baru mendaftar di Kolej Profesional MARA Beranang yang cukup indah ini. Para pelajar baru yang telah mendaftar pada 3 Julai 2013 yang lalu. Pendaftaran bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Seramai 272 pelajar telah mendaftar pada hari tersebut. Wahhhhh sungguh ramai bukan ? Inilah kali pertama kolej menerima pelajar yang begitu ramai, Alhamdulillah. Kedatangan pelajar-pelajar baru disambut meriah oleh para pensyarah dan para Orientation Commitee KPMB (OC)  yang merupakan organisasi yang bertugas pada hari tersebut. Cuaca pada hari tersebut juga seakan menyambut kedatangan para pelajar. 

Setelah semua ibubapa pulang, bermula lah Minggu Jalinan Ukuwah sesi Jul-Dis 2013 (MJU) iaitu minggu orientasi buat para pelajar yang berlangsung selama 5 hari yang dilaksanakan oleh para OC. Sepanjang minggu orientasi berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya ialah solat subuh berjemaah di padang. Subhanallah, begitu indah perasaan ini apabila dapat solat beralaskan rumput diwaktu subuh. Sedikit sebanyak kita juga dapat merasai kesusahan sahabat-sahabat kita dinegara lain. Bersyukurlah kita tinggal di Malaysia yang cukup selesa ini. Semasa MJU berlangsung juga para pelajar dibawa bersiar-siar sekitar KPMB oleh -para OC agar mereka dapat mengenali kolej kita yang indah ini. Orang kata, tak kenal maka tak cinta,  Amboiiiiii ~~~~ Pelbagai gelagat yang ditampilkan oleh para pelajar sepanjang MJU berlangsung. Alhamdulillah MJU telah berlangsung dengan jayanya. Minggu Jalinan Ukuwah sesi Jul-Dis 2013 ini telah tamat pada 7 Julai 2013. 

Diharap agar sepanjang 5 hari berlangsungnya MJU, ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan sebaiknya, InsyaAllah dan semoga Kolej Profesional MARA Beranang dapat terus melahirkan insan yang cemerlang dan gemilang serta owsemmmm dari segi rohani dan jasmani. Amin.


Hidup Generasi Quran, Allahuakbar ! ^_^















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...