Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

29 November 2011

Hijrah Sebagai Permulaan Takwim Islam

Awal Muharam merupakan permulaan tahun baru dalam takwim Islam. Ianya merupakan hari kebesaran yang disambut meriah oleh umat Islam di Malaysia. Awal Muharam merupakan tarikh penting dalam Islam yang merakam banyak peristiwa Hijrah serta mengandungi banyak pengajaran dan pencapaian kecemerlangan sepanjang zaman. 


Pemilihan penggunaan permulaan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalender Islam tidak berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup. Khalifah Umar Al-Khattab r.a adalah merupakan orang yang pertama memulakan penggunaan tarikh bulan-bulan Qamariah dengan penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah dijadikan sebagai permulaan taqwim Islam. 




Peristiwa tersebut berlaku ketika Baginda SAW sampai ke Quba pada 20 September 622M bersamaan dengan 8 Rabiulawal. Jika diteliti tarikh ini didapati 1 Muharram 0001H jatuh pada 6 Julai 622M (Jumaat).


Saidina Umar r.a sedar akan keperluan untuk menghitung bilangan bulan dalam tahun mengikut Islam, oleh kerana bulan-bulan dalam tahun sudahpun wujud sebelum kedatangan Islam. Cuma tidak ada bilangan bagi bulan ini mengikut tahun. Pada ketika itu setiap tahun hanya dikenali dengan sesuatu peristiwa penting sepertimana yang berlaku sewaktu kelahiran Nabi pada tahun dikenali dengan tahun Gajah kerana berlaku peristiwa Raja Abrahah yang telah menyerang Kaabah dengan tentera gajahnya. 


Khalifah Umar r.a mengalami kesukaran mengenai takwim khususnya dalam pengutusan surat kepada seluruh empayar Islam. Lantaran itu, beliau telah mengumpulkan para sahabat untuk mengkaji bagaimana untuk mengatasi masalah demikian. Hasil dari perjumpaan tersebut mereka telah mengenalpasti empat peristiwa agong yang penting yang patut dijadikan tanda perkiraan takwim Islam :


1.    Hari Kelahiran Nabi SAW
2.    Hari Perutusan Nabi SAW
3.    Penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Madinah
4.    Tarikh kewafatan Nabi SAW


Selepas kajian rapi, didapati cadangan pertama dan kedua tidak boleh diterima kerana ketepatan kedua-dua tarikh tersebut tidak dapat dikenalpasti disebabkan terdapat beberapa tarikh yang berbeza dan sukar untuk dikenalpasti. Cadangan yang keempat juga tidak sesuai kerana ianya merupakan tarikh kewafatan Nabi Muahmmad SAW yang membawa kenangan yang pedih.


Akhirnya cadangan ketiga lebih sesuai iaitu peristiwa penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Tambahan pula peristiwa ini amat penting dan juga membawa pengertian besar dalam kehidupan kaum muslimin secara keseluruhannya. Menurut Saidina Umar r.a Hijrah merupakan sempadan diantara yang betul dan yang salah, diantara kebenaran dan kebatilan. Peristiwa Hijrah menjadi penting kerana dengan perjuangan serta pengorbanan, Islam mencapai kejayaan dan natijahnya hijrah merupakan sumber insprirasi sepanjang zaman.


Penghijrahan Baginda Nabi Muhammad SAW tidak boleh dianggap tindakan melarikan diri, malahan Nabi SAW berhijrah bukan atas dasar kehendaknya sendiri melainkan atas petunujuk dan perintah Ilahi. Pengorbanan dan komitmen kaum muslimin di Mekah atau di Madinah telah membawa kejayaan kepada Islam. Peristiwa hijrah adalah permulaan perubahan nasib umat Islam, maka sayugialah peristiwa hijrah dipilih sebagai tarikh perkiraan permulaan kalendar Islam. 






Dalam zaman kemodenan kini , hijrah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana berlaku dalam sejarah Islam sudah tidak wujud lagi. Apa yang dikehendaki oleh Nabi ialah hijrah jihad dan niat sebagaimana disebut oleh Rasulullah S.A.W:


" Tiada lagi hijrah sesudah kemenangan membuka semula Kota Mekah melainkan Jihad dan niat"


Jihad dengan makna berperang melawan musuh samaada musuh yang ada dalam diri kita iaitu menundukkan nafsu selari dengan syara' kerana nafsu adalah menjadi keperluan manusia untuk hidup. Begitu juga syaitan dan musuh yang memerangi Islam yang terdiri dari kalangan manusia. Nafsu banyak mengarah kepada  kejahatan. Kita perlu bermujahadah menundukkan nafsu sehingga menjadi nafsu mutmainnah. 


Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Fajr ayat 27 hinnga 30:


" Wahai nafsu mutmainnah kembalilah kepada tuhanmu dengan  hati yang puas lagi diredhainya. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam Syurgaku"


Nabi menyebutkan dalam hadisnya:


" Dilingkari jalan menuju ke Syurga itu dengan perkara yang berlawanan dengan nafsu dan dilingkari Neraka itu dengan sesuatu yang selari dengan nafsu"


Nafsu menjadi tunggangan syaitan dan itulah laluan utamanya. Syaitan menjadi musuh kepada anak adam yang nyata. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 60:


"Bukankah aku telah perintahkan kamu wahai anak -anak adam supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya  dia adalah musuh kamu yang nyata"


Kita diperintahkan untuk sentiasa bersiap sedia untuk menhadapi musuh jika sekiranya mereka menceroboh dan menggugat keamanan. Maka Islam memerintahkan supaya kita menghadapi mereka dengan jihad. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Anfal ayat 60:


"Dan bersedialah untuk menghadapi mereka( musuh-musuh Islam ) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi"


Niat pula adalah asas di dalam syariat Islam. Niat juga yang mengesahkan amalan dan dengan niat juga membezakan di antara ibadat dan juga adat. Ini telah dinyatakan oleh baginda nabi S.A.W dalam hadisnya:


"Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat. Dan setiap sesaorang itu apa yang diniatkannya. Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya maka hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya. Dan sekiranya berhijrah itu kerana dunia maka dia akan memperolihinya atau kerana wanita maka dia boleh mengawininya, maka hijrahnya itu bergantung kepada  niatnya"


Nabi bersabda lagi: 


''Niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya"


Kita hendaklah menjadikan amalan yang baik itu dengan niat ikhlas kerana Allah s.wt supaya amalan kita diterima serta memastikan bahawa amalan tersebut dilakukan mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan oleh syara' disamping syarat yang lain seperti khusyuk jika ibadat tersebut adalah solat. Sebaliknya amalan yang bersifat harus ( yang  apabila dilakukan ) adalah bergantung kepada niat agar ia menjadi amal kebajikan.


Nabi telah menyatakan dalam hadisnya:


''Berapa banyak dari amalan-amalan  dunia( harus ) kemudian ia boleh menjadi amalan akhirat ( yang mendapat pahala ) dengan niat yang baik dan begitu pula amalan akhirat ( amal soleh ) boleh menjadi amalan dunia ( tiada mendapat pahala bahkan dosa ) ialah dengan niat yang buruk"


Sabda Rasulullah S.A.W:


''Barangsiapa yang berniat untuk melakukan satu amal kebaikan  tetapi tidak dapat melakukannya maka dia di beri satu kebaikan. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kebaikan dan dapat melaksanakannya maka Allah akan memberikan kepadanya dengan satu kebaikan yang digandakan sepuluh serta gandaan yang berlipat. Dan barang siapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya maka Allah akan memberikan kepadanya denga satu kebaikan. Dan sesiapa yang berniat melakukan satu kejahatan dan ia dapat melakukannya maka diberi kepadanya dengan satu kejahatan"


Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor.


26 November 2011

Ucapan Presiden Sempena Maal Hijrah



Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.


Salam ukhwah saya ucapkan kepada semua warga KPM Beranang yang dirahmati Allah s.w.t. Marilah kita bersama-sama bersyukur kehadrat Allah s.w.t dengan izin-Nya,kita dapat hidup untuk beribadah kepada-Nya dengan tidak sekali-kali melakukan perkara yang mungkar ataupun yang ditegah oleh Allah s.wt. Berakhirlah tahun 1432hijrah setibanya maghrib pada hari ini,hari sabtu bersamaan 29 Dzulhijjah 1432h, dan insyaAllah telah mendatangi kita tahun yang baru. Dengan ini,marilah kita bersama-sama berazam pada tahun baru ini untuk lebih bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa seperti ayat didalam al-Quran menyebut,

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar" (At-Taubah 9:119).

Dengan ini,sahabat yang dirahmati Allah s.w.t sekalian, taqwa itu berda didalam setiap diri insan, jadi, mengapa kita masih berdiam dan tidak mahu mengambil tahu tentangnya. 1 Muharram merupakan tarikh dimana Rasullullah s.a.w berhijrah dari kota mekah ke kota madinah.

Hijrah tidak semestinya dengan berpindah randah tetapi erti hijrah dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dalam makna yang lebih luas, hijrah difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Pada asasnya, peristiwa hijrah bukan saja berlaku kepada Nabi Muhammad tetapi turut dilakukan oleh nabi yang lain atas perintah Allah. Nabi Ibrahim umpamanya diperintahkan Allah berhijrah ke satu tempat yang lain seperti mana firman-Nya al-Quran yang bermaksud:

“Setelah Nabi Lut beriman kepada-Nya dan Nabi Ibrahim pun berkata: Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 26).

Hijrah juga mengajar makna perpaduan. Cuba renungkan kejayaan Rasulullah menyatukan dua kumpulan yang sebelum itu saling bermusuhan, iaitu Aus dan Khazraj. Atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah, dua kumpulan ini akhirnya dapat disatukan.

Saya dengan ini berharap agar kita seluruh umat Islam didunia terutama di KPM Beranang berusaha bersama-sama bersatu demi menegakkan agama Allah yang tercinta ini. Saya juga berharap agar kita dapat menghijrahkan diri dari perkara yang kurang baik kepada yang baik sama ada dari segi kokurikulum mahupun kurikulum dan InsyaAllah kita bertemu di semester hadapan. Allah huakbar!

Danial Ifran
Presiden PERDIQMA 2012


23 November 2011

BERSAMA SEKOLAH RENDAH ISLAM INTEGRASI IHYA AL-AHMADI


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Salam sejahtera diucapkan kepada semua. Hari ini rakan PERDIQMA nak berkongsi sedikit tentang ahli PERDIQMA bersama-sama Sekolah Rendah Islam Integrasi Ihya-Al Ahmadi(SRIIIA) di Banting yang sepatutnya di post awal tetapi disebabkan kami kesuntukan masa dengan peperiksaan akhir semester, terpaksalah post lambat. Maaf ye para sahabat sekalian.

Betapa seronoknya kami bersama budak-budak di sekolah rendah islam tersebut. Memang seronok. Kami bermesra dengan mereka, bagaikan adik beradik yang tak dapat dipisahkan.


Kami seramai 5 orang iaitu, saudara Danial Ifran, Aizudin, Syazwan, Nurdin dan Fauzan menaiki sebuah kereta dan kami bertolak pada hari Jumaat bersamaan 18 November 2011 pada jam 5.30 petang. Perjalanan kami ke Banting mengambil masa hampir 2jam. Sebelum tiba di SRIIIA, kami singgah di pasar malam kerana masing-masing belum menjamah apa-apa sebelum bertolak. Macam-macam hal. Kami teruskan perjalanan dan kami tiba disana pada jam 7.15 dan terus solat berjamaah bersama pelajar-pelajar di sekolah itu dan di imamkan oleh saudara Mus'ab selaku guru di sekolah itu.


Selepas solat maghrib, tazkirah disampaikan oleh saudara Nurdin yang bertajuk, Dunia Milik Allah dan selesai tazkirah diberikan, kami bersama-sama menunaikan solat fardhu isya'. Program diteruskan dengan permainan yang diberi nama Treasure of Iman. Ia sama seperti Treasure Hunt tetapi permainan ini berkonsepkan keislaman. Permainan bermula pada jam 9malam didahulukan dengan taklimat ringkas oleh ustaz sekolah itu. Pada jam 10, permainan dimulakan dengan mengikut kumpulan. Kumpulan yang pertama adalah kumpulan Umar Ibnu Abdul Aziz, kedua adalah Muhammad Al-Fateh, ketiga Sallahuddin Al-Ayyubi, keempat adalah Thariq ibnu Ziad, kelima kumpulan Sumayyah dan keenam adalah kumpulan Zinirah. 3 kumpulan lelaki dan 2 kumpulan perempuan dan setiap kumpulan mempunyai 5-6 orang bilangan ahli.


Treasure of Iman sangat mencabar dimana mereka perlu meredah laluan gelap di padang untuk bertemu agen dan dihalang oleh musuh yang mencelarukan mereka. Sangat seronok melihat gelagat mereka. Mereka juga perlu membuat belon udara yang mampu untuk diterbangkan tetapi malang sekali, tiada 1 kumpulan pun yang berjaya. Sabar ye adik-adik. Sebelum menamatkan sesi malam pertama, mereka didedahkan dengan senaman ringkas yang dinamakan Senaman Si Tommy bagi mengurangkan mengantuk mereka untuk sesi tautan ukhwah. Tautan ukhwah yang sangat menyentuh hati apabila diceritakan tentang IBU. Program berakhir pada jam 1 pagi.

Keesokan harinya, mereka dikejut oleh kami para fasi pada jam 5 pagi bagi menunaikan solat hajat, tahajjud dan witir. Diikuti dengan tazkirah ringkas bagi mengisi masa sebelum kami bergegas ke pantai Morib untuk mengadakan aktiviti di sana. Setibanya kami di sana, kami mendahulukan solat sunat Dhuha yang di imamkan oleh saudara Aizuddin Jamalan. Selepas solat Dhuha, kami bersarapan bersama-sama dan meneruskan program dengan bermain bola pantai dan cermin. Bola pantai memerlukan 2 kumpulan dan setiap kumpulan memerlukan seorang ketua untuk memberi arahan kepada mereka. Mereka perlu menutup mata dan mencari di mana kedudukan bola dan gol dengan arahan dari ketua. Ini bertujuan bagi melatih mereka untuk menerima dan memberi arahan. Cermin pula adalah suatu permainan dimana mereka perlu memilih pasangan. Mereka perlu duduk dan dihalang oleh sehelai kain dan kemudian mereka diminta untuk membuat gaya. Permainan ini bertujuan untuk melihat tahap keserasian mereka dengan pasangan.

Kami pulang SRIIIA pada jam 11 dan seterusnya aktiviti dalam kumpulan dijalankan. Mereka perlu membentuk sebuah negara dan perlu ada semua kelengkapan yang dapat memastikan negara itu mempunyai pentadbiran yang lancar. Negara kumpulan Salahuddin Al-Ayyubi adalah negara yang paling lancar dan mereka menang pada akhir program ini.

Sebelum menamatkan program ini, kami solat asar bersama-sama dan kemudian program diakhiri dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh saudara Mus'ab. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Semoga adik-adik SRIIIA mendapat ilmu dan disampaikan kepada orang lain. Akhir kata,diharap agar kita sesama umat islam membantu sesama islam seperti mana hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sedang kesusahan nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah (Al Quran) dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (para malaikat) yang berada di sisi-Nya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya.”

(Hadits yang sama penerbitannya seperti ini diriwayatkan oleh Muslim)

Semoga Allah Bersama kita dikala susah ataupun senang, InsyaAllah.



19 November 2011

Mengapa perlu MALU?



"TAK MALU KE?" soalan yang sering kita dengar jika seseorang itu ditegur atau dimarahi jika buat silap.Namun tidak ramai yang benar-benar mengerti apakah maksud malu sebenarnya. Sebab itulah timbulnya ungkapan seperti malu tidak bertempat,malu-malu kucing dan sebagainya. Namun ia membawa pengertian yang berbeza-beza. Apa akibatnya jika seseorang itu sudah hilang rasa malu?

Sudah pasti dia akan melakukan segala perbuatan sesuka hatinya tanpa rasa malu dengan orang sekeliling seolah-olah dorongan nafsunya dikuasai oleh syaitan. Dia akan mengabaikan nasihat orang lain,melanggar batas-batas agama dan masyarakat, bahkan ada juga yang terjebak melakukan dosa-dosa besar.

Dalam islam malu itu disebut "haya'". Sesetengah pakar Arab mengatakan ia berasal daripada perkataan "hayatun" yang bermakna kehidupan. Sebagaimana pentingnya elemen malu dalam pembetukan personaliti seseorang muslim."Haya" dalam islam ialah suatu perasaan yang terbit dalam diri orang-orang yang beriman yang mampu membentengi diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Orang yang memiliki sifat "Haya'" sangat malu kepada allah s.w.t. "haya'" dalam diri seseorang diibaratkan sebagai buah hasil daripada keimanannya kepada Allah s.w.t.

Sebuah hadis riwayat al-Tarmizi,sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu menyebabkan seseorang masuk syurga." Menurut hadis ini, rasa malu itu sebahagian daripada iman. Orang yang beriman akan malu kepada Allah dan juga manusia lain ketika hendak melakukan maksiat.Dia malu kepada Allah ketika lalai dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipannya kepada Allah.Dia juga akan berasa malu jika tidak melakukan kebaikan dihadapan manusia lain atau melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dihadapan orang lain.

Saidina Umar bin al-Kattab pernah berasa teramat malu ketika beliau terlambat menunaikan solat asar berjemaah di masjid kerana leka mengunjungi kebun-kebunnya.Akibatnya Umar telah menghadiah hartanya yang amat disayangi itu kepada kaum muslimin kerana rasa malu kepada Allah.Beliau bertaubat dan berjanji tidak mengulanginya lagi.Perasaan malu itu hendaklah ditanam,dipupuk dalam diri dan seterusnya dipelihara agar ia sentiasa wujud dalam diri setiap muslim. Ia dapat dilakukan dengan cara mentaati segala perintah Allah dan menjauhi semua larangannya.Menjaga ibadah wajib dan memperbanyakkan amalan sunat akan menyebabkan rasa malu sentiasa bertahta di hati kita.Ini bertepatan dengan maksud hadis qudsi yang sahih bahawa sikap menjaga ibadah fardu dan sunat secara istiqamah akan menyebabkan mendapat bimbingan dan hidayah Allah dalam segenap perbuatan.Maka dengan kelebihan ini segala tindak tanduk itu selari dengan kehendak Allah s.w.t. Menerusi bimbingan Allah ini, iman kita akan meningkat dan rasa malu akan terpahat dalam diri.

Selain harus dipupuk rasa malu juga harus diperihara.Ia dilakukan dengan memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat.Contohnya,menjaga anggota tubuh kita.Mata hendaklah mengelakkan pandangan yang haram, mulut tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik atau tidak makan makanan yang haram, telinga hendaklah mengelakkan daripada suara-suara yang menyesatkan dan hati di pantau daripada penyakit hati yang akan mematikannya.Selain itu tangan dan kaki kita harus di lindungi daripada melakukan aktiviti yang mengarah kepada kemungkaran.




Teks:MAHFUZAH OMAR
(B.A. (HSc)-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)


16 November 2011

Derita Gaza Siapa Yang Peduli!



...........Aku Ingin khabarkan kepadamu tentang Gaza.Gaza hidup di dalam sangkar, di dalam sebuah penjara terbuka yang telah lama terisolasi dari dunia. Pokok-pokok oren telah lama jatuh menyembah bumi. Bunga-bungaan tidak lagi dieksport. Juga sayur-sayuran, buah-buahan dan buah zaitun, dahulunya mereka ini perniagaan eksport yang pernah makmur.

Sejak tahun 2000, tentera Israel telah memusnahkan sebanyak 114,000 pokok zaitun. Yang lain pula telah lama tengkarap semasa perang 2008-9-banyak yang tercabut dek fosforus putih dan bahan-bahan kimia yang lain. Kini, pertanian sukar untuk dikerjakan dan di sesetengah kawasanadalah mustahil.


Gaza kelihatan seperti zon perang – lubang-lubang peluru jelas kelihatan di sisi-sisi bangunan. Gaza hidup tanpa pam kumbahan yang teratur – dibom setiap kali siap dibina semula. Perairan Mediterranean pula dipenuhi dengan sisa kumbahan mentah, manakala had 3-batu yang dikawal rapi oleh tentera laut Israel secara kolektif memusnahkan industri perikanan yang pernah makmur seketika dahulu. Kini, airnya bertakung sisa kumbahan dan sisa aktiviti perikanan berlebihan.

Ini ialah kisah perang yang paling menggerunkan – kengeriannya tak dapat bayangkan di mana terowong dengan labirin yang berbatu jauhnya berfungsi untuk mengurangkan penderitaan rakyat melalui barang-barang yang dibawa dari Mesir. Terowong ini berbahaya kerana sentiasa dibom oleh roket dan peluru berpandu. Ramai orang-orang muda pemberani yang bekerja dalam terowong untuk membawa barang-barang yang diperlukan ke Gaza memperjudikan hidup mereka setiap hari. Barang-barang untuk menampung kehidupan datang melalui terowong ini. Minyak diesel dan petrol dipam melalui terowong pada 1 / 3 harga Israel. Di samping itu,bahan binaan, simen, ubat-ubatan, kain pembebat, alat pertolongan cemas, malah kereta dan mesin basuh melalui jalan ini ke Gaza. Bahan-bahan yang dikirim melalui Ashdot, Israel, seringkali harus menunggu berbulan-bulan sebelum mereka diperiksa dan selalunya tidak akan pernah tiba di Gaza. 


Elektrik masih kurang dan penjana yang digunakan di hospital-hospital hanya boleh diaktifkan 12 kali sehari. Mereka acap kali terpadam semasa pembedahan. Pembaikan penjana dan peralatan lain merupakan sebuah masalah berat kerana alat ganti mengambil masa berbulan-bulan untuk tiba dari negara-negara penderma. Hal ini turut sama berlaku pada peralatan pengimejan yang baru, berdiri terbiar apabila diperlukan. Apabila sesuatu barang rosak, seseorang seringkali harus menunggu lebih daripada satu tahun untuk alat ganti yang datang dari NGO [badan bukan kerajaan] yang menyokong rakyat Palestin. Malangnya (setakat yang saya pelajari) Amerika Syarikat tidak lagi menyumbang dan Kongres AS menyalurkan penggunaan dana itu bagi NGO pembangunan agrikultur. Ini ialah satu tragedi untuk rakyat Palestin di Gaza, mereka hanya mampu membekalkan makanan kepada penduduk mereka sendiri.

Ramai pesakit tidak boleh mendapatkan rawatan lanjut. 40% daripada ubat-ubatan untuk rawatan yang diperlukan tidak boleh didapati. Ubat-ubatan kemoterapi langsung tidak wujud di sini kerana mereka terlalu mahal. Turut sama tiada ialah sarung tangan, jarum jahitan, antibiotik dan keperluan yang paling asas. Banyak kerusi roda yang ada disumbangkan oleh negara-negara yang mengambil bahagian [mendukung Palestin]. Kerusi-kerusi ini berada dalam keadaan yang baik untuk dipakai oleh orang-orang muda yang anggota badan mereka diletupkan. Saya diberitahu bahawa kerusi roda yang dihantar oleh Israel tidak boleh digunakan lantaran banyak bahagian yang hilang. Mengapa pula? Hospital telah dibom dan dibina semula. Tanpa terowong, akan ada kelumpuhan total dalam pembinaan semula.

Hanya pesakit yang memerlukan rawatan lanjutan, dan pesakit yang paling lemah dihantar ke hospital-hospital Israel. Perjalanan ke sana adalah panjang dan sukar dengan tempat pemeriksaan yang banyak.Sesetengah pesakit tidak berjaya melepasinya dalam keadaan hidup. Kanak-kanak mesti pergi bersendirian kerana ibu bapa tidak diberi kebenaran untuk menemani mereka. 

Kini, pesakit lebih mudah dihantar melalui Rafah ke Kaherah untuk mendapatkan rawatan. Juga suatu perjalanan yang sukar, tetapi lebih disukai kerana sekatan sempadan mewujudkan lebih banyak kemungkinan untuk tiba di hospital Mesir. Namun, ia masih sukar dan panjang. Saya melihat orang menunggu berjam-jam di sempadan untuk pasport dan dokumen-dokumen mereka diluluskan, prosedur membosankan walaupun bagi orang yang sihat. Hospital Al-Shifa (diterjemahkan sebagai “Penyembuhan” dalam bahasa Arab) adalah hospital yang terbesar di Semenanjung Gaza. Ia mempunyai 700 katil dan merawat 1200 pesakit sehari. Kesan pengepungan kesihatan Israel tidak kurang daripada dahsyatnya. Saya amat kagum dengan komitmen kakitangan hospital yang merawat orang ramai yang sakit dan cedera walaupun dengan peralatan yang terhad. Lelaki dan wanita Palestin bekerja bergandingan bahu.

Kekejaman Yahudi Zionis terhadap penunjuk perasaan  Palestin:


Saya terkesan oleh keindahan dari Palestin dan dorongan mereka ke arah martabat dan kebebasan. Saya terkesan dengan ibu bapa kepada kanak-kanak yang sakit, menjaga mereka dengan penuh kecintaan dan tragedi yang terukir di wajah mereka. Sekian banyak dari apa yang saya lihat dan dengar di Gaza telah meninggalkan satu lubang hitam yang mendalam dalam kesedaran saya kerana saya sedar bahawa jenayah yang dilakukan oleh Zionis Israel dan bersama-sama Amerika Syarikat ialah salah satu jenayah yang terbesar terhadap sebuah populasi yang gagal untuk dilihat sebagai manusia. Sebaliknya rakyat Palestin adalah setan, binatang dalam usaha Israel untuk menghapuskan sejarah Palestin, maruah rakyat Palestin dan hak mereka untuk wujud dalam keadaan yang selamat dan aman. Dalam hemat saya, hal ini tidak boleh dibandingkan dengan bab terakhir Holocaust, ini ialah satu tragedi yang tiada pengampunan.

Saya akan terus menulis tentang tanah sitrus yang lara ini, tanah di mana tumbuh-tumbuhan sitrus telah direnggut keluar daripada bumi dan pokok-pokok telah dieksport ke Israel untuk keuntungan mereka. Semuanya berkisar mengenai keuntungan dan ketamakan manakala manusia tidak lagi menjadi manusia.

Saya ingin memberitahu anda tentang uranium dan fosforus putih yang ditemui selepas perang di mana pengeboman berlaku selama tiga minggu berturut-turut tanpa henti. Saya menyaksikan bagaimana guru-guru dalam projek “Selamatkan Anak-Anak Kita” membantu dua orang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang sampai hari ini tidak mampu berbicara setelah Operasi "Cast Lead". Namun sehingga hari ini, kita masih menemui bahan kimia di dalam tanah dan di dalam badan-badan kanak-kanak yang dilahirkan pramatang dengan kanser dan kecatatan. Ya dan 33 tambahan bahan kimia toksik yang berubah dengan setiap kali pengeboman baru, telah diasingkan. Sekiranya anda tidak tahu, lebih daripada 55% daripada penduduk Gaza adalah di bawah umur 18 tahun.

Menggigil saya memikirkan kesan kekejaman berterusan ke atas generasi muda ini pada tahun mendatang. Palestin masih dengan bantuan NGO yang cuba untuk untuk melestarikan kesejahteraan anak-anak Palestin di kem-kem pelarian yang sesak yang mempunyai wajah yang paling indah. Kita harus masih punya harapan kerana anak-anak ini mendatangi saya dengan isyarat keamanan dan kami bersama-sama mengucapkan Viva Palestina. Pekerjaan saya baru saja dimulai. Saya juga harus bertahan pada harapan. Dunia harus mendengarkan dan menolak.

*Lillian Rosengarten ialah seorang bekas pelarian Nazi Jerman, penganut agama Buddha, penyair, pengarang dan pasifis. Beliau menyumbang artikel ini kepada PalestineChronicle.com


http://haluanpalestin.haluan.org.my


12 November 2011

Boleh Tutup Telefon Bimbit Berdering Ketika Bersolat

SOLAT memerlukan tumpuan kerana apabila perhatian terganggu, ia mampu mengurangkan pahala solat. Sebab itu Islam amat menitik beratkan persoalan persediaan sebelum solat termasuk menetapkan hati yang tenang serta memakai pakaian bersih.

Persediaan juga mengambil kira mengelak daripada perkara yang boleh mengganggu solat seperti kerap berlaku sekarang ini, bunyi deringan telefon bimbit. Perkara ini penting kerana bunyi deringan telefon itu boleh mengganggu solat kita serta jemaah lain.



Deringan bunyi telefon terkadang menghasilkan lagu dan bunyi yang jelas mampu menghalang jemaah terus khusyuk ketika solat sedangkan khusyuk satu tuntutan penting dalam solat.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menghalang sahabat memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dengan nyaring ketika orang lain sedang solat.

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW apabila pergi ke masjid untuk beriktikaf dan Baginda mendengar al-Quran dibaca secara kuat, Baginda berkata: “Setiap kamu bercakap secara rahsia dengan Allah, maka janganlah mengganggu yang lain atau meninggikan suara melebihi orang lain apabila membaca al-Quran (atau apabila bersolat).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis, jika al-Quran juga dilarang diperdengarkan kerana boleh mengganggu solat, apatah lagi bunyi deringan telefon. Sudah tentu dilarang dan sebab itu wajib bagi ingin menunaikan solat menutup telefon bimbit sebelum melakukan solat sama ada bersendirian atau berjemaah.

Namun persoalan berbangkit, bagaimana jika kita terlupa menutupnya sebelum bersolat dan telefon berdering. Adakah kita perlu menghentikan solat, menggerakkan anggota tubuh untuk mematikan telefon bimbit atau membiarkan saja telefon terus berdering.

Jawapan paling tepat di sini ialah mematikan telefon tanpa membatalkan solat. Maksudnya, orang yang sedang solat dibenarkan bergerak sedikit anggota badan lalu menutup telefon itu. Pergerakan ini dibenarkan dalam solat kerana maslahah menjaga khusyuk solat lebih besar daripada terus membiarkan telefon berbunyi sepanjang kita bersolat.

Persoalan ini termasuk dalam perbahasan hukum pergerakan dalam solat. Perbuatan tidak termasuk dalam perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak maka ia terbatal tetapi jika dalam kuantiti sedikit membabitkan anggota kecil, maka dibolehkan.

Cuma di sini, ulama berselisih pandangan mengenai ukuran banyak atau sedikit. Dalam mazhab Syafie, jika dilakukan melebihi tiga kali dan secara berturutan maka ia membatalkan solat.

Namun bagi Imam an-Nawawi, ia turut mendatangkan contoh pergerakan yang sedikit seperti memberi isyarat ketika menjawab salam, melepaskan serban atau meletakkannya, menggosok lendir yang terlekat di baju dan lain-lain lagi.

Banyak juga keterangan hadis menceritakan pergerakan Nabi SAW dan sahabat ketika sedang solat kerana maslahah tertentu. Contohnya, pergerakan Nabi SAW memegang telinga Ibnu Abbas untuk memindahkannya daripada sebelah kiri ke sebelah kanan Baginda.

Pergerakan yang banyak ini sudah dijelaskan oleh Ibn Battal bahawa inilah maslahah digunakan Nabi SAW dalam memelihara solatnya daripada terganggu.

Begitu juga kisah Nabi SAW sendiri pernah solat dalam masjid sambil mendukung cucunya Umamah. Apabila rukuk, Baginda akan meletakkan cucunya di bawah dan apabila bangun, Baginda akan mendukung cucunya kembali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian cendekiawan Islam menolak dalil pergerakan Nabi SAW sebagai hujah untuk membolehkan kita mematikan telefon bimbit ketika solat kerana kata mereka ia khusus kepada Nabi SAW. Bahkan ada sebahagian mengatakan pergerakan dilakukan Nabi SAW itu boleh jadi tidak dilakukan secara berturut-turut melebihi tiga kali.

Namun, pendapat mereka masih tidak kukuh disebabkan ada juga sahabat melakukan pergerakan yang banyak apabila terdapat maslahah mendesak. Di samping itu, tiada jaminan Nabi SAW tidak bergerak melebihi tiga kali berturut.

Bahkan ia adalah perkara ijtihadiyyah Imam Syafie yang memang terkenal sebagai imam yang amat berhati-hati dan menjaga kesempurnaan solat. Ini suatu yang baik jika kita ingin mengambil pendekatan Imam Syafie.

Bagaimanapun, dalam kes mematikan telefon, ini keperluan mendesak. Ia boleh dikategorikan sebagai pergerakan yang wajib dilakukan ketika solat kerana larangan mengganggu jemaah lain yang sedang solat adalah wajib.

Oleh itu, perbuatan mematikan telefon dimasukkan dalam perbahasan yang sama seperti keharusan bergerak untuk membunuh binatang buas yang mengancam. Ia diqiyaskan kepada hadis Nabi SAW yang mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil ketika solat.

Diriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan supaya membunuh dua binatang buas walaupun ketika solat iaitu kala jengking dan ular (jika ia menghampiri ketika solat).” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Justeru, dapat difahami bahawa wajib bagi seseorang untuk mematikan bunyi telefon bimbitnya kerana ia merosakkan ketenangan orang yang sedang solat, seperti mana bahayanya kala jengking dan ular.

Namun pergerakan itu mestilah dibatasi supaya tidak terlalu melampau sehingga melambangkan seolah-olah tidak ada perbezaan antara orang yang melakukan solat dan orang belum mengerjakan solat.

Penulis ialah Muhammad Asyraf (juara program Imam Muda)
Rujukan: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bolehtutuptelefonbimbitberderingketikabersolat/Article


4 November 2011

IBADAT KORBAN PENEBUS DOSA



Salam Aidil Adha...Ya Allah,ampunilah dosa-dosa kami.


Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, ke-11, ke-12 atau ke-13 Zulhijjah. Islam mensyariatkan ibadat korban berkenaan sebagai antara ibadat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping itu, ia mengingatkan kita terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat.


Banyak hadis menekankan keutamaan ibadat korban ini. Antaranya ialah hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)


Melalui hadis ini jelas bahawa korban adalah ibadat atau amalan yang disukai Allah SWT. Maka sudah tentu ia mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat. Justeru, melakukan ibadat korban menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan, di samping menjadi penebus dosa kita.


Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosamu yang lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban)

Dipetik daripada Kitab Sabilal Muhtadin Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia menjadi tungganganmu di atas titian siratulmustakim pada Hari Kiamat nanti.”




Begitulah besarnya ganjaran diberikan kepada orang yang melakukan korban. Allah SWT menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ia menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangan untuk meniti al-Sirat pada hari akhirat kelak.Walaupun pada zahirnya ia cuma mengorbankan binatang sembelihan, jika dikaji dengan teliti, ia adalah ujian Allah SWT dalam melatih kita supaya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini.



Selain itu, ia juga ujian bagi melihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat kemewahan yang dikurniakan Allah SWT. Betapa Rasulullah SAW ketika hayat baginda dan juga sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata mendaulatkan agama, inikan pula amalan yang cuma mengorbankan secebis harta demi mensyukuri nikmat yang diterima. Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk kemampuan, maka tertutuplah rahmat Allah SWT dan nescaya sia-sia ibadat korban itu.



Rasulullah SAW amat menyukai amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat melakukan ibadat korban pada setiap Hari Raya Korban. Justeru, amalan korban itu bukan saja mempunyai kelebihan yang besar, bahkan dilihat dari sudut kerohanian, ia juga dapat mengikis sifat bakhil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir miskin bagi turut merasai keriangan hari raya.


Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj ayat 36)


Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti ia dapat mewujudkan semangat kerjasama serta saling bantu-membantu di antara semua pihak, sama ada pihak yang melakukan korban mahupun pihak yang menerima.

sumber:ePondok


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...