Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

29 Jun 2011

Israk Mikraj penguat Iman dan Taqwa


Kini kita berada bulan Rejab. Didalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Peristiwa tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah swt di atas sekelian makhluqNya dan benarnya kenabian Muhammad saw, bahkan ianya juga membuka ufuk pemikiran dan cita-cita manusia sejagat dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi ini semata-mata kepada keluasan cakerawala ciptaan Allah swt yang amat luas dan jauh, siap untuk diamati untuk lebih kita mengenali Tuhan Pencipta Agung, siap untuk diterokai agar manusia memperlengkap dan meninggikan kualiti ilmu pengetahuan demi memenuhi cita-cita tersebut.

Setelah kewafatan Khadijah ra, pendokong moral dan material perjuangan Baginda saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda saw dari ancaman fisikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat disegi psikologi Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri, juga dari segi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset. Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!). 

MasyaAllah !! Setelah 9 bulan perjalanan, Amerika menjejakkan alatnya di planet Marikh pada 25.6.2008  dan hari ini menunjukkan fotonya kepada umat manusia di bumi. Tanah Marikh diambil dan dianalisa. Foto ini boleh tiba ke bumi dengan pantasnya, melalui perantaraan apa? Orang kafir sibuk meneroka alam baru sedang umat Islam pula sibuk melayan tuntutan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan bercakaran sesama sendiri.
Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekelian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab ~620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt. Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.


Tidak seperti roket yang hanya dipakai buang sekali sahaja disetiap pelancaran dan operasi, “space shuttle” berjaya dicipta Amerika bertindak seperti teksi antara langit dan bumi, boleh diguna berulangkali. Setakat ini 4 buah space shuttle iaitu Columbia (dilancarkan pada 12.4.1981, tepat 20 tahun selepas Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasalepas), Challenger, Endeavour dan Atlantis telah dihasilkan. Tiap satu memakan belanja setahun budget seluruh negara sedang membangun di dunia.

Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta. Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motovasi penuh untuk menyelamatkan mereka di dunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.

Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa as (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah saw (dalam peristiwa Israk Mikraj)
Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut :
  1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumah tangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
  2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa gangguan terutamanya di fasa awalnya.
  3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Uslam dan umat.
  4. Dengan Nabi saw menjadi imam semua para Rasul yang lain di Masjidil Aqsa, hari ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing) kepada umat-umat yang lain, dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini. Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
  5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
  6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat ra akan terus menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari kaca.
  7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat ra.
  8. Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.
Masjid Kubah Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sini tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi yang dilaknat Allah swt. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah swt. Bila ? Siapa pembebasnya ? Apa ciri-ciri mereka ? Bagaimana mereka dididik (dihasilkan) ?
Marilah kita sama-sama meraikan dan memperingati peristiwa bersejarah dan besar ini, dengan mengatur atau menghadiri ceramah mengenainya. Jauh lebih itu ialah mencedok pengajaran-pengajaran darinya untuk kehidupan bermasyarakat dan perjuangan bersama-sama teman-teman yang beriman. Sekian.


Ustaz Halim   www.inijalanku.wp.com


17 Jun 2011

Tahniah Buat Pemenang Quiz Istimewa Isu Palestin


Pemenang No 1: Nik Siti Noor Fadhillah Binti Md Saad.
Pemenang No 2 : Muhammad Ikhwan Hadid Bin Mesari
Pemenang No 3: Mohd Afiq Bin Sapar

Para pemenang bakal menerima DVD Eksklusif Training of Trainer (ToT) Palestin & Video Eksklusif tragedi Mavi Marmara. Hadiah akan diposkan kepada pemenang dalam masa terdekat. Tahniah dan terima kasih kerana menyertai Quiz yang kami anjurkan. Kepada peserta yang tidak berjaya mendapat hadiah bagi kuiz kali ini, teruskan usaha anda dalam siri quiz yang seterusnya. InsyaAllah.

"Semoga pengetahuan kita semakin bertambah dan digunakan untuk berdakwah di jalan Allah "

*Pemenang diatas merupakan peserta yang menjawab dengan betul dan paling cepat bagi kuiz isu Palestin yang disiarkan PERDIQMA dalam posting di bawah kategori Teka-teki Islam di >sini<. Berikut merupakan soalan dan jawapan bagi Quiz Isu Palestin ini:

Soalan:

1.  Antara berikut, dimanakan bandar yang terdapat Masjidil Aqsa di dalamnya?

a. Semenanjung Gaza        b. Baitul Maqdis
c. Khan Younis                   d. Rafah

2. Regim Zionis yang menguasai Palestin ingin merobohkan Masjidil Aqsa dan ingin menubuhkan sebuah struktur lain. Apakan nama bangunan tersebut?

a. The Solomon Temple    b. The Dome of The Rock
c. The Shederot                 d. The Palace of Sharon

3. Hari "Nakba" yang bermaksud "bencana" diraikan oleh rakyat Palestin dan seluruh dunia bagi memperingati peristiwa yang berlaku pada 9 April 1948" di Palestin. Apakah peristiwa yang berlaku pada waktu tersebut?

a.  Kejatuhan empayar Uthmaniyyah.      b. Rampasan tanah Palestin oleh Yahudi.
c. Penubuhan Negara Haram Israel        d. Kemenangan Hamas menentang Zionis

4. Antara berikut yang manakah bukan negara jiran bagi Palestin?

a. Mesir       b. Syria
c. Israel       d. Jordan

5. Israel merupakan nama lain bagi seorang nabi. Siapakan nabi yang dimaksudkan?

a. Musa     b. Yusuf
c. Daud     d. Yaakub

6. “Sesiapa yang menguasai Palestin akan menguasai Dunia". Kata-kata ini pernah disebutkan oleh seorang tokoh di dalam Islam. Siapakah tokoh yang dimaksudkan?

a. Saidina Umar Al Khattab         b. Saidina Umar Bin Aziz
c. Salahuddin Al-Ayubi                 d. Zaid Bin Thariq

7. Peristiwa Shabra & Syatila merupakan satu peristiwa pembunuhan beramai-ramai terhadap Umat Islam Palestin yang dilakukan oleh Pelampau Zionis antara 16 hingga 18 September 1982. Dimanakah kedudukan Shabra & Syatila pada hari ini?

a. Negara Palestin       b. Negara Jordan
c. Negara Mesir           d. Negara Lubnan

8. Nama-mana berikut merupakan pemimpin utama dan pejuang barisan hadapan gerakan Hamas di Palestin. Kesemua mereka telah terbunuh (Syahid) dalam perjuangan kecuali seorang. Siapakah antara mereka yang masih memimpin dan hidup sehingga hari ini?

a. Dr Aziz Rantisi                    b. Syeikh Ahmad Yassin
c. Ustaz Ismael Haniyeh      d. Nizar Rayan

9. Protokol Yahudi merupakan satu keputusan mesyuarat yang terhasil dari mesyuarat The Elders of Zion yang berlangsung pada tahun 1896 di Basle, Switzeland. Kandungan protokol ini adalah berkenaan rancangan rapi bagi menubuhkan sebuah negara Yahudi melalui pelbagai konspirasi sejak berkurun lamanya. Antara berikut siapakah yang terlibat dengan protokol tersebut?

a. Henry Ford                b. Theodore Herzl
c. Ariel Sharon              d. Joseph Schechtman

10. Berikut merupakan kitab atau sumber panduan bagi Yahudi. Kesemua yang digunakan pada hari ini adalah kejam dan tidak benar. Namun begitu, yang mana satukah didapati merupakan kitab/panduan paling kejam?

a. Perjanjian Lama (Old Testament)        b. TALMUD  
c. KABBALA                                                   d. PROTOKOL ZIONIS

Jawapan: 
No 1: (B) No 2: (A) No 3: (C) No 4: (C) No 5: (D) No 6: (C) No 7: (D) No 8: (C) No 9: (B) No 10: (D)

 

"Bersama memahami permasalahan Ummah!!!"
Quiz dan hadiah oleh Biro Dakwah & Ekonomi PERDIQMA.


16 Jun 2011

Utusan Malaysia Hina Islam

Persatuan Ulama kecam karikatur Utusan Malaysia ini yang didakwa menghina Islam
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengecam karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sambil menyifatkan ia menghina agama Islam.

Yang Dipertuanya Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berkata, penyiaran karikatur (gambar) itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.

Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada jabatan agama, namun ditolak kerana menurut karikatur itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.

Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.

Dialognya berbunyi “Bagus... Alat itu pun boleh jadi bukti!”


Jelas Sheikh Abdul Halim, tindakan Utusan Malaysia melepaskan karikatur itu adalah tidak wajar dan boleh menyebabkan perpecahan antara umat Islam.

“PUM ()memandang serius penyiaran kartun dalam Utusan Malaysia disiarkan pada yang secara jelas menghina ulama dan Islam ... perkara ini tidak harus dibiarkan.

“Kartun seperti itu dilihat cuba memperlekehkan pandangan alim ulama dan memberikan tanggapan negatif kepada Islam.


“Sepatutnya akhbar menjadi alat perpaduan dan menimbulkan kesedaran, bukan menambah pergeseran dan perpecahan umat,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mahu Majlis Fatwa Kebangsaan memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan susulan ekoran keberanian pelukis dan Utusan Malaysia menyiarkan karikatur begitu.

“PUM meminta supaya para mufti juga turut menegur Utusan yang menyiarkan kartun yang menghina hukum hakam agama.

“Sehubungan itu PUM meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian berhubung dengan perkara ini,” katanya.

Selain itu, tegas Sheikh Abdul Halim, pihaknya juga mahu pelukis dan Utusan Malaysia didakwa kerana menghina Islam.

“Sepatutnya perkara sebegini sepatutnya mereka perlu mendapatkan pandangan cerdik pandai dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sesuatu bahan.“Kita syorkan supaya pelukis dan penerbit kartun ini di dakwa atas penghinaan ke atas Islam,” katanya yang turut menyarankan agar kerajaan mengadakan lebih banyak program untuk menyelesaikan isu berkaitan agama Islam.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor pula berkata sepatutnya pelukis karikatur itu perlu tahu bahawa tindakannya akan mengundang rasa marah umat Islam yang lain.

“Kartun ini hina Islam sebab dalam kes zina memang rakaman video tidak boleh dijadikan bukti tapi dalam kes rogol ia boleh dipertimbangkan dengan rakaman video itu disahkan dulu.

“Kes rogol bukan perbuatan zina, saya rasa pelukis ini silap dan tidak faham,” katanya kepada The Malaysian Insider. -TMI

Pihak PERDIQMA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan editor, penerbit dan pemilik akhbar berbahasa melayu ini yang jelas menghina Agama Islam dan mempersendakan hukum serta mengelirukan rakyat Malaysia yang membaca akhbar tersebut yang disiarkan pada 15 Jun 2011.

Sumber:klik sini


15 Jun 2011

Lepasan Pondok Warga Malaysia Pertama Menjadi Pensyarah Di Oxford

Dr Muhammad Afifi al-Akiti
MA (Oxon), MSt (Oxon), DPhil (Oxon), MSIEPM Dr Muhammad Afifi al-Akiti  juga dikenali sebagai Sheikh Afifi. Beliau merupakan salah seorang felo pensyarah Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford, dan Pensyarah Pusat Islam dalam bidang pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, United Kingdom, dan juga merupakan felo pensyarah di Worcester College, Oxford. Beliau merupakan bangsa Melayu pertama seumpamanya yang berjaya menjadi salah seorang tenaga pensyarah di universiti yang paling berprestij di dunia 

Dr al-Akiti telah berjaya mendapat ijazah kedoktoran falsafah (DPhil) dalam jurusan Falsafah Arab Pertengahan (Medieval) dari Universiti Oxford sebagai Cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya telah menerangkan dan secara sistematiknya dianggap sebagai suatu bentuk penulisan falsafah yang diletakkan dibawah kumpulan pertama yang digelar sebagai karpus Madnun, dipersembahkan kepada teologis Islam termasyur, Imam Al-Ghazali (d. 505/1111) – penemuannya adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang mendalam terhadap kira-kira 50 manuskrip Arab zaman pertengahan (medieval). Selain itu, terdapat juga tiga siri kajiannya yang diterbitkan yang dapat menyajikan edisi kritis dari hasil kerja yang paling maju dan teknis dari korpus, manual pada metafizik dan falsafah alam yang disebut Mayor Madnun.

Laporan TV3 tentang Dr Muhammad Afifi al-Akiti:


Dr al-Akiti, yang berasal dari Malaysia, telah dilatih sebagai seorang ahli teologi dan ahli falsafah dalam kedua-dua bidang keutamaan khususnya berkaitan dengan Dunia Islam dan tradisi barat. Beliau telah dididik oleh pelbagai Ulama, Dunia Islam yang mahsyur sejak beliau memulakan pengajian dari sekolah pondok lagi. Beliau telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast, dimana beliau berpeluang mendapat pelbagai anugerah biasiswa untuk meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana dan doktor falsafah di Oxford. Bidang kepakaran beliau adalah dalam bidang teologi Islam, falsafah dan sains.


Pada tahun 2009, bersama dengan Professor Muhammad Abdel Haleem dan IIIT, Dr al-Akiti beliau telah disenarai pendek sebagai salah seorang yang tersenarai dalam Anugerah Muslim UK Tahunan, atas kecemerlangannya menyumbang ilmu pendidikan Islam.

Pada tahun 2010, Dr al-Akiti telah dilantik sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama Islam Negeri Perak, Malaysia, dimana pengisytiharaan ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.



13 Jun 2011

Penubuhan Tunas Alumnai PERDIQMA

Mesyuarat sedang dijalankan
Pada 4-5 Jun 2011 yang lalu,  pihak PERDIQMA KPMB buat pertama kalinya telah berjaya menubuhkan tunas Alumnai PERDIQMA KPMB. Tujuan penubuhan Alumnai ini adalah bagi membantu usaha dakwah yang dilakukan oleh PERDIQMA di KPMB dengan menyumbangkan kepakaran yang dimiliki oleh ahlinya selain mengukuhkan ukhwah dikalangan bekas pimpinan PERDIQMA yang telah berada di pelbagai sektor sama ada masih bergelar mahasiswa ataupun yang telah berada dalam dunia pekerjaan.

Pengerusi PERDIQMA sedang berucap
Sepanjang program penubuhan alumnai ini, pelbagai aktiviti telah dilakukan bagi mengeratkan ukhwah sesama pimpinan PERDIQMA yang sebahagiannya telah sekian lama tidak bertemu. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program adalah penerangan matlamat penubuhan, mesyurat perlantikan & perancangan, lawatan ke Putrajaya dan ekspedisi mendaki Bukit Broga.

Bagi permulaan penubuhan tunas Alumnai ini, pihak PERDIQMA membuka keahlian kepada bekas ahli jawatankuasa tertinggi PERDIQMA. Namun begitu, insyaAllah pada masa akan datang pihak PERDIQMA akan membuka penyertaan kepada semua bekas pelajar KPMB yang pernah menjadi ahli PERDIQMA di KPMB.

Hasil mesyuarat penubuhan Alumnai PERDIQMA yang diadakan pada program ini juga telah melantik ahli jawatankuasanya seperti berikut:

Pengerusi: Muhamad Ihkwan Hadid Bin Mesari  (KPTM KL)
Naib Pengerusi: Rokiah Binti Rawi (Bekerja)
Setiausaha: Noor Jannah Binti Abdul Rahim (Bekerja)
Bendahari: Aizat Bin Bahrin (UM)

Ketua Biro Program & Modul: Mus'ab Khalili Bin Rosli (KPMB)
N.Ketua Biro Program & Modul: Nabila Binti Mohd Radzi (UITM SI)
Ketua Biro Ekonomi & Kebajikan: Mohd Afiq Bin Sapar (UNIKL)
N.Ketua Biro Ekonomi & Kebajikan: Nadiah Binti Abd Hamid (Bekerja)
Ketua Biro Informasi: Nur Salimah Binti Yusri (Bekerja)
N.Ketua Biro Informasi: Anwaruddin Bin Haji Sulaiman (Bekerja)

 Gambar: Sewaktu lawatan ke putrajaya
Semoga penubuhan alumnai ini dikira sebagai satu usaha kearah memantapkan lagi gerakan dakwah di KPMB serta dikira sebagai satu usaha amar makruf dan nahi mungkar oleh Allah SWT menepati firman Allah yang bermaksud:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”- Ali Imran ayat 104.

Gambar: Sekitar ekspedisi ke Bukit Broga.



10 Jun 2011

GELORA ASMARA REMAJA: PERSOALAN DAN PENYELESAIAN?

Hidup remaja yang penuh onak ranjau berduri di zaman ini banyak dikaitkan dengan isu-isu yang menjurus ke arah asmara. Asmara, asmara dan asmara..apakah dia asmara itu? Asmara itu secara mudahnya menurut faham kita ia merujuk kepada perasaan senang, suka, nikmat dan seronok yang akan dizahirkan daripada hasil perhubungan antara lawan jantina, yakni antara lelaki dan wanita. Namun dalam erti kata yang sebenar menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, asmara itu membawa erti cinta, kasih, cinta berahi, bermain, bercinta-cintaan dan bercumbu-cumbuan. Wah betapa asmara itu membawa konotasi yang agak tidak senang untuk dibincangkan secara terbuka! Kenapa? Kenapa? Dan kenapa? 


Bagi saya asmara itu tidak perlu lagi di”taboo”kan perbincangannya di zaman globalisasi yang gila kini. Untuk apa kita menyembunyikan hakikat yang membawa kepada banyak permasalahan dunia serba gila kini? Untuk apa kita menjadikan isu asmara ini sebagai suatu yang dilarang oleh orang tua-tua untuk diperbincangkan di ruang-ruang umum seperti ini? Untuk apa ia disembunyikan sedangkan itulah punca mengapa remaja Malaysia kini semakin rosak, rosak dan rosak akhlaknya.
 
Sebenarnya bukan hanya remaja yang memiliki gelora asmara di dunia ini. Orang tua sekalipun masih ada yang sedang bergelora dengan asmaranya. Jika tidak, mana mungkin berlaku kejadian keji golongan datuk tua bangka yang merogol cucunya sendiri. Namun begitu, persoalan kita di sini lebih kepada persoalan gelora asmara remaja, kerana yang membaca blog ini adalah hampir  100% remaja saya yakin. Inilah peluang keemasan yang wajar diambil oleh pihak tertentu yang sedar tentang tanggungjawab dakwah untuk menyedarkan golongan remaja tentang bahayanya penyalahgunaan gelora asmara itu di kalangan anak muda yang sedang mahu mencuba-cuba ini. 



Gambar: Kehancuran akibat pendedahan adegan seks terhadap kanak-kanak di barat. Bukti kanak-kanak mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat. Bayangkan kesannya terhadap golongan remaja.

Isu utamanya ialah, mengapa gelora asmara itu hadir..adakah ia dijemput dengan karpet merah supaya masuk menusuk ke kalbu remaja sekalian. Mengapa rasa itu harus hadir di celah-celah jiwa keras seorang remaja. Kenapa ia sering mengganggu tenangnya jiwa seorang remaja yang cintakan agamanya dan bencikan kemaksiatan.Mengapa? Saya pernah membaca sebuah novel yang bertajuk “Kiswah” yang mana novel ini terlalu telus menceritakan apa di sebalik tersurat. Memaparkan apa yang dirasakan bila berdepan dengan lawan jantina. Tidak sanggup menulis contoh ayat yang selalu diulang dalam novel itu di sini. Cuma ingin menunjukkan bahawasanya rasa asmara yang wujud dalam sanubari itu adalah fitrah insani. Ya benar ia adalah fitrah. Rasa mahu dibelai, mahu disayangi, mahu dipeluk oleh insan yang dikasihi itu memangnya fitrah yang Allah hadirkan dalam diri kita. Cuma persoalannya bagaimana ia hadir dengan cara yang tidak betul dan bagaimana harus remaja menanganinya.  

Di dunia akhir zaman ini, gelora asmara itu dikejutkan dengan cara yang pelbagai. Samaada melalui dunia teknologi informasi mahupun pembacaan bahkan juga melalui media massa. Lihat saja deretan cerita-cerita juga drama-drama di televisyen kita kini. Berapa banyak isi dan jalan ceritanya menjurus ke arah bergoncangnya gelora asmara remaja. Pemaparan budaya “couple” yang keterlaluan. Bebas berpegangan tangan, berpelukan, berciuman, hatta adegan ranjang juga mahu ditunjukkan aksinya supaya nampak “real”. Jika ditanya kepada para pelakonnya kenapa sanggup melakukan adegan sebegitu, maka jawapannya sangat mudah. “Untuk memenuhi kehendak pengarah dan supaya lakonannya hidup”..Ya memang hidup, menghidupkan nafsu para penontonnnya. Betapa rakusnya manusia kini. Faktor keuntungan itu dijadikan kiblat dalam menerbitkan filem dan drama manakala faktor moral dan etika apatah lagi soal halal haram di kesampingkan malah dibuang jauh-jauh.

Babak-babak dalam Filem "Gubra" yang mencetuskan kontroversi beberapa tahun lalu: 

Bayangkan apa perasaan remaja yang masih belum bernikah apabila menonton filem dan drama sebegini. Pasti akan timbul perasaan teringin, rasa seronok dan sebagainya mahu mencuba apa yang masih belum dirasai sebagaimana yang dilakukan oleh para pelakon tersebut. Bahkan dalam filem dan drama yang kononnya berunsurkan Islam sendiri terlalu banyak adegan berahi dipaparkan sebagai daya tarikan kepada penonton. Sesungguhnya Islam di zaman ini hanyalah sekadar kulit semata-mata. Bak kata Bob Lokman, bukan sekadar drama itu dipertikaikan tapi di sebalik pembikinan drama itu bagaimana situasinya. Kita sering menuding jari ke arah filem-filem dari Barat yang kononnya menjadi punca remaja runtuh akhlaknya. Usah lagi kita semberono menuduh sebegitu kerana mereka itu memangnya kafir, dan itulah kerja-kerja orang kafir. Persoalannya kita orang Islam, filem yang bagaimanakah yang telah kita hasilkan?

Gelora asmara remaja juga selalu dibangunkan melalui lagu-lagu cinta berahi dan juga iklan-iklan produk di televisyen. Berapa banyak lagu-lagu cinta yang mengasyikkan, yang mengkhayalkan malah yang membolehkan jiwa remaja menerawang jauh ke alam fantasi. Teringat sebuah lagu di tahun-tahun 90-an dahulu antara lain liriknya “…memadu asmara buaian embun pagi…” sangat jelas ia adalah lagu yang menggalakkan perlakuan asmara di kalangan pasangan yang hangat bercinta. Juga di tahun-tahun millennium ini terlalu banyak lagu-lagu picisan yang tiada nilai moral serta iman di dalam liriknya. Antaranya yang begitu syahdu didengari ialah lirik yang berbunyi “…rasa yang pernah kau beri..cinta yang pernah kau bagi…” 

Inilah dia contoh zikir-zikir harian remaja yang membawa kepada bergoncangnya gelora asmara remaja dalam alam tanpa sempadan kini. Tidak kurang juga iklan-iklan produk di televisyen yang sangat tiada etika dan tiada  nilai menjaga maruah terutamanya di kalangan wanita. Lihat sahaja iklan produk minuman yang dikatakan mampu menambahkan kejantanan lelaki juga kewanitaan wanita. Juga produk penjagaan badan yang agak “kurang ajar” untuk dipertontonkan. Juga produk tuala wanita yang amat aib untuk diketengahkan. Betapa banyak dialog iklan yang menjurus ke arah panahan asmara. Antaranya..” Yang….abang dah balik…”, “..saya di bilik bang….”..kemudian lampu dipadamkan. Apakah maknanya itu? Sehingga kanak-kanak bertanya kenapa perlu tutup lampu sedangkan suaminya baru balik. Teringat kata-kata daripada seorang pengusaha produk homeopaty, beliau mengatakan rasa marahnya terhadap iklan-iklan produk minuman penambah tenaga yang mengandungi tongkat ali. Menurut beliau produk tersebut tidak sesuai diiklankan sebegitu rupa kerana minuman tersebut hanya sesuai diminum oleh lelaki yang sudah berumahtangga disebabkan ia menambahkan tenaga batin. Bayangkan kata beliau jika minuman tersebut diuar-uarkan kepada semua remaja lelaki yang belum bernikah, jika mereka meminumnya apa akan terjadi? Ke mana mereka hendak melepaskan perasaan tersebut, isteri tiada dan ke mana mahu disalurkan?

Inilah di sebalik apa yang kita lalui sekarang ini. Kita hanya melihat dan menerima tanpa berfikir seketika. Jika dalam tahun-tahun 90-an dulu tiada sebarang iklan tuala wanita disiarkan di televisyen mahupun di radio. Namun malangnya kini, rasa malu itu sudah hilang. Tuala wanita ditayang-tayangkan dengan terperinci tanpa sebarang rasa aib dalam diri. Teringat dulu iklan tuala wanita yang sangat mendapat sambutan di kalangan pelajar-pelajar remaja lelaki ..antara lain dialognya menyebut..”Alah…K***X kan ada…” Ya tuhan..apa sudah jadi sekarang ini..maruah wanita dijaja di merata-rata di setiap rumah malah di depan sesiapa sahaja.

Majalah-majalah hiburan picisan juga banyak menyumbang ke arah bergelodaknya gelora asmara remaja. Gambar-gambar artis wanita yang hanya berkemban cara moden menunjukkan lurah-lurah dendam juga skirt separas pangkal paha. Tanyalah kepada remaja lelaki apa perasaan mereka bila melihat malah menilik gambar tidak senonoh tersebut. Pasti jawapannya , mereka rasa teruja. Begitu juga dengan adegan-adegan artis lelaki yang tidak berbaju malah berseluar di atas paras lutut, jika tidak kena caranya ia juga mampu mengusik gelora asmara remaja wanita.

Ingin juga saya sebutkan di sini punca yang membawa kepada salah saluran gelora asmara remaja ialah kerana perkahwinan yang terhalang atas beberapa alasan tertentu. Antaranya masih belajar, belum mendapat kerja tetap juga kerana hantaran terlalu tinggi. Sering kedengaran jerkahan-jerkahan sebegini “Kamu orang semenanjung apa yang kamu tahu adat kami orang Sabah”..”Kamu Indonesia …apa yang kamu tahu adat kami di bumi Malaya ini”..Tapi yang peliknya gadis-gadis yang sudah terlanjur dikahwinkan dengan sebaiknya tanpa sebarang soal jawab berkaitan hantaran. Sedangkan gadis itu sudah “ditebuk tupai” sepatutnya ia perlu dibayar lebih lagi. Adat itu terlalu diagung-agungkan mengalahkan agungnya syariat Islam. Ini sangat menyedihkan. Di kala anak-anak sudah wajib bernikah dan sudah meminta izin dengan cara terbaik tetapi ia diperleceh-lecehkan dengan adat yang sangat mahal harganya. Tidakkah terfikir jika pernikahan itu ditangguhkan lagi akan berlaku mudarat yang lebih besar iaitu zina! Tidakkah terfikir betapa mulianya zuriat yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah yang ringan maharnya berbanding daripada zuriat yang lahir hasil daripada zina. Na’uzubillah..

Video pendedahan keruntuhan akhlak remaja kini:
 
Jika diperincikan lagi sebenarnya ada banyak lagi faktor yang mendorong kepada salah laku asmara di kalangan remaja kini. Cuma ini adalah antara faktor yang kelihatan besar daripada yang besar tapi tidak berapa kelihatan. Bukan kita mahu sekadar mencari punca masalah, tetapi kita juga mahu mencari alternatif kepada penyelesaian masalah yang sudah menjadi barah itu.  Hati mana yang tidak marah dan sakit bila mana sering diberitakan berlakunya pembuangan bayi merata-rata. Jiwa mana yang tidak tersentap dengan perlakuan remaja yang sanggup mencampak bayi dari tingkat lima pangsapuri, bayi dibakar hidup-hidup, dicampak ke sungai malah ada yang dimakan oleh anjing jalanan. Seperti tidak percaya, itu berlaku di Malaysia. Benarlah kata seorang ustaz di radio IKIM.FM yang mengatakan jika sebelum ini kita terkenal dengan belia 4B, sekarang kita dikenali dengan belia 6B, jika saya tidak silap ia itulah B: Bohsia, B: Bohjan,  B: Buncit, B: Bayi B: Buang.B: Bunuh Astagfirullah hal ‘azim.

Sekarang jika nilai pula apakah cara terbaik untuk menghindar juga menyelesaikan masalah berkaitan gelora asmara remaja yang kian gawat ini. Pertamanya sudah pasti pihak yang berkuasa mampu mengubah semua ini di peringkat dasar. Antaranya, Lembaga Penapisan Filem (LPM) perlu rapatkan lagi tapisan yang sedia ada. Perlu kecilkan lagi tapisan yang terngaga luas itu dengan standard penilaian iman. Perlu mereka ingatkan, amanah yang dipikul itu akan dipersoalkan satu persatu di hadapan Allah Ta’ala kelak. Jika tapisan itu disalut dengan keimanan maka akan tiada lagi adegan-adegan peluk cium, adegan separuh ghairah malah menggiurkan yang boleh merosakkan minda remaja. Saya pernah terbaca dalam satu artikel dalam sebuah majalah menyebut, seorang remaja hatta kanak-kanak jika terpandang sesuatu yang mengghairahkan maka ia akan terkenangkan perkara itu sampai bila-bila. Ini sangat bahaya. Bukan itu sahaja, penerbit-penerbit filem dan drama juga sepatutnya ada rasa tanggungjawab dalam setiap karya yang dihasilkan, apa perlunya adegan pergaulan bebas dan adegan  panas dalam sesebuah cerita. Mereka perlu berhijrah ke arah filem yang lebih islamik dan yang lebih islamik.

Bagi menghasilkan lagu-lagu yang sedap didengar dan susah dilupakan,tidak perlu meletakkan lirik galakan asmara di dalamnya. Apa yang perlu adalah melodinya yang indah. Sudah terang dan jelas di dalam Islam mengatakan bahawa lagu yang dilarang dalam Islam ialah lagu yang mendorong kepada kemaksiatan dan menjurus ke arah cinta berahi antara lelaki dan wanita.  Saya sendiri bila menghubungi pelajar pasti akan kedengaranlah ringtone lagu-lagu yang saya sangat yakin ia berbaur lucah berdasarkan lirik dan rentaknya, tetapi itulah yang menjadi pujaan remaja. Teringat semasa menyertai demontrasi menentang kehadiran kumpulan artis lucah dari Barat iaitu Vengaboys yang hendak membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2001. Antara lirik lagunya ialah “ If you're alone and you need a friend,Someone to make you forget your problems, Just come along baby, Take my hand, I'll be your lover tonight, Boom boom boom boom, I wanna double boom, Let's spend the night together, Together in my room ".
  
Hakikatnya banyak lagu kini yang tidak menggoncang gelora asmara remaja pun tetapi ia sedap didengar sentiasa. Antaranya lagu “Hikmah Kembara” yang mana antara liriknya ialah “Berjalan, bermusafirlah, melihat kebesaran tuhan ,yang diciptakan untuk,mereka yang berfikir, dan bersyukur di atas nikmat, dan kurnianya,nilai harganya, iman dan taqwa, bagi hamba yang setia”  dan terdapat banyak lagi lagu-lagu yang menyentuh jiwa supaya menuju kebaikan seperti ini. Persoalannya tepuk dada tanyalah iman. Kamu mahu pahala atau mahu dosa? Di sinilah kita diuji dengan kuasa memilih. Sesungguhnya jalan yang luas itu sering membawa kehancuran dan jalan yang sempit itu membawa kepada kenikmatan iman.

Begitu juga halnya dengan berkaitan dengan iklan-iklan dan majalah-majalah di pasaran. Kitalah yang wajib pandai memilih. Kamu mahu syurga atau neraka? Mungkin ada yang berpendapat “alah…benda dah ada tengok je lah..membazir pula kalau tak tengok”..Juga ..” Alah..tengok kejap je bukannya buat apa pun..” Sering mendengar alasan sebegini dari pelbagai pihak. Teringat kata-kata seorang ahli parlimen yang mengatakan beliau pernah membangkitkan isu moral etika remaja ketika persidangan di parlimen, malangnya isu tersebut diperlekeh-lekehkan oleh ahli parllimen yang lain. Wah..betapa gawatnya kalau begini. Jika isu ini dipandang remeh maka tunggulah kehancuran akan menimpa kita. Bukan kehancuran seperti tsunami tetapi kehancuran akhlak yang lebih teruk daripada remaja-remaja yang ada di Barat. Beliau juga mengatakan bahawa, memandangkan segala apa yang berlaku kini susah dikawal dan disekat maka, kitalah yang perlu pandai memilih. Maka dengan itu pilihlah berlandaskan iman dan takwa.

Berbalik kepada persoalan terhalangnya pernikahan tadi, Rasulullah SAW telah berpesan: 

 “Hai Ali, ada tiga perkara yang jangan kamu tunda-tunda pelaksanaannya, iaitu solat apabila sudah tiba waktunya, jenazah bila sudah siap urusan segera penguburannya, dan wanita bila sudah ada laki-laki sepadan yang meminangnya” (Hadith Riwayat Imam Ahmad). 


Untuk apa ditangguh-tangguhkan sebuah keinginan yang amat dalam. Adakah perlu menunggu musibah menimpa? Oleh itu pada saya ibu-bapa kini perlu bersikap lebih terbuka dalam soal nikah kahwin anak-anaknya. Bukankah nabi telah mengingatkan kepada kita bahayanya menangguh-nangguhkan pernikahan seorang gadis apabila ia telah sampai ke takah wajib. Tidak perlulah mengadakan kenduri besar-besaran kerana sesungguhnya keberkatan itu yang perlu bukannya “glamour”. 

Hadis Riwayat Al Bukhari ada mencatatkan, Rasulullah SAW bersabda, "Adakanlah walimah, walaupun hanya dengan seekor kambing." Bukti jelas menunjukkan percepatkanlah pernikahan remaja kerana itu mampu membendung kerosakan di muka bumi ini. Teringat akan seorang pakar motivasi yang mengatakan kesemua anak-anaknya dinikahkan di awal usia 20-an bagi mengelakkan mereka terjebak dengan maksiat. Memang benar dalam dunia penuh cabaran iman kini, terlalu banyak perkara yang menjerat ke arah maksiat. Maka ubat untuk menangani gelora asmara remaja adalah pernikahan. Itulah saluran yang terbaik.   

Itulah serba sedikit yang dapat kita bincangkan berkaitan isu gelora asmara remaja. Seseungguhnya rasa asmara itu sememangnya fitrah, namun remaja perlu pandai mengatur fitrah anugerah Allah tersebut. Bukan digunakan sewenang-wenangnya. Tetapi di susun atur dengan cara mengikut syariat Allah. Saya menulis di sini adalah atas kesedaran betapa hanyutnya remaja kita kini, tetapi bukanlah semuanya. Hanyutnya mereka kerana faktor-faktor luaran yang tidak terkawal. Di sana sini gelora asmara mereka diusik-usik. Perlu kita ingat bahawasanya nafsu asmara itu ibarat singa yang sedang tidur lena lalu  dikejutkan. Sekali ia diusik maka ia akan mengaum kemarahan. Kerana itu usah diusik nafsu asmara dengan menonton, melihat, mendengar dan menghayati perkara yang menjurus kepada bergelojaknya nafsu itu. 

Didiklah nafsu itu ke arah kebaikan. Sibukkan dirimu dengan pelbagai aktiviti berfaedah sehingga tidak sempat untuk berfikir walau sepicingpun soal asmara. Bukan mahu menolak fitrah, jauh sekali. Tapi jika masih belum sampai masanya maka hindarilah ia. Sesungguhnya jalan menuju asmara itu masih jauh untuk kamu lalui. Dan diri  yang menulis ini pun berlumuran dengan dosa kerana tidak sempurna sebagaimana Rasulullah. Sekadar memberi pendapat untuk perkongsian bersama,kerana takut-takut di akhirat nanti akan ada persoalan tentang apakah yang telah aku lakukan untuk kepentingan umat. Wallahu’alam bissawab.. 

Oleh: Riani Binti Awang*
Puan Riani Binti Awang merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Am Kolej Profesional Mara Beranang dan merupakan penulis jemputan di blog PERDIQMA KPMB.


4 Jun 2011

Tahukan anda?: 10 Masjid Terbesar Di Dunia

Tahukah anda apakah 10 masjid yang terbesar di dunia dan di manakah lokasinya? Di sini kami akan kongsikan bersama anda 10 masjid tersebut. Semoga bermanfaat.

10. Masjid Baitul Mukarram, Dhaka Bangladesh

Masjid Al-Mukkaram Bangladesh:
Masjid ini berada tepat di jantung ibukota Bangladesh Dhakka, masjid yang selalu penuh sesak terutama ketika solat utama dan di bulan suci Ramadhan, masjid ini dibina sekitar tahun 1960-an dengan kapasiti 30 ribu umat, namun dalam perkembangannya ditambahkan menjadi 40 ribu umat  dalam satu masa.

9. Masjid Jami” Delhi India

Masjid Jama" Delhi Lama India:
Masjid yang berada di kota lama India Delhi ini merupakan masjid lama di India, masjid yang dibina di prakarsai oleh pembuat Taj Mahal Kaisar Mughal Shah Jahan dibina pada tahun 1656 Masehi. Puluhan ribu jemaah setiap solat Jumaat bukan sahaja memenuhi seluruh ruang di dalam masjid bahkan di luar masjid. 

8. Masjid Sheikh Zayed Abu Dhabi UEA


Masjid Sheikh Zayed Abu Dhabi:
Nama masjid diambil sempena nama Presiden pertama Uni Emirat Arab Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan dan mula digunakan oleh penduduknya pada tahun 2007. Makam Sheikh Zayed juga terdapat di dalam kawasan masjid terbesar di UEA tersebut. 

7. Masjid Badhshahi Lahore Pakistan


Masjid Badhshahi Lahore:
Juga dikenali dengan nama lain iaitu Masjid Sultan, Masjid ini pernah menjadi masjid terbesar di Asia Selatan dan memiliki kapasiti sehingga 100 ribu atau lehih dan berada betul-betul di tengah kota Lahore Pakistan. 

6. Masjid Faisal, Islamabad Pakistan

 

Masjid Faisal Islamabad Pakistan:
Masjid Faisal ini saat ini merupakan masjid terbesar di Asia Selatan dan sebelum Masjidil Haram di Mekah di ubahsuai, masjid ini pernah menyandang pgelaran sebagai masjid terbesar di dunia daripada 1986-1993. Masjid yang menjadi masjid kebangsaan Pakistan ini memiliki kapasiti 300 ribuan jemaah.

5. Masjid Hasan II Maroko


Masjid Hasan 2 Morokko:
Masjid yang berada di Casablanca ini direka oleh arkitek dari Perancis, Michel Pinseau dengan memiliki menara masjid tertinggi di dunia lebih daripada 200 meter, di mana menara tersebut menghadap terus ke Samudera Atlantik 

4. Masjid Istiqlal Jakarta Indonesia


Masjid Istiqlal Jakarta, Indonesia:
Masjid yang dibangun di era lama di saat pemerintahan Presiden Soekarnao ini sehingga kini masih lagi digelar sebagai Masjid Terbesar di Asia Tenggara, walau kebanyakan masjid-masjid baru mula muncul dan megah namun secara keseluruhan belum lagi boleh menandingi kebesaran Masjid Istiqlal ini. Istiqlal yang bererti kemerdekaan merupakan anugerah atas kemerdekaan yang diraih Indonesia melepaskan diri dari belenggu penjajahan.

3. Masjid Imam Reza Shrine di Masyhad Iran


Masjid Imam Reza Shrine di Masyhad Iran:
Imam Reza Shrine di Masyhad, Iran adalah sebuah kompleks yang mengandungi makam Imam Ridha, Imam kelapan Syi’ah Imamiyah dan dikenal sebagai masjid terbesar ketiga di dunia. Juga terdapat dalam kompleks Masjid merangkumi Masjid Goharshad, museum, perpustakaan, empat seminari, kubur, Universiti Islam Razavi Ilmu, sebuah ruang makan untuk pelawat, dan lain-lain bangunan.

2. Masjid Al-Nabawi Madinah

Pandangan sekitar Masjid Nabawi, Madinah


Masjid Al-Nabawi Madinah Al Munawarah:
Setiap umat Islam di dunia pasti mengenali masjid ini kerana Masjid Nabawi merupakan salah satu masjid utama bagi orang muslim selain Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin. Merupakan tempat peristirehatan terakhir dari Nabi Muhammad SAW. Setiap umat Islam yang menjalankan ibadah haji juga dipastikan akan mengunjungi masjid terbesar ke-2 di Arab Saudi malahan di dunia juga.

1. Masjidil Haram di Mekah


Pandangan dari dalam Kaabah:
 
Masjidil Haram di Mekah:
 Masjid Haram di Mekah ini merupakan masjid terbesar di seluruh dunia dimana di tengahnya terdapat bangunan Kaabah yang menjadi arah kiblat solat seluruh umat Islam di dunia. Memiliki luas 4.008.020 meter persegi (990,40 hektar) dan mampu menampung lebih daripada 4 juta jemaah samada di dalam ruang masjid ataupun diluar. Masjid yang tidak pernah sepi dan setiap saat selama 24 jam sentiasa ada umat Islam yang beribadah, baik mengerjakan solat mahupun melakukan tawaf (berjalan mengelilingi Kaabah). Masjidil Haram adalah masjid yang paling ramai dikunjungi umat Islam dari seluruh dunia terutamanya di musim ibadah haji setiap tahun.

Sumber: Klik "sini".


1 Jun 2011

Bos Barbican Beri Penjelasan: "Kami Kerugian"

KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.


Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.

Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.

“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.

 Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.

“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.

Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.

“Saya tidak tahu sama ada minuman yang dikatakan bir halal yang dijual di sini mengandungi alkohol atau tidak tetapi apabila ada pihak mengaitkan dakwaan itu dengan Barbican sudah tentu ia menjejaskan perniagaan kami.

“Isu ini mungkin juga disebabkan persaingan namun saya tidak mahu menuduh sesiapa dan pada masa sama saya juga merancang untuk bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi menyelesaikan kekeliruan ini,” katanya. Sumber: Klik sini.

Beberapa hari lepas blog PERDIQMA KPMB telah membuat persoalan tentang laporan dari media mengenai status minuman jenis ini yang didakwa banyak pihak menimbulkan keraguan terutamanya kandungan alkohol yang dikatakan melebihi 0.5% (Klik sini untuk posting sebelum ini). Walaubagaimanapun kes ini sedang dalam siasatan JAKIM.

Pihak PERDIQMA menyiarkan beberapa siri pendedahan berkenaan minuman yang dipanggil "bir halal" ini  berikutan minuman jenis ini dijual secara meluas di kampus KPMB termasuk di cafe dan kamsis. Tujuan pendedahan agar mahasiswa KPMB lebih peka akan isu ini dengan memilih hanya makanan/minuman yang jelas sumbernya dan menjauhi makanan yang diragui sumbernya (syubhah). Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata." (surah al-Baqarah: ayat 168)

Juga diperkukuhkan lagi tentang kepentingan menjauhi perkara yang datang dari sumber yang haram melalui hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram." (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...