Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

29 September 2012

Jaulah Ke Selatan Thailand(KL - Tak Bai - Narathiwat).

“Musafir kerana Allah”. Ayat itulah yang mula-mula saya coretkan di buku catatan yang dibawa ketika berjaulah ke Selatan Thailand baru-baru ini. Ia perjalanan yang ditekadkan bersungguh-sungguh walaupun dirancang dalam masa yang singkat. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya sejak awal. Rancangan yang mulanya di dalam fikiran diterjemah melalui perjalanan yang menjanjikan ibrah dan pengalaman. Di temani seorang sahabat, perjalanan hampir 800 km melalui jalan darat ini kami tempuhi.

Perjalanan kami bermula di KL Sentral pada 22/8/2012 bersamaan 4 Syawal 1433 Hijrah. Usai solat Maghrib jamak bersama Solat Isyak di Surau KL Sentral, kami menaiki Keretapi Tanah Melayu Ekspres Senandung Wau di Platform B. Destinasi kami menuju ke stesen terakhir iaitu stesen Tumpat, Kelantan Darul Naim. Tepat jam 8.30 malam, keretapi mula bergerak perlahan sebelum menambah kelajuan menuju ke stesen Gemas dan stesen-stesen berikutnya. Keputusan menaiki keretapi sengaja diambil walau memakan masa yang lebih panjang berbanding menaiki bas. Ini kerana kami ingin merasai pengalaman melihat pemandangan kawasan kampung dan pedalaman sepanjang laluan keretapi. Pengalaman merasai qiam, solat subuh, menikmati hidangan di cafĂ© dan berbincang tentang perjalanan kami di atas keretapi  yang sedang bergerak juga merupakan pengalaman yang mencuit hati apabila dikenang semula.

Kami tiba ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Tumpat agak lewat iaitu sekitar jam 12.30 Tengah hari pada 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah. Namun begitu, perjalanan kami selama 16 jam tidak terasa meletihkan kerana keterujaan kami untuk meneruskan perjalanan. Kami meneruskan perjalanan ke Pos Imegresen Pengkalan Kubur dengan menaiki kereta sewa. Jarak perjalanan dari Stesen KTM Tumpat hanya mengambil masa kira-kira 15 minit. Selepas urusan pasport selesai, kami menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Kolok menuju ke Tak Bai, Thailand dengan tambang RM 1.00. Setelah tiba di wilayah Tak Bai, kami terus menuju ke stesen imigresen Thailand. Bezanya dengan sebelah Malaysia, lokasi imigresen di Tak Bai ini hanyalah sebuah bangunan kayu yang dibina untuk sementara dan tempat mengisi borang kemasukan kami lebih menyerupai sebuah pondok panas di Malaysia.

Pemandangan Pekan Tak Bai dari dalam bot ketika menyeberangi Sungai Kolok.



Lokasi mengisi borang kemasukan di Pekan Tak Bai yang lebih menyerupai pondok panas.

Kami mengambil kesempatan petang di Tak Bai atau juga di kenali sebagai Ta ba oleh penduduk tempatan dengan menikmati makanan tempatan dan melihat-lihat barangan yang begitu murah di sekitar Pasar Tak Bai. Untuk mendapatkan makanan halal, sememangnya tiada masalah. Gerai makanan melayu di mana-mana. Bagi penggemar makanan, pasti mereka akan berpuas hati dengan rasa dan harga yang ditawarkan oleh peniaga gerai makanan di Pekan Tak Bai ini. Di sini juga kami mendapati hampir semua penduduk tempatan yang meniaga merupakan orang Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dengan dialek Kelantan.Oleh itu, kami tidak punya kesulitan untuk bercakap dengan mereka walau ada sedikit kejanggalan kerana kami menggunakan dialek yang berbeza. Disini juga matawang ringgit atau dipanggil penduduk tempatan sebagai “kok” juga masih boleh digunakan. Oleh itu, jika anda hanya ingin melawat sekitar Tak Bai, anda tidak perlu menukarkan Ringgit Malaysia kepada Bath Thailand. Nilai RM 10.00 di sini di kira bersamaan 100.00 Bath. Kepada pengembara yang hendak berjimat, anda tidak perlu menukar wang di kaunter tukaran wang asing kerana sedikit caj akan dikenakan.



Aktiviti perniagaan penduduk tempatan.

Pagi 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah merupakan hari yang cerah dan indah. Hari ini adalah hari kedua kami di Tak Bai. Selepas bersarapan di chalet, kembara diteruskan dengan membuat lawatan di hadapan Balai Polis Tak Bai menaiki teksi motor.

Balai Polis Tak Bai merupakan antara lokasi penting dalam kembara ini. Di hadapan Balai Polis Tak Bai inilah peristiwa Berdarah Tak Bai atau dikenali sebagai Tak Bai Massacre  berlaku. Peristiwa berdarah yang berlaku pada 25 Oktober 2004 ini terjadi di dalam bulan Ramadhan.  Peristiwa ini berpunca dari kehilangan 4 laras senjata api milik pihak keselamatan Thailand.  Menurut Pak Cik Mat iaitu pemandu teksi motor yang membawa kami ke lokasi ini, dia memberitahu enam orang penduduk tempatan telah ditahan secara tidak sah oleh pihak polis atas sebab ini. Sedangkan, penduduk tempatan tidak terlibat langsung dengan kehilangan 4 laras senjata api tersebut.


Perbandingan gambar lokasi pada hari ini dengan gambar lokasi pada hari kejadian.

Bagi menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati atas tindakan polis menahan penduduk tempatan, ratusan penduduk tempatan melakukan demonstrasi di hadapan Balai Polis bagi menuntut pembebasan rakan mereka. Namun begitu, tindakan ini dibalas dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup. Peristiwa berdarah ini menyaksikan ratusan orang melayu Islam dipukul, disepak, dipijak dan diseret sebelum di bawa menaiki trak tentera sebelum di bawa ke pusat tahanan tentera di Pattani. Dalam peristiwa ini, 84 orang telah terbunuh. 7 disahkan terbunuh ditembak ketika melarikan dan bakinya maut akibat sesak nafas dalam perjalanan ke kem tentera di Pattani akibat di bawa secara bertindih-tindih di dalam trak manakala ratusan yang lain di tahan.

Sebagai renspon terhadap peristiwa itu, perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawarta (Kini telah dijatuhkan dengan rampasan kuasa oleh tentera selepas kemelut politik di Thailand) dengan biadap menyokong tindakan tentera, dengan mengatakan bahawa orang-orang Islam ini terbunuh “Kerana mereka sudahpun lemah sebab berpuasa di bulan Ramadhan”.

Ketika tragedi ini berlaku, saya masih di bangku persekolahan. Namun mengikuti perkembangan tragedi ini di dada akhbar pada ketika itu cukup mengguris emosi saya sebagai seorang muslim. Apabila berdiri dan menyaksikan sendiri lokasi berlakunya peristiwa ini, ibarat menyaksikan secara langsung suasana pilu suasana yang berlaku pada hari tersebut. Seakan-akan terjadi di hadapan mata tidakan tidak berperikemanusiaan tentera dan polis mengheret saudara-saudara seakidah dengan kita, tubuh mereka dipijak dan dihenyak malah sebahagian dari mereka yang melarikan diri dengan terjun ke tebing sungai di tembak mati.



Kesan tembakan peluru M 16 yang masih kelihatan di tiang.

Akibat dari peristiwa berdarah ini, wilayah selatan Thailand yang sedia panas menjadi bergolak semula. Penduduk tempatan ada yang membalas. Pengeboman berlaku lebih kerap di daerah selatan sehingga ke Narathiwat,Yala dan Pattani. Tembak menembak berlaku. Umat Islam yang sedang solat di dalam masjid ada yang ditembak ketika solat berjemaah malah imam di bunuh dalam perjalanan ke masjid. Sehingga hari ini, wilayah ini belum sepi dari rasa curiga antara pihak kerajaan dengan penduduk tempatan.

Dalam kesempatan berbual bersama Pak Cik Mat, beliau  memberitahu saya bahawa 6 orang saudaranya terbunuh dalam peristiwa Tak Bai. Ahli keluarga mereka yang masih hidup, ramai yang  bangkit menuntut bela dengan menyertai pihak pejuang. Sebahagian masih di Thailand. Sebahagian melarikan diri melalui sempadan. Pak cik memberitahu saya sebahagian dari mereka melarikan diri ke Malaysia. Dengan kuasa Allah, saya terlupa akan nama-nama kawasan di mana mereka berlindung. Mungkin lebih selamat untuk saya dengan tidak mengingati nama-nama lokasi tersebut.Pak cik Mat kehilangan 6 orang saudara ketika peristiwa Tak bai berlaku. Pak cik tidak tahu, saya kehilangan lebih 80 saudara seakidah dengan saya dalam peristiwa itu.

Pada jam 10 pagi, kami meneruskan perjalanan menaiki teksi ke wilayah Narathiwat. Wilayah ini adalah wilayah bersebelahan dengan wilayah Tak Bai. Sepanjang perjalanan ke Narathiwat, kami berkesempatan berbual bersama Abang Rahim, iaitu penduduk Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga dalam perjalanan ke Narathiwat bagi melawat saudara-mara beliau yang berada di sana. Kehadiran beliau, adalah bantuan dari Allah. Doa yang kami panjatkan agar perjalanan kami dipermudahkan dikabulkan. Beliaulah yang kemudiannya mencadangkan penginapan yang terdekat dengan Bandar Narathiwat malah membantu dan menemani kami sepanjang kami berada di sini.
Benarlah hadith baginda nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir” (Riwayat Al Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Al Tirmizi)

Selesai urusan “check ini” di Hotel Pasifik dengan bayaran 500 bath atau RM 50.00 kami mengambil keputusan untuk bersolat Jumaat di Masjid Al Jam’iyah memandangkan kedudukannya yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari penginapan kami. Ketika khutbah di bacakan, kami agak teruja apabila mendengar khatib membaca dalam bahasa melayu malah dengan dialek yang lebih mudah difahami. Intipati khutbah juga sangat menarik iaitu memfokuskan mengenai kepentingan menjaga silaturrahim dan ukhwah sesame Umat Islam. Mungkin sempena menyambut kedatangan syawal yang masih diraikan. Bersolat di Masjid ini, menjadikan saya berasa seolah-olah masih berada di negara sendiri.

Usai solat, kami mengambil kesempatan berehat sebentar sehingga waktu asar. Kira-kira jam 5 petang, Abang Rahim datang bersama sepupu beliau, Rusydi datang menjemput kami dengan kereta milik Rusydi. Rancangan awal, mereka bercadang untuk membawa kami untuk melawat Masjid Telok Manok atau lebih dikenali sebagai Masjid 300 tahun. Masjid ini punya keunikannya yang tersendiri dengan binaannya yang tidak menggunakan walau sebatang paku selain kecantikan senibina dan sejarah di sebalik penubuhannya. Rusydi merupakan anak jati kelahiran Narathiwat dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia. Agak melucukan juga apabila perbezaan dialek antara kami menjadikan sebahagian pertuturan beliau gagal difahami oleh kami dan pertuturan kami juga tidak difahami oleh beliau sedangkan kami masih menggunakan bahasa yang serupa. Mujur ada Abang Halim sebagai penterjemah.

Di wilayah Narathiwat ini, kebanyakan penduduk sama seperti di Tak Bai iaitu Melayu Islam. Tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal di mana-mana. Bahasa yang digunakan juga masih bahasa melayu dengan dialek Kelantan. Antara tips mudah mencari makanan halal dan restoran melayu adalah pada pakaian dan bahasa mereka selain tanda-tanda di dinding kedai. Di wilayah ini, matawang ringgit atau “kok” tidak digunakan oleh penduduk tempatan seperti di Tak Bai. Bagi menukarkan wang, di sini tidak kedai khas menawarkan khidmat menukarkan mata wang asing seperti yang boleh dilihat di Malaysia. Walaubagaimanapun, penukaran boleh dilakukan di mana-mana kedai emas yang banyak terdapat di Narathiwat. Kedai-kedai emas di sini menawarkan khidmat penukaran wang asing dengan sedikit bayaran. Untuk RM 100.00 bagi penukaran kepada 1000 bath, kami dikenakan caj RM 2.00.


Sekatan oleh pihak tentera hampir di setiap jalan utama.

Perjalanan kami pada petang ini diiringi hujan yang turun renyai-renyai menjadikan cuaca sejuk dan dingin. Namun begitu, perjalanan ke masjid yang berusia lebih dari 300 tahun ini lancar dengan keadaan jalan yang lebar dan lurus tanpa kesesakan jalan raya. Sekatan dan pos kawalan pihak tentera yang berada di mana-mana juga dilepasi dengan mudah. Syukur perjalanan kami tidak di sekat. Sepanjang perjalanan melewati banjaran gunung diliputi kabus di sisi kiri kami menambahkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Panorama yang begitu indah dan mengasyikkan. Betapa indahnya ciptaan Allah bagi hamba yang mahu dan tahu bersyukur. Benarlah firman Allah di dalam Surah Al Hajj yang bermaksud:

Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati di dalam dada” (Al Hajj:46)

Kami tiba di kawasan masjid yang di bina pada abad ke 18 ini sekitar jam 5.30 petang. Ketika itu hujan masih renyai-renyai. Namun kami tidak melepaskan peluang untuk melihat keindahan senibina unik yang terdapat di dalam masjid ini. Lensa kamera tidak henti –henti di petik kerana tertarik dengan keunikan seni bina masjid ini yang di bina ratusan tahun dahulu. Seluruh kawasan masjid termasuk loteng kecil masjid yang begitu unik amat mengagumkan kami. Bagi sesiapa yang meminati seni ukiran kayu dan sejarah di sebalik masjid ini , lawatan ke lokasi ini adalah satu kemestian yang menjanjikan pengalaman luar biasa.

Masjid yang dikenali sebagai masjid 300 tahun.

Tarikh 24/8/2012 bersamaan 6 Syawal 1433 Hijrah ialah hari terakhir kami di Narathiwat. Selepas solat subuh dan membaca Mat’surat, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dengan berjalan kaki di sekitar Narathiwat. Kami memulakan langkah kaki kami menuju ke Sungai Bang Nara, yang terletak berhampiran dengan kediaman kami. Di sini kami mengambil kesempatan untuk sekali lagi melihat kebesaran Allah dengan menikmati pemandangan matahari terbit di muara sungai sambil memerhatikan kapal-kapal nelayan yang baru pulang dari laut. Keadaan sungai yang bersih menjadikan anak-anak ikan yang bermain di gigi air jelas kelihatan sepanjang sungai ini. Bagi yang berminat dengan aktiviti pertandingan kayuh perahu, di sungai inilah saban tahun sekitar bulan September akan diadakan pertandingan kayuh perahu dikalangan penduduk tempatan dengan disaksikan oleh Raja Thailand iaitu Raja Bhumibol Adulyadej.

Selepas menikmati pemandangan di Sungai Bang Nara, kami ditemani seorang pak cik berusia sekitar pertengahan umur yang juga merupakan penduduk tempatan. Beliau begitu baik hati dan menawarkan diri untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar Bandar Narathiwat. Di bandar ini, kami dapat melihat suasana masyarakatnya yang sedang menjalankan aktiviti pagi hari. Agak tertarik apabila melihat pelajar-pelajar sekolah arab yang menaiki Tut-tut beramai-ramai menuju ke sekolah. Begitu juga melihat penduduk tempatan yang menaiki motosikal untuk berniaga dan menjalankan aktiviti harian mereka. Apabila melihat golongan tua menaiki motor sambil memakai kain pelikat dan serban, juga golongan ibu yang memakai pakaian begitu sopan dan menutup aurat menjadikan kami terasa seakan-akan berada di Kota Bharu, Kelantan.


Pelajar Sekolah Agama dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki Tut-Tut.

Kami menyusuri perjalanan sepanjang kawasan Bandar Narathiwat dan menyeberangi Jambatan Saphan Predanaratasana menuju ke kawasan Pantai Narathiwat. Dari atas jambatan Saphan Predanaratasana ini juga kami melihat masyarakat tempatan yang menjalankan aktiviti penternakan ikan dan kawasan perkampungan nelayan. Di atas jambatan ini jugalah kami menyedari bahawa di Narathiwat ini terdapat begitu banyak masjid yang di bina berdekatan antara satu sama lain untuk kemudahan penduduk. Dari atas jambatan ini, sudah pasti menara dan bangunan Masjid Pusat iaitu masjid terbesar di Narathiwat paling jelas kelihatan.


Banner Kempen Berhenti Merokok sempena Ramadhan. Tulisan jawi masih digunakan. Di Malaysia barangkali hanya di Kelantan baru dapat dilihat banner bertulisan jawi sebegini.

Selepas pulang dari bersiar-siar di sekitar Narathiwat, kami mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti urus niaga penduduk tempatan di pasar narathiwat. Di kawasan ini jugalah kami mengambil kesempatan untuk menikmati makanan penduduk tempatan yang begitu lazat dan murah.


Pemandangan sekitar Sungai Bang Nara, Narathiwat.

Perjalanan kami di Narathiwat kami akhiri dengan lawatan ke Ao Manao – Khao Tanyong National Park bersama abang Rahim yang menemui kami ketika kami sedang leka menjamu selera.  Dari sana, kami sekali lagi kagum dengan kecantikan hutan di Taman Negara Ao Manao – Khao Tanyong  yang masih terpelihara dan pesisir pantai yang kehijau-hijauan. Bagi yang meminati aktiviti hutan dan pantai, lokasi ini adalah antara lokasi penting bagi menjalankan aktiviti lasak seperti jungle trekking, camping,  memandu ATV dan menaiki bot di sepanjang pantai.


Taman Negara Ao Manao-Khaotanyong. Lokasi perkelahan yang amat menarik bagi pencinta alam.

Melihat kecantikan pemandangan di sini, kami berasa hairan kerana sepanjang kami berada di Wilayah Narathiwat termasuk di kawasan Bandar, kami tidak bertemu walau seorangpun pelancong asing. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan kawasan lain di Thailand seperti di Danok, Hatyai, Phuket dan Bangkok. Mungkin para pelancong memilih lokasi yang lebih selamat kerana Wilayah Narathiwat merupakan wilayah bergolak.  Kejadian letupan bom dan tembakan masih berlaku di wilayah ini. Tidak hairanlah setiap kali saya berkesempatan untuk berbual dengan penduduk tempatan, hampir setiap mereka yang saya temui akan bertanya: “Tidak takutkah datang ke sini?” Saya hanya tersenyum. Tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Risiko itu telah difikirkan dengan mendalam sebelum saya bertolak ke sana. Saya juga tahu letupan dan kejadian tembak-menembak masih berlaku di wilayah bergolak ini. Tapi hati telah dibulatkan untuk mengembara ke sana. Barangkali ini tarbiah buat diri untuk merasakan keindahannya tawakal sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT. Bukankah Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.” (QS At Taubah: 51).

Kami mengakhiri kembara kami pada tengah hari itu dengan menuju ke perhentian teksi sebelum berpisah dan seterusnya pulang ke Malaysia. Sungguh, kesempatan kembara di selatan Thailand adalah satu kenangan indah yang kami syukuri dengan sebenar-benarnya. Selamat tinggal saudara-saudaraku di sana. Semoga kelak kita dapat bertemu kembali.

Jaulah: Kembara sambil mencari redha Allah.
_________________________________________________________________________________

Tips Kembara ke Selatan Thailand:


*Perbetulkan niat kembara @ jaulah kerana ingin mendapatkan redha dan berfikir tentang kebesaran Allah SWT menepati firman Nya yang bermaksud:

Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” Al Hajj (22:46).

*Sentiasa bertawakkal kepada Allah menepati firman Nya yang bermaksud:

Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”  (QS At Taubah: 51)

* Baca sunnah mengembara seperti yang diamalkan Rasulullah sebelum memulakan perjalanan. Boleh baca di link ini:
http://lilyrianitravelholic.blogspot.com/2012/04/sunnah-rasulullah-saw-semasa-musafir.html

*Bawa Mat'surat untuk bacaan setiap pagi & petang sebagai usaha agar dilindungi dari segala mara bahaya.

*Elakkan mengembara berseorangan. Usahakan untuk mengembara dengan sekurang-kurangnya 3 orang dan lantik salah-seorang menjadi ketua.

 *Untuk panduan jumlah wang yang perlu dibawa, penulis membawa duit berjumlah RM 380.00 semasa melakukan pengembaraan ke wilayah selatan Thailand (Tak Bai & Narathiwat sahaja) dan duit masih berbaki kira-kira RM 40.00 semasa tiba di Hentian Bas Putra, Kuala Lumpur.  Jumlah RM 400.00 –  RM 500.00 dalam bentuk tunai adalah memadai untuk perjalanan selama 3 atau 4 hari. Jika pergi lebih jauh seperti di Pattani dan Songkla kos pasti bertambah.

*Jangan membawa wang terlalu banyak. Anda hanya akan meningkatkan resiko keselamatan diri dan rakan-rakan lain.

*Kos sebenar bergantung kepada bagaimana kita menguruskan perjalanan kita. Sebagai contoh, kos makanan boleh dijimatkan jika memasak sendiri dengan menggunakan dapur camping (mess tin) dan kos perjalanan boleh dijimatkan jika memilih untuk menaiki kenderaan yang lebih murah (tetapi biasanya lebih lambat seperti menunggu teksi penuh dan sebagainya).

*Jika anda pandai berunding dengan pemandu-pemandu di sana, anda boleh menjimatkan wang untuk kegunaan lain.

*Elakkan membeli terlalu banyak barang dan cenderahati jika mengembara kerana beban, saiz muatan dan kos yang tidak efektif. Kembalikan fikiran kepada matlamat & tujuan pengembaraan.

*Elakkan membawa beg yang perlu dipegang di tangan (Seperti beg balik kampung) keranan ia menghadkan mobiliti dan keupayaan pergerakan. Gunakanlah beg Pack (Beg jenis galas) yang sesuai.

*Bawa beg kecil yang sentiasa boleh di bawa kemana-mana sahaja seperti porch bag untuk membawa barang penting seperti passport, ic, wang dan lain-lain.

*Elakkan terlalu menonjolkan diri sebagai pelancong dan membawa barang-barang yang beharga seperti barang kemas dan jam tangan yang kelihatan mahal. Jika anda membawa kamera DSLR dan sebagainya, simpan dari penglihatan orang ramai dan gunakan hanya bila perlu. Percayalah, Ia akan menjimatkan lebih wang dan memberi lebih keselamatan kepada anda.

* Bawa kompas arah solat dan sejadah kecil.

*Bekalan botol air mineral satu kemestian.

* Talian telefon bimbit Malaysia (Celcom, maxis dan digi) hanya ada di sekitar Tak Bai. Jika anda masuk lebih jauh seperti di Narathiwat, Pattani, Songkla dan lain-lain, talian telefon anda sudah tiada. Tukarkan ke talian tempatan (Manual configure) untuk mendapatkan talian. Sebagai pilihan, telefon awam banyak terdapat di Bandar Narathiwat.

* Berkebolehan berbicara dalam dialek/slang seperti di Kelantan adalah satu kelebihan.

*Elakkan bercakap mengenai isu-isu keselamatan, pejuang di selatan Thailand dan lokasi-lokasi khusus yang hendak anda kunjungi jika ianya punyai sejarah hitam kepada sesiapa yang anda tidak kenali. Sebut hanya lokasi-lokasi umum seperti lawatan ke Masjid , sekolah, universiti, sungai-sungai dan pantai.
____________________________________
Peta Perjalanan

Laluan perjalanan sepanjang jaulah. Laluan bewarna biru adalah menaiki KTM dan laluan bewarna merah menaiki teksi.

 Maaf jika ada tersalah fakta atau nama-mana tempat/benda yang telah saya nyatakan. Barangkali kesilapan yang ada atas kekurangan saya sendiri. Kritikan dan pandangan dari pembaca amat dialu-alukan.
__________________________________________________________________________

Travelog di atas merupakan perjalanan Mus'ab Khalili Rosli ke selatan Thailand pada Syawal lalu. Mus'ab Khalili Rosli merupakan bekas Ketua Biro Dakwah & Tarbiah PERDIQMA pada tahun 2011. Kini telah menamatkan pengajian HND BIT beliau di KPMB dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di sebuah IPT di utara tanah air.



25 September 2012

PERDIQMA DAY 2012

Assalamualaikum w.b.t

PERDIQMA DAY adalah suatu program anjuran PERDIQMA setiap tahun bagi melatih para jemaah PERDIQMA dalam membentuk seorang yang berjiwa muslim bertaqwa. Hamdalillah, sekali lagi tahun 2012 PERDIQMA dapat menjalankan pelbagai aktiiti dalam program ini.



22 september 2012 bermulanya perjalanan program ini dari jam 6 petang. Para peserta mendaftar dihadapan  surau dan mereka dibahagikan kepada 8 kumpulan. 4 kumpulan muslimin dan 4 kumpulan muslimat. Perjalanan menuju redha Allah ini diteruskan dengan solat maghrib dan sedikit tazkirah disampaikan oleh saudara Muaz AAG. Perjalanan ini juga diteruskan dengan aktiviti yang diberi nama "Journey of Taqwa"(JOT). Permainan ini tidak kurang sama seperti explorace tetapi penekanan lebih kepada unsur islam. Permainan ini bertemakan "Sabar sebahagian dari iman". Permainan berlangsung dari jam 9 malam hingga 2 pagi. Alhamdulillah, selesai program dengan selamat.

Keesokan harinya,peserta dikejutkan pada jam 5.30 pagi untuk solat subuh. seterusnya tazkirah subuh dan sedikit bacaan ma'thurat yang diketuai saudara Danial Ifran. Program diteruskan pada jam 8 pagi dengan aktiviti rehlah di Bandar Tasik Kesuma berhadapan KPM Beranang. Program tamat pada jam 11.30 pagi. Seterusnya,peserta diberi tugasan untuk membuat persembahan dimalam hari. Malam Ukuwah berlangsung pada jam 9.00 malam sesudah solat isyak. Malam yang menggambarkan kemenangan peserta diraikan secara ilmiah dengan persembahan yang sangat menarik. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada penganjur dan semua penasihat PERDIQMA kerana banyak memberi sokongan dalam menjayakan program kali ini. Doakan agar kami dapat menjayakan program-program yang lain dengan lancar. InsyaAllah


20 September 2012

Ceramah Motivasi Ustaz Abdullah Khairi





Assalamualaikum w.b.t
 
Alhamdulillah,sekali lagi PERDIQMA menjalankan satu program ceramah motiasi Ustaz Abdullah Khairi di dewan seri gema KPMB. Ceramah yang sangat menarik disampaikan bertajuk "remaja seharusnya bagaimana?"



Sedikit sebanyak ilmu dapat diterima oleh seluruh pelajar yang menghadiri ceramah tersebut. beliau menceritakan tentang kematian yang tak kenal usia dapat memberikan suatu kesan yang mendalam dengan video yang ditayangkan. seterusnya, beliau juga berkongsi pelbagai pengalaman yang sangat menarik. Seseorang manusia tidak boleh mendapat hidayat dari orang lain kecuali Allah sahaja yang dapat berikan dan hidayah milik Allah.

Segala ilmu ini akan kami gunakan sebagai pedoman didalam diri. Sekali lagi kami mengucapkan rasa syukur kerana berpeluang mengadakan program bersama Ustaz Abdullah Khairi dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau kerana bersama-sama memberi sokongan dalam menyebarkan dakwah kepada warga KPM Beranang. Semoga usaha ini dapat diteruskan. InsyaAllah


17 September 2012

Ziarah Menziarahi Amalan Mulia

Amalan ziarah-menziarahi amat dituntut dalam Islam, apatah lagi di musim Aidilfitri. Aidilfitri membuka ruang kepada kita untuk mengaplikasikan ajaran Islam mengenai konsep berkenal-kenalan (lita’arafu) dan mengeratkan silaturahim. Sekolah Ramadan yang dilalui telah mengajar dan mendidik hati untuk sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

AJK PERDIQMA dan ALUMNI PERDIQMA juga tidak ketinggalan untuk menziarah ke rumah sahabat seperjuangan pada 9/9/2012 bersamaan 22 Syawal 1433 hijrah bagi menziarah keluarga sahabat-sahabat PERDIQMA serta  bertanya khabar. Aktiviti ini diadakan bagi mengeratkan ubungan silatulrahim antara semua AJK PERDIQMA serta menanamkan sikap ziarah –menziarahi terutama pada bulan Syawal ini. 

Aktiviti ziarah ini dimulakan jam 8.30 pagi dimana semua AJK PERDIQMA berkumpul di surau An-NUR . Majlis dimulakan dengan bacaan Mathurat sedikit perkongsian tentang adab Menziarah yang disampaikan oleh Presiden PERDIQMA iaitu Saudara Danil Ifran. Perjalanan kami bermula jam 11.00 pagi. Kami telah menziarah ke 4 buah rumahSahabat PERDIQMA di Seremban, Negeri Sembilan.

Disini ingin dikongsikan juga antara Adab-adab Ketika menziarah
1. Tujuan berziarah haruslah disertai dengan niat yang baik, iaitu untuk mengeratkan silaturahim dan          bertanya khabar.
2. Tidak mengharapkan apa-apa pulangan atau balasan dan sentiasa bermanis muka.
3. Bertanya khabar dan tidak bercakap tentang perkara-perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga tidak menimbulkan rasa tidak senang pada yang dilawati.
4. Elakkan perbuatan mengumpat, bercerita tentang hal-hal yang tidak berfaedah dan tidak mengambil kira akan perasaan orang lain.
5. Jangan lupa berkenal-kenalan (lita’arafu)  dengan tuan rumah.



AJK Muslimin PERDIQMA




AJK Muslimat PERDIQMA



Di Hadapan rumah Presiden PERDIQMA, Danial Ifran


AJK PERDIQMA dan Keluarga Sofia


Amalan ziarah-menziarahi harus diteruskan biarpun bukan di dalam bulan Syawal kerana ziarah-menziarahi membawa asas perpaduan dan ukhuwah kepada umat Islam. Perpecahan terjadi kerana tidak adanya kesatuan dan persaudaraan. Kesatuan dan persaudaraan terjadi kerana tidak adanya semangat lita’arafu (saling berkenal-kenalan) dan mahabbah.

Maka amalan ziarah-menziarahi dapat memecahkan tembok yang menjadi penghalang kepada perpaduan serta memupuk perasaan prihatin pada yang memerlukan. Justeru itu, marilah sama-sama kita meneruskan amalan mulia ini kerana amalan ini pastinya membawa seribu erti kepada kedua-dua pihak ziarah, apatah lagi di dalam bulan kemenangan ini.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...