Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

24 Disember 2012

Beriman Pada Hari Akhirat


Dunia baru-baru ini dikejutkan dengan dakyah satu kaum bernama Mayan yang mendakwa mengikut kalendar mereka pada 21 Disember 2012 yang lalu akan berakhirlah zaman seperti yang digambarkan di dalam sebuah filem yang diberi nama "2012". Apa yang pasti, Alhamdulillah kita masih dihidupkan di atas muka bumi Allah sehingga hari ini. Namun ada segelintir umat Islam yang cetek agamanya mempercayai tentang perkara tersebut. Tidak kurang juga yang seolah mempersenda mahupun gurauan tentang perkara tersebut.


Kalendar kaum mayan

Sebagai umat Islam kita wajib beriman kepada Rukun Iman yang enam yang salah satu daripadanya ialah Percaya kepada Hari Kiamat. Hari Kiamat yang disebut juga hari kebangkitan itu tetap akan berlaku, hanya manusia tidak mengetahui bilakah berlakunya kecuali Allah Subhanahu Wata'ala. Pada hari itulah seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk dihisab segala amal perbuatan mereka yang telah dilakukan ketika berada di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dari amal yang mereka kerjakan dari Allah Subhanahu Wata'ala dengan seadil-adilnya.

Apabila datangnya Hari Kiamat, ketika itulah sangkakala ditiup dan seluruh makhluk yang hidup di dunia ini akan mati. Ketika kejadian dahsyat itu menimpa dunia, berlakulah goncangan bumi yang amat menggerikan, langit-langit beserta isi ala mini akan menjadi kacau-bilau, bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya, gunung-ganang berterbangan dan hancur luluh dengan sehancur-hancurnya, bintang-bintang berguguran, matahari telah digulung sehingga tidak bercahaya lagi, lautan yang besar meluap-luap dengan gelombang yang bergulung-gulung menghancurkan dan menelan setiap yang ada di permukaan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Haaqqah ayat 13-15 tafsirnya :

"Kemudian ketahuilah bahawa apabila ditiup sangakakala dengan sekali tiup dan bumi serta gunung-ganang diangkat dari tempatnya lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, maka pada saat itu berlakulah Hari Kiamat".




 
Begitulah dahsyatnya keadaan Kiamat pada tiupan sangkakala yang pertama itu sehingga jika ada para ibu yang menyusukan anak akan menjadi bingung, wanita-wanita hamil menjadi keguguran, manusia berlari-lari kebingungan dan ketakutan. Mereka seperti dalam keadaan mabuk akibat terlalu ketakutan. Begitulah azab Allah yang amat berat lagi mengerikan.

Setelah berlaku tiupan sangkakala yang pertama, Allah memerintahkan Malaikat Israfil meniup sangakakala kali kedua untuk kebangkitan semula. Pada kali ini, semua manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka di dunia dahulu. Mereka tidak akan dizalimi, tidak akan diseksa kecuali disebabkan dosa mereka. Semua ini berdasarkan catatan dua Malaikat yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk mencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh umat manusia ketika di dunia tanpa sedikit pun ditambah atau dikurangi dari amal-amal perbuatan yang pernah dilakukan, hatta sebesar zarrah akan tetap diadili oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Catatan tersebut ditutup apabila manusia telah mati tetapi setelah tiba hari pengadilan, buku amal itu diberikan serta dibuka di hadapan mereka masing-masing.

Pada ketika itu manusia akan mengetahui amal kebaikan atau keburukan yang mereka lakukan ketika berada di dunia. Di saat itu tiada siapa yang dapat mengubah catatan berkenaan. Masing-masing akan menerima hasil perbuatan mereka dalam bentuk buku catatan amalan mereka. Jika diberi dan diterima dengan tangan kanan, berbahagialah si penerimanya kerana itulah tanda bahawa kenikmatan hidup di Syurga bakal menantinya.

Syurga merupakan balasan dan ganjaran yang penuh kenikmatan dan kebahagiaan bagi mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang berjuang di jalan Allah, menegakkan kebenaran, mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Tetapi amat malang bagi mereka yang menerima buku catatan amalan mereka dengan tangan kiri kerana balasan ke atas mereka adalah neraka yang disediakan bagi mereka yang ingkar kepada Allah Subhanahu Wata'ala, manusia yang zalim, yang kafir, yang ingkar kepada kebenaran Al-Quran dan orang yang suka berbuat kemaksiatan semasa hidupnya di dunia. Pada ketika itu barulah mereka berkata menyesal. Ini jelas disebutkan dalam Surah Al Haaqqah ayat 27-29 tafsirnya :

"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahannya, tidak dibangkitkan lagi). Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikit pun, kuasa-kuasaku dan hajat-hajatku membela diri telah dibinasa dan hilang lenyap dariku".

Ketika itu Malaikat penjaga neraka diperintahkan menangkap orang-orang yang berdosa itu serta membelenggu mereka, kemudian mereka dibayar di neraka jahanam. Tubuh mereka dibelit dengan lingkaran rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta.

Demikianlah gambaran betapa dahsyatnya Hari Kiamat atau hari kebangkitan itu kerana itulah peringatan ini diulang-ulang oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Al-Quran agar manusia menjadikannya pengajaran, peringatan serta iktibar sehingga mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang sesat dan ingkar akan kebenaran hari pembalasan tersebut.

Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman dan inilah ketikanya untuk kita menentukan masa depan kita di akhirat nanti. Jika kita seorang yang taat perintah Allah pasti kegembiraan dan kebahagiaan yang akan diperolehi tetapi jika seorang yang ingkar perintah Allah, hidup bergelombang dosa dan maksiat, maka kesengsaraanlah yang akan menanti. Bukankah Allah telah memperingatkan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan merekalah yang merubahnya. Kerana itu kita perlu sedar jika kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa, bertaubatlah dengan segera. Jangan tunggu sehingga nyawa di kerongkong baru hendak bertaubat kerana pada ketika itu tidak ada gunanya lagi.

Oleh itu sebagi umat Islam amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh, bukan sebahagian-sebahagiannya sahaja. Kerjakanlah segala yang diperintahkan Allah meskipun berat, tinggalkan segala yang dilarang walaupun pada kebiasaannya maksiat dan dosa itu menjanjikan keindahan dan keseronokkan, sedangkan hakikatnya akan mendatangkan kesusahan dan kesengsaraan di akhirat kelak. Apakah dengan peringatan Allah tentang Hari Kiamat kelak kita masih belum mahu insaf dan sedar? Ingatlah bahawa penyesalan pada hari itu sudah tiada ertinya lagi. Oleh itu jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat, berpegang teguhlah kepada ajaran Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu tetap menjadi peringatan dan pedoman bagi orang-orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Takwiir ayat 26-29 tafsirnya :

"Dengan yang demikian, maka kemanakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatu pun. Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam".

Buatlah perhitungan ke atas diri kita sebelum kita diperhitungkan. Jangan lalai dan leka dengan keseronokkan dunia semata-mata. Beramallah sebelum terlambat dengan memperbanyakkan istighfar, taubat dan muhasabah diri sendiri. Ingatlah hidup ini hanya sementara dan amal kebaikan sahaja yang akan dapat menolong dan menyelamatkan kita di Hari Kiamat kelak. Mudah-mudahan dengan demikian kita menjadi hamba Allah yang akan mendapat husnul khatimah (kesudahan yang baik) dan bukan suhul khatimah (kesudahan yang buruk). Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az Zalzalah ayat 6-8 tafsirnya :

"Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula".


29 Oktober 2012

MEKKAH DAHULU DAN KINI

Salam Aidil Adha kepada semua pengunjung Blog PERDIQMA KPMB. Berikut merupakan gambar-gambar di sekitar kota Mekah dari dahulu sehingga kini. Saban tahun pengunjung Kota Mekah semakin bertambah seiring dengan pembangunan kota ini. Semoga menimbulkan kecintaan terhadap Rumah Allah apabila menatapnya bagi setiap diri muslim yang bercita-cita untuk ke sana.

LIMA (5) perkara yang membuahkan ganjaran pahala hanya dengan melihat atau menatapnya sahaja:

1. MELIHAT AL-QURAN (Tengok ayat-ayat al-Quran yang mulia pun dapat pahala, apatah lagi membacanya, menghafal dan memahami maksud ayat al-Quran)

2. MELIHAT KAABAH

3. MELIHAT AIR ZAM-ZAM (memandang air zam-zam pun dapat pahala, apatah lagi meminumnya)

4. MELIHAT WAJAH IBU BAPA (renunglah wajah mereka dengan penuh kasih sayang)

5. MELIHAT WAJAH ORANG ALIM dan KEINDAHAN ALAM (Menghayati keindahan alam seperti laut dan gunung sambil mengagungkan kebesaran Allah S.W.T.



Sumber dan lebih banyak foto di:  The Atlantic


22 Oktober 2012

Program Khidmat Rumah Kebajikan Siti Nuraini Kajang

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani..

Syukur kehadrat Allah swt keranan pada kali ini,Biro Dakwah dan Program pertama kalinya menganjurkan khidmat masyarakat. Pada kali ini, khidmat masyarakat dianjurkan dengan kerjasama rumah kebajikan orang tua-tua Siti Nor Aini di Kajang,Selangor. Seramai 40 orang peserta dan seorang guru pengiring iaitu Ustaz Abduh menyertai khidmat masyarakat kali ini.

Sebelum bergerak ke rumah kebajikan,kami bersama-sama solat berjamaah di surau An-Nur KPM Beranang. Pada jam 7.30 pagi,kami bersama-sama menunggu ketibaan bas dan tepat jam 8.00 pagi,kami bergerak ke rumah kebajikan Siti Nor Aini Kajang. Setibanya disana, kami diberikan sedikit taklimat oleh penyelia rumah kebajikan saudara Abdul Rahman dan sedikit tazkirah oleh Ustaz Abduh. Selepas itu,kami mengerjakan solat sunat dhuha dan kami dibahagikan kepada 6 kumpulan,3 kumpulan lelaki dan 3 kumpulan perempuan. Kumpulan pertama dan kedua diberikan tugas mengemas kawasan surau. Kumpulan ketiga menyucikan tandas,kumpulan keempat mengemas dapur kumpulan kelima mengemop lantai dan cuci aquarium dan kumpulan terakhir mengemas almari. Masing-masing menjalankan amanah sebagai hamba Allah dengan penuh tekun.

Selesai bergotong royong,kami beramah mesra dengan orang tua-tua disana dengan berbual,bermain dan bernyanyi. InsyaAllah,dengan aktiViti yang dijalankan ini,Allah memberi rahmat dan berkat kepada para peserta. Tepat jam 12.00 tengah hari,kami bersama-sama makan dan tidak dilupakan untuk beramah mesra,menyuap warga emas makan. Sungguh menyeronokkan dan terasa seperti ayah sendiri. Sesudah itu,kami bersama-sama menunaikan solat zohor berjamaah. 






Tiba masanya untuk kami meninggalkan para warga emas Rumah Kebajikan Siti Nor Aini. Sungguh sebak didada untuk meninggalakan mereka. Kami kemudian mengucapkan selamat tinggal kepada mereka dan ada suatu ketika,salah seorang warga emas memelok salah seorang dari kami dan mengucapkan "raya haji,jenguklah pakcik" menitis air mata warga emas tersebut dan kami tidak dapat menahan sebak. InsyaAllah,kami sentiasa mendoakan agar warga emas ini senantiasa dirahmati dan diredhai Allah dengan hadirnya sifat kesabaran didalam diri. Allahhuakbar!


18 Oktober 2012

MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMESTER 1 SESI JULY-DISEMBER 2012

Acara yang sering kali diadakan pada setiap semester ini bertujuan memantapkan ilmu Al-Quran dari segi bacaan dan istiqomah dan juga memupuk para pelajar KPM Beranang memartabatkan ilmu wahyu dan mukjizat Allah kepada umat Rasulullah SAW. Sekali lagi PERDIQMA mengadakan majlis khatam quran selama 13 minggu para pelajar semester 1 bertilawah. Majlis ini diadakan pada 18 Oktober yang lalu bagi menamatkan bacaan Al-Quran dan tilawah disertai seramai 268 pelajar semester 1.

Khatam Quran ini diwakili seramai 22 orang peserta lelaki dan diketuai oleh saudara Muhd Syafiq bin Syamsul. Majlis dipengerusikan oleh saudara Azmil Ulya dan seterusnya bacaan doa di ketuai oleh saudara Zaim Rashdan.Majlis dimulakan dengan menunaikan solat fardhu maghrib secara berjemaah. Bacaan dimulakan dari surah Al-fatihah,surah Ad-dhuha sehingga surah An-Nas. Selesai bacaan doa, dan selepas itu,kami meneruskan dengan sedikit ucapan dari Ustaz Wan Muzakir. Pada jam 8.10, kami meneruskan majlis dengan menunanikan solat fardhu Isyak.

Selesai solat fardhu isyak, majlis diserikan dengan taklimat wakaf oleh Wakaf,Sedekah,Zakat(WSZ company) dan meminta para jemaah banyakkan bersedekah dan mewakafkan harta jika ada sedikit kemampuan. Sedikit jamuan ringan diadakan sebagai santapan dan penutup kepada peserta Majlis Khatam Al-Quran sesi Julai-Disember 2012. Semoga kita semua bersama-sama memantapkan bacaan Al-Quran dan memartabatkannya sehingga anak cucu dimasa akan datang.

1.Daripada Osman Bin 'Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain (Riwayat Bukhari )


2. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala.(Riwayat Bukhari & Muslim)

InsyaAllah.


17 Oktober 2012

Aktiviti Khidmat Masyarakat Di Pantai Morib 2012

Bismillahhirrahmanirrahim..

Syukur ke hadrat Allah swt dengan izin dan limpah kurniaNya,PERDIQMA dapat menjayakan program Khidmat Masyarakat Di Pantai Morib Banting,Selangor. Aktiviti diadakan pada 14 Oktober 2012 disertai oleh 90 orang peserta,10 Ajk dan 5 orang guru pengiring. Program ini telah dianjurkan oleh PERDIQMA dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat(MDKL) dan Jabatan Pengajian Am KPM Beranang.

Program dimulai dengan peserta lelaki beriktikaf didalam surau dan bangun mengerjakan  Qiamullail pada hari program dan para peserta dikejutkan pada jam 4.45 pagi. Kami bersama-sama menunaikan solat sunat tahajjud,hajat,taubat dan diakhiri qiamullai dengan solat sunat witir. Selepas menunaikan qiamullai,kami bersama-sama membaca al-ma'thurat sementara menunggu kehadiran subuh. Ma'thurat diketuai oleh saudara Danial Ifran dan seterusnya kami meneruskan dengan solat subuh berjamaah di surau An-Nur.
Selesai solat subuh,kami bersama-sama saling bantu-membantu untuk mengemaskan barangan yang ingin digunakan semasa khidmat masyarakat berlangsung. Sedikit taklimat telah disampaikan oleh Ajk program dan tepat jam 7.30 pagi,kami bergegas ke pantai Morib untuk menjalankan hasrat dan tujuan kami.

Setibanya disana,kami berkumpul beramai-ramai bagi menjayakan majlis perasmian program ini. Dengan lafaz Bismillah,program ini di rasmikan oleh En. Miskon Bin HJ Karim selaku pemangku setiausaha MDKL. Alhamdulillah, Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 19-20 orang. Kumpulan-kumpulan ini dibahagikan kerja mengikut tempat yang disediakan oleh MDKL dan khidmat ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 11.00 pagi. Sedikit pengisian oleh ketua-ketua kumpulan kepada kumpulan masing-masing sehingga jam 12.45 tengah hari dan diikuti program dengan persediaan solat fardhu zohor berjamaah. Kami bersama-sama berjamaah di kawasan tepi pantai. Allahuakbar,bersolat bersama keindahan angin tiupan dari pantai menyebahkan kami mengingati Allah akan ciptaan yang tiada tandingan. Allahuakbar, Selesai solat,sedikit tazkirah disampaikan oleh Ustaz Abduh mengenai 7 golongan yang mendapat naungan arash dari Allah swt.




Selesai solat,kami meneruskan program dengan mengadakan sedikit permainan. Antara permainan yang kami main adalah, simpulan kasih dimana peserta perlu memegang tangan rakan2 secara silang dan perlu membuka silangan dengan tidak melepaskannya. Selain dari itu,acara tarik tali juga dipertandingkan oleh peserta lelaki sahaja. Permainan yang sangat menguji minda dan kekuatan ini mengingatkan kami bahawa,di dalam dunia ini,tiada sesiapa yang paling kuat dan bijak,semuanya adalah milik Allah dan kita hanya meminjam sahaja.

 
Selesai sudah program ini dan majlis ditutup dengan solat asar berjamaah ditepi pantai. Alangkah indahnya ciptaan Allah swt dengan menciptakan langit tidak bertiang dan angin tidak dilihat. Semoga program ini dapat memberikan kita pengalaman dan pengajaran baru untuk senantiasa mengingati Allah swt. INSYAALLAH.


15 Oktober 2012

Ikhtilat, Cinta dan Remaja By ustazah fatimah syarha


Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, seperti biasa setiap minggu kami akan mengadakan Ijtima' Jumaat khas untuk kaum muslimat sahaja. Namun, sedikit kelainan telah dilakukan sempena Ijtima' Jumaat pada kali ini iaitu pada 5 Oktober lalu kami telah menjemput seorang penceramah yang tidak kurang hebatnya memberikan sedikit perkongsian khas untuk muslimat KPMB iaitu Ustazah Fatimah Syarha yang terkenal dengan penulisan Novel. Pengisian yang sangat menarik diberikan agar kaum muslimat di KPM Beranang menjadi insan yang dikehendaki Allah dan Rasulullah SAW. Tajuk yang diberikan kali ini sangatlah menarik iaitu "Ikhtilat, Cinta dan Remaja". Tajuk ini dipilih bersesuaian dengan persekitaran dan  jiwa remaja muslimat KPMB yang semakin meningkat matang.

Dengan penuh kelembutan dan berhikmah, ustazah Fatimah Syarha sedaya upaya untk menarik jiwa-jiwa muslimat untuk sedar akan permasalahan jiwa remaja pada masa kini. Dengan bantuan slide dan video yang mempunyai mesej tersendiri merangsang minda muslimat untuk berfikir tentang mesej yang ingin disampaikan.

Ustazah Fatimah Syarha membuka hujah dengan persoalan "Cinta? Apakah itu?" menarik audien untuk berfikir sejenak. Kita haruslah berpandangan holistik (pandangan lebih luas) terhadap cinta kerana cinta itu banyak makna.

Sebelum menjalinkan sesuatu hubungan,kita perlulah persiapkan diri dengan permantapan agama (ilmu) dan mental sebelum menuju bahtera perkahwinan. Ini perlu dilakukan bagi memastikan ilmu digunakan sebaiknya agar terhindar dari sebarang fitnah dan zina.
Pelajar juga perlu  bermujahadah (bersusah-susah dulu, dengan melawan nafsu) sebelum sampai waktunya nanti seperti contoh, berpuasa dengan mendapat nikmat setelah berbuka puasa .

Janganlah sesekali mendekati zina seperti yang dinyatakan Al-quran “Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” [al-Israa' 17: 32] . Tidak kira sama ada mata,mulut,perlakuan,sms dan sebagainya. Yang mampu meningkatkan nafsu syahwat.

Bernikah seorang wanita sahaja adalah lebih baik daripada ramai : Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.(AnNisa: 3)

* lebih meringankan, menenangkan , lebih mudah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

InsyaAllah,sedikit sebanyak ilmu dapat sama-sama kita pelajari dan mengambil pengajaran agar kita tergolong dalam kalangan orang diredhai dan diberkati Allah selalu.


Tanda Tangan pada Novel Karya Belau iaitu Cinta High Class


untuk mengenali lebih dekat siapakah Ustazah Fatimah Syarha bolehlah melihat blog beliau iaitu http://sebarkanbahagia.blogspot.com/. anda juga boleh mendapatkan buku-buka karangan beliau melalui blog beliau. semoga bermanafaat untuk mencapai sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan.InsyaAllah.


11 Oktober 2012

Program Khidmat Masyarakat di Pantai Morib

Program terdekat anjuran PERDIQMA


Assalamualaikum wbt, sahabat-sahabat Perdiqma sekalian. InsyaAllah pada 14 Oktober 2012 ini, pihak Perdiqma akan menjalankan satu program Khidmat Masyarakat di kawasan Pantai Morib dengan kerjasama  Majlis Daerah Kuala Langat dan pensyarah Jabatan Pengajian Am KPMB. Sasaran peserta adalah seramai 80 orang dan kini telah mencapai kuota yang diharapkan. Program ini diharapkan dapat menyemai sikap tanggungjawab dalam kalangan siswa dan siswi KPMB tentang kepentingan alam sekitar. InsyaAllah


Kepada semua peserta PROGRAM KHIDMAT MASYRAKAT PANTAI MORIB

perjumpaan akan diadakn pada:
Hari: SABTU
Tarikh: 13 OKTOBER 2012
Masa: 9 MALAM



SEMUA PESERTA perlu PULANG AWAL KE KOLEJ iaitu pda 13 OKTOBER 2012(sabtu)
pada hari program sila bawa TOPI SENDIRI.

Diharapkan sahabat Pediqma yang lain dapat mendoakan kejayaan dan kelancaran program kali ini kerana ini kali pertamanya Perdiqma mengadakan program sebegini. Pengalaman sepanjang program akan kami kongsikan pada artikel yg akan datang. InsyaAllah


10 Oktober 2012

Ceramah Imam Muda Hassan

Assalamualaikum w.b.t





Alhamdulillah kali ini, pada 4 Oktober 2012 yang lalu, PERDIQMA bersama-sama MPP menjemput seorang lagi penceramah yang tidak kurang hebatnya iaitu Imam Muda Hassan. Penyampaian yang sangat menarik daripada beliau bertajuk "cinta muka buku vs cinta ulat buku".

Selesai solat isyak berjamaah,kami menantikan ketibaan Imam Muda Hassan dan tepat jam 9.10,beliau tiba di dewan seri gema KPM Beranang. beliau disambut dengan selawat yang diketuai oleh kumpulan Tilmiz Voice KPM Beranang. Selesai selawat, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh saudara Zaim Rashdan dan   tanpa membuang masa, ceramah Imam Muda Hassan diteruskan. Sangat hebat apabila ceramah dimulakan dengan alunan surah Al-Fatihah oleh Imam Muda yang sangat merdu.

Sebagai seorang pelajar, buku merupakan alat yang sangat penting sebagai rujukan para pelajar. Ulat buku bukanlah bererti dalam buku ada ulat atau nama judul buku tetapi kata pepatah peribahasa merujuk kepada seseorang yang tidak renggang dengan buku. Cinta ulat buku bermaksud menyayangi sifat ulat buku. Muka buku pula kata terjemahan dari FACEBOOK. Cinta muka buku adalah cinta facebook yang sekarang digilai ramai. Memang susah nak renggang dengan facebook. Tetapi jangan lupa,facebook juga boleh dijadikan medan untuk berdakwah.

Seseorang itu tidak akan terlepas dari mempunyai perasaan kasih dan sayang. “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Perasaan cinta tidak menjejaskan apa-apa,cuma cara kita menunaikan cinta mesti berpandukan islam yang sebenar. Jangan  sesekali kita mencabar Al-Quran dengan melakukan perkara yang ditegah seperti tafsir al-quran menyebut, “Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” [al-Israa' 17: 32]


Pelbagai ilmu baru dapat ditimba dengan ceramah kali ini. Kami berasa sangat bersyukur kerana dapat menjemput penceramah yang terkenal ini. Terima kasih ini juga kami kalungkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar KPM Beranang kerana sudi bekerjasama dengan pihak kami dalam menganjurkan program keislaman seperti ini. Sememangnya KPM Beranang dalam menuju suasana Islam yang menyeluruh. InsyaAllah, dengan berkat doa anda sekalian,kami dapat mengadakan program ilmiah seperti ini lagi. Allahuakbar!



29 September 2012

Jaulah Ke Selatan Thailand(KL - Tak Bai - Narathiwat).

“Musafir kerana Allah”. Ayat itulah yang mula-mula saya coretkan di buku catatan yang dibawa ketika berjaulah ke Selatan Thailand baru-baru ini. Ia perjalanan yang ditekadkan bersungguh-sungguh walaupun dirancang dalam masa yang singkat. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya sejak awal. Rancangan yang mulanya di dalam fikiran diterjemah melalui perjalanan yang menjanjikan ibrah dan pengalaman. Di temani seorang sahabat, perjalanan hampir 800 km melalui jalan darat ini kami tempuhi.

Perjalanan kami bermula di KL Sentral pada 22/8/2012 bersamaan 4 Syawal 1433 Hijrah. Usai solat Maghrib jamak bersama Solat Isyak di Surau KL Sentral, kami menaiki Keretapi Tanah Melayu Ekspres Senandung Wau di Platform B. Destinasi kami menuju ke stesen terakhir iaitu stesen Tumpat, Kelantan Darul Naim. Tepat jam 8.30 malam, keretapi mula bergerak perlahan sebelum menambah kelajuan menuju ke stesen Gemas dan stesen-stesen berikutnya. Keputusan menaiki keretapi sengaja diambil walau memakan masa yang lebih panjang berbanding menaiki bas. Ini kerana kami ingin merasai pengalaman melihat pemandangan kawasan kampung dan pedalaman sepanjang laluan keretapi. Pengalaman merasai qiam, solat subuh, menikmati hidangan di café dan berbincang tentang perjalanan kami di atas keretapi  yang sedang bergerak juga merupakan pengalaman yang mencuit hati apabila dikenang semula.

Kami tiba ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Tumpat agak lewat iaitu sekitar jam 12.30 Tengah hari pada 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah. Namun begitu, perjalanan kami selama 16 jam tidak terasa meletihkan kerana keterujaan kami untuk meneruskan perjalanan. Kami meneruskan perjalanan ke Pos Imegresen Pengkalan Kubur dengan menaiki kereta sewa. Jarak perjalanan dari Stesen KTM Tumpat hanya mengambil masa kira-kira 15 minit. Selepas urusan pasport selesai, kami menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Kolok menuju ke Tak Bai, Thailand dengan tambang RM 1.00. Setelah tiba di wilayah Tak Bai, kami terus menuju ke stesen imigresen Thailand. Bezanya dengan sebelah Malaysia, lokasi imigresen di Tak Bai ini hanyalah sebuah bangunan kayu yang dibina untuk sementara dan tempat mengisi borang kemasukan kami lebih menyerupai sebuah pondok panas di Malaysia.

Pemandangan Pekan Tak Bai dari dalam bot ketika menyeberangi Sungai Kolok.



Lokasi mengisi borang kemasukan di Pekan Tak Bai yang lebih menyerupai pondok panas.

Kami mengambil kesempatan petang di Tak Bai atau juga di kenali sebagai Ta ba oleh penduduk tempatan dengan menikmati makanan tempatan dan melihat-lihat barangan yang begitu murah di sekitar Pasar Tak Bai. Untuk mendapatkan makanan halal, sememangnya tiada masalah. Gerai makanan melayu di mana-mana. Bagi penggemar makanan, pasti mereka akan berpuas hati dengan rasa dan harga yang ditawarkan oleh peniaga gerai makanan di Pekan Tak Bai ini. Di sini juga kami mendapati hampir semua penduduk tempatan yang meniaga merupakan orang Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dengan dialek Kelantan.Oleh itu, kami tidak punya kesulitan untuk bercakap dengan mereka walau ada sedikit kejanggalan kerana kami menggunakan dialek yang berbeza. Disini juga matawang ringgit atau dipanggil penduduk tempatan sebagai “kok” juga masih boleh digunakan. Oleh itu, jika anda hanya ingin melawat sekitar Tak Bai, anda tidak perlu menukarkan Ringgit Malaysia kepada Bath Thailand. Nilai RM 10.00 di sini di kira bersamaan 100.00 Bath. Kepada pengembara yang hendak berjimat, anda tidak perlu menukar wang di kaunter tukaran wang asing kerana sedikit caj akan dikenakan.



Aktiviti perniagaan penduduk tempatan.

Pagi 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah merupakan hari yang cerah dan indah. Hari ini adalah hari kedua kami di Tak Bai. Selepas bersarapan di chalet, kembara diteruskan dengan membuat lawatan di hadapan Balai Polis Tak Bai menaiki teksi motor.

Balai Polis Tak Bai merupakan antara lokasi penting dalam kembara ini. Di hadapan Balai Polis Tak Bai inilah peristiwa Berdarah Tak Bai atau dikenali sebagai Tak Bai Massacre  berlaku. Peristiwa berdarah yang berlaku pada 25 Oktober 2004 ini terjadi di dalam bulan Ramadhan.  Peristiwa ini berpunca dari kehilangan 4 laras senjata api milik pihak keselamatan Thailand.  Menurut Pak Cik Mat iaitu pemandu teksi motor yang membawa kami ke lokasi ini, dia memberitahu enam orang penduduk tempatan telah ditahan secara tidak sah oleh pihak polis atas sebab ini. Sedangkan, penduduk tempatan tidak terlibat langsung dengan kehilangan 4 laras senjata api tersebut.


Perbandingan gambar lokasi pada hari ini dengan gambar lokasi pada hari kejadian.

Bagi menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati atas tindakan polis menahan penduduk tempatan, ratusan penduduk tempatan melakukan demonstrasi di hadapan Balai Polis bagi menuntut pembebasan rakan mereka. Namun begitu, tindakan ini dibalas dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup. Peristiwa berdarah ini menyaksikan ratusan orang melayu Islam dipukul, disepak, dipijak dan diseret sebelum di bawa menaiki trak tentera sebelum di bawa ke pusat tahanan tentera di Pattani. Dalam peristiwa ini, 84 orang telah terbunuh. 7 disahkan terbunuh ditembak ketika melarikan dan bakinya maut akibat sesak nafas dalam perjalanan ke kem tentera di Pattani akibat di bawa secara bertindih-tindih di dalam trak manakala ratusan yang lain di tahan.

Sebagai renspon terhadap peristiwa itu, perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawarta (Kini telah dijatuhkan dengan rampasan kuasa oleh tentera selepas kemelut politik di Thailand) dengan biadap menyokong tindakan tentera, dengan mengatakan bahawa orang-orang Islam ini terbunuh “Kerana mereka sudahpun lemah sebab berpuasa di bulan Ramadhan”.

Ketika tragedi ini berlaku, saya masih di bangku persekolahan. Namun mengikuti perkembangan tragedi ini di dada akhbar pada ketika itu cukup mengguris emosi saya sebagai seorang muslim. Apabila berdiri dan menyaksikan sendiri lokasi berlakunya peristiwa ini, ibarat menyaksikan secara langsung suasana pilu suasana yang berlaku pada hari tersebut. Seakan-akan terjadi di hadapan mata tidakan tidak berperikemanusiaan tentera dan polis mengheret saudara-saudara seakidah dengan kita, tubuh mereka dipijak dan dihenyak malah sebahagian dari mereka yang melarikan diri dengan terjun ke tebing sungai di tembak mati.



Kesan tembakan peluru M 16 yang masih kelihatan di tiang.

Akibat dari peristiwa berdarah ini, wilayah selatan Thailand yang sedia panas menjadi bergolak semula. Penduduk tempatan ada yang membalas. Pengeboman berlaku lebih kerap di daerah selatan sehingga ke Narathiwat,Yala dan Pattani. Tembak menembak berlaku. Umat Islam yang sedang solat di dalam masjid ada yang ditembak ketika solat berjemaah malah imam di bunuh dalam perjalanan ke masjid. Sehingga hari ini, wilayah ini belum sepi dari rasa curiga antara pihak kerajaan dengan penduduk tempatan.

Dalam kesempatan berbual bersama Pak Cik Mat, beliau  memberitahu saya bahawa 6 orang saudaranya terbunuh dalam peristiwa Tak Bai. Ahli keluarga mereka yang masih hidup, ramai yang  bangkit menuntut bela dengan menyertai pihak pejuang. Sebahagian masih di Thailand. Sebahagian melarikan diri melalui sempadan. Pak cik memberitahu saya sebahagian dari mereka melarikan diri ke Malaysia. Dengan kuasa Allah, saya terlupa akan nama-nama kawasan di mana mereka berlindung. Mungkin lebih selamat untuk saya dengan tidak mengingati nama-nama lokasi tersebut.Pak cik Mat kehilangan 6 orang saudara ketika peristiwa Tak bai berlaku. Pak cik tidak tahu, saya kehilangan lebih 80 saudara seakidah dengan saya dalam peristiwa itu.

Pada jam 10 pagi, kami meneruskan perjalanan menaiki teksi ke wilayah Narathiwat. Wilayah ini adalah wilayah bersebelahan dengan wilayah Tak Bai. Sepanjang perjalanan ke Narathiwat, kami berkesempatan berbual bersama Abang Rahim, iaitu penduduk Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga dalam perjalanan ke Narathiwat bagi melawat saudara-mara beliau yang berada di sana. Kehadiran beliau, adalah bantuan dari Allah. Doa yang kami panjatkan agar perjalanan kami dipermudahkan dikabulkan. Beliaulah yang kemudiannya mencadangkan penginapan yang terdekat dengan Bandar Narathiwat malah membantu dan menemani kami sepanjang kami berada di sini.
Benarlah hadith baginda nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir” (Riwayat Al Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Al Tirmizi)

Selesai urusan “check ini” di Hotel Pasifik dengan bayaran 500 bath atau RM 50.00 kami mengambil keputusan untuk bersolat Jumaat di Masjid Al Jam’iyah memandangkan kedudukannya yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari penginapan kami. Ketika khutbah di bacakan, kami agak teruja apabila mendengar khatib membaca dalam bahasa melayu malah dengan dialek yang lebih mudah difahami. Intipati khutbah juga sangat menarik iaitu memfokuskan mengenai kepentingan menjaga silaturrahim dan ukhwah sesame Umat Islam. Mungkin sempena menyambut kedatangan syawal yang masih diraikan. Bersolat di Masjid ini, menjadikan saya berasa seolah-olah masih berada di negara sendiri.

Usai solat, kami mengambil kesempatan berehat sebentar sehingga waktu asar. Kira-kira jam 5 petang, Abang Rahim datang bersama sepupu beliau, Rusydi datang menjemput kami dengan kereta milik Rusydi. Rancangan awal, mereka bercadang untuk membawa kami untuk melawat Masjid Telok Manok atau lebih dikenali sebagai Masjid 300 tahun. Masjid ini punya keunikannya yang tersendiri dengan binaannya yang tidak menggunakan walau sebatang paku selain kecantikan senibina dan sejarah di sebalik penubuhannya. Rusydi merupakan anak jati kelahiran Narathiwat dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia. Agak melucukan juga apabila perbezaan dialek antara kami menjadikan sebahagian pertuturan beliau gagal difahami oleh kami dan pertuturan kami juga tidak difahami oleh beliau sedangkan kami masih menggunakan bahasa yang serupa. Mujur ada Abang Halim sebagai penterjemah.

Di wilayah Narathiwat ini, kebanyakan penduduk sama seperti di Tak Bai iaitu Melayu Islam. Tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal di mana-mana. Bahasa yang digunakan juga masih bahasa melayu dengan dialek Kelantan. Antara tips mudah mencari makanan halal dan restoran melayu adalah pada pakaian dan bahasa mereka selain tanda-tanda di dinding kedai. Di wilayah ini, matawang ringgit atau “kok” tidak digunakan oleh penduduk tempatan seperti di Tak Bai. Bagi menukarkan wang, di sini tidak kedai khas menawarkan khidmat menukarkan mata wang asing seperti yang boleh dilihat di Malaysia. Walaubagaimanapun, penukaran boleh dilakukan di mana-mana kedai emas yang banyak terdapat di Narathiwat. Kedai-kedai emas di sini menawarkan khidmat penukaran wang asing dengan sedikit bayaran. Untuk RM 100.00 bagi penukaran kepada 1000 bath, kami dikenakan caj RM 2.00.


Sekatan oleh pihak tentera hampir di setiap jalan utama.

Perjalanan kami pada petang ini diiringi hujan yang turun renyai-renyai menjadikan cuaca sejuk dan dingin. Namun begitu, perjalanan ke masjid yang berusia lebih dari 300 tahun ini lancar dengan keadaan jalan yang lebar dan lurus tanpa kesesakan jalan raya. Sekatan dan pos kawalan pihak tentera yang berada di mana-mana juga dilepasi dengan mudah. Syukur perjalanan kami tidak di sekat. Sepanjang perjalanan melewati banjaran gunung diliputi kabus di sisi kiri kami menambahkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Panorama yang begitu indah dan mengasyikkan. Betapa indahnya ciptaan Allah bagi hamba yang mahu dan tahu bersyukur. Benarlah firman Allah di dalam Surah Al Hajj yang bermaksud:

Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati di dalam dada” (Al Hajj:46)

Kami tiba di kawasan masjid yang di bina pada abad ke 18 ini sekitar jam 5.30 petang. Ketika itu hujan masih renyai-renyai. Namun kami tidak melepaskan peluang untuk melihat keindahan senibina unik yang terdapat di dalam masjid ini. Lensa kamera tidak henti –henti di petik kerana tertarik dengan keunikan seni bina masjid ini yang di bina ratusan tahun dahulu. Seluruh kawasan masjid termasuk loteng kecil masjid yang begitu unik amat mengagumkan kami. Bagi sesiapa yang meminati seni ukiran kayu dan sejarah di sebalik masjid ini , lawatan ke lokasi ini adalah satu kemestian yang menjanjikan pengalaman luar biasa.

Masjid yang dikenali sebagai masjid 300 tahun.

Tarikh 24/8/2012 bersamaan 6 Syawal 1433 Hijrah ialah hari terakhir kami di Narathiwat. Selepas solat subuh dan membaca Mat’surat, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dengan berjalan kaki di sekitar Narathiwat. Kami memulakan langkah kaki kami menuju ke Sungai Bang Nara, yang terletak berhampiran dengan kediaman kami. Di sini kami mengambil kesempatan untuk sekali lagi melihat kebesaran Allah dengan menikmati pemandangan matahari terbit di muara sungai sambil memerhatikan kapal-kapal nelayan yang baru pulang dari laut. Keadaan sungai yang bersih menjadikan anak-anak ikan yang bermain di gigi air jelas kelihatan sepanjang sungai ini. Bagi yang berminat dengan aktiviti pertandingan kayuh perahu, di sungai inilah saban tahun sekitar bulan September akan diadakan pertandingan kayuh perahu dikalangan penduduk tempatan dengan disaksikan oleh Raja Thailand iaitu Raja Bhumibol Adulyadej.

Selepas menikmati pemandangan di Sungai Bang Nara, kami ditemani seorang pak cik berusia sekitar pertengahan umur yang juga merupakan penduduk tempatan. Beliau begitu baik hati dan menawarkan diri untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar Bandar Narathiwat. Di bandar ini, kami dapat melihat suasana masyarakatnya yang sedang menjalankan aktiviti pagi hari. Agak tertarik apabila melihat pelajar-pelajar sekolah arab yang menaiki Tut-tut beramai-ramai menuju ke sekolah. Begitu juga melihat penduduk tempatan yang menaiki motosikal untuk berniaga dan menjalankan aktiviti harian mereka. Apabila melihat golongan tua menaiki motor sambil memakai kain pelikat dan serban, juga golongan ibu yang memakai pakaian begitu sopan dan menutup aurat menjadikan kami terasa seakan-akan berada di Kota Bharu, Kelantan.


Pelajar Sekolah Agama dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki Tut-Tut.

Kami menyusuri perjalanan sepanjang kawasan Bandar Narathiwat dan menyeberangi Jambatan Saphan Predanaratasana menuju ke kawasan Pantai Narathiwat. Dari atas jambatan Saphan Predanaratasana ini juga kami melihat masyarakat tempatan yang menjalankan aktiviti penternakan ikan dan kawasan perkampungan nelayan. Di atas jambatan ini jugalah kami menyedari bahawa di Narathiwat ini terdapat begitu banyak masjid yang di bina berdekatan antara satu sama lain untuk kemudahan penduduk. Dari atas jambatan ini, sudah pasti menara dan bangunan Masjid Pusat iaitu masjid terbesar di Narathiwat paling jelas kelihatan.


Banner Kempen Berhenti Merokok sempena Ramadhan. Tulisan jawi masih digunakan. Di Malaysia barangkali hanya di Kelantan baru dapat dilihat banner bertulisan jawi sebegini.

Selepas pulang dari bersiar-siar di sekitar Narathiwat, kami mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti urus niaga penduduk tempatan di pasar narathiwat. Di kawasan ini jugalah kami mengambil kesempatan untuk menikmati makanan penduduk tempatan yang begitu lazat dan murah.


Pemandangan sekitar Sungai Bang Nara, Narathiwat.

Perjalanan kami di Narathiwat kami akhiri dengan lawatan ke Ao Manao – Khao Tanyong National Park bersama abang Rahim yang menemui kami ketika kami sedang leka menjamu selera.  Dari sana, kami sekali lagi kagum dengan kecantikan hutan di Taman Negara Ao Manao – Khao Tanyong  yang masih terpelihara dan pesisir pantai yang kehijau-hijauan. Bagi yang meminati aktiviti hutan dan pantai, lokasi ini adalah antara lokasi penting bagi menjalankan aktiviti lasak seperti jungle trekking, camping,  memandu ATV dan menaiki bot di sepanjang pantai.


Taman Negara Ao Manao-Khaotanyong. Lokasi perkelahan yang amat menarik bagi pencinta alam.

Melihat kecantikan pemandangan di sini, kami berasa hairan kerana sepanjang kami berada di Wilayah Narathiwat termasuk di kawasan Bandar, kami tidak bertemu walau seorangpun pelancong asing. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan kawasan lain di Thailand seperti di Danok, Hatyai, Phuket dan Bangkok. Mungkin para pelancong memilih lokasi yang lebih selamat kerana Wilayah Narathiwat merupakan wilayah bergolak.  Kejadian letupan bom dan tembakan masih berlaku di wilayah ini. Tidak hairanlah setiap kali saya berkesempatan untuk berbual dengan penduduk tempatan, hampir setiap mereka yang saya temui akan bertanya: “Tidak takutkah datang ke sini?” Saya hanya tersenyum. Tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Risiko itu telah difikirkan dengan mendalam sebelum saya bertolak ke sana. Saya juga tahu letupan dan kejadian tembak-menembak masih berlaku di wilayah bergolak ini. Tapi hati telah dibulatkan untuk mengembara ke sana. Barangkali ini tarbiah buat diri untuk merasakan keindahannya tawakal sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT. Bukankah Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.” (QS At Taubah: 51).

Kami mengakhiri kembara kami pada tengah hari itu dengan menuju ke perhentian teksi sebelum berpisah dan seterusnya pulang ke Malaysia. Sungguh, kesempatan kembara di selatan Thailand adalah satu kenangan indah yang kami syukuri dengan sebenar-benarnya. Selamat tinggal saudara-saudaraku di sana. Semoga kelak kita dapat bertemu kembali.

Jaulah: Kembara sambil mencari redha Allah.
_________________________________________________________________________________

Tips Kembara ke Selatan Thailand:


*Perbetulkan niat kembara @ jaulah kerana ingin mendapatkan redha dan berfikir tentang kebesaran Allah SWT menepati firman Nya yang bermaksud:

Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” Al Hajj (22:46).

*Sentiasa bertawakkal kepada Allah menepati firman Nya yang bermaksud:

Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.”  (QS At Taubah: 51)

* Baca sunnah mengembara seperti yang diamalkan Rasulullah sebelum memulakan perjalanan. Boleh baca di link ini:
http://lilyrianitravelholic.blogspot.com/2012/04/sunnah-rasulullah-saw-semasa-musafir.html

*Bawa Mat'surat untuk bacaan setiap pagi & petang sebagai usaha agar dilindungi dari segala mara bahaya.

*Elakkan mengembara berseorangan. Usahakan untuk mengembara dengan sekurang-kurangnya 3 orang dan lantik salah-seorang menjadi ketua.

 *Untuk panduan jumlah wang yang perlu dibawa, penulis membawa duit berjumlah RM 380.00 semasa melakukan pengembaraan ke wilayah selatan Thailand (Tak Bai & Narathiwat sahaja) dan duit masih berbaki kira-kira RM 40.00 semasa tiba di Hentian Bas Putra, Kuala Lumpur.  Jumlah RM 400.00 –  RM 500.00 dalam bentuk tunai adalah memadai untuk perjalanan selama 3 atau 4 hari. Jika pergi lebih jauh seperti di Pattani dan Songkla kos pasti bertambah.

*Jangan membawa wang terlalu banyak. Anda hanya akan meningkatkan resiko keselamatan diri dan rakan-rakan lain.

*Kos sebenar bergantung kepada bagaimana kita menguruskan perjalanan kita. Sebagai contoh, kos makanan boleh dijimatkan jika memasak sendiri dengan menggunakan dapur camping (mess tin) dan kos perjalanan boleh dijimatkan jika memilih untuk menaiki kenderaan yang lebih murah (tetapi biasanya lebih lambat seperti menunggu teksi penuh dan sebagainya).

*Jika anda pandai berunding dengan pemandu-pemandu di sana, anda boleh menjimatkan wang untuk kegunaan lain.

*Elakkan membeli terlalu banyak barang dan cenderahati jika mengembara kerana beban, saiz muatan dan kos yang tidak efektif. Kembalikan fikiran kepada matlamat & tujuan pengembaraan.

*Elakkan membawa beg yang perlu dipegang di tangan (Seperti beg balik kampung) keranan ia menghadkan mobiliti dan keupayaan pergerakan. Gunakanlah beg Pack (Beg jenis galas) yang sesuai.

*Bawa beg kecil yang sentiasa boleh di bawa kemana-mana sahaja seperti porch bag untuk membawa barang penting seperti passport, ic, wang dan lain-lain.

*Elakkan terlalu menonjolkan diri sebagai pelancong dan membawa barang-barang yang beharga seperti barang kemas dan jam tangan yang kelihatan mahal. Jika anda membawa kamera DSLR dan sebagainya, simpan dari penglihatan orang ramai dan gunakan hanya bila perlu. Percayalah, Ia akan menjimatkan lebih wang dan memberi lebih keselamatan kepada anda.

* Bawa kompas arah solat dan sejadah kecil.

*Bekalan botol air mineral satu kemestian.

* Talian telefon bimbit Malaysia (Celcom, maxis dan digi) hanya ada di sekitar Tak Bai. Jika anda masuk lebih jauh seperti di Narathiwat, Pattani, Songkla dan lain-lain, talian telefon anda sudah tiada. Tukarkan ke talian tempatan (Manual configure) untuk mendapatkan talian. Sebagai pilihan, telefon awam banyak terdapat di Bandar Narathiwat.

* Berkebolehan berbicara dalam dialek/slang seperti di Kelantan adalah satu kelebihan.

*Elakkan bercakap mengenai isu-isu keselamatan, pejuang di selatan Thailand dan lokasi-lokasi khusus yang hendak anda kunjungi jika ianya punyai sejarah hitam kepada sesiapa yang anda tidak kenali. Sebut hanya lokasi-lokasi umum seperti lawatan ke Masjid , sekolah, universiti, sungai-sungai dan pantai.
____________________________________
Peta Perjalanan

Laluan perjalanan sepanjang jaulah. Laluan bewarna biru adalah menaiki KTM dan laluan bewarna merah menaiki teksi.

 Maaf jika ada tersalah fakta atau nama-mana tempat/benda yang telah saya nyatakan. Barangkali kesilapan yang ada atas kekurangan saya sendiri. Kritikan dan pandangan dari pembaca amat dialu-alukan.
__________________________________________________________________________

Travelog di atas merupakan perjalanan Mus'ab Khalili Rosli ke selatan Thailand pada Syawal lalu. Mus'ab Khalili Rosli merupakan bekas Ketua Biro Dakwah & Tarbiah PERDIQMA pada tahun 2011. Kini telah menamatkan pengajian HND BIT beliau di KPMB dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di sebuah IPT di utara tanah air.



25 September 2012

PERDIQMA DAY 2012

Assalamualaikum w.b.t

PERDIQMA DAY adalah suatu program anjuran PERDIQMA setiap tahun bagi melatih para jemaah PERDIQMA dalam membentuk seorang yang berjiwa muslim bertaqwa. Hamdalillah, sekali lagi tahun 2012 PERDIQMA dapat menjalankan pelbagai aktiiti dalam program ini.



22 september 2012 bermulanya perjalanan program ini dari jam 6 petang. Para peserta mendaftar dihadapan  surau dan mereka dibahagikan kepada 8 kumpulan. 4 kumpulan muslimin dan 4 kumpulan muslimat. Perjalanan menuju redha Allah ini diteruskan dengan solat maghrib dan sedikit tazkirah disampaikan oleh saudara Muaz AAG. Perjalanan ini juga diteruskan dengan aktiviti yang diberi nama "Journey of Taqwa"(JOT). Permainan ini tidak kurang sama seperti explorace tetapi penekanan lebih kepada unsur islam. Permainan ini bertemakan "Sabar sebahagian dari iman". Permainan berlangsung dari jam 9 malam hingga 2 pagi. Alhamdulillah, selesai program dengan selamat.

Keesokan harinya,peserta dikejutkan pada jam 5.30 pagi untuk solat subuh. seterusnya tazkirah subuh dan sedikit bacaan ma'thurat yang diketuai saudara Danial Ifran. Program diteruskan pada jam 8 pagi dengan aktiviti rehlah di Bandar Tasik Kesuma berhadapan KPM Beranang. Program tamat pada jam 11.30 pagi. Seterusnya,peserta diberi tugasan untuk membuat persembahan dimalam hari. Malam Ukuwah berlangsung pada jam 9.00 malam sesudah solat isyak. Malam yang menggambarkan kemenangan peserta diraikan secara ilmiah dengan persembahan yang sangat menarik. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada penganjur dan semua penasihat PERDIQMA kerana banyak memberi sokongan dalam menjayakan program kali ini. Doakan agar kami dapat menjayakan program-program yang lain dengan lancar. InsyaAllah


20 September 2012

Ceramah Motivasi Ustaz Abdullah Khairi





Assalamualaikum w.b.t
 
Alhamdulillah,sekali lagi PERDIQMA menjalankan satu program ceramah motiasi Ustaz Abdullah Khairi di dewan seri gema KPMB. Ceramah yang sangat menarik disampaikan bertajuk "remaja seharusnya bagaimana?"



Sedikit sebanyak ilmu dapat diterima oleh seluruh pelajar yang menghadiri ceramah tersebut. beliau menceritakan tentang kematian yang tak kenal usia dapat memberikan suatu kesan yang mendalam dengan video yang ditayangkan. seterusnya, beliau juga berkongsi pelbagai pengalaman yang sangat menarik. Seseorang manusia tidak boleh mendapat hidayat dari orang lain kecuali Allah sahaja yang dapat berikan dan hidayah milik Allah.

Segala ilmu ini akan kami gunakan sebagai pedoman didalam diri. Sekali lagi kami mengucapkan rasa syukur kerana berpeluang mengadakan program bersama Ustaz Abdullah Khairi dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau kerana bersama-sama memberi sokongan dalam menyebarkan dakwah kepada warga KPM Beranang. Semoga usaha ini dapat diteruskan. InsyaAllah


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...