Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

31 Mei 2012

Iktibar Perang Tabuk

Firman Allah dalamayat 38 surah at-Taubah :
Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit."


Kita sekarang berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga satu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H (Oktober 631 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para musafir.


Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. 


Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak kesulitan yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu.





Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman bin Affan memberikan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. Manakala Abdul Rahman Al-‘Auf memberikan 200 uqiyah perak serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Inilah antara contoh pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam memastikan Islam bukan sahaja dapat dipertahankan malah akan terus tersebar luas ke seluruh alam. Pengorbanan yang telah ditunjukkan ini sepatutnya dapat menyedarkan umat Islam hari ini yang hanya tahu bertanya bilakah penderitaan umat Islam akan berakhir dan bilakah janji kemenangan oleh Allah akan hadir sedangkan diri umat Islam sendiri terus dihanyutkan oleh kesenangan dunia yang menyaluti diri serta dijangkiti pula dengan penyakit takut mati.


Selagi umat Islam terus kaku memerhati penderitaan saudara seagama yang lain dan telah merasa cukup dengan pengorabanan yang tidak seberapa dalam memastikan kemenangan Islam maka jawapan kepada kemenangan yang dijanjikan Allah masih jauh malah penderitaan yang sedang dan akan dihadapi oleh umat Islam akan bertukar silih berganti. Oleh itu ikutilah jejak langkah nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas mereka yang bersedia sepanjang masa dalam mengorbankan seluruh kemampuan yang ada demi Islam bukannya mengorbankan kemuliaan Islam demi kepentingan diri. Jika kita sedar tentang tanggungjawab kita sebagai pejuang Islam yang dibebankan dengan amanah yang banyak dan berat maka kita tidak lagi mempunyai masa untuk ketawa dan kita juga sedar bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada. Kita sudah tidak punyai masa lagi untuk melengahkan kerja kerana di hadapan kita ada dua jawapan samada berkorban sehingga beroleh kejayaan atau terkorban dengan beroleh mati syahid yang diidamkan.


Peta lokasi Tabuk
Perjuangan Islam terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, cabaran, halangan, dugaan, tentangan dan rintangan. Begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sebelum keluar ke Tabuk di mana baginda terpaksa menempuh perjalanan dari Madinah yang jaraknya sejauh 80 km yang memakan masa 15 hari perjalanan dan berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani Amru bin Auf. Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W. 


Firman Allah dalam ayat 91 surah at-Taubah bermaksud:
"Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Manakala golongan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Jika kita perhatikan kepada golongan yang telah menyusahkan nabi ini maka golongan yang sama terpaksa kita hadapi pada hari ini dalam berdepan dengan musuh. Umat Islam yang cintakan Islam terpaksa berhadapan dengan pemimpin mereka sendiri yang lebih cintakan dunia daripada Islam sehingga ramai yang terbunuh dan menderita terpenjara serta tertekan akibat dikenakan pelbagai sekatan daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran. 


Sesampai angkatan tentera Islam di Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tetera Islam telah mengadakan 'perjanjian perdamaian' dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam. Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang bernama Yuhana bin Ru'bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk.


Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk semakin utuh dan kental. Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom di bawah pimpinan Panglima Satria Hercules, hal ini disebabkan beberapa faktor yang besar antaranya:
Benteng wilayah Tabuk yang semakin kebal akibat kekuatan pihak Islam
Tentera Islam berperang atas jalan Allah dan bukan semata-mata menguatkan pengaruh dan meluaskan kuasa


Bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk. Mereka telah digentarkan oleh Malaikat (dianggarkan sebanyak 100,000 malaikat) yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah. Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun.


Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah:
Maksudnya : "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."






Kita ingatkan kepada kuffar bahawa dunia Islam bukan selama-lamanya suram sebaliknya ia akan kembali terang. Kita tidak akan izinkan lagi saudara kita dibunuh di Palestin, Afghanistan, India, Kashmir, Selatan Filiphina, Iraq dan lainnya.Walau pun sudah ramai mujahidin yang telah gugur syahid namun pertempuran ini akan terus berlangsung selagi kuffar merajai dunia dengan kesesatan dan keganasan. Islam akan terus melahirkan mujahidin termasuk yang masih berada dalam perut muslimat-muslimat yang bakal dilahirkan untuk menyambut kemenangan Islam. Biar darah membasahi bumi tetapi Islam tetap dijulang tinggi. Biar nyawa terpisah dari badan namun kemuliaan Islam tetap dipertahankan. Semoga kemenangan yang pernah dicapai oleh nabi dan tentera Islam dalam peperangan Tabuk tanpa menumpahkan banyak darah kerana musuh berundur ketakutan maka begitulah juga kita semua sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kesatuan umat Islam yang sama-sama kembali semula kepada seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.


Rujukan: www.ekhutbah.wordpress.com



21 Mei 2012

Rejab Yang Dirahmati


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog perdiqma. Alhamdulillah kita masih diberi ruang oleh Allah untuk hidup di muka bumi ini disamping menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Hari ini merupakan hari terakhir kita berada di bulan JamadilAkhir 1433H. Begitu pantas masa berlalu dan tanpa kita menyangka kita berada di ambang bulan Ramadhan, bulan penuh barakah. Moga-moga agar Allah mengizinkan kita bertemu dengan Ramadhan.

"Ya Allah Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." [Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi]


Kini kita berada di bulan Rejab, bulan ke 7 di dalam kalendar Islam. Rejab ertinya mulia atau agung. Bulan Rejab begitu dianggap mulia khususnya bangsa Arab. Orang-orang Arab menamakan bulan Rejab kerana pada masa dahulu mereka begitu memuliakan bulan tersebut dengan berbagai cara, di antaranya:



1.   Mereka menyembelih unta pada tanggal 1 Rejab sebagai binatang korban dan menamakan korban itu dengan nama Fara'


2.   Menjelang 10 Rejab, mereka kan menyembelih seekor lagi unta dan korban ini dinamakan Utairah


3.   Sepanjang bulan Rejab, mereka diharamkan berperang dan berbunuhan


4.    Pada tanggal 1 Rejab, mereka akan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan memberi peluang kepada orang ramai beribadat  sepuas-puasnya.


Walaubagaimanapun,setelah kedatangan Islam, sebahagian amalan tersebut tidak dilakukan lagi seperti menyembelih unta pada 1 dan 10 Rejab berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


"Tidak ada penyembelihan haiwan pada tanggal 1 dan 10 Rejab dalam Islam"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Makna dan Huraian "Rejab"


Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana keagungan, kebesaran dan kemuliaan bulan Rejab itu maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan kebajikanNya terhadap hamba-hambaNya yang beriman dab beramal soleh pada bulan Rejab dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya. Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan sengan (bulan Allah).


Rahmat :


Diantara rahmat Allah yang terbesar dikurniakan kepada hambaNya ialah dengan ditambahkan amalan-amalan seperti berpuasa pada siangnya dan mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat disamping fardhunya yang tertentu dan banyak berzikir, bertasbih, berselawat, membaca al-Quran, beristighfar, mohon keampunan dan taubat dosa-dosanya yang lalu dan pada malamnya berjaga malam atau bangun tengah malam sembahyang sunat tahjud, sembahyang sunat tasbih, berzikir, beristighfar, bertasbih, berselawat, membaca al-Quran, berdoa dan sebagainya. Pad bulan rejab inilah dilipat gandakan pahalanya, dilipat ganda keampunan dosa-dosanya dengan mudah mendapat keampunan dan taubat dari allah, diangkat darjat keimanan oleh allah didunia, dan diangkat darjat yang tinggi didalam syurga di akhirat. Sungguh beruntung sekali bagi hamba-hambaNya yang menggunakan kesempatan bulan rejab ini berlumba-lumba memperbanyakan amalan ibadat dalam hidupnya sungguh satu rahmat Allah yang terbesar yang dianugerahkan kepada hambaNya denagn mendapat keredhaanNya yang besar dan rugilah orang-orang yang ketinggalan rahmat yang melepaskan kita daripada azab neraka dan mendapatkan kita ke dalam syurga.


Judu (Pemurah) : 


Begitu sekali pemurahNya dan baikNya allha kepada hambaNya yang beriman dan beralam soleh kepadaNya dengan balasan pahalaNya yang begitu banyak sekali, dan diangkat darjatnya yang tinggi didalam syurgadengan mudahnya diberi keampunan dan taubat yang begitu bangyaknya pula. Sesungguhnya pemurahNya dan baikNya allah terhadap hambaNya pada bulan yang mulia ini.


Berkebajikan : 


Sungguh bulan Rejab ini adalah bulan kebajikan dan kebaikan Allah kepada hambaNya. Bulan yang diperintah banuak berbuat amal kebajikan padanya, bulan yang digalakkan berbuat amal ibadat, sembahyang fardhu dan sembahyang-sembahyang sunat, bulan diperbanyakkan beristighfar memohon keampunan dan taubat ke hadrat allah, berzikir, bertasbih, berselawat, berdoa bersedekah, dan segala rupa kebaikkan dan kebajikan yang diperintah Allah dan rasulNya. Bulan Allah membuka pintu kebajikan dengan luas (banyaknya amal-amal kebajikan, dan banyak serta besar palu anugerah balasannya yang tidak terhingga). Banyak pemberian allah dan banyak pula hambaNya lumba-lumba memenuhi amalnya - banyak Allah memberi kebajikan dan banyak pula banyak pula hambaNya berbuat kebajikan. Bertambah dekat hambaNya dengan Tuhannya dan bertambah dekat pula Tuhannya dengan hambaNya. Betapa besar keredhaan allah terhadap hambaNya dan betapa besar pula keredhaan hambaNya terhadap Allah.


Al Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyebut secara tidak langsung iaitu Surah al Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah At Taubah (ayat 2, 36 dan 37)


"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah,dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT." (Al Baqarah ayat 217)


Bulan Rejab merupakan salah satu daripada Al Ashur Hurum selain bulan Muharram,  Zulkaedah dan  Zulhijjah)


Manakala kebanyakkan hadis menceritakan amalan berpuasa dalam bulan ini walaupun tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.


Seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya "Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama "Nabi bersabda" Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu"semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam "Maka tanya Rasulullah SAW" Kenapa kamu seksa diri kamu? Lalu sabdaNya" Berpuasalah pada bulan sabar yakni bulan Ramadhan dan satu hari dari setiap bulan "Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu "Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi." Tambahlah lagi "Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda "Berpuasalah dalam bulan suci (haram ) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak 3 kali sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan"


(hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majjah dan Baihaqi dengan sanad yang baik)





Peristiwa Penting Di Dalam Bulan Rejab


1. Hijrah Pertama Dalam Islam


Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.


Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.


2. Israk dan Mikraj


Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.


Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.


3. Peperangan Tabuk


Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dangeru n kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.


4. Pembebasan Baitul Maqdis


Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah,orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya     ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali     tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.


5. Lahirnya Imam Syafie RH


Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.


Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dari hadith-hadith Sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah. 


Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qimullail, puasa Isnin dan Khamis. Tadarus Al Quran dan lain-lain lagi.Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan.











16 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012




Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah,dengan izin Allah,dapat lagi kita bersama-sama berada di bumi Allah ini untuk mengabdikan diri pada Allah SWT dan dengan izinNya juga kita telah tiba pada hari yang penuh mulia dimana kita bersama-sama menyambut Hari Guru.

Menimba ilmu pengetahuan merupakan suatu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam diseluruh dunia. Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai kemanusiaan. Al-Quran banyak menekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis Rasulullah yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan.

Kita perlu sedar, dalam menimba ilmu pengetahuan,mengetahui adab-adab yang mesti kita jaga agar ilmu kita diberkati dan dirahmati. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk mengambil ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan ego terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain.

Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi. Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.

Kita sebagai pelajar juga tidak boleh berdendam kepada guru sehingga hilang perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidik kita. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya.

Saya dengan setinggi-tinggi penghargaan sebagai wakil dari PERDIQMA KPMB memohon segala kemaafan kepada semua guru yang telah mengajar segala ilmu kepada kami. Doakan kejayaan kami dunia dan akhirat. Saya dengan ini mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru di dunia terutamanya di KPMB kerana tlah banyak mengajarerti kehidupan kepada kami. Tidak lupajuga kepada penasihat kami Ustaz Wan Muzakkir,Ustazah Hafidzah dan juga Ustazah Hidayu keranan banyak memberikan ilmu baru kepada saya juga rakan-rakan yang lain. Terima kasih dan semoga kita berjumpa di semester hadapan. InsyaAllah.

Presiden PERDIQMA
Danial Ifran Khairuddin


13 Mei 2012

Keutamaan Menghormati Ibu

Khas Sempena Hari Ibu

 
Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” 
 
 Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]

 
Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?”

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). [Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]

Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

 bu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: 
 
“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah…” [al-Ahqaf 46:15]

    Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: “…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…”

    Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: “…dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.” Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:
(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]
 
Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: 
 
“Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.”

Lalu dia bertanya: “Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?”

Ibn ‘Umar menjawab: “Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).”[4]

Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.
 
Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)

lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:

“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa: “Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya. Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):

“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya

dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui
(yang demikian itu).  [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]


Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.

 
Berdasarkan sebab-sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?” 

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.” 

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.”[5] 
 
Kredit untuk artikel asal: klik sini
 __________________________________________________________________________

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2]  Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad – hadis no: 4 dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 2799


5 Mei 2012

Kasih ayah (Pendorong Hadapi Peperiksaan)

 Kasih ayah

  • Mungkin ibu lebih kerap menelefon untuk menanyakan keadaan kita setiap hari.Tapi tahukah kita, sebenarnya ayahlah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita?
  • Semasa kecil, ibulah yang lebih sering mendukung kita..Tapi tahukah kita bahawa sebaik saja ayah pulang bekerja dengan wajah yang letih, ayahlah selalu menanyakan apa yang kita lakukan seharian.
  • Saat kita sakit ataudemam, ayah sering membentak “sudah diberitahu! jangan minum ais!”.Tapi tahukah kita bahawa ayah sangat risau.??
  • Ketika kita remaja, kita meminta izin untk keluar malam. Ayah dengan tegas berkata “tidak boleh!”..Sedarkah kita bahawa ayah hanya ingin menjaga kita? Kerana bagi ayah, kita adalah sesuatu yang sangat berharga dan sangat disayangi.
  • Saat kita sudah di percayai, ayah pun melonggarkan peraturannya. Maka kita telah melanggar kepercayaannya…Maka ayah lah yang setia menunggu kita di ruang tamu dengan rasa sangat risau..
  • Setelah kita dewasa,ayah telah menghantar kita ke kolej untuk belajar. Di saat kita memerlukan ini-itu, meminta wang untuk belanja dan keperluan kuliah kita, ayah hanya mengerutkan dahi.tanpa menolak, beliau memenuhinya..
  • Saat kita berjaya, .Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan bertepuk tangan untuk kita. .Ayah akan tersenyum dengan bangga..
  • Sampai ketika jodoh kita telah datang dan meminta izin untuk mengambil kita dari ayah..Ayah sangat berhati-hati mengizinkan nya..Dan akhirnya..Saat ayah melihat kita bahagia bersama pasangan, .ayah pun tersenyum bahagia.
  • Apa kita tahu,bahawa ayah sempat pergi ke belakang dan menangis? Tahukah anda bahawa ayah akan terasa seperti anak yang selama ini disayanginya bakal di ambil oleh orang lain?
  • Ayah menangis kerana ayah sangat bahagia..Dan dia pun berdoa “Ya Tuhan, tugasku telah selesai dgn baik..Bahagiakanlah putra putri kecilku yg manis bersama pasangannya”..
  • Setelah itu ayah hanya akan menunggu kedatangan kita bersama cucu-cucunya yg sesekali dtg untuk menjenguk..Dengan rambut yang memutih dan badan yang tak lagi kuat untuk menjaga kita.
  •  Adakah kita akan menjaga ayah kita bila kita dewasa kelak? Lihat keadaan diri kita sekarang. Bagaimana sikap kita dengan ayah? Sesungguhnya sikap kita dengan ayah pada hari ini adalah cerminan sikap kita padanya apabila kita dewasa kelak.

“Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 


Jangan lupa hubungi ayah selagi dia masih ada. Apatah lagi restunya dan doanya sangat diperlukan saat-saat ini.  Semoga menjadi pendorong kepada semua mahasiswa KPMB yang sedang menjalani peperiksaan akhir semester.


Artikel asal: klik sini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...