.
.
Sempena sambutan Hari Kekasih yang julung-julung kali disambut oleh seluruh dunia pada 14 Februari setiap tahun hampir dengan tarikh Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, PERDIQMA dengan kerjasama Exco Kerohanian MPP telah menganjurkan satu program peringkat Kolej Profesional MARA Beranang bagi membuka minda remaja tentang permasalahan “Cinta Remaja” pada masa kini.
Program itu telah diadakan pada 16 Februari 2011 bersamaan 12 Rabiulawal 1232H bertempat di Dewan Seri Gema KPMB. Majlis telah dimulakan pada pukul 9 malam dengan bacaan doa oleh saudara Mohd Asyraff dari barisan MPP, diikuti dengan bacaan selawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W yangdiketuai oleh saudara Aizuddin. Majlis diteruskan dengan tayangan montaj yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Majlis turut dihadiri oleh, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, En. Mad Zan B. Mad Yausuf, Penasihat MPP, Pn Riani Awang, barisan pensyarah serta pelajar dan persatuan dari KPMB/KKTM
Ceramah kali ini disampaikan oleh seorang anak muda yang begitu kreatif dan cemerlang dalam medan dakwah di zaman serba mencabar ini. Beliau merupakan “founder” iluvislam.com iaitu sebuah portal islamik yang komited dengan pembangunan masyarakat islam seluruhnya. Mohd Nurul Imran Bin Koyube merupakan anak jati Perak yang bercita-cita tinggi dalam mengembangkan dakwah Islam secara moden serta interaktif supaya mudah diterima oleh semua pihak. Dengan kejayaan yang diperoleh hasil dari usaha yang gigih, penceramah telah mengorbankan pengajianya dalam bidang perubatan bagi meneruskan misi dakwah secara sepenuh masa di tanah air sendiri
Dengan bertemakan “ Aduhai Remaja: Tuluskah Cintamu”, ceramah kali ini menyentuh tentang erti sebenar cinta yang perlu diketahui serta kemanakah cinta perlu disalurkan oleh remaja dengan cara yang betul. Beliau turut menekankan persoalan adakah kita benar-benar mencintai Allah sedangkan kita memilih untuk “couple” sebelum waktunya atau secara tidak halal. Selain itu juga, penceramah juga berkongsi pengalaman bagaimana pahit getir yang ditempuhi dalam menubuhkan sebuah laman web dakwah yang bersesuaian dengan jiwa remaja masa kini. Hal ini dapat dilihat dengan berkembangnya komuniti iluvislam.com melalui “Facebook” , “Twitter” serta media cetak pada hari ini.
Sebagai penutup majlis, para hadirin telah dihiburkan oleh kumpulan nasyid “Tilmiz Voice” dan majlis berakhir pada pukul 11.30 malam. Dengan adanya program seperti ini, para pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan serta berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik . Diharapkan program seperti ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.