24 Disember 2012

Beriman Pada Hari Akhirat


Dunia baru-baru ini dikejutkan dengan dakyah satu kaum bernama Mayan yang mendakwa mengikut kalendar mereka pada 21 Disember 2012 yang lalu akan berakhirlah zaman seperti yang digambarkan di dalam sebuah filem yang diberi nama "2012". Apa yang pasti, Alhamdulillah kita masih dihidupkan di atas muka bumi Allah sehingga hari ini. Namun ada segelintir umat Islam yang cetek agamanya mempercayai tentang perkara tersebut. Tidak kurang juga yang seolah mempersenda mahupun gurauan tentang perkara tersebut.


Kalendar kaum mayan

Sebagai umat Islam kita wajib beriman kepada Rukun Iman yang enam yang salah satu daripadanya ialah Percaya kepada Hari Kiamat. Hari Kiamat yang disebut juga hari kebangkitan itu tetap akan berlaku, hanya manusia tidak mengetahui bilakah berlakunya kecuali Allah Subhanahu Wata'ala. Pada hari itulah seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk dihisab segala amal perbuatan mereka yang telah dilakukan ketika berada di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dari amal yang mereka kerjakan dari Allah Subhanahu Wata'ala dengan seadil-adilnya.

Apabila datangnya Hari Kiamat, ketika itulah sangkakala ditiup dan seluruh makhluk yang hidup di dunia ini akan mati. Ketika kejadian dahsyat itu menimpa dunia, berlakulah goncangan bumi yang amat menggerikan, langit-langit beserta isi ala mini akan menjadi kacau-bilau, bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya, gunung-ganang berterbangan dan hancur luluh dengan sehancur-hancurnya, bintang-bintang berguguran, matahari telah digulung sehingga tidak bercahaya lagi, lautan yang besar meluap-luap dengan gelombang yang bergulung-gulung menghancurkan dan menelan setiap yang ada di permukaan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Haaqqah ayat 13-15 tafsirnya :

"Kemudian ketahuilah bahawa apabila ditiup sangakakala dengan sekali tiup dan bumi serta gunung-ganang diangkat dari tempatnya lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, maka pada saat itu berlakulah Hari Kiamat".




 
Begitulah dahsyatnya keadaan Kiamat pada tiupan sangkakala yang pertama itu sehingga jika ada para ibu yang menyusukan anak akan menjadi bingung, wanita-wanita hamil menjadi keguguran, manusia berlari-lari kebingungan dan ketakutan. Mereka seperti dalam keadaan mabuk akibat terlalu ketakutan. Begitulah azab Allah yang amat berat lagi mengerikan.

Setelah berlaku tiupan sangkakala yang pertama, Allah memerintahkan Malaikat Israfil meniup sangakakala kali kedua untuk kebangkitan semula. Pada kali ini, semua manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka di dunia dahulu. Mereka tidak akan dizalimi, tidak akan diseksa kecuali disebabkan dosa mereka. Semua ini berdasarkan catatan dua Malaikat yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk mencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh umat manusia ketika di dunia tanpa sedikit pun ditambah atau dikurangi dari amal-amal perbuatan yang pernah dilakukan, hatta sebesar zarrah akan tetap diadili oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Catatan tersebut ditutup apabila manusia telah mati tetapi setelah tiba hari pengadilan, buku amal itu diberikan serta dibuka di hadapan mereka masing-masing.

Pada ketika itu manusia akan mengetahui amal kebaikan atau keburukan yang mereka lakukan ketika berada di dunia. Di saat itu tiada siapa yang dapat mengubah catatan berkenaan. Masing-masing akan menerima hasil perbuatan mereka dalam bentuk buku catatan amalan mereka. Jika diberi dan diterima dengan tangan kanan, berbahagialah si penerimanya kerana itulah tanda bahawa kenikmatan hidup di Syurga bakal menantinya.

Syurga merupakan balasan dan ganjaran yang penuh kenikmatan dan kebahagiaan bagi mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang berjuang di jalan Allah, menegakkan kebenaran, mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Tetapi amat malang bagi mereka yang menerima buku catatan amalan mereka dengan tangan kiri kerana balasan ke atas mereka adalah neraka yang disediakan bagi mereka yang ingkar kepada Allah Subhanahu Wata'ala, manusia yang zalim, yang kafir, yang ingkar kepada kebenaran Al-Quran dan orang yang suka berbuat kemaksiatan semasa hidupnya di dunia. Pada ketika itu barulah mereka berkata menyesal. Ini jelas disebutkan dalam Surah Al Haaqqah ayat 27-29 tafsirnya :

"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahannya, tidak dibangkitkan lagi). Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikit pun, kuasa-kuasaku dan hajat-hajatku membela diri telah dibinasa dan hilang lenyap dariku".

Ketika itu Malaikat penjaga neraka diperintahkan menangkap orang-orang yang berdosa itu serta membelenggu mereka, kemudian mereka dibayar di neraka jahanam. Tubuh mereka dibelit dengan lingkaran rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta.

Demikianlah gambaran betapa dahsyatnya Hari Kiamat atau hari kebangkitan itu kerana itulah peringatan ini diulang-ulang oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Al-Quran agar manusia menjadikannya pengajaran, peringatan serta iktibar sehingga mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang sesat dan ingkar akan kebenaran hari pembalasan tersebut.

Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman dan inilah ketikanya untuk kita menentukan masa depan kita di akhirat nanti. Jika kita seorang yang taat perintah Allah pasti kegembiraan dan kebahagiaan yang akan diperolehi tetapi jika seorang yang ingkar perintah Allah, hidup bergelombang dosa dan maksiat, maka kesengsaraanlah yang akan menanti. Bukankah Allah telah memperingatkan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan merekalah yang merubahnya. Kerana itu kita perlu sedar jika kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa, bertaubatlah dengan segera. Jangan tunggu sehingga nyawa di kerongkong baru hendak bertaubat kerana pada ketika itu tidak ada gunanya lagi.

Oleh itu sebagi umat Islam amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh, bukan sebahagian-sebahagiannya sahaja. Kerjakanlah segala yang diperintahkan Allah meskipun berat, tinggalkan segala yang dilarang walaupun pada kebiasaannya maksiat dan dosa itu menjanjikan keindahan dan keseronokkan, sedangkan hakikatnya akan mendatangkan kesusahan dan kesengsaraan di akhirat kelak. Apakah dengan peringatan Allah tentang Hari Kiamat kelak kita masih belum mahu insaf dan sedar? Ingatlah bahawa penyesalan pada hari itu sudah tiada ertinya lagi. Oleh itu jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat, berpegang teguhlah kepada ajaran Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu tetap menjadi peringatan dan pedoman bagi orang-orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Takwiir ayat 26-29 tafsirnya :

"Dengan yang demikian, maka kemanakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatu pun. Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam".

Buatlah perhitungan ke atas diri kita sebelum kita diperhitungkan. Jangan lalai dan leka dengan keseronokkan dunia semata-mata. Beramallah sebelum terlambat dengan memperbanyakkan istighfar, taubat dan muhasabah diri sendiri. Ingatlah hidup ini hanya sementara dan amal kebaikan sahaja yang akan dapat menolong dan menyelamatkan kita di Hari Kiamat kelak. Mudah-mudahan dengan demikian kita menjadi hamba Allah yang akan mendapat husnul khatimah (kesudahan yang baik) dan bukan suhul khatimah (kesudahan yang buruk). Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az Zalzalah ayat 6-8 tafsirnya :

"Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula".

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...