29 November 2011

Hijrah Sebagai Permulaan Takwim Islam

Awal Muharam merupakan permulaan tahun baru dalam takwim Islam. Ianya merupakan hari kebesaran yang disambut meriah oleh umat Islam di Malaysia. Awal Muharam merupakan tarikh penting dalam Islam yang merakam banyak peristiwa Hijrah serta mengandungi banyak pengajaran dan pencapaian kecemerlangan sepanjang zaman. 


Pemilihan penggunaan permulaan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalender Islam tidak berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup. Khalifah Umar Al-Khattab r.a adalah merupakan orang yang pertama memulakan penggunaan tarikh bulan-bulan Qamariah dengan penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah dijadikan sebagai permulaan taqwim Islam. 




Peristiwa tersebut berlaku ketika Baginda SAW sampai ke Quba pada 20 September 622M bersamaan dengan 8 Rabiulawal. Jika diteliti tarikh ini didapati 1 Muharram 0001H jatuh pada 6 Julai 622M (Jumaat).


Saidina Umar r.a sedar akan keperluan untuk menghitung bilangan bulan dalam tahun mengikut Islam, oleh kerana bulan-bulan dalam tahun sudahpun wujud sebelum kedatangan Islam. Cuma tidak ada bilangan bagi bulan ini mengikut tahun. Pada ketika itu setiap tahun hanya dikenali dengan sesuatu peristiwa penting sepertimana yang berlaku sewaktu kelahiran Nabi pada tahun dikenali dengan tahun Gajah kerana berlaku peristiwa Raja Abrahah yang telah menyerang Kaabah dengan tentera gajahnya. 


Khalifah Umar r.a mengalami kesukaran mengenai takwim khususnya dalam pengutusan surat kepada seluruh empayar Islam. Lantaran itu, beliau telah mengumpulkan para sahabat untuk mengkaji bagaimana untuk mengatasi masalah demikian. Hasil dari perjumpaan tersebut mereka telah mengenalpasti empat peristiwa agong yang penting yang patut dijadikan tanda perkiraan takwim Islam :


1.    Hari Kelahiran Nabi SAW
2.    Hari Perutusan Nabi SAW
3.    Penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Madinah
4.    Tarikh kewafatan Nabi SAW


Selepas kajian rapi, didapati cadangan pertama dan kedua tidak boleh diterima kerana ketepatan kedua-dua tarikh tersebut tidak dapat dikenalpasti disebabkan terdapat beberapa tarikh yang berbeza dan sukar untuk dikenalpasti. Cadangan yang keempat juga tidak sesuai kerana ianya merupakan tarikh kewafatan Nabi Muahmmad SAW yang membawa kenangan yang pedih.


Akhirnya cadangan ketiga lebih sesuai iaitu peristiwa penghijrahan Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Tambahan pula peristiwa ini amat penting dan juga membawa pengertian besar dalam kehidupan kaum muslimin secara keseluruhannya. Menurut Saidina Umar r.a Hijrah merupakan sempadan diantara yang betul dan yang salah, diantara kebenaran dan kebatilan. Peristiwa Hijrah menjadi penting kerana dengan perjuangan serta pengorbanan, Islam mencapai kejayaan dan natijahnya hijrah merupakan sumber insprirasi sepanjang zaman.


Penghijrahan Baginda Nabi Muhammad SAW tidak boleh dianggap tindakan melarikan diri, malahan Nabi SAW berhijrah bukan atas dasar kehendaknya sendiri melainkan atas petunujuk dan perintah Ilahi. Pengorbanan dan komitmen kaum muslimin di Mekah atau di Madinah telah membawa kejayaan kepada Islam. Peristiwa hijrah adalah permulaan perubahan nasib umat Islam, maka sayugialah peristiwa hijrah dipilih sebagai tarikh perkiraan permulaan kalendar Islam. 






Dalam zaman kemodenan kini , hijrah berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana berlaku dalam sejarah Islam sudah tidak wujud lagi. Apa yang dikehendaki oleh Nabi ialah hijrah jihad dan niat sebagaimana disebut oleh Rasulullah S.A.W:


" Tiada lagi hijrah sesudah kemenangan membuka semula Kota Mekah melainkan Jihad dan niat"


Jihad dengan makna berperang melawan musuh samaada musuh yang ada dalam diri kita iaitu menundukkan nafsu selari dengan syara' kerana nafsu adalah menjadi keperluan manusia untuk hidup. Begitu juga syaitan dan musuh yang memerangi Islam yang terdiri dari kalangan manusia. Nafsu banyak mengarah kepada  kejahatan. Kita perlu bermujahadah menundukkan nafsu sehingga menjadi nafsu mutmainnah. 


Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Surah al-Fajr ayat 27 hinnga 30:


" Wahai nafsu mutmainnah kembalilah kepada tuhanmu dengan  hati yang puas lagi diredhainya. Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam Syurgaku"


Nabi menyebutkan dalam hadisnya:


" Dilingkari jalan menuju ke Syurga itu dengan perkara yang berlawanan dengan nafsu dan dilingkari Neraka itu dengan sesuatu yang selari dengan nafsu"


Nafsu menjadi tunggangan syaitan dan itulah laluan utamanya. Syaitan menjadi musuh kepada anak adam yang nyata. Ini jelas dinyatakan dalam Surah Yasin ayat 60:


"Bukankah aku telah perintahkan kamu wahai anak -anak adam supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya  dia adalah musuh kamu yang nyata"


Kita diperintahkan untuk sentiasa bersiap sedia untuk menhadapi musuh jika sekiranya mereka menceroboh dan menggugat keamanan. Maka Islam memerintahkan supaya kita menghadapi mereka dengan jihad. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Anfal ayat 60:


"Dan bersedialah untuk menghadapi mereka( musuh-musuh Islam ) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi"


Niat pula adalah asas di dalam syariat Islam. Niat juga yang mengesahkan amalan dan dengan niat juga membezakan di antara ibadat dan juga adat. Ini telah dinyatakan oleh baginda nabi S.A.W dalam hadisnya:


"Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niat. Dan setiap sesaorang itu apa yang diniatkannya. Barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya maka hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya. Dan sekiranya berhijrah itu kerana dunia maka dia akan memperolihinya atau kerana wanita maka dia boleh mengawininya, maka hijrahnya itu bergantung kepada  niatnya"


Nabi bersabda lagi: 


''Niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya"


Kita hendaklah menjadikan amalan yang baik itu dengan niat ikhlas kerana Allah s.wt supaya amalan kita diterima serta memastikan bahawa amalan tersebut dilakukan mengikut syarat dan rukun yang telah ditetapkan oleh syara' disamping syarat yang lain seperti khusyuk jika ibadat tersebut adalah solat. Sebaliknya amalan yang bersifat harus ( yang  apabila dilakukan ) adalah bergantung kepada niat agar ia menjadi amal kebajikan.


Nabi telah menyatakan dalam hadisnya:


''Berapa banyak dari amalan-amalan  dunia( harus ) kemudian ia boleh menjadi amalan akhirat ( yang mendapat pahala ) dengan niat yang baik dan begitu pula amalan akhirat ( amal soleh ) boleh menjadi amalan dunia ( tiada mendapat pahala bahkan dosa ) ialah dengan niat yang buruk"


Sabda Rasulullah S.A.W:


''Barangsiapa yang berniat untuk melakukan satu amal kebaikan  tetapi tidak dapat melakukannya maka dia di beri satu kebaikan. Dan barangsiapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kebaikan dan dapat melaksanakannya maka Allah akan memberikan kepadanya dengan satu kebaikan yang digandakan sepuluh serta gandaan yang berlipat. Dan barang siapa yang berniat untuk melakukan suatu amal kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya maka Allah akan memberikan kepadanya denga satu kebaikan. Dan sesiapa yang berniat melakukan satu kejahatan dan ia dapat melakukannya maka diberi kepadanya dengan satu kejahatan"


Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor.

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...