16 Mei 2012

Selamat Hari Guru 2012




Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah,dengan izin Allah,dapat lagi kita bersama-sama berada di bumi Allah ini untuk mengabdikan diri pada Allah SWT dan dengan izinNya juga kita telah tiba pada hari yang penuh mulia dimana kita bersama-sama menyambut Hari Guru.

Menimba ilmu pengetahuan merupakan suatu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam diseluruh dunia. Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai kemanusiaan. Al-Quran banyak menekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis Rasulullah yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan.

Kita perlu sedar, dalam menimba ilmu pengetahuan,mengetahui adab-adab yang mesti kita jaga agar ilmu kita diberkati dan dirahmati. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk mengambil ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan ego terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain.

Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi. Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.

Kita sebagai pelajar juga tidak boleh berdendam kepada guru sehingga hilang perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidik kita. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya.

Saya dengan setinggi-tinggi penghargaan sebagai wakil dari PERDIQMA KPMB memohon segala kemaafan kepada semua guru yang telah mengajar segala ilmu kepada kami. Doakan kejayaan kami dunia dan akhirat. Saya dengan ini mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru di dunia terutamanya di KPMB kerana tlah banyak mengajarerti kehidupan kepada kami. Tidak lupajuga kepada penasihat kami Ustaz Wan Muzakkir,Ustazah Hafidzah dan juga Ustazah Hidayu keranan banyak memberikan ilmu baru kepada saya juga rakan-rakan yang lain. Terima kasih dan semoga kita berjumpa di semester hadapan. InsyaAllah.

Presiden PERDIQMA
Danial Ifran Khairuddin

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...