Assalamu'alaikum kepada semua pembaca setia blog perdiqma. Diharapkan anda semua sentiasa sihat sejahtera. Sentiasalah kita bersyukur atas nikmat hidup, islam dan iman masih dikecapi. Didoakan agar kita semua sentiasa berada dalam keredhaan-Nya.Walaupun tajuk posting kali ini berbahasa Inggeris, tetapi artikel ini ditulis tetap didalam bahasa kebangsaan. Alhamdulillah, tanpa kita sedari kurang dari sebulan dari sekarang kita akan menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh dengan keberkatan. Sememangnya seluruh umat Islam di seluruh dunia menantikan kedatangan Syaidul Syuhur.
Rasulullah SAW ketika menyambut ketibaan Ramadhan ada bersabda yang bermaksud:"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan, selamat datang Ramadhan...."
(Riwayat Baihaqi)
Kalimah itu begitu popular di kalangan masyarakat arab yang menggambarkan pernyataan gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan.Umpama seorang kekasih yang telah lama tidak menemui pasangannya, maka apabila ia bertemu buat kesekian kalinya, maka ia sudah tentu akan menuturkan dan meluahkan kata-kata indah yang menggambarkan kecintaan dan kegembiraannya . Itulah gambaran luahan kalimah di atas bagi umat Islam yang diangkat sebagai umat istimewa. Kita hendaklah sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diberi kesempatan untuk menemui lagi Ramadhan pada kali ini serta terus mengharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun-tahun yang mendatang. Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang bermaksud:
"Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun".
Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan kelapan dalam taqwim Islam. Bulan yang penuh kemuliaan dan banyak kelebihan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah di bulan ini seperti ibadah puasa sunat. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmah puasa yang dilakukan dalam bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:
”Bulan Syaaban yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa”
Disinilah sepatutnya proses madrasah Ramadhan bermula. Kita perlulah bersiap sedia menghadapi tarbiyyah Ramadhan agar kita tidak menjadi golongan yang rugi selepas Ramadhan berlalu. Namun, anehnya wahai manusia, belum bermula Ramadhan sudah berkira-kira untuk membuat persediaan menyambut Syawal. Langsir sudah ditempah, rumah mungkin sudah dicat baru, perabot diganti baru. Tidak ketinggalan mereka yang sudah berkira-kira menerima tempahan kuih raya. Media elektronik pula sibuk dengan persediaan drama syawal, dan rakaman lagu sempena hari raya. Alangkah bertuahnya sekiranya persiapan yang sebegini rapi kita lakukan sempena menyambut ketibaan Ramadhan yang dinanti-nantikan.
Banyak amalan yang boleh kita lakukan sebagai persediaan kita menghadapi Ramadhan yang bakal mendatang.
Puasa sunat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
”Saidina Aisyah pernah berkata:Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban” (hadis riwayat Bukhari)
Hikmah perbuatan rasulullah yang memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban boleh dikiaskan kepada kita sebagai suatu bentuk sesi latihan untuk menghadapi sebulan berpuasa. Melazimi perut dengan berlapar akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi Ramadhan agar tidak berlaku kejutan kepada sistem pemerosesan makanan dalam organ badan kita. Bayangkan dengan amalan puasa sunat yang jarang-jarang atau tidak pernah kita lakukan, secara tiba-tiba kita terus berpuasa selama sebulan mungkin memberi kesan tahap kesempurnaan ibadah dan juga kesihatan tubuh badan.
Ibn Rajab di dalam kitabnya Latoif al-Ma’a rif menyebut: Sesungguhnya puasa bulan Syaaban merupakan latihan sebelum berpuasa pada bulan Ramadhan ,agar apabila telah masuk Ramadhan seseorang itu tidak merasa beban dan kesukaran. Selain daripada itu ia akan menjadikan orang yang berpuasa pada bulan Syaaban dapat merasai nikmat dan kelazatan berpuasa seterusnya apabila masuknya Ramadhan berpuasa dalam keadaan kuat dan cergas.
Mengqada' puasa wajib
Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqada kepada setiap mukallaf. yang diberi keharusan berbuka seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan sebagainya. Saidatina Aisyah pernah memberi keterangan kepada Muazah al Adawiah yang bermaksud:
”Maka kita diperintahkan mengqada puasa (kerana kedatangan haid) tidak disuruh mengqada sembahyang yang tertinggal(semasa kedatangan haid)”
(Hadis riwayat Muslim)
Perbuatan melengah-lengahkan qada tanpa uzur hingga datang Ramadhan berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya qada dan membayar fidyah.Malah fidyah itu akan berganda setiap tahun apabila masih gagal mengqada puasa tersebut. Perlu diingat, puasa qada tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang. Malah fidyahnya akan terus berganda selagi ia belum melunaskan puasa tersebut. Alangkah meriahnya di meja makan ketika berbuka, isteri berbuka kerana puasa qadanya, manakala suami dan anak-anak berbuka kerana puasa sunat. Suasana Ramadhan telah dijelmakan di bulan Syaaban.
Memperbanyakkan amalan sunat, doa, zikir dan membaca selawat atas Nabi
Amalan seperti berdoa, berzikir dan berselawat akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
”Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit” (dipetik dari kitab Zubdatul Maizin)
Amalan sunat lain seperti berqiamullail pada sepertiga malam juga boleh diamalkan. Amalan ini melatih kita agar mudah kita bangkit di malam hari terutama untuk mengecapi malam yang lebih baik dari seribu bulan; Lailatul Qadar.
Memperbayakkan membaca Al-Quran
Antara amalan yang boleh dimulakan seawal mungkin ialah membaca al-Quran. Anas bin Malik sahabat Baginda SAW berkata: Apabila masuk bulan Syaaban, Umat Islam pada ketika itu menumpukan sepenuh perhatian membaca al-Quran. Berkata seorang ahli Salaf: Bulan Syaaban adalah bulan pembaca-pembaca al-Quran, Sesiapa yang istiqamah dan dapat memelihara amalan membaca al-Quran sebelum Ramadhan nescaya dia dapat memeliharanya sehingga bulan Ramadhan.
Pernah diceritakan, seorang muslim yang sudah lama meninggalkan bacaan al-Quran merasa terlalu berat dan malas untuk membaca walaupun baru membaca beberapa potong ayat.. Maka dia dinasihatkan agar terus-menerus membaca al-Quran. Apabila dia telah membaca sekitar 2/3 al-Quran, perasaan malas dan berat itu hilang sebaliknya dia semakin minat untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Keadaan inilah yang biasa berlaku kepada mereka yang jarang dan lalai membacanya. Oleh yang demikian memperbanyakkan membaca al-Quran di bulan Syaaban mampu menjernihkan hati sehingga hati dipenuhi dengan cahaya dan memudahkan jiwa untuk tunduk melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan.
Persediaan ilmu agama.
Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada. Dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima malahan mendapat dosa. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau melayari internet. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.
Adakah kita mahu menjadi umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:
"Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa".
(Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
Menjaga kesihatan
Ibadah puasa melibatkan kesihatan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan puasalah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan solat sunat tarawih, qiamullail , membaca al –Quran, iktikaf dan sebagainya. Penjagaan kesihatan ini termasuklah menjaga pemakanan yang seimbang, riadah dan menjauhkan diri dari perkara yang mendatangkan penyakit seperti tabiat merokok.
Memperbanyakkan bersedekah
Di antara amalan yang begitu mulia dalam bulan Ramadhan ialah bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling dermawan dan baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:
“Rasulullah saw ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.”
(HR. Bukhari)
Mereka yang jarang-jarang bersedekah dikhuatiri tidak memanfaatkan peluang memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadhan. Sebagai persediaan, kita disarankan agar mula berjinak-jinak dengan amalan bersedekah. Mungkin ia boleh dimulakan dengan jumlah yang kecil atau menderma di tabung-tabung masjid dan surau. Mudah-mudahan lama kelamaan sifit kikir dan bakhil itu dapat dibuang secara beransur-ansur. Bagi mendapat kelebihan bulan Ramadhan , kita juga harus menangguhkan sedekah pada bulan-bulan lain semata-mata untuk disedekahkan pada bulan Ramadhan dengan syarat ia bukanlah sedekah yang dihajati seperti orang fakir miskin yang memerlukan dan orang dalam keadaan susah dan berhutang.
Memperbanyak menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan.
Di antara persiapan lain yang perlu ada ialah memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Hal ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita untuk membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika diwar-warkan. Contoh mudah, bagaimanakah perasaan kita di saat diwar-warkan sesuatu sambutan yang besar, seperti Piala Bola Sepak Euro. Pada ketika itu seluruh saluran media hebat membuat promosi. Kesannya seluruh masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia ternanti-nanti dan merasai bahang temasya tersebut. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa dan seluruh umat Islam.
Menjaga tingkah laku
Pada bulan Ramadhan nanti, kita diseru untuk berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga malah menjaga seluruh pancaindera insan juga berpuasa. Oleh itu hendaklah bermula sekarang dijaga, dididik dan dikawal seperti menyempurnakan aurat, menjaga pandangan dan mengelak dari mengumpat dan berkata yang sia-sia. Demi untuk mencapai keberkesanan yang terbaik daripada amalan puasa maka umat Islam hendaklah melakukan segala perkara mahmudah dan menjauhi segala perkara mazmumah, zahir mahupun batin. InsyaAllah dengan berbuat demikian kita akan dapat menghasilkan kesan puasa yang terbaik. Malahan ianya akan menjadi bekalan di sepanjang kehidupan ke arah mendapat redha Allah S.W.T
Setiap Muslim hendaklah bersedia dari segi mental, fizikal dan spiritual untuk menjadikan ramadhan sebagai medan yang mampu mendidik jiwa ke arah memperkukuh jati diri sebagai Muslim sejati. Muslim Mukmin, sama ada lelaki mahupun wanita, muda ataupun tua, yang cergas atau lemah selagi tertakluk kepada tuntutan syarak, serta melalui proses tarbiyyah ramadhan dengan ikhlas, bakal menjadikannya insan berkualiti kental yang mampu memahami, merasai serta merealisasi nilai-nilai kemanusiaan yang merentas wilayah dan kelompok kemanusiaan.
Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini kita hendaklah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan banyak memohon taufik, hidayah, berdoa dan bertaubat agar Allah S.W.T sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi untuk kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebab itu mereka yang berjaya melalui tarbiyyah di madrasah ramadhan serta memiliki jiwa mujahadah yang mantap akan menjadi seorang Muslim yang soleh, bersih dan berkualiti. Rebutlah ganjaran Allah S.W.T sebagaimana maksud hadis qudsi;
"Allah S.W.T berfirman pada setiap malam Ramadhan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya, dan Allah akan membebaskan pada setiap malam ramadhan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang telah ditentukan mendapat azab".
(Riwayat Al-Muwatta')
Pada kesempatan ramadhan yang bakal tiba, marilah kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai amal dan usaha kebajikan secara serius sehingga mampu mempertingkat tahap mujahadah. Jadikanlah mujahadah sebagai sebahagian daripada cara hidup kaum Muslimin. Hanya dengan itu kita akan dapat menjadi Muslim, Mukmin yang Muttaqi. Janganlah kita membazir serta mensia-siakan waktu serta kesempatan supaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari.