www.perdiqmakpmb.blogspot.com
Oleh: Riani Binti Awang*
Oleh: Riani Binti Awang*
Kehidupan sebagai pelajar sememangnya menuntut seribu satu pengorbanan demi untuk mencapai cita-cita asasi sebagai seorang pelajar iaitu ingin menyelesaikan tempoh pengajian dengan cemerlang. Namun dalam usaha untuk mencapai dan menggapai cita-cita asasi itu terlalu banyak mehnah dan tribulasinya, sehinggakan ada kalanya seseorang pelajar itu sedikit leka, hanyut dan larut. Jika kelekaan dan kelarutan itu tidak dibendung dengan cara yang drastik sudah pasti hidup seorang pelajar itu akan hancur sedikit demi sedikitnya nantinya.
Ya memang benar , dalam rutin hidup seharian seorang pelajar mereka sering dilalai-lalaikan dengan pelbagai perkara di sekelilingnya..antaranya rasa malas yang bersangatan, rasa kesunyian yang teramat, rasa benci yang keterlaluan, rasa ingin dipunyai yang tiba-tiba hadir, rasa mahukan kebasan tanpa batasan dan rasa ingin santai dalam hidup berpanjangan. Benarlah kata orang remaja itu sering keliru untuk memilih apa, macamana dan yang mana? Remaja juga sering berkecamuk ingin melakukan kebaikan tetapi dihalang oleh rasa kemalasan dan rasa ketidakpedulian. Segala macam keporakperandaan , ketidaktentuan, kecelaruan keinginan bercampur baur menganggu hidup remaja yang juga merupakan seorang pelajar.
Di sini saya fokuskan kepada pelajar wanita yang bercita-cita menjadi seorang pelajar muslimah, yakni bukan sekadar pelajar tetapi juga berjiwakan seorang muslimah. Ada beberapa perkara yang perlu mereka dekati dan ada beberapa perkara yang perlu mereka jauhi. Ini dia saya berikan tips yang agak mudah sebenarnya tetapi agak susah untuk diinterpertasikan dalam kehidupan seharian anda. Tetapi apa salahnya mencuba jika ia bermanfaat kepada anda.
Apa kata sekiranya anda mulakan hari anda lebih awal seawal 5.30 pagi. Kerana memulakan hari lebih awal itu lebih berkat berbanding bangun lewat selewat 7.00 pagi. Memulakan hari anda lebih awal akan menyegarkan akal dan fikiran. Sebelum memulakan solat subuh ada baiknya anda menghayati ayat-ayat suci untuk menenangkan jiwa yang gelisah. Anda boleh juga menunaikan solat sunat untuk menyampaikan apa-apa hajat di jiwa kepada yang pencipta, moga ia akan lebih mententeramkan hati. Sesudah itu sarungkanlah pakaian yang paling mulia di tubuh mu. Usahlah bangga dengan kain nipis yang melekap di dada. Usahlah singkatkan tudungmu dari dada kerana ia hanya akan mendatangkan mudarat buat peribadimu. Setelah itu anda bolehlah memulakan langkah menuntut ilmu perlahan-lahan setapak demi setapak tanpa perlu tergesa-gesa. Jika anda lakukan semua ini InsyaAllah pasti tidak akan berlaku lewat hadir ke kelas akibat bangun lambat. Betul tak?
Dan sepanjang perjalanan itu usahlah terlalu sangat memerhatikan orang di sekitar. Ada baiknya tumpukan
sahaja pada perjalanan anda sendiri. Jika ada siulan kedengaran maka usahlah dilayan kerana ia hanya akan menganggu hati yang tenteram. Tidak perlunya mencuri-curi pandang pada si jejaka yang anda suka. Simpan sahaja di dalam hati semoga ada jodoh di tahun-tahun akan datang maka hadir juga ia dalam hidup anda. Jika tiada, redhakan saja kerana ketentuan Allah itu lebih agung dari ketentuan kita hambaNya. Percayalah.
Setiba di kelas duduklah dengan tertib di kalangan sejenis anda sahaja. Tidak perlu duduk bersebelah dengan lawan jantina kerana kalupun anda tidak melakukan apa-apa tetapi hati kamu akan digugat. Dengarlah apa yang guru mu perkatakan dengan teliti dan bertanyalah apa yang patut seadanya tanpa memaksa. Kawallah pergaulanmu dengan lawan jantina. Usah keterlaluan berkata-kata dalam bicaramu takut nanti disalah erti lalu akan membawa sengketa tanpa henti. Selesaikanlah tugasan yang diberi oleh gurumu, tidak perlu bertangguh –tangguh kerana ia hanya akan menimbulkan kekalutan dalam hidupmu. Seringlah bertemu gurumu jika ada kesulitan tetapi jangan menyusahkan ia dengan permintaan yang pelbagai pula. Jangan pula terlalu taksub dalam berbicara dan meluahkan rasa kerana nantinya dirimu akan dibenci mungkin selamanya.
Bersederhanalah kerana sederhana itulah yang terbaik untuk meneruskan jalan hidupmu. Bersederhanalah dalam pertuturanmu, bersederhanalah dalam pergaulanmu, bersederhanalah dalam pertanyaanmu dan bersederhanalah dalam permainan jiwa mu.
Sekian dulu sekadar itu, sekadar luahan sebagai seorang bekas pelajar juga kini bergelar guru. Atas kesedaran melihat senario pelajar wanita kini yang agak menyesakkan dada. Apapun kembalilah kepada ajaran agama Islam kita yang sebenarnya. Hayatilah erti hidup beragama walaupun kita bukan belajar agama, kerana agama itulah yang memandu hidup kita didunia bukan kita yang memandu agama. Begitu juga ingatlah saat terakhir kita nanti apa yang sedang kita fikirkan, di mana kita berada, apa yang kita lakukan…Adakah akhirnya kita husnul khatimah atau suul khatimah. Wallahualam.
* Puan Riani Binti Awang merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Am di Kolej Profesional Mara Beranang & Guru Penasihat Exco Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2009 - 2010