15 Julai 2012

Refleksi Ramadhan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah syukur kita masih diberi nikmat kehidupan bersama dengan nikmat islam dan iman semoga kita senantiasa mendapat perlindungan dan rahmat dari Allah. Tunjukkanlah rasa syukur pada Allah dengan menjalankan segala suruhan dan tegahan-Nya serta memberi sedikit ruang masa kehidupan didunia ini dengan beribadat pada-Nya tanda syukur kita pada-Nya.

Tanpa kita sedari, kita sudah diambang bulan Ramadhan, bulan yang dinanti umat Islam seluruh dunia. Jika kita merasai Ramadhan yang lalu, ini bermakna sudah setahun masa berlalu setelah Ramadhan. Saya mengajak sahabat sekalian mari kita bermuhasabah sejenak, selepas kita melalui proses tarbiah Ramadhan yang lepas, adakah ia memberi kesan terhadap diri kita? Apakah penghijrahan diri yang berlaku terhadap diri kita?

Jika dengan datangnya Ramadhan itu memberi kesan terhadap diri kita, maka ucapkanlah kata syukur pada Allah kerana memberi hidayah dan memperkukuhkan iman terhadap diri. Tetapi bagaimana jika tiada? Ayuh kita refleksi diri kita, mengapakah Ramadhan yang hadir sebagai tarbiah dalam diri tidak memberi kesan terhadap diri.



Sedia maklum, bahawasanya ibadat khusus Ramadhan adalah berpuasa; iaitu menahan lapar dan dahaga serta nafsu. Namun adakah kita menitik beratkan soal itu? Mungkin sebilangan dari kita menganggap bahawa puasa itu tidak makan dan minum, tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa dari selepas subuh dan maghrib. Jika kita juga beranggapan sedemikian, maka kita antara orang yang rugi. Bagaimana kita hendak mencapai kenikmatan Ramadhan itu sedangkan kita langsung tidak mengambil kesempatan keberkatan bulan itu.

 "Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan ramadhan mereka pasti mengharapkan biarlah ramadhan itu sepanjang tahun". (Riwayat At-Tabrani)

Namun apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?. Itu bukan amalan puasa yang dituntut Islam. Marilah kita sama-sama memahami maksud hadis nabi S.A.W:

"Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa". (Riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim)
 
Kesilapan lain yang dilakukan oleh umat Islam sekarang adalah lebih memberatkan ibadat puasa dari ibadat wajib lain seperti solat. Mereka berpuasa seperti biasa namun tidak menunaikan solat. Sedangkan bahawasanya Rasulullah bersabda:

Diriwayatkan daripada Tamim al-Dari, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Perkara yang mula-mula sekali akan dihisab seorang hamba itu dengannya pada hari kiamat ialah solat. Jika dia melaksanakannya dengan sempurna, maka ditulis baginya ganjaran solatnya yang sempurna itu. Namun jika dia tidak melaksanakannya dengan sempurna, Allah s.w.t berfirman kepada para malaikat: 'Lihatlah, adakah kamu mendapati bagi hambaku ini solat sunat (yang dikerjakannya)? Maka sempurnakanlah apa yang kurang pada solat  fardu itu dengan solat sunat (yang dikerjakannya).' Kemudian, amalan zakat pula (akan dihisab), seterusnya amalan-amalan yang lain juga akan dilakukan sedemikian rupa." (Riwayat Imam Ahmad)


Perlulah kita mengamati kembali rukun Islam yang seharusnya menjadi rukun hidup kita, tanpa kita mengabaikan satu darinya pun. Kita seharusnya sedar dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai Islam tanpa perlu berusaha. Dan maka sedarilah apakah peranan diri kita untuk menjadi mukmin yang sejati. Kita mahukan syurga di akhirat nanti, tetapi apakah usaha kita untuk kearahnya. Adakah ianya akan datang dengan sendiri kepada kita tanpa usaha dari diri kita.

Nabi bersabda:

"Berapa banyak orang yang berpuasa, tiadalah dapat dari puasa itu melainkan lapar dan dahaga"

Apabila kita berpuasa bermakna jumlah makan minum semakin berkurangan. Kalau kita tidak berpuasa kita akan makan sekurang-kurangnya 3 kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Dengan berpuasa kita hanya makan dua kali sehari iaitu sewaktu bersahur dan berbuka puasa. Ini bermakna kita tidak perlu berbelanja yang banyak boleh berjimat cermat. Apatah lagi dalam keadaan hari ini barang-barang keperluan harian semakin hari semakin bertambah mahal.



 

Tetapi apabila lapar semua makanan dan minuman dirasakan sedap dan lazat. Itu semua adalah kerana dorongan nafsu. Sewaktu pergi membeli juadah berbuka puasa di bazar ramadan, dengan makanan dan minuman yang beraneka, rasanya semua jenis juadah hendak dibeli sedangkan apabila kita makan nanti, kita hanya mampu makan sebagaimana waktu kita tidak berpuasa juga. Akhirnya akan berlaku pembaziran sedangkan pembaziran itu amat dilarang kerana mensia-siakan harta. 

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Israk ayat 27:

"Sesungguhnya membazir itu adalah sahabat syaitan"

Membeli pakaian yang baru untuk diri dan keluarga adalah digalakkan. Ini kerana, disebut dalam kitab fiqh bahawa sunat memakai pakaian yang terbaik sewaktu pergi mendirikan solat Aidul Fitri. Bila sebut yang terbaik termasuk yang baru atau lama tetapi sesekali dipakai. Perlu diingat tidak perlu berlebih-lebihan sehingga berlaku pembaziran. Yang penting berbelanja  mengikut kemampuan dan keperluan.

Biasanya bila menjelangnya  hari raya atau hari-hari perayaan yang lain terdapat berbagai-bagai promosi dan diskaun potongan harga yang ditawarkan menggugat keimanan dan kemampuan kita. Jangan sampai terpengaruh dan terpedaya dengan harga yang ditawarkan padahal jika kita adalah pengguna yang bijak sepatutnya kita telah membuat perbandingan harga sebelum dan semasa musim perayaan, samada ia adalah memang tawaran yang menguntungkan atau  satu perangkap peniaga yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang berlebihan.

Berbelanja secara berlebih-lebihan untuk menyambut hari raya dengan menukar perabut, perkakas rumah, hiasan rumah, kenderaan termasuk kuih-muih apatah lagi mercun sangat bertentangan dengan semangat dan roh ramadhan  sekiranya terpaksa berhutang dan bergolok bergadai lebih-lebih lagi dengan niat untuk bermegah-megah.

Apa yang penting ialah pengisian ramadhan itu dilakukan bagi mencari rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka selama sebulan sedangkan menyambut kemenangan ramadhan pada hari raya hanya sehari tetapi ramai dikalangan kita yang merasa seolah-olah puasa ramadhan  hanya sehari tetapi hari raya seperti sebulan.

Setahun yang berlalu dan kini menjelma kembali, adakah kita mahukan ia sama sahaja seperti tahun-tahun yang berlalu. Jadikanlah tahun ini transformasi dalam diri dalam menjadi mukmin Islam yang sejati. Bukanlah kita mahukan satu perubahan yang drastik, tetapi perlahan dengan kemampuan diri serta istiqamah dalam amalan. Jangan jadikan Ramadhan ini berlalu dengan sia-sia lagi.

 

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...