13 Jun 2016

MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA






Assalamualaikum, Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat islam. Semoga Ramadhan yang dikurniakan sekali lagi buat kita oleh Allah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk perbaiki amalan sebagai bekalan di kemudian hari. Tahun ini agak berbeza untuk PERDIQMA mahupun KPMB sendiri kerana akan menjalani ibadah puasa di kampung halaman masing - masing memandangkan KPMB sedang bercuti dan akan kembali selepas AidilFitri. InsyaAllah kita akan merindui aktiviti yang saban tahun diadakan semasa Ramadhan.

Sempena Ramadhan yang masih baru membuka tirai (padahal dah seminggu), insyaAllah nak share sikit apa yang telah dipesan oleh Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut :-
• Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah S.W.T.
• Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
• Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah S.W.T telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud :-
"Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." (Surah Al-Maidah:42)
• Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
• Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah S.W.T daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Moga - moga sedikit perkongsian ini dapat memberikan kita panduan dalam mendapatkan kesempurnaan ibadah puasa. Ramadhan yang hadir ini, ayuhlah kita bersama berusaha untuk mendapatkan hasil tarbiah yang akan menjadikan kita hambaNya yang bertakwa dan peroleh syurga. InsyaAllah...





Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...