Jahiliyyah bermaksud "sesat atau jahil". Asalnya ia dimaksudkan kepada masyarakat jahiliyyah di semenanjung Tanah Arab yang hidup 1500 tahun dahulu sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W iaitu masyarakat yang mundur dari segi pembangunan, akhlak dan sosial ditambah pula dengan sikap keangkuhan, kesombongan dan kebodohan dari segi ilmu pengetahuan.
Dengan ketiadaan Nabi dan kitab suci yang boleh dijadikan petunjuk, mereka menjadi sesat, jauh daripada jalan kebenaran dan tiada sistem hidup yang menjamin kebahagian. Inilah asal bentuk masyarakat jahiliyyah. Jelasnya setiap tindakan yang berupa pandangan, perbuatan, pemikiran dan sikap yang menentang Islam termasuk dalam kategori jahiliyyah.
Meskipun generasi jahiliyyah itu telah berakhir ditelan zaman, namun sikap dan perwatakan jahiliyyah bentuk baru masih wujud hingga ke hari ini. Ditengah-tengah kehidupan dunia yang pesat membangun, masih terdapat manusia yang berperilaku jahiliyyah di sudut sikap, emosi, minda dan tindakan.
Kaum jahiliyyah dahulu terkenal dengan budaya hidup yang menjijikkan dan tiada pedoman. Hanya akal dan nafsu dijadikan rujukan. Lalu lahirlah masyarakat yang bergelumang dengan segala bentuk kemunkaran dan penindasan. Anak-anak perempuan dubunuh, pelacuran dan perzinaan menjadi budaya, pergaduhan dan peperangan menjadi cara untuk mencapai matlamat hidup, yang berkuasa menindas, yang lemah diperhambakan dan ditindas, tiada keadilan dan pembelaan ditegakkan, tiada sistem hidup yang dapat membentuk keharmonian dan kedamaian, sihir dan khurafat menjadi amalan. Inilah antara identity masyarakat jahiliyyah dahulu akibat meninggalkan ajaran dan panduan hidup Nabi terdahulu. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Yasin ayat 6:
" Supaya engkau memberi peringatan kepada kaum nenrk moyang mereka telah lama tidak diberikan peringatan, sebab itulah mereka lalai".
Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa mereka wajar menjadi begitu rosak dan sesat kerana lama tidak didatangi peringatan dan pedoman utusan Allah kepada sesuatu kaum. Bagaimana pula dengan perlakuan dan sikap jahiliyyah hari ini? Mereka hidup selepas kedatangan Islam dan Rasulullah S.A.W, dibekalkan dengan syariat Islam dan sentiasa dipandu dengan pengajaran Al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W di setiap aspek kehidupan. Namun masih kekal dengan watak-watak dan sikap-sikap yang menjijikkan seperti kaum jahiliyyah zaman dahulu.
Saban hari kita diperlihatkan dengan pelbagai perlakuan jahiliyyah moden yang mewarnai masyarakat kita hari ini. Suatu ketika dahulu kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika kerana kecewa dengan hidup, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah terlibat jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah dan minum arak. Selanjutnya isu mat rempit yang tidak berkesudahan.
Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sehingga mati, kelahiran ramai anak luar nikah dibuang ke dalam tong sampah, di masjid-masjid dan ditinggalkan di perhentian bas. Begitu juga paparan kisah seorang anak kecil telah didera, ditampar, disepak dan dipijak sehingga mati. tidakkah semua ini perlakuan-perlakuan jahiliyyah yang ternyata lebih parah dan lebih hina daripada perlakuan jahiliyyah umat arab sebelum kedatangan Rasulullah S.A.W?.
Marilah kita merenung kembali ke dalam diri kita mengapakah sampai begini hancur masyarakat kita hari ini?. Layakkah kita mengaku sebagai kaum muslimin dan umat Muhammad dengan situasi dan gaya hidup yang sebegini?. Wajarkah kepincangan dan kecelaruan ini kita biarkan sehingga ia menjadi tradisi yang akan diwarisi oleh anak cucu kita nanti?. Sebagai seorang yang beriman, kita pasti tidak akan senang dan tenang dengan bayangan ngeri ini.
Kita perlu akur bahawa perlakuan jahiliyyah moden dengan pelbagai bentuk ini adalah hasil keengganan kita menerima Islam sebagai panduan kehidupan. Sebahagian masyarakat kita hari ini semakin jauh dari kefahaman agama apatahlagi untuk mengamalkannya. Ilmu syariat tidak dipelajari, iman tidak dipupuk ke dalam diri, hidup hanya memburu kepuasan nafsu dan keperluan duniawi. Sepanjang hari, hanya sibuk mengurus dunia yang sementara, sedangkan kematian dan kehidupan akhirat yang pasti itu kita baikan tanpa sebarang persiapan yang menjamin kebahagiaan. Inilah identity masyarakat kita hari ini. Jiwa yang sarat dengan cinta dunia dan kosong iman ini sebenarnya terlalu rapuh, lalu mudah tewas dengan hasutan syaitan yang sentiasa mengheret manusia ke lembah kebinasaan.
Justeru, marilah kita kembali menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup. Iman dan Islam hendaklah dihayati dan diamalkan. Kita hendaklah mulakan langkah-langkah baru ke arah cara hidup Islam yang nyata membawa kebahagiaan. Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendung gejala perlakuan jahiliyyah dalam masyarakat kita adalah;
Pertama : Ibubapa dan guru hendaklah berperanan sebagai pencorak halatuju anak-anak. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai asas yang membentuk jati diri mereka. Pastikan anak kita mampu mendirikan solat dan menjaga batasan syariat di samping memburu kecemerlangan akademik dan pelajaran. Asuhlah mereka dengan budi pekerti mulia. Ingatlah setiap anak yang membesar dengan akhlak yang buruk, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di atas kegagalan ini. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
"Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah (suci dan bersih) maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya berperangai dengan perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi".
Kedua : Kembali menjadi masyarakat yang peka dengan persekitaran dan saling ingat-mengingatkan. Umat Islam sewajarnya sedar hakikat ini. Kehilangan cirri-ciri ini menyebabkan kita bagaikan hidup bersendirian walaupun hidup di tengah-tengah manusia yang ramai. Tiada perpaduan dan hubungan ukhuwwah Islamiah menyebabkan kita hilang kekuatan. Lalu, bila mana melihat anak kecil disepak, dipijak di tengah padang pun kita hanya mampu melihat sehingga nyawa si kecil tidak berdosa ini terpisah dari badan. Bukankah ini sebenar-benar kerugian dan kehinaan?, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Asr ayat 1-3:
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".
Ketiga : Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T. dan berazam untuk mengamalkan syariat Islam. Ingatlah bahawa dengan taubat dan istighfar akan mengundang rahmat Allah dan mengembalikan kekuatan kita sebagai umat Islam yang hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 52:
"Dan Hud berkata lagi, "Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, semoga Dia menurunkan hujan yang lebat kepadamu dan menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa!".
Marilah kita mengimbas kembali beberapa perkara penting yang menjadi intipati artikel kali ini:-
Pertama : Fenomena jahiliyyah moden adalah kesan daripada kegagalan umat hari ini menghayati dan memahami Islam sebagai cara hidup.
Kedua : Realiti jahiliyyah moden adalah keji dan sesat kerana ia lahir setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Ketiga : Perlakuan jahiliyyah moden perlu dibendung dan ditangani dengan kembali kepada ajaran Islam secara menyeluruh.
Keempat : Masyarakat Islam dan pihak berwajib tidak seharusnya membiarkan ketidakadilan, penindasan, kekejaman berleluasa dan berlaku di hadapan mata kita tanpa sebarang tindakan.
Kelima : Seluruh Gerakan Islam, NGO, individu dan anggota masyarakat hendaklah berperanan menangani gejala jahiliyyah ini agar tidak berkembang dan menular di kalangan masyarakat.
"Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya; pada Hari Akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi". (Ali-Imran : 85)
Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor