Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah kali ini, pada 4 Oktober 2012 yang lalu, PERDIQMA bersama-sama MPP menjemput seorang lagi penceramah yang tidak kurang hebatnya iaitu Imam Muda Hassan. Penyampaian yang sangat menarik daripada beliau bertajuk "cinta muka buku vs cinta ulat buku".
Selesai solat isyak berjamaah,kami menantikan ketibaan Imam Muda Hassan dan tepat jam 9.10,beliau tiba di dewan seri gema KPM Beranang. beliau disambut dengan selawat yang diketuai oleh kumpulan Tilmiz Voice KPM Beranang. Selesai selawat, majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh saudara Zaim Rashdan dan tanpa membuang masa, ceramah Imam Muda Hassan diteruskan. Sangat hebat apabila ceramah dimulakan dengan alunan surah Al-Fatihah oleh Imam Muda yang sangat merdu.
Sebagai seorang pelajar, buku merupakan alat yang sangat penting sebagai rujukan para pelajar. Ulat buku bukanlah bererti dalam buku ada ulat atau nama judul buku tetapi kata pepatah peribahasa merujuk kepada seseorang yang tidak renggang dengan buku. Cinta ulat buku bermaksud menyayangi sifat ulat buku. Muka buku pula kata terjemahan dari FACEBOOK. Cinta muka buku adalah cinta facebook yang sekarang digilai ramai. Memang susah nak renggang dengan facebook. Tetapi jangan lupa,facebook juga boleh dijadikan medan untuk berdakwah.
Seseorang itu tidak akan terlepas dari mempunyai perasaan kasih dan sayang. “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Perasaan cinta tidak menjejaskan apa-apa,cuma cara kita menunaikan cinta mesti berpandukan islam yang sebenar. Jangan sesekali kita mencabar Al-Quran dengan melakukan perkara yang ditegah seperti tafsir al-quran menyebut, “Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” [al-Israa' 17: 32]
Pelbagai ilmu baru dapat ditimba dengan ceramah kali ini. Kami berasa sangat bersyukur kerana dapat menjemput penceramah yang terkenal ini. Terima kasih ini juga kami kalungkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar KPM Beranang kerana sudi bekerjasama dengan pihak kami dalam menganjurkan program keislaman seperti ini. Sememangnya KPM Beranang dalam menuju suasana Islam yang menyeluruh. InsyaAllah, dengan berkat doa anda sekalian,kami dapat mengadakan program ilmiah seperti ini lagi. Allahuakbar!