Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat-sahabat,
Apa khabar iman kita? mari kita tepuk hati tanya iman kita, adakah iman kita sihat.
Jadi pada kali ini, pihak perdiqma ingin berkongsi tentang program yang lalu iaitu "Program Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Rohingnya" yang berlangsung pada 4/7/2015 iaitu pada hari sabtu. Program ini dijalankan oleh pihak Perdiqma bersama dengan beberapa penasihat iaitu Ustazah Noridayu Yusuf, Ustazah Hafidzah Mansor , Laoshi Aini , Pn Zaida dan beberapa pensyarah lain yang banyak membantu program ini.
Program ini bermula dengan menyiapkan peralatan program iaitu mempersiapkan makanan , alatan permainan, cenderahati dan sebagainya sebelum dibawa ke sana. Aktiviti ini disertai oleh semua pihak iaitu ahli dan penasihat Perdiqma. Setelah selesai proses penyediaan peralatan, semua ahli solat zohor berjemaah sebelum bertolak ke tapak program. Setelah selesai solat berjemaah, kesemua ahli diminta membawa segala peralatan ke dalam bas dan bertolak ke tapak program. Perjalanan dari KPMB dianggarkan dalam 1jam 30 minit untuk sampai ke tapak program. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dan semua berjaya sampai ke tapak program sebelum bermula program. Program dimulakan dengan solat asar secara berjemaah dan diketuai oleh saudara Ali selaku timbalan presiden Perdiqma.
Setelah selesai solat berjemaah, program dimulakan dengan sesi perkenalan antara anak-anak rohingya dengan semua ahli dan penasihat perdiqma. Sesi ini berjalan dengan baik sekali kerana semua ahli memberi komitmen yang baik. Seterusnya, program diserahkan kepada pengendali program iaitu saudara Ayman , Haikal , Nasri , Maisarah dan Aina. Seterusnya, program diteruskan dengan sesi pembahagian kumpulan. Ketika ini agak sukar untuk membahagikan kumpulan kerana ramai anak-anak rohingya ini tidak pandai bertutur dalam bahasa melayu. Jadi pengendali program terpaksa menggunakan langkah lain seperti pergerakan badan dan sebagainya. Setiap kumpulan diberikan fasilitator masing-masing bagi memudahkan program.
Setelah itu, program diteruskan dengan slot mengenal diri , tarian dan sebagainya. Kesemua anak-anak rohingnya menunjukkan reaksi yang cemerlang dan gembira. Ini menunjukkan pihak program berjaya mengendalikan mereka. Alhamdulillah program berjalan lancar sehingga sebelum maghrib. Setelah selesai slot, anak-anak diminta berkumpul untuk mengambil juadah berbuka sebelum azan maghrib berkumandang. Anak-anak rohingya berbuka bersama dengan fasilitator yang telah
diberikan dan suasana begitu ceria ketika berbuka puasa tersebut. Terpancar wajah anak-anak yang gembira ketika itu.
Setelah selesai berbuka puasa, kesemua anak-anak rohingya diminta solat berjemaah bersama dengan ahli-ahli perdiqma. Mereka juga turut serta dan memberi komitmen dengan baik skali. Seterusnya program diteruskan dengan sedikit slot tarian bagi menceriakan suasana sebelum pulang dari tapak program. Setelah selesai, kesemua ahli mengemas kembali peralatan dan mengadakan sesi perkongsian dan bergambar. Ketika ini terlihat wajah-wajah sedih anak-anak yang sebelum ini gembira kerana kesemua fasilitator hendak pulang kembali ke kolej. Setelah selesai sesi bergambar, para pelajar dan pensyarah mengemas kembali peralatan dan membawanya kembali ke dalam bas. Setelah itu, kami pun berangkat untuk singgah ke surau yang terdekat untuk solat terawikh dan kembali ke kolej semula.
Berdasarkan program yang telah dijalankan, kami dapat sesuatu yang amat berharga iaitu terdapat beberapa lagi anak-anak yang kurang beruntung jika hendak dibandingkan dengan kita. Hal ini kerana tidak semua diantara mereka yang mempunyai pengajian seperti kita. Mereka tidak bersekolah seperti kita dan melanjutkan pengajian seperti kita. Jadi bersyukurlah kita diberikan makan minum yang cukup , pengajian yang cukup dan sebagainya jika hendak dibandingkan dengan mereka. Semoga kita semua mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan. In shaa ALLAH. Syukran.