5 Mei 2010

Al-Quran Menjadi Penyembuh Rohani dan Jasmani: Benarkah?

www.perdiqmakpmb.blogspot.com
Oleh: Puan Riani Binti Awang

Setiap benda yang rosak pasti dapat dibaiki dan setiap penyakit pasti ada ubatnya. Akan tetapi “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Itulah ayat yang sentiasa kita dengar sejak kecil hinggalah kini. Tapi adakah kita benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan petua orang tua-tua ini? Sepatutnya dalam apa-apa perkara sekalipun kita mestilah mendahulukan proses pencegahan iaitu menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan dan dari gejala penyakit, kemudian barulah menjalani rawatan dan mengubatinya. (Klik untuk baca selanjutnya)
Menjauhkan diri bererti jangan mendekati. Sekiranya mendekati sahaja pun sudah dilarang di dalam agama, apatah lagi untuk membuatnya, sudah tentu lebih-lebih lagi dilarang. Inilah yang terkandung di dalam kitab suci kita Al-quran yang mana ia banyak melarang mendekati perkara-perkara yang memudaratkan bagi mengelakkan berlakunya bencana dan mala petaka di muka bumi ini. Antara mutiara hikmah yang mengandungi larangan di dalam Al-Quran ialah Allah swt berfirman:

1. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 35 yang bermaksud “Dan jangan kamu berdua mendekati pohon larangan ini”

2. Dalam Surah Al-An’am ayat 151 yang bermaksud “Dan jangan kamu dekati perbuatan-perbuatan keji”

3. Dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud “Dan janganlah kamu dekati perzinaan”

4. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud “Inilah peraturan-peraturan Allah swt jangan kamu dekati”

Sebenarnya masih banyak lagi ayat-ayat Al-Quran seumpama itu yang mengkehendaki kita agar mendahulukan proses pencegahan dengan menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan kewarasan fikiran, rohani dan kesihatan fizikal rohani.

Oleh yang demikian, memang benarlah bahawa Al-Quran merupakan penawar dan penyembuh bagi roh dan jasad sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah swt dalam Surah Al-Isra’ ayat 82 “Dan Kami (Allah swt) menurunkan daripada Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penyembuh (Penyakit) dan rahmat kepada orang-orang yang beriman, dan tidak menambahkan orang-orang yang zalim itu hanyalah kerugian semata-mata”. Ayat ini menerangkan bahawa Allah swt menyatakan bahawa di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang diturunkan untuk menjadi penyembuh atau ubat penawar sakit. Ayat ini juga adalah berbentuk penerangan sesuatu perkara kepada manusia agar mereka terhindar dari kesesatan akidah dan kejahilan, atau ayat yang dapat memberi penerangan kepada orang yang sedang dalam keraguan dan kesamaran mengenai perkara yang hak, atau juga ayat yang memberi petunjuk kepada orang yang sedang dalam kebingungan dan hidup bermuka-muka atau munafik. Maka, ayat-ayat tersebut menjadi ubat kepada mereka atau lebih tepat lagi menjadi ubat kepada penyakit jiwa yang mereka alami.

Oleh itu, wahai pelajar-pelajar sekalian, dampingilah Al-Quran, hayatilah apa yang terkandung pada setiap baris dan patah ayatnya. Walau sesibuk mana sekalipun dengan tugasan akademik yang terasa membebankan diri, dengan kesibukan berpersatuan, carilah ruang waktu untuk mengalunkan lagu bacaan ayat-ayat suci. Carilah masa untuk menjiwai kalimah-kalimah dari langit itu, agar jiwa akan tenang di sebalik kekalutan diri sepanjang hidup di kolej ini. InsyaAllah………

Dipetik dan diubahsuai daripada buku “Tazkirah Untuk Orang Mengaji” karya Ahmad Sonhadji.

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...