24 Mei 2010

BEKALAN CUTI SEMESTER

www.perdiqmakpmb.blogspot.com
Oleh: Puan Riani Binti Awang*

Kehidupan sebagai insan yang bergelar remaja di dunia yang penuh ranjau dan onak duri ini sering kali terdedah malah mendedahkan diri kepada pelbagai persoalan yang pelbagai simpang siur dan memeningkan akal fikiran. Adakala persoalan itu sebenarnya amat mudah untuk dirungkaikan kerana  kekusutannya sudah ada jalan yang terang dan jelas dibentangkan oleh Allah swt kepada sesiapa yang mahu mencarinya. Rujukannya hanyalah satu iaitu Al-Quran yang terdapat di mana-mana. Ada di surau, ada di masjid, ada di rumah, ada di pasaraya, ada bilik, malahan ada di mana-mana jika mahu mencarinya. Antara malas dan tidak sahaja untuk kita mencari mutiara hikmah yang terkandung di dalamnya. (Klik pada more untuk artikel penuh)

Kehidupan sebagai remaja juga sering dibolak-balikkan imannya oleh syaitan dan hawa nafsu yang sering merajai hati bila-bila masa, di mana jua dan dalam apa keadaan sekalipun. Kita sebenarnya sudahpun  tahu apa-apa persoalan yang membebankan diri dan perasaan itu sebenarnya banyaknya adalah permainan dari syaitan dan hawa nafsu sendiri. “aduh…..malasnya nak bangun..sembayang subuh ni…baru pukul 6.00, lagipun time ni cuti sem, apalah salahnya aku…tidur dulu. Pukul 6.50 nanti baru sembahyang..ala…lagipun dua rakaat je. Tak lama.”  Itulah antara ungkapan yang mungkin selalu diungkapkan di dalam hati remaja yang sedang “honeymoon” di kampung semasa cuti semester ini, selepas hampir lima bulan berhempas pulas menimba ilmu di kolej masing-masing. Maka lenalah si remaja ini dalam tidur yang amat damai kerana telah dipeluk dan dibelai dengan penuh syahdu oleh syaitan dan nafsunya yang sering menipunya bukan sahaja subuh itu tetapi sepanjang hari itu, malahan mungkin sepanjang cuti semester itu. Maka mereka ini wajib diingatkan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Seberat-berat sembahyang kepada orang munafik ialah solat Isyak dan Fajar (Subuh). Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada solat Isyak dan Fajar ini nescaya mereka akan datang (ke masjid) walaupun dengan merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia sembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api."

Fiman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’, Maksudnya:

"Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya"


Kehidupan sebagai manusia yang masih remaja ini juga banyaknya dipengaruhi oleh fesyen yang pelbagai gaya dan rupa. Kilauan godaan fesyen tersebut biasanya cukup mempesona mata yang memandang, tidak kira remaja lelaki mahupun perempuan, menyebabkan hati meronta-ronta untuk mencubanya. Ekoran dari hasutan syaitan dan nafsu itu maka hadirlah golongan remaja ini ke kelas dengan pelbagai ragam fesyen. Rambut yang tegak, rambut yang perang, rambut yang mencecah bahu, rambut yang terjuntai ke mata, tudung yang terlalu singkat sehingga menampakkan ‘alor gajah’ dan ‘lurah bilut’, baju kurung yang terlalulah ketat sehingga menampakkan segala bentuk badan yang sepatutnya disimpan rapi untuk keselamatan diri. Mereka ini pernah juga dinasihati dan diperingatkan oleh para pensyarah, namun jawapan mereka agak mengecewakan.

alah..puan, bukannya selalu pakai macam ni, sesekali je”…Ada juga yang menjawab “Orang lainpun pakai puan..”. Terdapat juga mereka yang suka memakai rantai leher dan gelang bagi lelaki. Antara alasan yang diberi ialah “ Puan..nak elak kencing malam ni…” dan jawapan yang pernah dibalas kepada golongan ini ialah “awak kencing malam sebab awak belum sunat…”  Maka mereka ini wajiblah juga diperingatkan dengan ingatan-ingatan berikut:

"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Al Ahzab : 59).

"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " (An-Nur : 31)

Kehidupan sebagai anak muda remaja juga selalu diganggu oleh perasaan halus untuk mencintai dan dicintai. Bibit kasih begitu mudah tumbuh dalam diri remaja sehingga ia amat membimbangkan golongan dewasa termasuklah ibu-bapa dan para pensyarah. Sebenarnya mereka masih terlalu naïf dalam menghadapi dunia cinta remaja yang banyaknya berlandaskan nafsu semata. Segala kerasionalan mereka tolak ke tepi dan segala pesanan-pesanan yang terdapat di dalam Al-Quran berkaitan soal cinta mereka tidak hiraukan. Apa yang penting bagi mereka ialah sentiasa bersama-sama ke mana-mana sahaja tanpa ada rasa segan silu. Duduk terlalu rapat di dalam kelas. Pergi kafe bersama-sama. Makan bersama-sama. Dan segalanya bersama-sama. Sedarlah wahai remaja cinta di kala usia mentah ini tidak akan membawa kamu ke jalan kebaikan. Kecuali kamu bercinta dan merancang akan berkahwin pada usia perkenalan dua bulan. Itu jelas bahawa kamu bercinta untuk bernikah. Tetapi sekiranya kamu bercinta hanya untuk sebagai mengisi masa luang  dan ruang perasaan semasa di kolej, maka itu adalah sia-sia dan total sia-sia. Kerana ia hanya akan menganggu hidupmu sedikit demi sedikit. Jika tidak pandai mengawal diri (biasanya tidak pandai mengawal diri), maka akan terjerumuslah kamu ke lembah zina. Percayalah…Hidup sebagai remaja yang juga seorang pelajar tidak wajar memerlukan cinta lagi, kerana cinta itu harus wujud selari dengan perkahwinan. Cinta tanpa ada matlamat perkahwinan dalam tempoh yang amat dekat hanya akan merosakkan diri. Percayalah….Kerana itu, di dalam Al-Quran telahpun diperingatkan perkara-perkara berikut sebagai tauladan kepada setiap insan.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka.
"(An Nur : 31).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

"Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya"
(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang sangat buruk.”
(Surah al-Isra’, ayat 32).

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “iman itu adalah lebih 70 cabang. Sebaik-baiknya ialah kalimah syahadah, dan yang paling rendah ialah membuangkan halangan di jalan. Malu adalah satu cabang daripada iman”
(Riwayat Muslim)

Daripada Imran bin Husain r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Malu tidak mendatangkan sesuatu kecuali baik”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Sebagai manusia yang masih dalam usia remaja juga jiwa mereka sering memberontak hendakkan sesuatu yang mereka sangat inginkan. Sampai suatu ketika mereka sanggup melawan kehendak ibu-bapa yang merupakan orang berhak ke atas diri mereka. Sering sahaja mereka melawan kata-kata ibu-bapa, sering sahaja mereka membidas nasihat ibu-ayah dan sering juga mereka memperlekehkan kata-kata pensyarah semasa di kolej. Ingatlah wahai remaja, betapa perit dan payahnya ibu mengandungkan..kemudian melahirkan..kemudian menjagamu dari sekecil tapak tangan sehinggalah sebesar manusia yang kamu wujud kini. Tahukah kamu perasaan mereka ketika anak yang dikandungnya melawan kata-katanya ketika usia remaja. Terasa berderai satu harapan yang menggunung yang telah diamanahkan ke bahumu. Ingatlah juga, ayah menjaga dan mendidik kita dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sekelumit ganjaran pun di dunia ini. Hanya apa yang diharapkan ialah doa tulus dari anak ketika mereka di alam barzakh. Ingatlah apa yang berlaku kepada Al-qamah, perkara yang kecil menyebabkan ia sangat susah mengucapkan kalimah “lailahaillallah…” di saat-saat akhir hidupnya. Perkara kecil itu adalah ialah menyinggung perasaan ibunya. Cerita yang sama juga dapat kita kutip dari  kisah “si tanggang” yang begitu kejam terhadap ibunya. Ingatlah, tidak semestinya apa yang kamu sukai itu adalah baik untukmu dan apa yang kamu benci itu adalah tidak baik untukmu. Terimalah kemahuan ibu dan ayahmu, kerana redha dan syurga kita ditentukan oleh melalui perantaraan mereka berdua. Tiada gunanya kita hidup bersuka ria di dunia ini jika tidak diredhai ayah dan ibu. Tiada nilainya solat lima waktu dan amal ibadat lainnya jika ia di atas rasa marah ayah dan ibu. Baliklah pada mereka, sanjungilah mereka dan buktikan kecintaan kita pada mereka.

Wahai remaja sekalian, sememangnya hidup sebagai remaja terlalu banyak ujian untuk ditempuhi. Jadikanlah ia satu cabaran sebagai bukti kamu benar-benar cintakan kebenaran Islam.  Pupuklah rasa kehambaan dalam dirimu. Semailah rasa bertuhan dalam jiwamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Jika kamu telah tersesat jalan, maka kembalilah kepada Allah. Sebanyak manapun dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya, jika kamu benar-benar insaf akan kesalahannya dan bertaubat nasuha kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubat hamba-Nya.Allah berfirman bermaksud:

“Katakanlah, wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa semuanya. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah az-Zumar, ayat 53).

Melalui ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud:

“Ibrahim berkata, tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya, kecuali orang yang sesat.” (Surah al-Hijr, ayat 56).

Sebagai insan biasa saya juga tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Namun itu bukanlah alasan untuk mengelakkan diri daripada menyebarkan kebaikan. Ini kerana apa yang perlu diperhatikan ialah apa yang diperkatakan dan bukanlah siapa yang memperkatakannya.

"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."
(Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah s.w.t yan bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.”
(Surah al-A’raf [7]: 164)

Kerana itu,
TAATLAH KEPADA YANG BERHAK KE ATAS DIRIMU.




* Puan Riani Binti Awang merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Am Kolej Profesional Mara Beranang &  Penasihat Exco Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2009 - 2010

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...