2 Julai 2010

IKLAN : KOPITIAM GHADIR

(Program sesuai untuk para pelajar KPMB dipenghujung cuti semester)

Seperti yang pernah saya sebutkan lama dahulu, Kopitiam Ghadir adalah sebuah teater wacana. Kalau mahu namakan ia ‘teater Persuratan Baru’ pun boleh juga kerana pementasan ini berminat untuk menghantar ilmu dahulu, estetika adalah perkara kedua; tetapi Insya-Allah tuan-tuan akan tetap berasa terhibur secara berhemat. Saya telah menyatakan, Kopitiam Ghadir terilham oleh serangan Zionis terhadap Gaza pada awal tahun 2009. Ia membuatkan saya mencari-cari, mengapakah kita umat Islam tidak ada maula, atau ketua, atau seorang imam yang dapat menjaga dan memberi kita pedoman? Soalan ini membuatkan saya membongkar kembali fail-fail lama dan menemui kajian ilmiah Dr Engku Ibrahim Ismail, pensyarah Jabatan Pengajian Islam UM yang bertajuk ‘Kesahihan dan Kemutawatiran Hadith al-Ghadir.’ (Klik pada more untuk baca iklan penuh)
Adalah satu yang membanggakan juga, kerana keilmiahannya, Kopitiam Ghadir sempat diangkat oleh sarjana antarabangsa, Profesor E.P. Wieringa dari Universiti Cologne, Jerman di sebuah seminar antarabangsa di National University of Singapore pada 14-15 Januari 2010.
Oleh kerana kajian beliau itu belum diterbitkan, maka saya kira biarlah apa yang beliau tuliskan tersebut disimpan sahaja dahulu sehingga tiba masanya.

Pementasan kali ini memperkenalkan anggota baharu Revolusi Pembudayaan Selawat, Affa, yang saya kira sangat berbakat dan wajar diberi perhatian. Ia juga sekali lagi menampilkan muka lama. Mereka, saya tahu telah sanggup bergelumang dengan kontroversi saya sendiri ekoran tetek-bengek segelintir orang yang singkat akal dan ketinggalan zaman. Saya amat terharu, Amir Hamzah, Mohd Iswan, Charles Faizal dan Hilmi Alham yang menyatakan kepada saya, “Kami lebih sanggup dipalit kontroversi yang indah berbanding zaman lampau kami yang dicemari dan dinodai rasukan indie, Islam Liberal, dan hedonisme. Dulu kami tidak tahu, sekarang kerana Kopitiam Ghadir, kami berasa tercerahkan.” Kerana kata-kata itulah saya bersemangat kembali untuk mementaskan Kopitiam Ghadir.

Kopitiam Ghadir kami hadirkan sekali lagi buat mereka yang tidak memusuhi ilmu. Sesungguhnya orang yang berilmu akan diberi petunjuk jalan yang lurus, Insya-Allah.

Faisal Tehrani
www.tehranifaisal.blogspot.com

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...