Petugas-petugas di Jabatan Kesihatan Gaza mendedahkan keadaan  hospital-hospital dan pusat-pusat kesihatan di Gaza yang mengalami  kekurangan sejumlah besar ubat-ubatan dan peralatan perubatan akibat  bekalan ubat yang rosak dan luput tarikh. Keadaan ini berlaku ekoran  sistem bantuan bekalan ubat dan peralatan hospital daripada negara luar  yang dilakukan secara tidak tersusun.
Begitu  banyak ubat-ubatan disumbangkan oleh negara luar. Namun dalam banyak  kes, ubat-ubatan yang dibawa masuk itu sudahpun luput tarikh dan  kemungkinan besar akan membawa mudharat jika digunakan.
Menurut laporan Al-Jazeera yang memetik sebuah agensi berita German  sebagai mendakwa bahawa hanya 30 peratus daripada sumbangan perubatan  yang dibawa masuk ke Gaza dapat digunakan. Menurut laporan itu lagi,  Jabatan Kesihatan menerima lebih daripada 1,300 tan bantuan ubat-ubatan  dan peralatan hospital, namun ubat-ubatan itu tidak dilabel. Keadaan ini  menimbulkan masalah yang besar bagi para pegawai kesihatan untuk  mengenalpasti ubat yang begitu banyak.
Sebanyak 22 peratus daripada sumbangan perubatan yang sampai ke  gudang Jabatan Kesihatan Gaza sudah pun luput tarikh. Yang menyedihkan  lagi, ubat-ubatan tersebut ternyata sudahpun luput tarikh sejak dari  negara asal bantuan dihantar, dan sebahagian lagi rosak di pusat-pusat  simpanan berdekatan sempadan di Mesir.
Masalah menjadi semakin rumit apabila sebahagian besar ubat-ubatan  yang disumbangkan itu sebenarnya tidak berdaftar di peringkat  antarabangsa dan tidak sesuai dengan spesifikasi, mutu dan kegunaan di  negara yang memberi bantuan itu sendiri. Terdapat juga ubat-ubatan yang  sebenarnya dikeluarkan sebagai contoh komersial, atau tarikh luput yang  hampir tamat, malahan sebahagiannya telah pun tamat sebelum tiba di  Gaza.
Al-Jazeera juga memetik kenyataan seorang pegawai Jabatan Kesihatan  yang menuduh bahawa terdapat usaha mengekspoitasi penderitaan penduduk  Gaza untuk kepentingan komersial. “Gaza telah menjadi tempat pembuangan  ubat-ubatan yang telah atau hampir rosak, dan yang lainnya hanyalah  untuk eksploitasi perdagangan”, ujar pegawai yang tidak disebutkan  namanya itu.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Gaza, terdapat sebanyak 114 jenis  ubat kini kehabisan bekalan sepenuhnya meskipun mereka telah berulang  kali memohon kepada penderma atau bantuan untuk bekalan ubat-ubat  tersebut.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia yang berkhidmat di Gaza  menyatakan bahawa lebih daripada 300 orang pesakit telah meninggal dalam  tempoh 3 tahun ini kerana keadaan kesihatan mereka semakin teruk akibat  tidak mendapat rawatan yang diperlukan. Pesakit-pesakit juga tidak  boleh mendapatkan perubatan di luar negara kerana embargo yang dikenakan  oleh Israel menghalang pergerakan keluar masuk rakyat Gaza.
Sumber:  http://haluanpalestin.haluan.org.my
 



 
 0 Comments
0 Comments





 
 
 
