| Umat Islam di AS dalam keadaan dilema apabila Sambutan Aidilfitri  bertembung dengan tarikh yang hampir sama dengan sambutan memperingati  tragedi 911. Lebih teruk adalah apabila kempen ‘Ground Zero’ yang  membantah pembinaan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam yang terletak  berhampiran dengan tempat tragedi Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang telah  runtuh, dilancarkan. Protes besar-besaran rencana akan dilakukan pada  hujung minggu ini menjangkakan akan turut dihadiri pemimpin seluruh  dunia yang anti-Islam termasuklah Geert Wilders.(Klik more untuk artikel penuh). Lebih menakutkan adalah apabila ada pihak yang ingin menganjurkan  hari membakar al-Quran iaitu Terry Jones, paderi daripada Dove World  Outreach Centre yang berpusat di Gainesvaille, Florida. Pertubuhan ini  adalah hanya pertubuhan kecil yang pengaruhnya adalah sekitar 60 orang.  Namun dengan teknologi semasa, maklumat Terry John, dan idea Hari  Membakar Quran tersebar melalui laman sosial facebook beliau. Pada awal  tahun ini, beliau telah menulis sebuah buku Islam is of the Devil.
 Imam Musri, Presiden Pertubuhan masyarakat Islam di Florida, AS  berjumpa dengan paderi Terry Jones, Dove World Outreach pada hari Khamis  untuk berbincang dan berdialog berhubung isu hari membakar al-Quran  yang dijadualkan esok, Sabtu petang. Selepas perbincangan tertutup itu,  ternyata paderi tersebut mempunyai pandangan yang salah tentang Islam.  Beliau berpendapat bahawa Al-Quran adalah punca kepada tindakan terroris  911.
 
 Di akhir perbincangan tertutup tersebut paderi Terry Jones tetap  berpendirian untuk meneruskan agenda untuk mencemar kitab suci Islam  dengan membakar lebih daripada 200 naskah al-Quran. Pihak berkuasa AS,  termasuk Presiden Obama turut menentang tindakan tersebut dan pihak  badan-badan pelbagai agama termasuk Kristian menentang tindakan  tersebut.
 
 Walaupun berdepan dengan pendirian keras seperti itu, ummat Islam di  AS tidak putus asa untuk memberi pemahaman Islam sebenar kepada paderi  ini. Imam Musri menghadiahkan paderi tersebut senaskah kitab Al-Quran.  Imam Musri juga menutup pertanyaan media dengan menyatakan hasrat bahawa  pihaknya bersama pertubuhan Islam yang lain akan terus mendamping dan  berdialog dengan Paderi Terry demi memberikan maklumat yang benar  tentang Islam.
 
 Selaku ummat Islam yang sedar akan cabaran baru yang kita hadapi,  marilah kita ambil iktibar peristiwa Umar al-Khattab yang ingin membunuh  adiknya kerana masuk Islam. Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, dia  mendengar bacaan suci al-Quran. Al-Quran telah melunakkan hati Umar yang  keras. Bacaan surah Taha daripada kitab Al-Quran ini terdapat mukjizat  yang besar yang didengarkan kepada Umar secara tidak sengaja.
 
 Umar yang kemudiannya terus berjumpa Rasulullah s.a.w. Baginda menepa  Umar sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda  pun bertanya: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al  Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman  dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah,  inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al  Khattab ini!”
 
 Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar  pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak. “Aku  menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad  adalah Rasulullah!”
 
 Di Hari kemenangan kita pada 1 Syawal ini, marilah kita doakan paderi  Terry Jones agar hatinya dilembutkan Al-Quran yang beliau ingin bakar  sepertimana peristiwa kemasukkan Umar al-Khattab ke dalam Islam. Jika  saya dibenarkan menggunakan doa yang sama yang oleh Rasulullah: “Bila  lagi kamu hendak menerima Islam? Adakah kamu hendak menunggu sehingga  ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid  bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Terry dan mereka yang belum menerima  hidayah Mu, Ya Allah muliakanlah mereka dengan hidayahMu”
 
 Saya menulis makalah ini pada pagi 1 Syawal, sehingga waktu ini saya  masih tidak tahu sama ada Terry Jones bersama pengikut gerejanya akan  membatalkan atau tidak, tetapi jika rancangan untuk membakar al-Quran  itu diteruskan ummat Islam seharusnya mengambil sikap yang tenang dan  rasional.
 
 Islam adalah agama yang menghormati agama lain apatah lagi kepada  agama samawi atau agama wahyu yang kita kenali sebagai ahli kitab. Dalam  maslahah sebegini saya yakin bahawa tidak menjadi ancaman kepada Islam  jika Jones dan pengikutnya membakar al-Quran kerana mereka adalah  golongan jahil yang tidak tahu terhadap Islam berbanding tindakan ummat  Islam yang mengambil jalan kekerasan dan ganas yang hanya memburukkan  imej Islam dan mengiyakan segala fitnah adalah lebih jahat daripada  tindakan Jones yang membakar kita suci al-Quran.
 
 Dalam hal ini, kita perlu memberi kepercayaan kepada ulama kita  termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam untuk menjawab kontroversi yang  bakal berlaku. Kita juga perlu doakan sahabat-sahabat kita di AS agar  terus kuat menghadapi fitnah besar kepada agama kita dan terus istiqamah  berdakwah memberi pemahaman Islam yang sebenar. Sokongan dan dorongan  dari semua ummat Islam adalah amat diharapkan. Jalan yang terbaik untuk  berdoa dan mengamalkan apa yang diajar oleh Islam, dengan mempamerkan  qudwah hasanah, contoh teladan yang baik terutama kepada mereka yang  salah faham terhadap Islam.
 
 Teladan juga kepada kita yang tinggal di negara majoriti ummat Islam  agar tidak lakukan apa yang berlaku di negara majoriti bukan Islam. Jika  kita berasa jijik dengan tindakan membakar al-Quran kitab suci Islam  dan tidak menghormati ummat Islam yang minoriti seperti di barat, maka  sewajarnya adalah baik juga jika kita menghormati kesucian agama lain  dan mengiktiraf hak kaum minoriti di negara sendiri. Malangnya kita  masih mendengar gereja dibakar dan hak untuk mengamalkan agama bukan  Islam sentiasa mempunyai halangan.
 Secara kesimpulan yang saya ingin lontarkan adalah permasalahan salah  faham terhadap Islam tidak boleh diselesaikan dengan reaksi ganas dan  kekerasan. Pendekatan rasional dan pertengahan ‘wasatiyyah’ mampu  membetulkan salah faham tersebut. Jika kita mahukan masyarakat bukan  Islam melihat Islam sebagai agama yang indah dan bukan ancaman, maka  wajar untuk kita tunjukkan kebenaran tersebut di negara-negara yang kita  tinggal sebagai majoriti termasuk Malaysia.
 
 Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi Hamd.
 Mohd Saifullah Mohd Zulkifli,
 Petaling Jaya, Selangor.
 Harakahdaily.net
 www.saifullahzulkifli.blogspot.com
 |