KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.
Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.
Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.
“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.
Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.
“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.
Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.
“Saya tidak tahu sama ada minuman yang dikatakan bir halal yang dijual di sini mengandungi alkohol atau tidak tetapi apabila ada pihak mengaitkan dakwaan itu dengan Barbican sudah tentu ia menjejaskan perniagaan kami.
“Isu ini mungkin juga disebabkan persaingan namun saya tidak mahu menuduh sesiapa dan pada masa sama saya juga merancang untuk bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi menyelesaikan kekeliruan ini,” katanya. Sumber: Klik sini.
Beberapa hari lepas blog PERDIQMA KPMB telah membuat persoalan tentang laporan dari media mengenai status minuman jenis ini yang didakwa banyak pihak menimbulkan keraguan terutamanya kandungan alkohol yang dikatakan melebihi 0.5% (Klik sini untuk posting sebelum ini). Walaubagaimanapun kes ini sedang dalam siasatan JAKIM.
Pihak PERDIQMA menyiarkan beberapa siri pendedahan berkenaan minuman yang dipanggil "bir halal" ini berikutan minuman jenis ini dijual secara meluas di kampus KPMB termasuk di cafe dan kamsis. Tujuan pendedahan agar mahasiswa KPMB lebih peka akan isu ini dengan memilih hanya makanan/minuman yang jelas sumbernya dan menjauhi makanan yang diragui sumbernya (syubhah). Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata." (surah al-Baqarah: ayat 168)
Juga diperkukuhkan lagi tentang kepentingan menjauhi perkara yang datang dari sumber yang haram melalui hadith Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram." (Riwayat Bukhari dan Muslim).