Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya  orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya  pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini.  Lebih  malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang  sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramadhan.  
Seolah-olah  individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin  memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya telah mendapat keputusan  ‘gagal', malah telah berjaya terkena doa laknat oleh Malaikat Jibrail  untuk mendapat 'kecelakaan', merbahayalah imannya pada bulan-bulan yang  mendatang. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka
Masalah  pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta  maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara  maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung  untuk mengetahuinya. 
"waste of time!!" katanya lagi.
Padahal  di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT  mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai  Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah). 
Malang  bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan  Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini. Sebagaimana kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)
BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?
Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?. 
Jawapannya,  bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri  membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu  mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. 
Nabi  SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu  Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang  menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya : 
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد 
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari) 
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah  tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun  penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan  dengan Hadith Nabi SAW : 
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.
MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH? 
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?. 
 Secara  ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan  kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan  dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
Secara  ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan  kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan  dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :- 
1)  Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya,  berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu  neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang  akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya. 
2)  Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan  malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. 
3)  Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka. 
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. 
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. 
RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA 
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :- 
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri . 
Ulama  besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari  raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya". 
2) Menjamah makanan sebelum keluar. 
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ; 
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ; 
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. 
Tidak  dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan  mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan  di dalam Islam). 
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ; 
Ia  berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW  biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari  raya" (Riwayat Al-Bukhari) 
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi. NabiMuhammad SAW pernah bersabda :
مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan  ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika  berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat  para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila  melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar  ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika  berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat  di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur  secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan  abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita  ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan  lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan  mahram. 
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.
5) Kubur  ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang  lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan  jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai  dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga  dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin) 
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah  memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai  contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal  bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat  berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh  berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh  kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya  jauh-jauh. 
~sekian shj..taqaballahuminkum~ 
 Sumber: www.zaharuddin.net
 
 
  
 0 Comments
0 Comments





 
 
 
