Dalam suasana kita menyambut ketibaan ‘Aidilfitri dengan penuh kegembiraan ini, janganlah kita lupa untuk terus mengekalkan ketaqwaan kita kepada Allah. Ketaqwaan yang telah kita pupuk dan pertingkatkan di Madrasah Ramadhan yang lalu, janganlah pula, setelah Ramadhan berlalu, kita musnahkan segala amal taqwa kita dengan mensia-siakan usaha dan pengorbanan yang telah kita lakukan itu dengan perbuatan maksiat dan mungkar. Istiqamahlah dengan sifat taqwa tersebut dan teruskan bermujahadah untuk menjadi seorang muslim yang mukmin dan muttaqi.
Muttaqi dalam erti kata yang hakiki dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan yang baru meninggalkan kita ini akan benar-benar menggamit rindu dan cinta kita kepada Allah SWT. untuk sentiasa melakukan amal ibadah dan seterusnya mencetuskan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. di sepanjang perjalanan hidup kita.
Sesungguhnya beruntunglah di sepanjang Ramadhan bagi orang-orang yang ibadah puasa dan tarawihnya diterima, qiyamullail dan tadarusnya diperkenankan, jihad dan dakwahnya terus ditegakkan, segala amalan kebajikannya dimaqbulkan dan segala dosanya diampunkan Allah. Hanya orang-orang inilah yang layak mendapat kemenangan di hari ini dan hanya golongan seperti ini sahajalah yang layak merayakan 'Aidilfitri kerana mereka mendapat kebebasan daripada api neraka. Hadith daripada Jabir bin Abdullah, Nabi s.a.w. telah bersabda;
"Puasa itu umpama perisai yang melindungi seseorang daripada api neraka, dan puasa itu hanya bagi-Ku dan Akulah yang akan membalasnya".(Riwayat Ahmad).
'Aidilfitri adalah bermaksud kembali kepada fitrah kejadian kelahiran manusia yang diibaratkan putih bersih tanpa tompok-tompok dosa dan maksiat. Itulah ibarat kita merayakan hari raya ini, kerana kemenangan kita yang telah berjaya ditarbiyyah dan dibentuk menjadi mukmin yang tunduk dan patuh kepada Allah. Hasil tuaian di bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini mudah-mudahan akan menjadi bekalan sepanjang tahun sehinggalah kita bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan.
Hakikatnya, kegembiraan menyambut Syawal hanya layak bagi mereka yang telah berjaya dan lulus dalam menjalani tarbiyyah di Madrasah Ramadhan. Apakah kita merupakan salah seorang graduan yang telah lulus dari Madrasah Ramadhan tahun ini atau sebaliknya?. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengingatkan diri kita, bahawa perginya Ramadhan sepatutnya ditangisi dan bukannya disenangi.
Pada bulan Ramadhan juga diturunkan padanya Al-Quran untuk menjadi pedoman kehidupan manusia di alam ini. Hanya dengan mengikut petunjuk Al-Quran sahajalah dunia akan selamat dan kehidupan hamba-Nya menjadi sejahtera. Kita tidak hanya membaca dan mempelajari Al-Quran dalam bulan Ramadhan semata-mata bahkan kita harus mempelajari, menghayati dan melaksanakannya secara berterusan sekalipun berada di bulan-bulan yang lain.
Firman Allah dalam surah Al-Israk ayat 9:
"Sesungguhnya Al-Quran ini menjadi petunjuk ke jalan yang amat benar (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".
Di sepanjang Ramadhan yang baru meninggalkan kita, kita berjaya mendidik dan mengasuh diri kita daripada perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa. Prihatinnya kita terhadap ibadah dan kesungguhan kita mentaati Allah adalah sebagai tanda ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Inilah ciri-ciri ‘ehsan' yang berjaya ditanamkan dalam setiap diri umat Islam sebagaimana hadith daripada Umar r.a. ketika Jibril datang bertemu Nabi, lalu ia bertanya kepada Nabi saw :
"Maka khabarkanlah kepada-Ku berkenaan ehsan. Lalu Nabi saw menjawab: "Bahawa kamu menyembah Allah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah kamu melihat-Nya, dan walaupun kamu tidak melihat-Nya yang pastinya Allah sentiasa melihat kamu".
Persoalannya, kenapa tidak kita terjemahkan ‘ehsan' ini kepada ke seluruhan hidup kita sehinggalah ianya mampu memandu dan membentuk kita menjadi hamba-Nya yang tunduk dan patuh bertaqwa sentiasa kepada Allah SWT. sehingga bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan?.
Kita melihat menularnya gejala sosial yang berlaku pada hari ini melibatkan semua golongan. Remaja dengan pergaulan bebas dan kes-kes pembuangan bayi sekalipun di bulan Ramadhan. Begitu juga senario yang berlaku kepada golongan yang lain, seperti rasuah, pecah amanah, pembunuhan, bunuh diri dan berbagai lagi. Ini adalah gambaran rosaknya manusia yang tidak menterjemahkan Islam, Iman dan Ehsan dalam kehidupan mereka. Kita meyakini sekiranya umat Islam mampu menterjemahkan ehsan dalam kehidupan seharian mereka, sudah pasti menjadi mudah untuk kita membina modal insan ke arah taqwa dan sekaligus mampu membendung gejala sosial yang berlaku.
Oleh kerana itu, adalah menjadi kewajipan bagi semua umat Islam untuk mampu menterjemahkan Konsep Ehsan ini ke dalam kehidupan mereka dengan meneruskan jihad dalam membendung, mengawal dan memberikan kefahaman dan ‘inzar' amaran berupa pengajaran kepada mereka.
Firman Allah SWT. dalam Surah Ali ‘Imran ayat 104:
"Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya".
Pada saat kita merayakan hari raya ini, ingatlah kepada mereka yang serba kekurangan dan ingatlah nasib umat Islam yang berada dalam kesusahan seperti nasib umat Islam Palestin khususnya di Gaza, mangsa banjir besar di Pakistan, nasib anak-anak yatim, faqir dan miskin. Anjuran Islam supaya kita berzakat, infaq dan bersedekah adalah satu amalan mulia. Di samping membantu sesama umat Islam, ianya dapat mengikis sifat kikir dan tamak. Mudah-mudahan dapat mensucikan harta kita agar ianya sentiasa diberkati oleh Allah SWT.
Amalan terbaik merayakan hari raya sebegini, hendaklah diikuti dengan amalan kunjung-mengunjung, bermaaf-maafan dan merayakan dalam penuh kesederhanaan. Ini kerana bermegah dan bermewah dengan melakukan pembaziran adalah amalan syaitan.
Firman Allah SWT. dalam Surah Al-Isra' ayat 27:
"Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya".
Isilah hari raya ini dengan beramal ibadah sebagai tanda kesyukuran kita bukannya diisi dengan pesta hiburan yang melalaikan yang semakin menjauhkan kita daripada keredhaan Allah SWT. Untuk melepaskan tanda kerinduan dengan puasa Ramadhan Nabi menggalakkan umat Islam agar dapat menunaikan puasa sunat enam hari di bulan syawal sebagaimana hadith daripada Abu Ayyub Al-Ansari, Nabi s.a.w. bersabda:-
"Barangsiapa berpuasa Ramadhan, kemudian ia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan syawal, adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang tahun".(Riwayat Muslim).
Perbanyakkanlah juga bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah mudah-mudahan Allah akan melorongkan kita mendapat keampunan dan mendorong kita mengecapi kejayaan dalam hidup kita di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT. dalam Surah An-Nur ayat 31:
"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".
Marilah kita mengatur langkah meneruskan kehidupan kita dengan semangat baru, wajah baru dan tekad untuk menjadi insan yang bertaqwa dan beramal soleh. Semoga kita dapat merayakan hari raya ini dan seterusnya dalam suasana diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".(Ali ‘Imran: 133 - 134)
Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor
Rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor