23 November 2011

BERSAMA SEKOLAH RENDAH ISLAM INTEGRASI IHYA AL-AHMADI


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Salam sejahtera diucapkan kepada semua. Hari ini rakan PERDIQMA nak berkongsi sedikit tentang ahli PERDIQMA bersama-sama Sekolah Rendah Islam Integrasi Ihya-Al Ahmadi(SRIIIA) di Banting yang sepatutnya di post awal tetapi disebabkan kami kesuntukan masa dengan peperiksaan akhir semester, terpaksalah post lambat. Maaf ye para sahabat sekalian.

Betapa seronoknya kami bersama budak-budak di sekolah rendah islam tersebut. Memang seronok. Kami bermesra dengan mereka, bagaikan adik beradik yang tak dapat dipisahkan.


Kami seramai 5 orang iaitu, saudara Danial Ifran, Aizudin, Syazwan, Nurdin dan Fauzan menaiki sebuah kereta dan kami bertolak pada hari Jumaat bersamaan 18 November 2011 pada jam 5.30 petang. Perjalanan kami ke Banting mengambil masa hampir 2jam. Sebelum tiba di SRIIIA, kami singgah di pasar malam kerana masing-masing belum menjamah apa-apa sebelum bertolak. Macam-macam hal. Kami teruskan perjalanan dan kami tiba disana pada jam 7.15 dan terus solat berjamaah bersama pelajar-pelajar di sekolah itu dan di imamkan oleh saudara Mus'ab selaku guru di sekolah itu.


Selepas solat maghrib, tazkirah disampaikan oleh saudara Nurdin yang bertajuk, Dunia Milik Allah dan selesai tazkirah diberikan, kami bersama-sama menunaikan solat fardhu isya'. Program diteruskan dengan permainan yang diberi nama Treasure of Iman. Ia sama seperti Treasure Hunt tetapi permainan ini berkonsepkan keislaman. Permainan bermula pada jam 9malam didahulukan dengan taklimat ringkas oleh ustaz sekolah itu. Pada jam 10, permainan dimulakan dengan mengikut kumpulan. Kumpulan yang pertama adalah kumpulan Umar Ibnu Abdul Aziz, kedua adalah Muhammad Al-Fateh, ketiga Sallahuddin Al-Ayyubi, keempat adalah Thariq ibnu Ziad, kelima kumpulan Sumayyah dan keenam adalah kumpulan Zinirah. 3 kumpulan lelaki dan 2 kumpulan perempuan dan setiap kumpulan mempunyai 5-6 orang bilangan ahli.


Treasure of Iman sangat mencabar dimana mereka perlu meredah laluan gelap di padang untuk bertemu agen dan dihalang oleh musuh yang mencelarukan mereka. Sangat seronok melihat gelagat mereka. Mereka juga perlu membuat belon udara yang mampu untuk diterbangkan tetapi malang sekali, tiada 1 kumpulan pun yang berjaya. Sabar ye adik-adik. Sebelum menamatkan sesi malam pertama, mereka didedahkan dengan senaman ringkas yang dinamakan Senaman Si Tommy bagi mengurangkan mengantuk mereka untuk sesi tautan ukhwah. Tautan ukhwah yang sangat menyentuh hati apabila diceritakan tentang IBU. Program berakhir pada jam 1 pagi.

Keesokan harinya, mereka dikejut oleh kami para fasi pada jam 5 pagi bagi menunaikan solat hajat, tahajjud dan witir. Diikuti dengan tazkirah ringkas bagi mengisi masa sebelum kami bergegas ke pantai Morib untuk mengadakan aktiviti di sana. Setibanya kami di sana, kami mendahulukan solat sunat Dhuha yang di imamkan oleh saudara Aizuddin Jamalan. Selepas solat Dhuha, kami bersarapan bersama-sama dan meneruskan program dengan bermain bola pantai dan cermin. Bola pantai memerlukan 2 kumpulan dan setiap kumpulan memerlukan seorang ketua untuk memberi arahan kepada mereka. Mereka perlu menutup mata dan mencari di mana kedudukan bola dan gol dengan arahan dari ketua. Ini bertujuan bagi melatih mereka untuk menerima dan memberi arahan. Cermin pula adalah suatu permainan dimana mereka perlu memilih pasangan. Mereka perlu duduk dan dihalang oleh sehelai kain dan kemudian mereka diminta untuk membuat gaya. Permainan ini bertujuan untuk melihat tahap keserasian mereka dengan pasangan.

Kami pulang SRIIIA pada jam 11 dan seterusnya aktiviti dalam kumpulan dijalankan. Mereka perlu membentuk sebuah negara dan perlu ada semua kelengkapan yang dapat memastikan negara itu mempunyai pentadbiran yang lancar. Negara kumpulan Salahuddin Al-Ayyubi adalah negara yang paling lancar dan mereka menang pada akhir program ini.

Sebelum menamatkan program ini, kami solat asar bersama-sama dan kemudian program diakhiri dengan majlis penutup yang dirasmikan oleh saudara Mus'ab. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Semoga adik-adik SRIIIA mendapat ilmu dan disampaikan kepada orang lain. Akhir kata,diharap agar kita sesama umat islam membantu sesama islam seperti mana hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi shalallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sedang kesusahan nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu sentiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah (Al Quran) dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (para malaikat) yang berada di sisi-Nya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya.”

(Hadits yang sama penerbitannya seperti ini diriwayatkan oleh Muslim)

Semoga Allah Bersama kita dikala susah ataupun senang, InsyaAllah.

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...