19 November 2011

Mengapa perlu MALU?



"TAK MALU KE?" soalan yang sering kita dengar jika seseorang itu ditegur atau dimarahi jika buat silap.Namun tidak ramai yang benar-benar mengerti apakah maksud malu sebenarnya. Sebab itulah timbulnya ungkapan seperti malu tidak bertempat,malu-malu kucing dan sebagainya. Namun ia membawa pengertian yang berbeza-beza. Apa akibatnya jika seseorang itu sudah hilang rasa malu?

Sudah pasti dia akan melakukan segala perbuatan sesuka hatinya tanpa rasa malu dengan orang sekeliling seolah-olah dorongan nafsunya dikuasai oleh syaitan. Dia akan mengabaikan nasihat orang lain,melanggar batas-batas agama dan masyarakat, bahkan ada juga yang terjebak melakukan dosa-dosa besar.

Dalam islam malu itu disebut "haya'". Sesetengah pakar Arab mengatakan ia berasal daripada perkataan "hayatun" yang bermakna kehidupan. Sebagaimana pentingnya elemen malu dalam pembetukan personaliti seseorang muslim."Haya" dalam islam ialah suatu perasaan yang terbit dalam diri orang-orang yang beriman yang mampu membentengi diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Orang yang memiliki sifat "Haya'" sangat malu kepada allah s.w.t. "haya'" dalam diri seseorang diibaratkan sebagai buah hasil daripada keimanannya kepada Allah s.w.t.

Sebuah hadis riwayat al-Tarmizi,sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu menyebabkan seseorang masuk syurga." Menurut hadis ini, rasa malu itu sebahagian daripada iman. Orang yang beriman akan malu kepada Allah dan juga manusia lain ketika hendak melakukan maksiat.Dia malu kepada Allah ketika lalai dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipannya kepada Allah.Dia juga akan berasa malu jika tidak melakukan kebaikan dihadapan manusia lain atau melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan dihadapan orang lain.

Saidina Umar bin al-Kattab pernah berasa teramat malu ketika beliau terlambat menunaikan solat asar berjemaah di masjid kerana leka mengunjungi kebun-kebunnya.Akibatnya Umar telah menghadiah hartanya yang amat disayangi itu kepada kaum muslimin kerana rasa malu kepada Allah.Beliau bertaubat dan berjanji tidak mengulanginya lagi.Perasaan malu itu hendaklah ditanam,dipupuk dalam diri dan seterusnya dipelihara agar ia sentiasa wujud dalam diri setiap muslim. Ia dapat dilakukan dengan cara mentaati segala perintah Allah dan menjauhi semua larangannya.Menjaga ibadah wajib dan memperbanyakkan amalan sunat akan menyebabkan rasa malu sentiasa bertahta di hati kita.Ini bertepatan dengan maksud hadis qudsi yang sahih bahawa sikap menjaga ibadah fardu dan sunat secara istiqamah akan menyebabkan mendapat bimbingan dan hidayah Allah dalam segenap perbuatan.Maka dengan kelebihan ini segala tindak tanduk itu selari dengan kehendak Allah s.w.t. Menerusi bimbingan Allah ini, iman kita akan meningkat dan rasa malu akan terpahat dalam diri.

Selain harus dipupuk rasa malu juga harus diperihara.Ia dilakukan dengan memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat.Contohnya,menjaga anggota tubuh kita.Mata hendaklah mengelakkan pandangan yang haram, mulut tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik atau tidak makan makanan yang haram, telinga hendaklah mengelakkan daripada suara-suara yang menyesatkan dan hati di pantau daripada penyakit hati yang akan mematikannya.Selain itu tangan dan kaki kita harus di lindungi daripada melakukan aktiviti yang mengarah kepada kemungkaran.




Teks:MAHFUZAH OMAR
(B.A. (HSc)-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...