Meniti hari demi hari sebagai pelajar memang sesuatu yang indah sebenarnya. Masakan tidak, kita telah menjadi status plajar seawal 5 tahun. Ya, tatkala itu kita mungkin dihantar ke tadika atau taska dan sebenarnya disitulah detik permulaan perkenalan kita dengan insan yang bernama guru. Bagaikan tiada hentinya, sejak dari tadika ke bangku sekolah rendah dan menengah, kini kita melalui satu lagi lembaran dalam mencapai cita - cita untuk memperoleh kejayaan di dunia.
Saban tahun, Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei bagaikan satu hadiah buat guru. Mana tidaknya, di hari itulah para pelajar meraikan pada guru dan mereka diberi penghargaan atas pengorbanan mereka dalam mendidik insan untuk berjaya. Dan kebanyakan sambutan hari guru ini hanya disambut di pendidikan rendah dan menengah. Bagaimana pula dengan pendidik yang mengajar di institusi pengajian tinggi? Sememangnya, para pendidik sebenarnya langsung tidak mengharap akan penghargaan dari pelajar. Bagi mereka, apabila melihat kejayaan anak didik mereka sudah cukup sebagai hadiah istimewa untuk diri mereka.
Biarpun institusi pengajian tinggi berbeza dengan pendidikan sekolah, namun peranan pendidik, apa juga panggilan cikgu, guru, ustaz, ustazah mahupun pensyarah tetap sama, untuk menabur ilmu dan bakti kepada anak bangsa. Menuntut ilmu di institusi MARA ini berbeza dengan institusi lain. Saya tidak pasti jika ada IPTA ataupun IPTS lain jika ada, namun Institusi Pendidikan MARA saban tahun meraikan pada warga pendidik di Hari Pendidik. Biarpun disambut diluar hari guru yang sepatutnya, namun sekurang-kurangnya tradisi dalam memartabatkan warga pendidik tetap diteruskan. Ia bukan soal pembaziran mahupun penghargaan, namun kerjaya sebagai pendidik ini adalah satu kerjaya yang mulia dan kita sebagai anak didik harus menghargainya.
Samada menyambutnya atau tidak, ia cuma satu penghargaan bagi warga pendidik. Namun, apa yang paling penting adalah peranan pelajar itu sendiri dalam menghargai guru tatkala menimba ilmu. Tidak perlu hadiah bernilai ribuan ringgit, tetapi nilai yang tertinggi adalah beradab dalam menuntut ilmu. Tak perlu dihuraikan bagaimana adab dalam menuntut ilmu. Kita telah menjadi pelajar dari umur 6 tahun dan kini lebih 15 tahun berlalu seharusnya ia telah menjadi amalan kita. Pandangan kita harus terbuka, tidak beradab bukan sahaja bermaksud dengan istilah melakukan perbuatan "kurang ajar" kepada guru, tetapi tidak melaksankan tugasan, sengaja lewat hadir ke kelas dan bermacam ragam lagi pelajar IPT juga dikira tidak beradab. Ya, anda membayar pengajian ini dan itu hak anda, bagaimana pula hak guru dari para pelajarnya? tepuk dada, tanya diri. Muhasabah seketika.
Kata Imam Ahmad: Tidaklah aku tidur semenjak 30 tahun kecuali aku berdoa bagi Imam Syafie dan memohon ampun untuknya.
Buatmu yang bernama Guru, terima kasih atas curahan ilmu yang diberi sehingga kini. Selamat Hari Guru untuk Warga Pendidik KPM Beranang.