Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur kita untuk menjadi khalifah di dunia ini. Tanpa kita sedari kita telah berada di bulan Rabi'ul Awal, bulan ke 3 dalam kalendah hijrah. Bulan Rabiul Awal bermaksud bulan di mana bermulanya musim bunga bagi tumbuh-tumbuhan. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiul Awal, pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.
Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Selepas kedatangan Islam, Rasulullah ﷺ telah mengekalkan nama Rabiul Awal ini dan berterusan penggunaannya sehinggalah kini.
Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal
Bulan Rabiul Awal,bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini tercatat berbagai peristiwa besar dan penting, sejarah jatuh bangunnya Tamadun Islam yang menjadi ingatan kepada seluruh umat mukmin, di antaranya ialah;
1) Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ pada 9 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi.
2) Rasulullah ﷺ mengahwini Siti Khatijah binti Khuwailid pada 10 Rabiul Awal.
3) Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul pada 1 Rabiul Awal ketika berusia 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
4) Rasulullah ﷺ bersembunyi di Gua Hira’ pada 2,3 & 4 Rabiul Awal.
5) Sewaktu berhijrah ke Yatsrib (Madinah), Rasulullah ﷺ singgah di Qubah pada 8 hingga 12 Rabiul Awal.
6) Nabi Muhammad ﷺsampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awal dan terus membina Masjid Quba’, masjid pertama dalam sejarah Islam.
7) Rasulullah ﷺsampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal dan menunaikan solat Jumaat yang pertama bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu.
8) Di antara peperangan yang berlaku di bulan Rabiul Awal ialah peperangan ‘Safwan’ (Badar pertama), ‘Bawat’, ‘Zi Amar’ (Ghatafan), ‘Bani An-Nadhir’, ‘Daumatul Jandal’ dan peperangan ‘Bani Lahyan’.
9) Dalam Peperangan ‘Safwan’, Baginda ﷺ keluar bersama para sahabat mengejar Karar bin Jabir Al Fihriy yang telah melakukan serangan ke atas binatang ternakan Madinah pada tahun kedua Hijrah.
10) Peperangan ‘Bawat’ – satu kawasan di Yanbu’- pada tahun kedua Hijrah bagi menyekat kafilah perniagaan Quraish yang mengandungi 1500 ekor unta, diketuai oleh Umaiyah bin Khalaf.
11) Pada tahun ketiga Hijrah, satu kumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah dihantar bagi membunuh Kaab bin Al Ashraf seorang ketua kaum Yahudi yang menghina Islam dengan syair-syairnya, menyeru kaum Quraish supaya memerangi Islam. Ia menunjukkan sikap penentangan terbuka yang ditunjukkan oleh orang Yahudi terhadap Islam dan penganutnya pada permulaan seruan Islam lagi kerana kedengkian yang menebal di sanubari mereka.
12) Peperangan ‘Zi Amar’ (Ghatafan) pada tahun ketiga Hijrah di daerah Najd.
13) Peperangan ‘Bani An Nadhir’ pada tahun keempat Hijrah, mereka adalah salah satu goolongan Yahudi yang mengadakan perjanjian damai dengan Baginda ﷺ, tetapi mereka mengkhianatinya dengan cubaan bagi membunuh Nabi ﷺ. Baginda ﷺ bersama para sahabat telah mengepung mereka selama 15 hari sehinggalah mereka bersetuju menyerah kalah kepada Rasulullah ﷺ. Mereka telah dikeluarkan dari Madinah dengan meninggalkan segala alat perang mereka kecuali barang makanan dan pakaian sahaja. Kesemuanya menuju ke Khaibar dan pada akhirnya kesemua kaum Yahudi telah dikeluarkan dari Semenanjung Tanah Arab ke Bumi Syam pada zaman Umar Al Khattab.
14) Pada bulan Rabiul Awal tahun kelima Hijrah berlakunya peperangan ‘Dumatu Al Jandal’.
15) Peperangan ‘Bani Lahyan’ pada 15 haribulah tahun keenam Hijrah. Tentera Muslimin seramai 200 orang termasuk 20 penunggang kuda yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah ﷺ tetapi tidak berlaku apa-apa peperangan disebabkan oleh Banu Lahyan melarikan diri ke bukit-bukau.
16) Pelepasan penghantaran tentera Islam oleh Abu Bakar As Siddiq yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid bagi berhadapan dengan orang Rom, ianya telah diarahkan oleh Baginda ﷺ supaya menuju ke tanah jajahan Rom tetapi terhenti disebabkan oleh kewafatan Baginda ﷺ.
17) Nabi Muhammad ﷺ wafat pada Isnin 12 Rabiul Awal tahun ke-11 Hijrah bersamaan 7 Jun 632 Masihi, di rumah isterinya Aisyah r.ha. selepas sakit selama 13 hari dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
18) Para sahabat melantik dan membai’ah Saidina Abu Bakar As Siddiq menjadi Khalifah pada tanggal 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah di Dewan Bani Sa’idah, iaitu pada hari Rasulullah wafat.
19) Pada zaman saidina Abu Bakar r.a., tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra berjaya menaluki Iraq secara damai dalam bulan Rabiul Awal dan memulakan pembukaan ‘Al Hirah’ serta pemerintahan Islam di bumi Iraq.
20) Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib peperangan ‘Al Hittin’ dan seterusnya membuka Baitul Muqaddis pada bulan Rabiul Awal tahun 583 H.
21) Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada bulan Rabiul Awal tahun 897H.
22) Kemasukkan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella ke bumi Gharnada, bandar dan kubu terakhir tentera Islam di Andalusia pada tahun 897 Hijrah.
Kekalahan di Andalusia, merupakan kejatuhan sebuah negara Islam yang amat menyayatkan hati. Orang Islam di sana dibunuh dengan kejamnya dan segala warisannya dimusnahkan. Antara sebab kejatuhan negara tersebut pepecahan sesama ummat Islam, tidak menurut perintah Allah سبحانه وتعالى., kelemahan stategi dan tenaga untuk berhadapan dengan kaum Kristian. Kejatuhan tersebut ditangisi oleh semua ummat Islam sehinggakan ada dikalangan penyair yang mengarang kedukaan itu di dalam syair-syair mereka. Kehilangan itu bermakna kemusnahan tempat sejarah warisan ummat Islam, masjid-masjid ditukarkan menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan berkumandang di negara tersebut.
.