Mungkin artikel ini sekadar artikel ringkas. Tetapi ringkasnya artikel  ini, pada saya tetap membawa sesuatu yang besar. Baru pulang dari  menguruskan program “TREASURE OF IMAN” anjuran PERDIQMA sendiri, yang  bertemakan ‘berukhuwwah hingga ke syurga’, saya mendapat sesuatu yang  amat berharga.
Itulah dia, Ukhuwwah di atas keimanan itu satu motivasi jua.
Motivasi ke arah apa?
Ya. Pertamanya perlu dilihat semula, motivasi ke arah apa? Menuju ke mana?
Semestinya  bukan menuju ke arah keduniaan semata-mata. Motivasi ini adalah ke arah  akhirat, untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Bukan ke arah lain.
Bagaimana ukhuwwah atas keimanan itu memotivasikan?
Apabila  kita mempunyai rasa cinta kepada seseorang itu, kerana Allah SWT,  pastinya antara perkara yang kita tidak akan berusaha untuk lakukan  kepadanya adalah – menyusahkannya. Juga, apabila kita mempunyai rasa  cinta kepada seseorang itu, kerana Allah SWT, pastinya antara perkara  yang kita mati-matian usahakan kepadanya adalah – menjadi seorang yang  mampu membantunya.
Maka di sini kita lihat, apabila kita mencintai  seseorang itu kerana Allah SWT, akan wujud satu ‘force’ untuk menjadi  seorang hamba Allah SWT yang baik. Kita akan lebih berusaha untuk  menjaga diri. Kita akan berusaha mempertingkatkan diri, ketahanan ruhi,  dan juga kematangan mental kita. Sekaligus, kita berusaha juga  menjauhkan diri dari perkara-perkara yang Allah larang, yang akan  menjemput kemurkaan Allah SWT dan yang akan merendahkan darjat kita  sebagai hamba Allah SWT.
Jadi, akan timbul satu persoalan.
Mengapa apabila kita cintakan seseorang itu kerana Allah SWT, kita seakan ada ‘force’ untuk bergerak sedemikian rupa?
Kerana kita cintakan dia. ^.^
Hal ini kerana, kita cintakan dia kerana Allah SWT. Kita nak, kita dan dia mampu berpimpinan tangan ke syurga sana.
Maka,  sekiranya kita cintakan dia kerana Allah SWT, kita perlulah menjadi  ‘peringan beban’ kepada sahabat kita. Sebab itu, kita berusaha untuk  tidak menyusahkannya dengan mencampakkan diri kita ke neraka. Sebab,  sekiranya kita merosakkan diri kita, membiarkan diri kita dicengkam  jahiliyyah, kita sudah ‘menyukarkan’ sahabat kita dengan membuatkan dia  ‘perlu meluang masa dan tenaga’ untuk ‘menyelamat’kan kita. Tidakkah  kita melihat?
Dan, sekiranya kita cintakan dia kerana Allah SWT, kita  juga perlulah menjadi seorang yang ‘kuat’ kepada sahabat kita. Agar,  sekiranya ditakdirkan Allah jatuhkan sahabat kita, yakni dia tersasar  dari jalan yang membawanya ke syurga, kita ‘mampu’ menyelamatkan dia.  Kita ‘mempunyai’ kekuatan untuk menyelamatkan dia. Kita ‘boleh’  mempertahankan dia. Bukan sekadar mampu memandang, tengok, dan kata  belakang semata-mata. Jadi, kekuatan untuk melakukan kerja-kerja  menyelamtkan sahabat yang gugur ini, hanya mampu dilakukan oleh seorang  sahabat yang punya kekuatan sahaja. Sebab itu, sekiranya kita sahabat  yang baik, kita akan siapkan diri kita sungguh-sungguh untuk menghadapi  kemungkinan tersebut.
Tidakkah kita melihat?
Indah bukan ukhuwwahfillah ini?
Indah.  Bukanlah ukhuwwah itu sebenarnya ditunjukkan dalam bentuk “Si A berikan  Si B sesuatu”. Tetapi ukhuwwah juga sebenarnya tertonjol dalam bentuk  “Si A jaga dirinya betul-betul” walaupun situasi itu nampak macam  situasi persendirian. Namun hakikatnya, ia adalah satu hubungan dua  hala.
Indah. Amat indah. Itulah dia ukhuwwahfillah.
Moga, sedikit  motivasi ini, membuatkan kita semakin berlumba-lumba untuk menjadi  seorang pengejar akhirat, hamba Allah SWT yang terhebat insyaAllah.  Tidak menyusahkan sahabat kita, pada masa yang sama, menjadi seorang  yang kuat untuk mempertahankannya.
Semoga hal ini, mampu kita bumikan dalam kehidupan kita.
Mohd Asyraff Bin Aziz 
Exco Pembangunan Insan & Kerohanian 
Majlis Perwakilan Pelajar KPMB
 
 
 0 Comments
0 Comments





 
 
 
