15 Disember 2013

Amalan Sunnah: Qailullah


Ramai individu yang kerap melakukan ‘tidur siang’ atau ‘napping’ tetapi sayangnya disebabkan tidak ada pengetahuan dan keperihatinan, tujuan sebenar perlakuan tersebut semakin diabaikan. Syarikat besar di luar negara seperti Google, PnG telah mengamalkan amalan sunnah ini sebagai "power nap". Menurut kajian, mengamalkan "power nap" ini meningkatkan produktiviti pekerja sebanyak 34 peratus. Ternyata, amalan sunnah Rasulullah ini sangat memberikan kebaikan dan memberi panduan hidup.




Di dalam Islam, tidur sekejap di waktu siang, dinamakan ‘Qailullah’ atau ‘Qoilulah’ iaitu tidur singkat (sebentar) di pertengahan hari yang disertai dengan niat. Tidur ini adalah suatu sunnah dan nikmat dari Allah swt. Sekiranya tidur siang dilakukan tidak mengikut spesifikasi dan sunnah iaitu tidur melampau dan tanpa berniat untuk bangun malam (berqiamullail), maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada ‘Qailullah’ tersebut.

Firman Allah s.w.t:

“Dan di antara tanda-tanda KemurahanNya dan Kasih SayangNya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari, dan usahamu mencari sebahagian dari KurniaNya. Sesungguhnya pada hal yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).”
(Surah Ar-Ruum : Ayat 23)

Nabi Muhammad telah menjadikan amalan Qailullah sejak usia muda sebagai memudahkan Baginda untuk bangun melakukan ibadah di tengah malam  (Qiamullail).
Sabda Rasulullah s.a.w :
“Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan Qailullah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zuhur) boleh memberi kekuatan untuk Qiamullail.”
(Hadis Riwayat Ibnu Abbas).

Waktu Qailullah

Waktu Qailullah (tidur siang) adalah selama beberapa minit sebelum masuk waktu solat Zuhur atau selepas makan tengahari hingga awal Asar iaitu dengan kadar masanya antara 10 hingga 30 minit sahaja . Waktu paling afdhalnya ialah dalam tempoh setengah jam sebelum masuk waktu solat Zuhur. Imam Muslim menyatakan bahawa

“Yang dimaksudkan dengan ‘Qailullah’ adalah tidur di pertengahan hari.”

Manakala al-Hafizh Ibnu Hajar pula berkata,

“Qailullah adalah tidur di tengah siang, iaitu ketika matahari tergelincir ke barat, dan beberapa waktu sebelum atau sesudahnya.” (Fath al-Bari [11/79]).

Niat Qailullah

Setiap kehidupan itu bermula dengan niat. Sebelum melakukan Qailullah, berniatlah agar tidur itu bagi memudahkan terjaga di malam hari dan dapat bangun melakukan solat-solat sunat malam dan berzikir untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Khaliq. Sekiranya tidur tanpa berniat untuk bangun malam, maka tidaklah mendapat sebarang pahala pada Qailullah tersebut.

Cara Niat Qailullah

Niat kena betul dan ia adalah lintasan hati untuk tidur dan bangun beribadah di malam hari nanti seperti contoh berikut:

“Daku tidur sebentar kerana hendak bangun beribadah tengah malam ini, kerana Allah Ta’Ala.”
Atau:~
“Daku tidur sebentar dan mohon terbangun tengah malam ini kerana rasa imanku terhadap-Mu (Allah) dan untuk mendekatkan diri denganMu.”
Qailullah adalah menjadi budaya masyarakat Arab dan kebiasaan orang Islam terdahulu, terutama pada musim panas dan bulan Ramadhan. Para solehin dan ulama terdahulu menjadikan tujuan tidur seketika siang hari sebagai persediaan supaya boleh bangun mendirikan solat Tahajjud pada malam harinya.

1.  Imam Al Ghazali, di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’, menyatakan: “Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum gelincir matahari untuk solat Zuhur.”
2.  Dalam sebuah riwayat, Imam Abu Hanifah selama 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam. Beliau tidur hanya sebentar pada siang hari.
3.  Tidur siang merupakan kebiasaan para salaf. Sebagaimana yang dikatakan oleh Sahl bin Sa’ad radhiyalahu’anhu, “Dahulu kami sering tidur siang, sebelum waktu Zuhur dan baru menikmati makan tengah hari selepas solat Jumaat.” (HR. Bukhari).




Syaitan Tidak Tidur

Sebenarnya tidur sebentar di pertengahan siang adalah suatu perkara yang sangat dianjurkan Islam dalam meningkatkan keimanan kerana syaitan tidak pernah tidur disebabkan mereka sibuk melekakan manusia agar keletihan dan liat melakukan ibadah malam.
Sabda Rasulullah s.a.w:

“Lakukanlah Qailullah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan Qailullah.”
(Hadis Riwayat At-Tabrani)

Bermalas-Malasan

Islam menganggapnya tidur tengahari sebagai suatu sunnah dan kebaikan sebagai asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya. Tidur siang bukanlah sebagai satu yang keji atau tanda kemalasan kerana tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dalam kitab ‘Mishkatul Masabih’ disebutkan: “Tidur sekejap pada waktu tengah hari (Qailullah) bukanlah perbuatan keji kerana Rasulullah ?  ada melakukannya.”
Banyak keterangan lain yang menganjurkan tidur seketika terutama bagi orang berpuasa. Amalan ini semakin dilupakan dan tidak diambil perhatian, jika pun dibuat, ia tidak mengikut spesifikasi sunnah.

Sebahagian orang terutama ketika berpuasa, mereka menggunakan tidur siang sebagai alasan untuk melayan rasa malas dan letih mereka. Jika memang berniat untuk membolehkan bangun malam untuk beribadat, tentulah ini mengikut sunnah Rasulullah. Tetapi nilai sunnah daripada tidur siang ini akan hilang begitu sahaja jika untuk bermalas-malasan dan malam harinya tidak didirikan Solat Tahajjud, berzikir, solat-solat sunat lain dan atau bertarawih di bulan Ramadhan. Seharusnya setiap orang muslim pandai dan dapat mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika dan bukannya sepanjang hari walaupun sewaktu berpuasa.

Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.
Firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah.”
(Surah az-Zariyat; Ayat 15-18 )
.
Firman Allah s.w.t:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat malam” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”




(Surah al-Israa’ (17); Ayat : 79)

Sabda Rasulullah s.a.w :
“Rabb (Tuhan) kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Daku akan mengabulkannya; Sesiapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Daku akan memberinya; Sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Daku akan mengampuninya.”  

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145).

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata :
“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk Solat Zuhur.”

Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu siang ketika kebanyakan orang melakukan qailullah. Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.” Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Abi Aufa, ada menyebut bahawa: “Tidurnya orang puasa adalah ibadah.”
Pengertian hadis ini harus difahmi bahawa tidur orang puasa adalah terjaganya (terpelihara) diri orang yang puasa daripada setiap perbuatan maksiat dan mungkar, dari situlah wujud makna ibadah itu. Kalau tidur hanya untuk bermalas-malasan dan meninggalkan kewajiban serta melalaikan tugas, tentulah ini sangat bertentangan dengan makna ibadah puasa itu.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat pernah menjalani puasa Ramadhan dengan tugas yang cukup berat seperti Perang Badar dan penaklukan Makkah. Ini semua petunjuk bahawa puasa bukan untuk menjadikan kita bermalas-malasan, tetapi pencetus semangat agar memberikan yang terbaik meskipun dengan keterbatasan kecerdasan fizikal sebagai orang berpuasa.

Larangan

 
Jika tidur selepas solat dan makan tengahari, hendaklah berzikir beberapa ketika terlebih dahulu. Jangan terus tidur selepas makan kerana ia akan menyebabkan sembelit dan tidurlah sebelum masuknya waktu Asar. Tidur seketika pada waktu siang umpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari, tetapi jangan tidur di siang hari terlalu lama, lebih-lebih lagi pada waktu petang iaitu selepas asar, kerana ia bakal mengundang pelbagai penyakit. Jauhkan diri juga daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan lemah badan dan fikiran, lembap, wajah jadi kusam, keruh, mudah marah dan boleh mengurangkan rezeki.

Manfaatkan waktu itu adalah lebih penting daripada sekadar tidur siang. Khalifah Umar  bin Khattab pernah mengingatkan  “Sekiranya kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat; jika kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah.” Oleh kerana itu haruslah mengimbangi dan menggunakan waktu tidur siang yang hanya seketika (bukan sepanjang hari) walaupun pada musim panas atau bulan Ramadhan. Cubalah amalkan sunnah Qailullah ini dengan istiqamah. Ambillah sebahagian kecil waktu rehat tengahari dengan memilih untuk mencuba dan tidur sebentar sama ada di pejabat, tempat kerja atau di dalam kereta.






Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...