Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog PERDIQMA KPMB

Islam Itu Indah

Dengar IKIM.fm Online

Dengar radio IKIM.fm secara online menerusi blog PERDIQMA

Like Facebook PERDIQMA

Sertai facebook PERDIQMA serta dapatkan info dan pengkongsian ilmu di laman fb PERDIQMA

14 Julai 2014

P.A.U.R @ T.A.R 1.0 Alumni Perdiqma




Dalam penghayatan tarbiah Ramadhan, tersedia seribu satu amalan yang boleh menambahkan pahala ini. Manakan tidak, setiap amalan wajib mahupun sunat, segalanya digandakan disisi Allah. Begitu pemurahnya Allah terhadap hambanya. Dan seharusnya kita sebagai hamba mengambil kesempatan 30 hari Ramadhan dengan merebut segala masa yang ada agar kita tidak merasa rugi dalam mengecapi hasil tuaian pahala. 

“Sesiapa yang menjamu makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka dia akan memperolehi pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR Tirmizi)


Alumni Perdiqma atas dasar itu, telah menganjurkan Projek Amal Untuk Ramadhan 1.0 yang bertempat di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Alhamdulillah, program pada 12 Julai 2014/14 Ramadhan 1435H itu telah berjalan dengan lancar dengan kehadiran 20 orang peserta yang rata-rata adalah bekas pimpinan PERDIQMA dan juga pelajar KPMB.

Bermula pada pertengahan Sya'aban, kutipan dana untuk menampung perbelanjaan program ini bermula. Dengan matlamat nilai dana terkumpul RM1000 untuk 1000 kit iftar, tabungan dana dipromosi dan perlahan-lahan meningkat. Dengan izin Allah, dana telah mencapai target program seawal 5 Ramadhan. Ia menunjukkan tanda positif pada program dan seterusnya meningkatkan semangat untuk melaksanakan program.


Pembukusan dilakukan sehari sebelum program dilaksanakan. Dengan bantuan beberapa aktivis alumni, mereka bersengkang mata semata-mata agar semua bungkusan dapat disiapkan dan program dapat dilaksanakan. Terima kasih juga kepada penaja lokasi pembukusan kami, di salah sebuah rumah aktivis alumni, Saudagar Mus'ab Khalili. (baik hati sebab menaja menu berbuka serta sahur kami, moga Allah melimpahkan rezeki kepada keluarganya)

Jam 4 petang, kami mula berkumpul di Masjid Jamek. Sambil menghilangkan rasa penat, kami beriktikaf sebentar sementara menunggu azan berkumandang untuk solat asar berjemaah. Selesai solat asar, kami mula berkumpul di perkarangan masjid dan taklimat telah diberikan oleh Project Manager, Saudara Nurdin Haikal. Sedikit kata-kata semangat disuntik bagi menaikkan semangat para peserta pada petang itu kerna majoriti adalah dari muslimat.(kesian kami yang muslimin).




Peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan bagi melancarkan perjalanan program. Dengan ditemani oleh cahaya mentari langit petang, agak panas tapi ia tidak mematahkan semangat kami. Sekitar Jalan Tun Perak, Jalan Masjid India, Stesen Masjid Jamek kami terjah. Tidak mengira siapa, mahupun bangsa kami agihkan kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya agar tidak terlepas untuk berbuka puasa. Alhamdulillah sebanyak 1070 kit Ramadhan telah berjaya diagihkan.

Setelah penat selesai agihan sekitar 6:37 petang, kami berkumpul semula di Masjid Jamek, sambil diberi taklimat terakhir, berselfie (sumpah bukan lelaki yang buat) dan mengambil gambar kenangan program. Program tamat sekitar 7:17 petang. Terima kasih kepada para penyumbang, yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Moga Allah berikan ganjaran yang setimpal dan dikira sebagai ibadat. Jumpa lagi P.A.U.R 2.0 insyaAllah..

“Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan.” [Riwayat Ibnu Abi Dunya]



Penulis merupakan salah seorang aktivis alumni perdiqma. Beliau berkongsi celotehan program di blog PERDIQMA sebagai mempromosikan alumni perdiqma



29 Jun 2014

Ahlan Wasahlan Ramadhan Kareem !


Salam 1 Ramadhan 1435H.
Alhamdulillah Allahuakbar Subhanallah.

Tiap kali memasuki Ramadhan kita merasakan “naluri beragama” (gharizatu at-tadayyun) kita meningkat, terasa kuat, seiring gambaran suasana Islami yang akan mengitari kita selama sebulan penuh.Setiap Muslim sangat menantikan datangnya Ramadhan, meski hampir selalu saja terjadi kontroversi atau perbezaan pendapat soal kepastian awal Ramadhan.
Dipastikan, melihat suasana Ramadhan sebelumnya, suasana Islami akan terjadi di sekitar kita. Masjid-masjid dipenuhi jamaah terawih, pengajian, dan acara-acara keislaman lainnya. Sungguh, keislaman kaum Muslim terasa dan terlihat pada bulan Ramadhan.
Kewajiban kita sebagai kaum Muslim sebenarnya cuma satu selama Ramadhan, yakni berpuasa –menahan diri dari makan, minum, dan berhubungan badan suami-isteri— sejak imsak atau jelang terbit fajar (masuk waktu solat Subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu solat Magrib).
Namun, mengingatkan bahawa Ramadhan merupakan bulan penuh berkat dan keampunan Allah SWT, pahala ibadah dilipatgandakan, dan Allah SWT menjanjikan “siapa berpuasa penuh keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosanya yang telah lalu dan menemukan dirinya kembali suci pada akhir Ramadhan”, maka kita merasa tidak cukup, merasa tidak puas, dengan hanya “sekadar” berpuasa pada bulan Ramadhan itu. Kita ingin melakukan ibadah ekstra, seperti ibadah “khas” Ramadhan lainnya yang sifatnya sunah –tarawih—plus tadarus atau membaca Al-Quran, belajar atau mendalami Islam, mengikuti ceramah tarawih, ceramah Subuh, bersedekah, dan sebagainya.

Pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, yaitu malam tanggal-tanggal ganjil (21, 23, 25, 27, 29), kita “memburu” untuk bertemu satu malam “khoirun min alfi syahrin”, lebih baik dari seribu bulan, yakni Lailatul Qodar (Malam Penentuan). Ibadah pada malam itu bernilai seribu bulan ibadah! Subhanallah. Rasulullah s.a.w pun mengajar dan memberi teladan i’tikaf, berdiam diri di masjid untuk khusyu’ beribadah kepada Allah, demi menemukan Lailatul Qadar.

“Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan” (HR. Bukhari).

RAMADHAN sememang bulan istimewa. Ramadhan juga bulan kemenangan umat Islam. Sejarah Islam menunjukkan, majoriti kemenangan umat Islam dalam sejumlah peperangan dan medan dakwah, terjadi pada bulan Ramadhan –mulai dari Perang Badar hingga Perang Oktober Arab-Israel 1973. Faktor utamanya, kerana Allah SWT “turun tangan” menolong kaum Muslimin untuk mengatasi berbagai rintangan dakwah dan jihad, disebabkan kedekatan kaum Muslimin dengan-Nya selama Ramadhan.
Keistimewan bulan Ramadhan, antaranya ialah:
Bulan Diturunkan Al-Quran. “Bulan Ramadhan, bulan diturunkannya al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia dan membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbedaan antara yang benar dengan yang salah” (QS. Al-Baqarah: 185).
Pintu Syurga Terbuka Luas. “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka” (HR. Bukhari).
Pintu Rahmat Terbuka Luas. “Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu rahmat” (HR. Muslim).
Pintu Langit Terbuka Luas. Amal ibadah, utamanya puasa, langsung sampai kepada Allah SWT. “Bila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka” (HR. Bukhari).
Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat. “Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup” (HR. Bukhari).
Syaitan dan Jin Dirantai. “Bila tiba malam pertama bulan Ramadan, setan-setan dibelenggu juga jin yang derhaka” (HR. Tirmizi). Maka, jika ada manusia yang tetap saja melakukan maksiat atau kejahatan pada bulan Ramadhan, semata-mata karena akhlak atau perangainya yang busuk dan menjadi budak nafsu.

SATU hal yang tidak boleh dilupakan, iaitu soal pembatal puasa. Secara fiqih, puasa batal kerana makan, minum, berhubungan badan, muncul niat berbuka, dan muntah yang disengaja. Namun, puasa juga boleh batal pahalanya jika kita tidak menahan diri dari perbuatan buruk, seperti menyakiti orang, berkata dusta, keji, dan cabul, dan sebagainya.

“Puasa bukanlah sekadar menahan dari makan dan minum” (HR Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim).

Ibnu Qoyyim Al-Jauziyyah menerangkan: “Seorang yang berpuasa adalah orang yang anggota badanya berpuasa dari perbuatan-perbuatan dosa, lisannya berpuasa dari kata dusta, kata keji, dan ucapan palsu, perutnya berpuasa dari makanan dan minuman, kemaluannya berpuasa dari bersetubuh. Bila dia berbicara, tidak berbicara dengan sesuatu yang mencacat puasanya, bila berbuat, tidak berbuat dengan suatu perbuatan yang merusak puasanya, sehingga seluruh ucapannya keluar dalam keadaan baik dan manfaat. “.
“Janganlah kamu saling mancaci (bertengkar mulut) sementara kamu sedang berpuasa. Maka bila seseorang mencacimu katakana saja: ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’, dan kalau kamu sedang berdiri maka duduklah.” (HR. Ibnu Khuzaimah, Nasa’i, Imam Ahmad).
Wallahu a’lam.
Renung-renungkan dan selamat beramal !
#OwsemnyaRamadhan

sumber : jalanakhirat.wordpress.com


23 Jun 2014

PROJEK AMAL UNTUK RAMADHAN (P.A.U.R.@T.A.R)


Assalamualaikum w.b.t :)

Hai sahabat-sahabat semua apa khabar ? Semoga sentiasa dibawah lindungan Ilahi. Wah nampaknya keputusan peperiksaan telahpun keluar, jadi macam mana dengan result sahabat semua?. Alhamdulillah, walau apa pun yang kita peroleh itu adalah yang terbaik dari Allah s.w.t. Syabas diucapkan, daripada kami,  PERDIQMA KPMB kepada semua pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir Sesi Jan-Jun 2014. Bagi yang kurang bernasib baik juga tahniah diucapkan atas usaha anda. Usaha sungguh-sungguh lagi ye untuk semester depan. Jangan pernah berputus asa, Allah kan Maha Pemurah, Allahuakbar. 


Sahabat-sahabat sekalian, 
Bulan Ramadhan bakal tiba 6 hari lagi ! Berdebarnyaaaa, Masya-Allah. Tak sabar rasanya nak berpuasa dan bersolat terawih. Bulan mulia ini cuma sekali sahaja dalam setahun, haa apa ya lagi rebutlah pahala ! Antara amalan yang baik untuk dilakukan ialah bersedekah. JOM MENDERMA ! Besar ganjarannya ~




Macam mana nak derma ek ?? Haa senang je sahabat2.

PERTAMA
Kami memerlukan RM 1k untuk mengedarkan "kit iftar" (1000 pax) yang mengandungi makanan-makanan sunnah seperti kurma, air, dan kismis.

KEDUA
Bagaimana nak derma ???????? Bagi merealisasikan kejayaan program mulia ni, Kami memerlukan tajaan RM10.00 untuk (10 pax) yang bersamaan dengan (1000 pax) RM1000.00

Nak derma pada siapa sebenarnya ? 1000 pax yang dapat dihasilkan bakal diberikan kepada warga kota yang tidak sempat berbuka di rumah.

KETIGA 
Berikan tajaan anda menerusi akaun Maybank atas nama Syarifah Nurliyana. No akaun boleh rujuk pada rajah di atas . Seterusnya SMSkan nama anda, jumlah tajaan dan waktu bank-in ke talian 013-3970561.

CONTOH: KAMARUL BIN ZAHARI. RM10. 1030 AM.

KEEMPAT
Projek Amal Untuk Ramadhan ni akan berlangsung pada 12.07.2014 (4.30 p.m - 7.30 p.m.). bertempat di Masjid Jamek, KL. Untuk makluman lanjut, sila hubungi saudara Nordin Haikal (P.A.U.R Project Manager) di talian 0193469366.

*Bagi yang berminat untuk menjadi sukarelawan ketika P.A.U.R berlangsung, anda perlu sentiasa update di page facebook: PERDIQMA yaa ! Selamat Menjengah Ramadhan ! 



“Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut.”

(Hadis Riwayat Imam Tirmizi).


SELAMAT BERPUASA ! 
Majulah Islam untuk Negara.



2 Jun 2014

ZIKRULLAH DALAM KEHIDUPAN KITA



Assalamualaikum semua ,

Bagaimana dengan kesihatan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian?
Memandangkan cuaca kurang baik sekarang ini, sama-samalah kita menjaga kesihatan agar mudah menjalani kewajipan sebagai umat islam.

Sebelum itu adakah iman kita sihat? Mari tepuk dada tanya diri kita sejauh mana amalan kita.
Apa yang hendak dikongsikan disini ialah tentang  Zikrullah. Apakah itu Zikrullah? Kadang-kadang ramai yang tidak tahu apakah itu Zikrullah. Zikrullah ialah memuji nama dan kebesaran ALLAH SWT atau dikenali sebagai zikir.


Mengapa penting zikir dalam kehidupan kita??

Antara kebaikan-kebaikan berzikir  yang perlu kita tahu :

1.  Membersihkan hati
 Ramai yang tidak tahu bahawa berzikir dapat membersihkan hati kita yang kotor akibat dosa-dosa lalu yang telah kita lakukan. Apatah lagi jika amalan zikir sebati dalam diri kita, secara automatik kita ingin melakukan kebaikan dan sentiasa memuji kebesaran ALLAH SWT secara sendiri tanpa paksaan.

2. Menaikkan Iman
 Seperti yang diberitahu tadi , apabila hati menjadi bersih selepas zikir menjadi rutin harian kita akan ingin melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan ALLAH SWT. Mengapa? Hal ini kerana berzikir telah menaikkan iman kita kerana kita mengingati ALLAH SWT.


3. Membersihkan Dosa
Setiap kebaikan yang kita lakukan seperti berzikir, In Shaa ALLAH mengugurkan dosa-dosa lampau kita kerana ALLAH SWT maha pengampun. Justeru ia juga mempermudahkan kita menerima hidayah kerana hidayah itu milik ALLAH SWT  apatah lagi kepada hambanya yang mencari hidayah dan mencari islam yang sebenarnya. In Shaa ALLAH yakinkan diri dengan sepenuh yakin terhadap ALLAH SWT.

4. Semakin yakin terhadap kebesaran ALLAH SWT
Dengan amalan berzikir dan memahami semua kebesaran ALLAH SWT melalui nama-namanya yang indah, kita semakin yakin dengan kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT .  Apatah lagi dengan menghayati nama-namanya yang indah. SubhanAllah.
Jadi dengan perkongsian disini , harap ianya dapat meningkatkan semangat kita dalam meningkatkan amalan dan dapat diterapkan dalam kehidupan. Segala keburukan dan kesalahan datang dari diri saya sendiri dan yang baik semuanya dari ALLAH SWT. In Shaa ALLAH. 

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

 "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram"

 (Ar-Ra'af:28)











15 Mei 2014

Buatmu Yang Bernama Guru

Meniti hari demi hari sebagai pelajar memang sesuatu yang indah sebenarnya. Masakan tidak, kita telah menjadi status plajar seawal 5 tahun. Ya, tatkala itu kita mungkin dihantar ke tadika atau taska dan sebenarnya disitulah detik permulaan perkenalan kita dengan insan yang bernama guru. Bagaikan tiada hentinya, sejak dari tadika ke bangku sekolah rendah dan menengah, kini kita melalui satu lagi lembaran dalam mencapai cita - cita untuk memperoleh kejayaan di dunia.

Saban tahun, Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei bagaikan satu hadiah buat guru. Mana tidaknya, di hari itulah para pelajar meraikan pada guru dan mereka diberi penghargaan atas pengorbanan mereka dalam mendidik insan untuk berjaya. Dan kebanyakan sambutan hari guru ini hanya disambut di pendidikan rendah dan menengah. Bagaimana pula dengan pendidik yang mengajar di institusi pengajian tinggi? Sememangnya, para pendidik sebenarnya langsung tidak mengharap akan penghargaan dari pelajar. Bagi mereka, apabila melihat kejayaan anak didik mereka sudah cukup sebagai hadiah istimewa untuk diri mereka.





Biarpun institusi pengajian tinggi berbeza dengan pendidikan sekolah, namun peranan pendidik, apa juga panggilan cikgu, guru, ustaz, ustazah mahupun pensyarah tetap sama, untuk menabur ilmu dan bakti kepada anak bangsa. Menuntut ilmu di institusi MARA ini berbeza dengan institusi lain. Saya tidak pasti jika ada IPTA ataupun IPTS lain jika ada, namun Institusi Pendidikan MARA saban tahun meraikan pada warga pendidik di Hari Pendidik. Biarpun disambut diluar hari guru yang sepatutnya, namun sekurang-kurangnya tradisi dalam memartabatkan warga pendidik tetap diteruskan. Ia bukan soal pembaziran mahupun penghargaan, namun kerjaya sebagai pendidik ini adalah satu kerjaya yang mulia dan kita sebagai anak didik harus menghargainya.

Samada menyambutnya atau tidak, ia cuma satu penghargaan bagi warga pendidik. Namun, apa yang paling penting adalah peranan pelajar itu sendiri dalam menghargai guru tatkala menimba ilmu. Tidak perlu hadiah bernilai ribuan ringgit, tetapi nilai yang tertinggi adalah beradab dalam menuntut ilmu. Tak perlu dihuraikan bagaimana adab dalam menuntut ilmu. Kita telah menjadi pelajar dari umur 6 tahun dan kini lebih 15 tahun berlalu seharusnya ia telah menjadi amalan kita. Pandangan kita harus terbuka, tidak beradab bukan sahaja bermaksud dengan istilah melakukan perbuatan "kurang ajar" kepada guru, tetapi tidak melaksankan tugasan, sengaja lewat hadir ke kelas dan bermacam ragam lagi pelajar IPT juga dikira tidak beradab. Ya, anda membayar pengajian ini dan itu hak anda, bagaimana pula hak guru dari para pelajarnya? tepuk dada, tanya diri. Muhasabah seketika.


Kata Imam Ahmad: Tidaklah aku tidur semenjak 30 tahun kecuali aku berdoa bagi Imam Syafie dan memohon ampun untuknya.

Buatmu yang bernama Guru, terima kasih atas curahan ilmu yang diberi sehingga kini. Selamat Hari Guru untuk Warga Pendidik KPM Beranang. 






12 Mei 2014

Program Saya Sayang Anak Yatim Alumni Perdiqma

Assalamualaikum kepada pembaca setia blog kami. Moga Allah memberkati follower tegar yang sentiasa tidak jemu untuk membaca update kami, InsyaAllah. Dikala masih lagi hangat walaupun dah nak habis exam, tapi masih ada saki baki yang belum selesai. Kami doakan agar anda semua sentiasa dipermudah dalam menjawab peperiksaan. Moga mendapat keputusan yang cemerlang hendaknya.

Kali ini kami dari kalangan penulis alumni Perdiqma hendak berkongsi dengan program terbaru kami pada 4 Mei 2014 yang lalu. Alhamdulillah dengan izin Allah, program yang kami namakan Saya Sayang Anak Yatim (SSAY) bertempat di Sekolah Tahfiz Anak Yatim Al-Kitab Beranang. Seramai 22 orang sahabat yang rata-rata adalah bekas pimpinan Perdiqma dan pelajar KPMB sendiri, menghabiskan isi hujung minggu dengan aktiviti yang berfaedah.

Para urusetia telah mula berkumpul di KPMB seawal 6 petang hari Sabtu. Perjumpaan pertama yang diadakan di kelas B2 selepas solat Isyak menemukan kesemua urusetia yang berkelapangan untuk hadir. SubhanaAllah, bagaikan mengembalikan nostalgia semasa menuntut di kolej dulu, mereka bagaikan teruja bertemu sahabat yang sememangnya telah lama tidak berjumpa. Ada diantara mereka yang tidak pernah bertemu setelah 4 tahun meninggalkan dunia pengajian di KPMB. Di perjumpaan tersebut, kami serba sedikit berta'aruf dan diberi taklimat untuk program esok oleh saudara Aizudin dan saudara Mus'ab. Kami diberi penerangan tentang perjalanan program tersebut. Disamping itu, pengagihan tugasan juga dilakukan agar perjalanan esok berjalan dengan lancar.




Dengan lafaz yang mulia dan memohon dipermudahkan Allah, kami mulakan perjalanan ke STAY Al-Kitab Beranang pada jam 7:30 pagi. Terpancar wajah keterujaan para urusetia tatkala sampai di STAY Beranang. Kami disambut dengan gembira oleh para penuntut STAY Al-Kitab Beranang. Mereka bagaikan rasa tidak sabar untuk berprogram bersama kami. Sarapan pagi dihidangkan kepada kami sebelum kami memulakan program. Sebelum program bermula, kami diberi taklimat oleh Puan Norziati binti Haji Abdul Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Ummu yang merupakan penaung bagi STAY Al-Kitab Beranang dan Ust Asmadi yang merupakan pengurus bagi STAY Al-Kitab Beranang. Serba sedikit mereka menceritakan perihal STAY Al-Kitab Beranang dan para pelajar itu sendiri. Perasaan kami meruntun tatkala menceritakan disebalik kegembiraan antara mereka. Mereka yang sememangnya terdiri dari mereka yang tidak beribu dan berbapa mempunyai cerita tersendiri yang tidak dapat diungkap. Moga Allah sentiasa memberi kekuatan untuk mereka.



Dan pada jam 9.00 pagi, program kami dimulai. Program indoor ini bermula dengan sesi ta'aruf oleh urusetia yang diketuai oleh saudari Zulia Sofy. Seterusnya sesi Ice Breaking oleh saudara Mustaqim bagaikan mencuit hati. Dengan gaya para urusetia yang rata - rata berpengalaman dalam berprogram, mereka ada cara tersendiri dalam memecahkan rasa malu oleh para pelajar. Apatah lagi, majoriti para urusetia adalah dikalangan muslimat. Mereka seterusnya dibentuk kumpulan dan membuat presentation untuk setiap kumpulan. Sebelum sesi pertama berakhir, kami sembat bermain permainan yang dinamakan Telefon Buruk yang sedikit sebanyak menguji tahap ingatan mereka.

















Sebelum kami meneruskan aktiviti kepada outdoor games, kami menjamu selera dengan minum pagi. Berhidangkan dengan hadiah kek yang diberi oleh Saudari Farhana. Saudari Farhana juga adalah merupakan salah seorang alumni Perdiqma dan merancang untuk turut serta dalam program tersebut. Namun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan atas nasihat doktor. Kek yang diberinya adalah tanda ingatan khususnya pada anak-anak yatim. Kita doakan agar beliau sentiasa tabah dan diberi kekuatan dalam menempuh ujian yang menimpa.



Tiba masanya untuk slot kedua, iaitu outdoor games. Permainan yang dibuat di padang yang terletak dibelakang sekolah ini telah menambahkan lagi ceria suasana program. Kami telah bermain permainan yang bertemakan sukan rakyat. Kami dan semua anak - anak yatim sangat terhibur dengan permainan hingga tidak sedar berada di tengah hari. Di masa yang sama, team chef sedang bertungkus lumus dalam menyiapkan juadah untuk makan tengahari. Menu pada hari itu adalah ayam masak cili api. Fuhh, terliur seketika. Alhamdulillah dengan bantuan semua urusetia, selesai menyediakan juadah. Tidak dilupakan tradisi lama semasa di KPMB dulu dan juga sunnah Nabi ialah makan di dalam talam. 











Usai solat Zohor, aktiviti berakhir dengan majlis penutup. Ustaz Asmadi selaku pengurus STAY AlKitab Beranang mengucapkan penghargaan atas kelapangan masa dalam membuat aktiviti SSAY dan kagum dengan ukhuwah antara sesama alumni Perdiqma mahupun dengan Perdiqma. Kami menyampaikan hadiah kepada semua kumpulan dan sedikit penghargaan dan sumbangan untuk STAY AlKitab Beranang. Sebelum berangkat pulang, kami mengambil gambar kenangan program bersama. Majlis berakhir jam 2:50 ptg.







InsyaAllah, program ini tidak berakhir begitu sahaja malah ingin menjadikan aktiviti seperti aktiviti rasmi alumni Perdiqma. Moga Allah meredhai apa yang hambanya lakukan keranaNya. 

“…Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakalah: “Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik, dan jika kamu bergaul dengan mereka, maka mereka adalah saudaramu; dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerusakan dari yang mengadakan perbaikan….”. (Q.S. Al Baqarah, 2:220)






Penulis merupakan salah seorang alumni perdiqma yang berkongsi pengalaman program alumni perdiqma. Beliau berkongsi diblog perdiqma sebagai mempromosikan alumni perdiqma


30 Mac 2014

KISAH TAULADAN SITI ASIAH



Assalamualaikum sahabat semua, apa khabar iman anda ? Tak lupa juga, apa khabar sahabat-sahabat? semoga dalam keadaan sihat sejahtera. Harapnya anda semua sentiasa banyakkan minum air suam dan makanlah makanan yang sihat. Maklumlah, cuaca di negara kita kini, terik dan jarang hujan. Maka, sahabat-sahabat semua dapat jaga diri dengan baik ya. Baiklah berbalik pada entry kali ini, kami ingin menceritakan perihal seorang wanita yang berhati waja. Beliau merupakan antara wanita yang unggul dalam sejarah Islam. Beliau juga merupakan isteri kepada Firaun iaitu Asiah.

Tersebutlah alkisah di negeri Mesir terdapat kerajaan yang diketuai oleh raja yang terakhir bernama Fir’aun yang terkenal dengan keganasan 
tidak berperikemanusian. Setelah kematian isterinya beliau hidup bersendirian tanpa teman hidup. Pada ketika itu tersebutlah satu kisah di mana seorang gadis jelita dari keturunan keluarga Imran yang baik-baik dan solehah yang bernama Siti Asiah yang sentiasa menjadi sebutan di kalangan pemuda-pemuda Mesir kerana keperibadian dan kejelitaannya.




Kisah kejelitaan Siti Asiah telah sampai ke telinga Fir’aun dan suatu hari beliau teringin untuk memperisterikan Asiah sebagai permaisurinya. Maka diutuskan seorangMenteri bernama Haman untuk merisik. Ibu bapa Asiah telah bertanya kepada tuan empunya diri tetapi Asiah telah menolak lamaran tersebut dan berkata kepada kedua ibu bapanya bahawa Fir’aun adalah seorang raja yang ingkar kepada Allah SWT dan tidak berperikemanusiaan.

Tidak lama kemudian Haman, utusan Fir’aun datang kembali untuk bertanyakan tentang lamaran tersebut dan alangkah marahnya beliau setelah mendapat tahu yang lamaran Fir
’aun telah ditolak. Ibu bapa Asiah telah dicaci dan dihina. Haman kemudian telah pulang dan memberitahu kepada Fir’aun akan berita buruk tersebut dan Fir’aun telah menjadi marah dan memerintahkan supaya kedua ibu bapa Asiah ditangkap. Mereka telah diseksa dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah itu Asiah ditangkap dengan menggunakan kekerasan dan kemudian dibawa ke istana Fir’aun dan bertemu dengannya. Di hapadapan Fir’aun, Asiah kemudiannya telah diketemukan dengan kedua ibu bapanya di dalam penjara. Asiah amat sedih melihat keadaan kedua orang tuanya yang disiksa oleh Fir’aun.

Kemudian Fir’aun berkata:

“Hai Asiah, jika engkau seorang anak yang baik, tentulah engkau akan sayang terhadap orang tuamu, maka oleh kerana itu engkau boleh pilih satu antara dua. Kalau kau menerima lamaranku bererti engkau akan hidup senang dan akan aku bebaskan kedua orang tuamu. Dan sebaliknya jika engkau menolak lamaranku,maka aku akan perintahkan mereka untuk membakar hidup-hidup kedua orang tuamu di hadapanmu.”

Oleh kerana ancaman itu, maka Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Fir’aun akan tetapi beliau telah meletakkan beberapa syarat:

1. Bahawa Fir’aun harus membebaskan kedua ibubapanya.
2. Harus membuatkan rumah yang indah lengkap dengan perkakas
3. Bahawa orang tuanya harus dijamin kesihatan beserta makan dan minumnya.
4. Bahawa Asiah bersedia menjadi isteri Fir’aun, hadir dalam acara-acara tertentu tetapi tidak bersedia tidur bersama Fir’aun.


Sekiranya permintaan-permintaan tersebut tidak dipersetujui, beliau rela mati dibunuh bersama kedua ibu bapanya.

Akhirnya Fir’aun bersetuju menerima syarat-syarat tersebut dan memerintahkan agar rantai belengu yang ada di kaki dan tangan Asiah dibuka. Kini Asiah telah hidup mewah dan tinggal bersama-sama Fir’aun di dalam istana yang indah. Akan tetapi ia tidak membawa pengaruh terhadap kehidupan peribadi Asiah. Asiah tidak pernah engkar terhadap perintah agama dan beliau tetap taat mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Pada malam hari beliau selalu mengerjakan solat dan beribadah kepada Allah SWT. Beliau sentiasa berdoa agar kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir miskipun suaminya Fir’aun. Bagi menyelamatkan Asiah dan menjaga kehormatannya, Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyamar dirinya sama seperti rupa Asiah untuk tidur bersama Fir’aun.

Fir’aun sebenarnya mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai dan rapat dengannya yang bernama Hazaqil. Hazaqil telah berjaya merahsiakan identitinya yang sebenar. Hazaqil amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami kepada Siti Masyithah yang bekerja sebagai juru hias istana yang juga amat taat dan beriman kepada Allah SWT.

Pada suatu hari maka terjadilah perdebatan yang hebat antara Fir’aun dengan Hazaqil di mana Fir’aun telah menjatuhkan hukuman mati terhadap ahli sihir yang beriman kepada Nabi Musa AS. Hazaqil menetang keras terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada mereka semua kerana mereka semuanya beriman kepada Allah SWT. Mendengar akan kata-kata Hazaqil, Fir’aun menjadi marah. Akhirnya Fir’aun dapat tahu yang Hazaqil telah engkar kepada beliau dan kemudiannya telah dijatuhkan hukuman mati kepada Hazaqil. Hazaqil menerimanya dengan tabah dan tidak merasa gentar demi untuk membela kebenaran. Hazaqil telah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya diikat pada pohon kurma dengan tembusan beberapa anak panah. Isterinya yang bernama Masyitah amat sedih sekali di atas kematian suaminya yang tersayang itu. Beliau sentiasa dirundung kesedihan dan tiada lagi tempat mengadu kecuali kepada 2 orang anaknya yang masih kecil. Pada suatu hari Masyitah telah mengadu nasib kepada Asiah mengenai nasib yang menimpa dirinya. Di akhir perbicaraan mereka, Asiah juga telah menceritakan tentang keadaan dirinya yang sebenar. Hasil dari perbicaraan itu, barulah kedua-duanya mengetahui perkara sebenar bahawa mereka adalah wanita yang amat beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa AS.


ASIAH binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.

Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.

"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.

Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.

"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.

Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.

Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.

"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.

"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.

' Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.

"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.

Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.

Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.

Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.

Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."

"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.

"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.

Manusia biasa

"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.

"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.

Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.


Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.

"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.

"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.

"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.

"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.

Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.

Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.


"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.

"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.

"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.

"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.

"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.

"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.

Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.

Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.

Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.




TETAMU ISTIMEWA IJ : DENA BAHRIN

Assalamualaikum w.b.t.



Seperti kebiasaanya, semua pelajar muslimat akan berkumpul pada 12.30 tengah hari bagi mengikuti pengisian rohani. Pengisian rohani atau majlis ilmu ini dikenali sebagai slot IJ iaitu Ijtima' Jumaat. Slot Ijtima’ Jumaat ini dianjurkan bagi menarik minat dari kalangan pelajar untuk menyertai atau menghadiri aktiviti keagamaan yang diadakan di dalam mahupun luar kolej, juga memberikan inspirasi untuk memotivasikan pelajar. 

Oleh itu, untuk slot IJ pada kali ini, kami tampilkan seorang blogger yang semakin dikenali ramai iaitu Dena Bahrin untuk memberi sedikit perkongsian. Dena Bahrin merupakan seorang blogger yang mempraktikkan unsur islamik dari segi pemakaian, tutur kata, penulisan dan tingkah laku. Beliau yang terkenal dengan perkahwinan pada usia mudanya bukan sahaja datang untuk bercerita tentang perkahwinannya, tetapi isu fesyen dan pelajaran juga dikupas. Memandangkan beliau masih lagi seorang pelajar, kejayaan beliau dalam pelajaran walaupun sudah berumahtangga boleh dicontohi.




Program berbentuk perkongsian kejayaan dan motivasi wajar untuk terus diadakan di KPMB, khas buat mahasiswa/i. Dalam mengadakan program berbentuk kerohanian, beberapa aspek perlu diambil kira seperti menetapkan sasaran, pengisian yang bersesuaian, jawatankuasa program yang boleh menjalankan tugas dengan betul dan baik dan lain-lain. Program berunsurkan kerohanian bukan sahaja boleh digerakkan oleh badan/persatuan kerohanian kolej, malah persatuan lain juga boleh mengadakan program berunsurkan demikian atau menyelitkan unsur itu kedalam program yang dijalankan.


Sememangnya program yang menjadi penantian bagi pelajar yang meminati Dena Bahrain ini dapat menyedarkan pelajar tentang cinta yang halal, cara berfesyen dengan menutup aurat, dan lain-lain. Sedikit sebanyak perkongsian yang memberi manfaat ini boleh diambil untuk dijadikan contoh, teladan ataupun iktibar sebagai seorang pelajar.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...