18 Disember 2010

Program Khidmat Sosial di Kemboja


HEBAT dan menginsafkan. Itulah dua perkataan yang paling sesuai untuk mencerminkan keseluruhan pengalaman yang telah penulis dan teman-teman timba daripada program khidmat sosial yang telah dijalankan di Kemboja pada bulan Jun yang lalu.

Kami bersyukur kerana berpeluang ‘hidup’ bersama-sama masyarakat Islam di beberapa buah kampung yang berbeza dan merasai kepayahan hidup mereka yang dhaif dan serba-serbi kekurangan.
Selain penulis, Nusaybah Mohd Asri, 21, misi ini melibatkan enam orang peserta lain yakni Najiyyah Mohd Asri, 26, Mohd Naqib Derani, 24, Muhammad Amirul Azreen Mohd Azmi, 21, Siti Madihah Shaharizan, 21, Najmy Naim Zaki, 20, dan Musfirah Mohd Asri, 19.  

Kami adalah sukarela yang dinaungi oleh Global Peace Mission Malaysia (GPM), salah sebuah agensi di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan khusus  demi menjalankan misi kemanusiaan.
Kami diiringi oleh Pak Cik Rahim dan Mak Cik Zaharah, individu yang telah berulang-alik ke Kemboja selama dua tahun untuk membina pam air di kampung-kampung komuniti Islam. Sumbangan untuk membina pam air ini dihulurkan oleh dermawan dari Malaysia. 

Kembara kami mengambil masa selama 10 hari di Kemboja dan dua hari di Thailand. Di Kemboja, kami telah menziarahi Chor Keng, Kratie, Tralach Korm dan Tebeng Bung Keib.

Chor Keng dan di Kratie adalah dua buah kampung terpenting sepanjang perjalanan kami kerana di sinilah kami melihat dengan mata kepala kami sendiri situasi anak-anak muda Islam di bumi Kemboja. Daripada dua madrasah inilah lahirnya semangat yang kuat untuk kami terus datang ke negara ini dan memberikan khidmat sedaya yang kami boleh.

Madrasah di Chor Keng boleh dikatakan sangat kekurangan dalam segala aspek. Tiga daripada empat kelas menumpang ruang di dalam sebuah masjid yang terbengkalai. Manakala sebuah lagi kelas lain dibina tidak jauh daripada masjid tersebut.

Sayu dan sebak jiwa kami apabila mengenangkan betapa besar perbezaannya keadaan madrasah di sini dengan sekolah rendah agama yang terdapat di Malaysia. Contohnya, di sekolah rendah agama penulis dahulu, ruangnya selesa serta ada kemudahan elektrik seperti kipas dan lampu. Tetapi tidak di madrasah ini, tiada kemudahan elektrik seperti kipas atau lampu. Makanya, anak-anak ini belajar dalam kepanasan memandangkan cuaca di Kemboja kebiasaannya terik dan kering.

Namun begitu, biar apa jua keadaannya, tiada alasan bagi generasi muda Islam di Chor Keng untuk terus menuntut ilmu, sungguhpun mereka dihimpit kemiskinan dan kedaifan.

Di sini, kami bergotong-royong membersihkan kawasan masjid tersebut yang dikotori oleh sampah-sarap. Sebenarnya, sampah-sarap yang berserakan di kawasan masjid ini adalah kesan daripada sikap pelajar masrasah itu yang tidak begitu mengerti erti kebersihan. Rata-rata sampah adalah pembalut ais krim, gula-gula, lidi sate, dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, apa yang membuatkan kami berbangga dengan sikap pelajar-pelajar ini adalah mereka tidak menjadikan kekotoran dan keadaan yang tidak berkecukupan sebagai alasan untuk menghalang mereka mencari ilmu. Takbir, Allahuakbar!

Lagi perkara yang membuatkan kami gembira dan berbangga adalah apabila mereka turut turun padang dan mengutip sampah bersama-sama kami dan menjadikan kerja lebih mudah dan siap dengan segera.
Kami berdoa agar kesan daripada aktiviti ini, akan terserapnya kesedaran dalam diri pelajar-pelajar ini supaya tidak membuang sampah merata-rata dan mereka akan terus menjaga kebersihan kawasan masjid tersebut, amin.

Siap bergotong-royong, kami terus melaksanakan kuiz berunsur akademik di semua kelas. Antara soalan yang ditanya termasuklah matematik, bahasa Melayu dan geografi. Pelajar yang berjaya menjawab soalan mendapat barangan alat tulis yang dibawa dari Malaysia. Ustaz di sini secara rasminya menjadi penterjemah antara kami dengan pelajar. Kami tercuit melihat gelagat pelajar yang berlumba-lumba ingin menjawab soalan. Nyata, mereka sukakan cabaran dan tidak jemu menuntut ilmu.

Di kelas peringkat menengah, kami diminta untuk memperkenalkan diri dan memberikan ucapan kepada semua pelajar. Seperti biasa, seorang ustaz menjadi pengantara untuk kami berkomunikasi dengan pelajar peringkat menengah ini.

Sebagai membalas ucapan kami, seorang wakil pelajar perempuan berkata (setelah diterjemah), “Tiada ucapan yang boleh saya katakan melainkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang sudi melawat kami di madrasah ini. Saya berharap anda semua akan datang lagi dan melakukan lebih banyak aktiviti bersama-sama kami.”

Penulis, bersama-sama tiga peserta program ini yakni Najiyyah, Madihah dan Musfirah mengalirkan air mata mendengarkan bait-bait katanya yang sangat menyentuh perasaan kami. Ucapannya yang begitu syahdu membuatkan kami berazam untuk menziarahi lagi tempat ini pada masa depan dengan izin-Nya.
Jujurnya, apabila menyaksikan sendiri keadaan persekolahan yang boleh diklasifikasikan dalam kategori terkebelakang ini, penulis merasakan betapa besarnya tanggungjawab kami untuk membangunkan saudara seislam kami sendiri. Sebagai anak Malaysia yang hidup di dalam negara yang lebih bernasib baik, terdetik di hati penulis untuk melakukan sesuatu supaya anak-anak Islam di Kemboja berpeluang mendapat pendidikan yang lebih daripada apa yang mereka perolehi sekarang.

Seterusnya, sesi ‘memecahkan ais’ menjadi lebih meriah apabila kami bertujuh diminta menyanyikan lagu nasyid di hadapan kelas. Dalam masa yang singkat, kami membuat keputusan menyanyikan lagu nasyid ‘Sepohon Kayu dan ‘Puji-pujian’. Persembahan kami dibalas dengan nasyid ‘Wahai Ibuku Wahai Ayahku’ oleh pelajar-pelajar perempuan kelas itu.

Masa sememangnya mencemburui kami. Hal ini kerana, usai sahaja sesi berinteraksi dengan pelajar menengah itu, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada mereka kerana rencana seterusnya, kami akan menuju ke destinasi ketiga kami di Kemboja iaitu Kratie.

Di Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah, Kratie, kami disambut secara besar-besaran oleh guru-guru dan pelajarnya. Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana kami yang bukanlah sesiapa ini telah mendapat layanan yang sangat baik daripada warga sekolah ini. Semoga ALLAH S.W.T. mengurniakan rezeki yang mencurah-curah kepada mereka, amin.

Daripada pemerhatian kami, Madrasah Al-Hidayah Al-Islamiyah di Kratie lebih bersistematik daripada madrasah di Chor Keng. Buktinya, 95% pelajarnya mengenakan pakaian seragam yang berwarna hijau. Bangunannya juga lebih baik berbanding dengan madrasah di Chor Keng yang hanya menumpang ruang di sebuah masjid yang terbengkalai. Kami juga dimaklumkan terdapat seorang guru bahasa Inggeris, menunjukkan madrasah ini berkembang dengan baik.

Di sini, kami laksanakan juga kuiz berunsurkan akademik tetapi soalannya kini lebih bertemakan sirah Rasulullah S.A.W.. Pelajar di sini nampaknya tidak banyak beza dengan pelajar yang kami jumpa sebelum ini; sukakan cabaran dan tidak jemu menuntut ilmu.

Satu perkara yang membuatkan kami berasa sayu adalah situasi di dalam kelas yang amat padat. Kelas peringkat rendahnya memuatkan hampir 70 orang di dalamnya, menjadikan kelas tersebut padat dan murid-murid terpaksa duduk berhimpit-himpit untuk belajar.

Kendatipun sempit dan sesak, itu juga bukan alasan untuk mereka berhenti menuntut ilmu. Syabas saya ucapkan kepada generasi pewaris negara Kemboja ini. 

Kami berusaha sedaya-upaya untuk melakukan aktiviti di kesemua enam kelas biarpun kami kesuntukan masa. Sepanjang aktiviti berlangsung, kami bergilir-gilir menulis soalan di papan hitam dan dengan bantuan Ustaz Alwi, iaitu guru besar madrasah tersebut, komunikasi antara pelajar dengan kami menjadi lebih mudah.
Terlalu singkat masa yang kami habiskan bersama-sama anak bertuah ini. Tetapi kami yakin bahawa bukan di sini pengakhirannya. Perjuangan kami masih belum selesai. Dengan izin-Nya, akan kami bertandang lagi ke madrasah-madrasah untuk mengadakan aktiviti yang lebih fokus seperti mengajar subjek bahasa Inggeris kepada pelajarnya dengan cara yang mudah dan menarik.

Kami akan lakukan sedaya-upaya kami untuk menyambung misi kemanusiaan di sana. Semoga niat kami dipermudahkan ALLAH S.W.T. agar rancangan kami akan menjadi lancar, amin.

Aktiviti menarik lain yang telah kami lakukan sepanjang perjalanan kami di Kemboja termasuklah bermandi-manda di sungai yang ke-10 terpanjang dan terbesar di dunia, Sungai Mekong di Kratie. Selain itu, kami juga berpeluang menyusuri Tasik Ton Le Sap di Tralach Korm.

Penulis sangat merindui ketenangan dan kedamaian suasana awal pagi dan tengah malam di Tralach Korm. Jutaan bintang bertaburan di langit malam kampung ini dapat dilihat jelas dengan mata kasar kerana kurangnya bekalan elektrik di sini. Indahnya, harmoninya kampung ini tidak dapat dirasai walau di kampung penulis di Senggarang atau Alor Setar.

Terlalu banyak yang kami lalui sepanjang 10 hari kembara kami di Kemboja. Segala pengalaman baru yang kami kaut di negara ini masih segar diingatan penulis sehinggalah hari ini. Jika ditanya, “Macam mana pergi Kemboja?”, penulis tidak dapat mengungkapkan dengan kata-kata betapa bermaknanya perjalanan ini dalam hidup penulis.

Benar, Kemboja menggamitku pulang. Penulis akan terus berusaha dan berdoa agar ALLAH S.W.T. membuka jalan agar penulis dan kawan-kawan dapat menyambung lagi perjuangan yang masih belum tamat ini. Takbir, Allahuakbar!




-TAMAT-

Artikel dikirim oleh: Musfirah Mohd Asri. 
Penulis asal: Nusaybah Mohd Asri

Gambar:  Harakahdaily.net. Klik sini

Comments
1 Comments

1 comments:

kagum~kaloa de duit lebih,dah lame nibs terbang ke sana~sebenarnya,ikut konteks masyarakat kite pun kat malaysia ni ..ade yg susah mcm kat kemboja..kesian sgt kdg2..hope sgt kalo ade rezeki selepas bekerja,bagi yg mampu..jom kite beramal dgn kerja kebajikan~

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...