30 Mei 2011

Alahai, Amalan-amalan Kita Yang Terbalik.

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang kala apabila kita fikir-fikirkan, kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang dituntut oleh  Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan dengan budaya hidup masyarakat sekeliling. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah  sebagai contoh amalan yang terbalik:

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan  dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang  hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta  anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit  nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi  kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah.  Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk memberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis rasmi, atau bertemu teman-teman kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju dengan hujah asalkan sudah menutup aurat. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan  nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,  sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir. 

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin tapi kalau di rumah sangat malas. Sedangkan sebaik baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat  kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain. 

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru  tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa. 

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,  rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah-Nya segan dan malas. Mari kita lihat video dibawah ini untuk memberi kesedaran tentang apa tujuannya hidup di bumi ini:

Video yang menjelaskan tujuan manusia diciptakan. 

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

Marilah kita berlapang dada menerima  hakikat sebenarnya. Semoga kita cenderung kepada kebenaran agar hidup kita  menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut  selera kita. Dari Allah kita datang dan kepada Dia kita kembali. Maka jadikanlah setiap tindakan kita berkerak seiring dengan kehendak Allah. 


Artikel ini diedit dan diambil dari sebuah website/blog lain dan bukan di tulis oleh pihak PERDIQMA. Namun kami meminta maaf kerana URL link ke laman asal telah hilang dan tidak dapat kami sertakan. Tujuan kami menyiarkan di blog ini adalah kerana ingin berkongsi dengan ahli PERDIQMA dan mahasiswa di KPMB perkongsian mengenai permasalahan semasa kita. Semoga bermanfaat. Editor

Comments
0 Comments

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...