Musim haji kini tiba lagi. 1 Zulkaedah 1432H yang lalu, bermulanya rombongan jemaah haji dari Malaysia ke tanah suci.Alangkah bertuahnya mereka kerana telah terpilih menjadi tetamu Allah bagi menyempurnakan rukun Islam kelima. Ibadah-ibadah pokok dalam Islam adakalanya dilaksanakan dengan lisan atau fizikal atau dengan harta. Solat dilakukan dengan lisan dan fizikal, puasa dengan fizikal sahaja. Zakat dengan harta sahaja. Namun istimewanya ibadah haji kerana ia dilakukan dengan lisan, fizikal dan harta.
Ibadah haji pelengkap rukun Islam.Rukun Islam umpama sebuah rumah dimana mengucap dua kalimah syahadah dianggap sebagai tapak dan tanah rumah itu. Solat pula merupakan cerucuknya. Zakat adalah tiang-tiangnya. Puasa adalah bumbung yang melindungi rumah dan haji adalah dindingnya. Jika sekiranya belum mampu mendindingnya, ia tidak boleh didiami. Demikian juga haji, ia dihukumkan wajib bersyarat iaitu apabila berkemampuan.
Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan.Selain memerlukan kekuatan fizikal dan mental, ia juga memerlukan kepada pengorbanan masa,tenaga, wang ringgit, berpisah dengan keluarga,sanak saudara, sahabat handai, meninggalkan kampung halaman, menahan kemahuan nafsu dan sebagainya. Allah Taala berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud:
"Disitu ada tanda-tanda keterangan yang nyata yang menunjukkan kemuliaannya diantaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk kedalamnya aman tenteramlah dan allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitul haram iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai padanya dan sesiapa yang kufur dan engkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk"
Salah satu elemen penting dan menjadi tekad serta idaman bakal haji adalah untuk mendapatkan haji mabrur kerana tiada balasan sebaiknya melainkan syurga sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa dan haji mabrur tiada balasan baginya melainkan dengan syurga" (Hadis riwayat Bukhari)
Persoalannya, bagaimanakah untuk mendapat haji yang mabrur?Secara prinsipnya ia boleh dicapai dengan melaksanakan perkara berikut:
1.Ibadah haji yang dilaksanakan itu hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dengan membuang sikap riak dan menunjuk-nunjuk.
2.Semua perbelanjaan haji dari sumber yang halal
3.Melakukan rukun dan fardu haji dengan memenuhi syarat dan sempurna
4.Melakukan ibadah hai dengan taat, jujur dan ikhlas.
5.Beristiqamah dengan terus-menerus mengamalkan perintah Allah SWT dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dalam kehidupan seharian.
Salah satu lagi isu yang sering bermain di fikiran masyarakat ialah terdapat umat Islam yang mengerjakan haji berulang kali dengan menghabiskan perbelanjaan yang banyak. Namun ulamak mengatakan bahawa haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam khutbahnya:"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu haji.Oleh itu, kerjakanlah ibadah haji. Seorang lelaki bertanya;Adaklah dikerjakan haji setiap tahun?Baginda diam tidak menjawab sehingga lelaki itu mengulang-ulangnya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah baginda menjawab:Peliharalah apa yang telah aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya ia telah membinasakan orang-orang sebelum kamu disebabkan pertanyaan mereka dan menyalahkan nabi-nabi mereka. Sekiranya aku memerintahkan sesuatu, maka kamu ambilah (sekiranya kamu mampu) dan apabila aku melarang daripada melakukannya, maka kamu tinggalkanlah"
Berdasarkan hadis ini ulamak mengatakan bahawa ibadah haji wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup. Jika dikerjakan berulang kali, maka haji yang kedua dan seterusnya dikira sunat. Syeikh Yusof Qardhawi,seorang ulamak kontemporari mengatakan bahawa adalah lebih baik wang ringgit perbelanjaan haji itu (yang berulangkali) dibelanjakan ke jalan Allah seperti bersedekah,membantu urusan dakwah atau membayar zakat dan menjelaskan hutang sesama manusia. Adalah lebih baik memberi peluang kepada orang lain menunaikan haji daripada kita terus berulangkali mengerjakannya kerana menjaga kepentingan dan mengelakkan kesulitan serta kesesakan kepada jemaah haji di tanah suci Mekah.Ingatlah!menutup pintu kerosakan lebih baik daripada melakukan kebaikan.
Oleh itu, marilah kita mendoakan kepada semua bakal haji yang akan bertolak ke tanah suci suci pada tahun ini agar selamat pergi dan kembali dan mendapat haji yang mabrur. Sementara kita yang belum berkemampuan ini sentiasa menanam dan meningkatkan azam untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dengan meningkatkan tabungan dan simpanan di Tabung Haji sebagai satu alternatif menuju taraf "berkemampuan".
rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor
rujukan: Jabatan Agama Islam Selangor