Stesen televisyen baru bercorak Islam, TV-Al Hijrah akan mula bersiaran di lima kawasan iaitu Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak, bakal menemui penonton mulai 1 Disember ini.
Sebelum  itu, televisyen yang beroperasi dari Pusat Islam di Kuala Lumpur akan  memulakan siaran ujian pada 1 November ini dengan waktu siaran bermula  jam 3 petang hingga 12 tengah malam dan pada jam 12 tengah hari hingga  12 tengah malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Siaran  percuma yang bertemakan "Segalanya Bermula di Sini" itu disasarkan  kepada golongan kanak-kanak dan remaja berusia 4 hingga 17 tahun serta  golongan muda dan berkeluarga berusia 18 hingga 39 tahun.
Majlis  memperkenalkan stesen televisyen itu dilakukan Menteri di Jabatan  Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kuala Lumpur, hari  ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV-Al Hijrah, Bukhari Che Muda.
Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual melancarkan TV-Al Hijrah di  Kompleks Pusat Islam di Kuala Lumpur pada 7 Disember nanti.
Saluran  televisyen terrestrial itu dikendalikan oleh Al-Hijrah Media  Corporation, yang ditubuhkan dan dibiayai oleh kerajaan serta diletakkan  di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Jamil Khir berkata, pada peringkat awal, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kerajaan bagi tujuan operasi televisyen itu.
Beliau  berharap kemunculan TV itu dapat menangkis segala tohmahan yang  dilemparkan orang ramai terhadap media yang dikatakan menjadi punca  peningkatan gejala sosial di negara ini.
"Bila  berlaku gejala sosial membabitkan remaja, kesalahan itu dibebankan  kepada media, jadi kita mahu media ini (TV-Al Hijrah) dapat mengubah  perkara itu (gejala sosial) menerusi pengisian program-program yang  membina jiwa kalangan remaja," katanya.
Mengulas  impak kewujudkan TV-Al Hijrah, Jamil berkata, kemunculan saluran tv  berkenaan merupakan satu alternatif bagi memberi lebih banyak pilihan  kepada penonton di negara ini.
"Kita akan jadi satu  daripada rakan pilihan. Dalam erti kata lain, orang dapat memilih  seperti kedai makan yang mempunyai banyak pilihan, selain memenuhi  selera penonton dengan hidangan yang disediakan untuk mereka  (penonton)," katanya.
Di peringkat awal, katanya, sebanyak RM60 juta diperuntukkan kerajaan bagi membolehkan stesen televisyen berkenaan beroperasi.
Jamil  Khir berkata, sebanyak 60 peratus kandungan siaran permulaan televisyen  itu adalah terbitan tempatan manakala selebihnya adalah kandungan asing  dari negara-negara seperti Iran, Indonesia, Turki dan Belanda.
Sejumlah 30 peratus daripada kandungan tempatan diterbitkan sendiri TV-Al Hijrah, katanya. 
- Bernama
 
 
 0 Comments
0 Comments





 
 
