www.perdiqmakpmb.blogspot.com
Oleh: Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Editor: Mus'ab Khalili Rosli
“Saya rasa ustaz berfikiran begini kerana ustaz sendiri tidak kahwin semasa belajar. Maka ustaz tidak faham keperluan berkahwin semasa belajar itu. Ustaz tidak dapat memberi pendapat di sini!” tegas Aliyyah, seorang mahasiswi.
Komennya tajam.
Saya pula, bukanlah berbicara tentang kahwin semasa belajar.
Apa yang saya bincangkan adalah soal kahwin tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang lunas.
Tetapi kerangka fikir mahasiswi itu menarik untuk diberi perhatian. (Klik more untuk baca artikel penuh)
SULUHAN KISAH YUSUF ‘ALAYHI AL-SALAAM
Ia mengingatkan saya kepada kisah Yusuf ‘alayhi al-Salaam mendepani godaan ibu angkatnya, Imra’ah al-’Aziz atau yang lebih dikenali namanya sebagai Zulaikha itu.
Kehebatan Yusuf bermula daripada usia kecilnya lagi.
Seorang ghulam, ‘diculik’ oleh adik beradiknya sendiri dan dihumban ke dalam perigi buta, Yusuf diuji dengan kesusahan pada tahap yang sukar untuk kita gambarkan. Berat sekali tanggungan seorang anak kecil bertahan dalam sepi dan gelita perigi buta, jauh daripada keluarga, hanya bertemankan Allah tempat memaut harapan.
Namun, sabar Yusuf ketika di dalam perigi, tidak sekental sabar Yusuf di Istana Mesir.
Saban waktu cuba digoda oleh wanita bangsawan itu, ibu angkatnya sendiri.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di  rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan  perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari,  aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah  (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku  dengan sebaik-baiknya; Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan  berjaya” [Yusuf 12: 23]
Setelah berulang kali berusaha, ‘Zulaikha’  sampai kepada ikhtiar terakhirnya.
Pintu dikunci, rumah tidak berpenghuni, First  Lady itu menawarkan diri, “datanglah kepadaku. Aku bersedia  untukmu”
Di sinilah kemuncak tarbiyah Allah ke atas  insan bernama Yusuf. Ramai manusia lulus ujian kesusahan kerana di dalam  kesusahan kita diuji dengan kekurangan pilihan. Terpaksa bersabar  kerana itulah satu-satunya jalan untuk bertahan. Demikian sabar Yusuf di  dalam telaga.
Tetapi di sini Yusuf diuji dengan peluang.  Diuji dengan pilihan. Beliau orang asing. Tiada keluarga, tiada banyak  kesan sampingan pilihan jahat yang mahu diambil kesempatan.
Ia mengingatkan saya tentang modus operandi  pekerja seks di IPT hari ini. Bekerja sebagai pelayan seks berkelas  tinggi, memungkinkan anak muda kita mengaut untung mencecah RM40 ribu  sebulan! Tekanan lifestyle, duit PTPTN atau elaun yang jauh daripada  kecukupan, desakan peer pressure, apakah yang boleh menghalang anak-anak  muda kita daripada mengambil pilihan itu?
Hanya satu.
Jawapannya IMAN.
“Aku berlindung kepada Allah (dari  perbuatan yang keji itu);  Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku  dengan sebaik-baiknya…”
Itulah jawapan Yusuf.Aku berlindung kepada Allah. Rabb diriku, Pencipta aku dan Pemilik aku.
Konotasi Rabb itu adalah satu sanggahan kepada Zulaikha bahawa biar pun dia adalah ibu angkat yang memberi makan, hutang budi tidak akan dibalas dengan bayaran yang keji. Engkau tuanku tetapi Allah Tuhanku!
Justeru Yusuf menegaskan bahawa:
“Sesungguhnya orang-orang yang zalim  tidak akan berjaya”
MENCARI KAEDAH
Sudikah dibenarkan orang lain menyetubuhi ibumu? Adik perempuanmu? Anak perempuanmu? Ibu saudaramu?
Ketika engkau berzina, sudah tentu engkau berzina sama ada dengan ibu seseorang, adik perempuan seseorang, anak perempuan seseorang atau ibu saudara seseorang. Jika engkau tidak sanggup membayangkan ibumu disetubuhi lelaki lain, pilihan zinamu adalah satu kezaliman. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!
Kerasnya  persoalan yang berlegar di  fikiran ialah, apakah bentuk pendidikan yang diperlukan, untuk  membolehkan mahasiswa dan mahasiswi yang hidup di dunia ‘zina lebih  mudah daripada nikah’ itu untuk berkata seperti Yusuf? Bagaimanakah  ketika dihadap dengan pilihan zina, ketika jauh daripada keluarga,  ketika kekejian kelihatannya seperti boleh disembunyikan, tawaran  pulangan begitu lumayan, namun akhirnya anak muda kita mempunyai  kekuatan untuk berkata, “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan  berjaya!”
Kekuatan untuk berkata TIDAK!
Itu sisi  pandang Yusuf.“Ahh, itu persis seorang Nabi!” mungkin itu tempelak anak muda lagak mahasiswi yang mengecam saya tadi.
“Apa yang Nabi tahu tentang panahan cinta? Dia itu jiwanya jiwa Nabi, bukan seperti engkau dan aku!” apakah itu yang mahu diperkatakannya?
Asal usul Tarzan, barangkali! [source  - unknown]
YUSUF JUGA ANAK MUDA SEPERTIMU

“Dan sebenarnya perempuan itu telah  berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul)  keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan  Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir kami)  untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan  perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya dia itu daripada  kalangan hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa.”  [Yusuf 12: 24]
Allah segera menafikan andaian itu.
Yusuf juga seorang anak muda.
Dia ada keinginan sebagai seorang anak  muda. Jika pertimbangannya hanya sekadar kehendak jiwa muda, Yusuf juga  bisa cenderung memilih kehendak Imra’ah al-’Aziz. Kehendak ibu  angkatnya, wanita bangsawan yang sudah menyerahkan diri.
Allah Subhanahu wa Ta’aala mahu kita  kaitkan diri dengan Yusuf.
Dia juga sepertimu wahai anak muda.
Dia bukan Malaikat yang tidak bernafsu. Dia  menolak zina bukan dengan Mukjizat atau Karamah!
Dia menolaknya dengan Mujahadah.
Fikirannya sedar tentang kenyataan Allah  berkenaan kekejian zina, justeru Yusuf  berkata TIDAK.
Kemudian baru Allah tegaskan, semua itu  adalah sebahagian daripada urusan Allah melindunginya, bakal seorang  Rasul untuk menerima Risalah Tauhid kebenaran. Bukan semua datang dalam  keajaiban. Yusuf itu sendiri bermujahadah mengawal diri di ujian  pemilihan.
Memilih jalan zina atau memilih jalan  TAQWA.
TELADAN YUSUF BUAT DIRI SAYA
Saya juga pernah muda, wahai si anak gadis.
Di usia muda, saya juga terganggu dengan  kecantikanmu.
Jiwa saya pernah resah ketika melihat rakan  bernikah.
Naluri saya pernah cemburu semasa menimang  si comel, cahaya mata kawan bertuah.
Saya juga diasak dengan peluang bernikah.
Namun atas pertimbangan-pertimbangan  peribadi, saya memilih untuk tidak bernikah, lalu memanjangkan sedikit  lagi tempoh mujahadah.
Saya menghormati, mengasihi, mengagumi dan  menyokong sepenuh hati teman yang memilih untuk bernikah.
Namun nikah mereka bukan lempias nafsu.  Nikah kenalan-kenalan saya bukan manifestasi lemah jiwa untuk menolak  zina. Mereka bernikah dengan wawasan. Mereka berkeluarga dengan  perancangan.
Akan tetapi untuk dirimu yang ‘menuduh’ku  menangguhkan nikah kerana tidak faham kehendak bernikah, engkau masih  terlalu budak untuk menjamah akad.
“Aku Terima Nikahnya” belum lagi masanya  untukmu.
Dewasalah!
“Tak tahu apakah erti kepayahan
Tak kenal erti kesusahan
Kerna dibesarkan dalam kemewahan
Belum dialami penderitaan”
- Hidup Berbudi: Lirik oleh Habsah Hasan
Tak kenal erti kesusahan
Kerna dibesarkan dalam kemewahan
Belum dialami penderitaan”
- Hidup Berbudi: Lirik oleh Habsah Hasan
Sumber: ABU SAIF @ www.saifulislam.com
 

 
 0 Comments
0 Comments





 
 
 
