KUALA LUMPUR, 28 April: Gabungan Mahasiswa Islam  Semalaysia (Gamis) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  serta Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein  memandang serius kes Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak anggota  polis, pagi kelmarin.
Presidennya, Mohd Idris Mohd Yussoff berkata, pihaknya berharap satu  jawatankuasa khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes itu  seadil-adilnya. (klik pada more untuk baca artikel penuh)
“Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa  terlalu lama dalam penyiasatan bahkan masih ada yang belum diselesaikan.
“Dalam kes allahyarham Adik Aminulrasyid, siasatan adil dan segera  sangat diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di  kalangan masyarakat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, pagi  ini.
Menurutnya, keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak  serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej  keselamatan negara Malaysia.
Berikut ialah kenyataan penuh Gamis:
Pendahuluan
Rakyat  Malaysia telah dikejutkan dengan kes kematian allahyarham adik  Aminulrasyid, 15 tahun, pelajar Sekolah Menegah Seksyen 7, Shah Alam  yang telah ditembak di kepala oleh pihak polis. Beberapa media  melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun  namun dinafikan oleh keluarga Allahyarham. Polis mendakwa kereta yang  dipandu oleh allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis  bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrasyid.
Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrasyid yang  ada bersama allahyarham dalam kereta semasa kejadian. Dalam laporan  polis yang telah dibuat, kawan yang sebaya dengan allahyarham menegaskan  Aminulrasyid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan  memintas kereta peronda berkenaan. Setelah dipintas, anggota peronda  terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran. Aminulrasyid  rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya. Saksi ini  melaporkan beliau kemudian dipukul oleh anggota polis sebelum sempat  melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat  Polis Shah Alam.
Menurut Monaliza Mokhtar, Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah  Seksyen 7, beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek  kumpulan samun sebagai satu fitnah. Pelbagai persoalan timbul di  kalangan masyarakat berkaitan kes ini. Kes ini dilihat boleh mencalarkan  imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai badan yang bertanggungjawab  menjaga keselamatan awam.
Pendirian Gamis:
Justeru, dalam kes ini, Gamis berpendirian:
1.  Pihak polis tidak sepatutnya cuai dalam hal ini. Ada prosedur  tertentu yang perlu dilalui oleh pihak polis sebelum menembak walau  apapun kesalahan seseorang. Gamis berpandangan, kes tembakan ini adalah  tindakan keterlaluan tambahan pula, kalaupun allahyarham Adik  Aminulrasyid bersalah sekalipun, dia tetap juvana kerana masih di bawah  umur. Pihak polis sangat teliti dalam beberapa kes yang lain seperti  penangkapan mahasiswa yang terlibat dalam pilihan raya tetapi  seolah-olah terburu-buru dalam kes seperti ini sedangkan ianya  melibatkan keselamatan awam. Kemungkinan ianya turut menyebabkan rakyat  Malaysia berasa tidak selamat walaupun mereka tidak melakukan kesalahan.
2.  Gamis ingin mengingatkan kepada pengamal media agar berhati-hati  dalam kenyataan media sama ada media cetak atau media elektronik. Hal  demikian kerana, sikap terburu-buru media dalam menerbitkan isu mungkin  boleh menyinggung perasaan keluarga dan orang lain. Dalam isu ini,  pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan  mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak  wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga. Janganlah hanya  kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan  perkara yang tidak baik dalam masyarakat.
3.  Gamis juga ingin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya agar  tidak menerima sesuatu berita dengan mudah. Gamis amat sedih apabila  timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada allahyarham dan keluarga  sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada  melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya. Ada yang  menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga.  Gamis berharap perkara tidak baik seperti ini dihentikan. Sedangkan  Rasulullah s.a.w. juga berpesan agar kita kita membangkitkan  cerita-cerita tidak baik berkaitan seseorang setelah dia meninggal dunia  walaupun dia bukan Muslim, apatah lagi kalau ada tokok tambah cerita  dan fitnah yang dilemparkan.
4.  Gamis berharap agar Perdana Menteri serta Menteri Keselamatan  Dalam Negeri memandang serius kes ini. Gamis berharap satu jawatankuasa  khas ditubuhkan dengan segera serta menyiasat kes ini seadil-adilnya.  Kita sedih dengan beberapa kes sebelum ini yang mengambil masa terlalu  lama dalam penyiasatan bahkan masih ada yang belum diselesaikan. Dalam  kes allahyarham Adik Aminulrasyid, siasatan adil dan segera sangat  diharapkan kerana telah menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan  masyarakat. Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta  tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej  keselamatan negara Malaysia.
Penutup
  
Gamis turut bersedih dalam isu ini serta ingin mengucapkan takziah  kepada keluarga allahyarham atas kehilangan insan tersayang. Semoga  rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan beserta orang yang soleh. Gamis  juga menyeru kepada semua pihak termasuklah pihak kerajaan, Polis Diraja  Malaysia (PDRM), media dan masyarakat agar memandang serius dalam  kes-kes seperti ini. Diharapkan kes-kes seperti ini tidak lagi berulang.  Semoga keadilan dapat ditegakkan serta keselamatan negara lebih  terjamin pada masa akan datang.
Sumber: http://www.harakahdaily.net
30 April 2010
PELAJAR 15 TAHUN DITEMBAK: KENYATAAN GAMIS
 
 0 Comments
0 Comments
 





 
 
 
