www.perdiqmakpmb.blogspot.com
Oleh: Riani Binti Awang*
Remaja menurut Kamus Dewan membawa maksud sesorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan sudah mulai memiliki rasa cinta berahi. Manakala menurut Wikipedia Bahasa Melayu, remaja merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12 hingga 21 tahun. Pada peringkat umur tersebut merupakan peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa. Robiah K.Hamzah (2001:i) pula berpendapat remaja merupakan golongan perantaraan antara yang muda dengan dewasa. Pada peringkat umur sebegini mereka dianggap sebagai golongan pendesak, pewaris khazanah dan harapan bangsa dan negara. Di peringkat usia sebegini juga mereka sedang sibuk berjuang dengan konflik dalaman, dan konflik luaran iaitu keadaan sekitar yang penuh kontardiksi dan ketidakstabilan.(klik pada more)
Jika dilihat dari sudut perkembangan psikomotor remaja yang berumur 12 sehingga 15 tahun iaitu mereka yang berada di sekolah menengah iaitu bermula daripada pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 3. Mereka ini tergolong dalam peringkat awal remaja. Bagi kanak-kanak lelaki mereka mula mengalami “mimpi basah” (bersetubuh) pada usia 13 atau 14 tahun. Mimpi tersebut menyebabkan mereka mengalami pancutan air mani yang pertama. Bagi masyarakat Islam mereka wajib mandi hadas besar bagi mensucikan semula tubuh mereka daripada hadas besar. Di peringkat ini juga remaja lelaki mengalami perubahan fizikal yang ketara di mana kaki dan tangan mereka mula memanjang. Otot mereka menjadi tegang, keras dan pejal. Selain itu berlaku beberapa perubahan yang lain seperti pertumbuhan bulu di ketiak dan atas bibir serta bawah bibir iaitu misai dan janggut. Pada umur sebegini mereka gemar bermain bola sepak, badminton dan bola keranjang iaitu permainan yang banyak menggunakan tenaga fizikal.
Jika dilihat dari sudut perkembangan psikomotor remaja yang berumur 12 sehingga 15 tahun iaitu mereka yang berada di sekolah menengah iaitu bermula daripada pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 3. Mereka ini tergolong dalam peringkat awal remaja. Bagi kanak-kanak lelaki mereka mula mengalami “mimpi basah” (bersetubuh) pada usia 13 atau 14 tahun. Mimpi tersebut menyebabkan mereka mengalami pancutan air mani yang pertama. Bagi masyarakat Islam mereka wajib mandi hadas besar bagi mensucikan semula tubuh mereka daripada hadas besar. Di peringkat ini juga remaja lelaki mengalami perubahan fizikal yang ketara di mana kaki dan tangan mereka mula memanjang. Otot mereka menjadi tegang, keras dan pejal. Selain itu berlaku beberapa perubahan yang lain seperti pertumbuhan bulu di ketiak dan atas bibir serta bawah bibir iaitu misai dan janggut. Pada umur sebegini mereka gemar bermain bola sepak, badminton dan bola keranjang iaitu permainan yang banyak menggunakan tenaga fizikal.
Bagi pelajar perempuan, mereka mengalami proses akil baligh lebih awal berbanding lelaki. Remaja perempuan mengalami datang haid atau disebut sebagai “datang bulan.” Selepas mengalami “datang bulan” bentuk fizikal kanak-kanak perempuan akan berubah di mana buah dada mula membesar dan berlaku pertumbuhan bulu di ketiak.
Manakala jika dilihat dari sudut perkembangan emosi pada peringkat ini remaja mula belajar untuk menunjukkan empati kepada rakan-rakan yang lain. Sebagai contoh sekiranya rakan-rakan sebaya mereka merajuk, mereka akan berusaha untuk memujuk dan menghiburkan hatinya. Ini disebabkan pada peringkat ini mereka sangat terikat dengan nilai-nilai persahabatan.
Manakala ketika di peringkat sekolah menengah remaja berdepan dengan pelbagai konflik yang tidak berkesudahan. Zaman remaja pada tahap ini merupakan zaman yang penuh dengan gelora. Di peringkat ini mereka mula belajar mencari pasangan dan cuba-cuba untuk bercinta. Pada ketika ini mereka mudah panas baran dan berjiwa sensitif, seperti mana yang dijelaskan oleh Suppiah Nachiappan et.al (2008:36).
Manakala, cinta menurut Kamus Dewan membawa maksud perasaan sangat sayang kepada seseorang atau sesuatu. Ia juga melibatkan perasaan sangat berahi, asyik dan kasih-sayang antara lelaki dan perempuan. Manakala bercinta-cintaan merupakan perlakuan cinta –mencintai, berkasih-kasihan, bercengkerama dan bercumbu-cumbuan. Manakala menurut Kamus Dwibahasa perkataan ‘love’ membawa maksud mempunyai perasaan sangat berahi serta kasih terhadap seseorang, mencintai, mengasihi dan menyayangi. ‘Love’ juga membawa konotasi perlakuan bercumbu-cumbuan dan berasmara. Remaja yang terlibat dalam dunia cinta biasanya memiliki pasangan (couple) masing-masing yang dipanggil ‘girl friend’ atau ‘boy friend’. Menurut Kamus Dwibahasa pula ‘couple’ membawa maksud dua orang yang saling melengkapi antara satu sama lain, pasangan kekasih dan pasangan muda mudi yang berkasih-kasihan.
Perkembangan emosi di kalangan remaja ini banyak mempengaruhi perlakuan mereka dalam kehidupan seharian. Kerana itulah mereka sangat mudah terlibat dengan budaya berpasang-pasangan dan bercinta. Budaya berpasangan di kalangan pelajar bukanlah merupakan fenomena yang baru lagi di Malaysia pada masa kini. Berpasangan atau dalam istilah yang lebih jelas mempunyai “ boy friend” dan “girl friend” di kalangan pelajar sudah lama wujud dan ia semakin membudaya dalam institusi pendidikan kini. Ia melibatkan hubungan antara lelaki dan perempuan yang berdasarkan perasaan cinta dan kasih. Biasanya mereka akan mempunyai perasaan ‘a sense of belonging’ dan tidak sanggup berpisah. Hubungan ini juga sering disulami dengan perasaan cemburu dan rindu yang tidak berkesudahan. Seperti yang dinyatakan oleh Noraini Ahmad (2000:17), emosi remaja terutamanya remaja perempuan sangat sensistif ketika mereka bercinta. Mereka sangat mudah merajuk, tersinggung terutamanya jika tidak dilayan sebaik mungkin oleh pasangan masing-masing.
Banyak perbincangan dan perdebatan mengenai perhubungan antara remaja lelaki dan perempuan (belum berkahwin) yang didasari oleh perasaan cinta diketengahkan di media massa masa kini mahupun menjadi topik hangat perbualan di mana-mana. Menurut Noraini Ahmad (2000:16) remaja yang berumur 16 tahun ke atas sudah mula suka berpasang-pasangan dan mereka lebih suka menghabiskan masa di pusat membeli-belah, taman bunga, panggung wayang dan pusat hiburan. Menurut pendapat Ghafani bin Awang Teh dalam www.scribd.com/doc/2677205/Kenakalan Remaja Dari Perpsektif Islam - 444k - Cached, (Akses 21. Febuari. 2010) remaja pada hari ini hanyut dalam perasaan ‘narcisma’. ‘Narcisma’ merupakan tingkah laku ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada peringkat remaja yang sedang bergelora tersebut, perasaan narcisma semakin memuncak akibat daripada perasaan kesunyian (emotional vacuum) yang menyerang jiwa mereka. Remaja yang terlalu memburu narcisma ini jika tidak dikawal akan membawa kepada perlakuan yang salah seperti berzina, cinta rakan sejenis, berpeleseran dan seumpamanya.
Persoalan cinta remaja di IPT banyak kali dibincangkan oleh beberapa penulis blog antaranya ialah http://saifulislam.com. Tulisan-tulisan beliau dalam hal berkaitan cinta remaja banyak mengetengahkan idea-idea yang bernas tentang tatacara perhubungan antara lelaki dan perempuan. Antara artikel beliau yang membincangkan tentang persoalan cinta remaja ialah “Teori Evolusi Cinta”,”Nasihat Yang Menghasilkan Diam”, “Sebelum Dibius Cinta” dan beberapa lagi artikel yang lain. Persoalan cinta remaja juga dibincangkan di laman web http://musafirsrikandi.blogspot.com/2008/09/petikan-berita-utusan-malaysia.html (Akses 21 Febuari 2010). Penulis membincangkan persoalan hubungan cinta antara lelaki dan perempuan tersebut seringkali tersasar daripada adab-adab pergaulan dalam Islam biarpun pasangan tersebut adalah beragama Islam. Menurut penulis blog ini lagi remaja mula pandai bercinta dan berkelakuan kurang sopan seperti berpeluk dan bercium di khalayak ramai akibat daripada pengaruh media massa, terutamanya lambakan filem-filem cinta picisan samaada dari luar negara mahupun dari dalam Malaysia sendiri. Manakala perbincangan yang diambil dari laman web http://humairah.net/seks-luar-nikah-dikalangan-remaja.html (Akses 26 Febuari 2010) membincangkan bahawa percintaan remaja kini yang tiada batasan telah menyebabkan beberapa perlakuan yang melanggar hukum agama. Masalah-masalah yang berlaku akibat budaya berpasangan ini banyak dipaparkan dalam media cetak dan media elektronik. Antaranya ialah berkhalwat. Berdasarkan huraian dalam http://intim.wordpress.com/2008/04/24/kemelut-hukum-khalwat/ (Akses 16 Febuari 2010) khalwat bermaksud satu hal membabitkan pasangan lelaki dan perempuan bukan mahram di tempat sunyi dan melakukan perkara yang dilarang dalam Islam. Khalwat berlaku ekoran daripada remaja yang terlalu mengikut kata nafsu akibat terlibat dengan percintaan yang melampau.
Telah banyak tragedi yang berlaku akibat budaya berpasangan yang semakin berleluasa di kalangan pelajar sama ada di peringkat sekolah menengah atau di peringkat Insttut Pengajian Tinggi. Antaranya seperti yang dinyatakan dalam http://ekspresidiriku89.blogspot.com/2009/04/pergaulan-bebas-punca-keruntuhanakhlak_01.html (Akses 18 Januari 2010) ialah berlaku kes khalwat, pergaulan bebas, perlakuan seks (berzina), kemerosotan akademik, perlakuan kurang ajar dan yang paling tragis ialah berlakunya pembuangan bayi akibat mengandung di luar nikah. Hasil daripada kajian yang dilakukan terhadap perlakuan seks di Malaysia pada 2001 mendapati remaja Malaysia mula melakukan hubungan seks sekitar umur 21 tahun yang mana ketika itu mereka masih belajar di IPT. Semua ini bermula daripada budaya ‘couple’ di kalangan remaja itu sendiri.
Selain itu kesan negatif akibat percintaan yang tidak terkawal ialah berlakunya fenomena pengguguran bayi. Menurut tulisan Ikhtiar Azahari dalam majalah Famili (2004:49), satu-satunya sebab terbesar berlakunya pengguguran bayi ialah kerana bayi tersebut adalah anak luar nikah atau anak haram. Kesemua peristiwa kejam ini bermula daripada percintaan yang tidak terkawal. Perkara ini jika tidak dicari jalan penyelesaiannya dan jika tidak diperdebatkan oleh pihak-pihak tertentu maka ia akan menjadi barah yang merosakkan sistem kehidupan masyarakat Malaysia.
Berdasarkan soal selidik yang dilakukan di Rumah Perlindungan Raudhatus Sakinah Sungai Buloh, Selangor yang dijalankan oleh krew I Luv Islam pada 20 Febuari 2010 yang lalu. Pelatih rumah perlindungan yang menjadi responden adalah seramai 20 orang. Hasil daripada dapatan kajian mendapati seramai 16 orang responden mengakui bahawa mereka tidak pernah menunaikan solat lima waktu sebelum menetap di Raudhatus Sakinah. Manakala 3 orang responden mengaku hanya melakukan solat lima waktu ‘ikut mood’ dan hanya seorang sahaja yang mengaku melakukan solat lima waktu. Dapatan kajian ini membuktikan pegangan agama yang longgar di kalangan remaja menyebabkan mereka sangat mudah terjebak dalam dunia cinta yang akhirnya menghancurkan hidup sendiri. Terbukti apabila permohonan untuk memasuki rumah perlindungan Raudhatus Sakinah semakin hari semakin bertambah ramai sepertimana yang dijelaskan oleh pengerusi rumah perlindungan tersebut.
Hasil daripada dapatan kajian mendapati responden yang berumur 20-an adalah seramai 11 orang. Manakala seramai 6 orang merupakan mereka yang berumur 17 tahun ke atas dan 2 orang berumur di bawah 17 tahun. Ini menunjukkan majoriti mereka yang terjebak dalam dunia percintaan yang menghancurkan hidup adalah mereka yang masih belajar di Institut Pengajian Tinggi. Ada di kalangan mereka belajar dalam bidang kejuruteraan, sains, multimedia, perakaunan, kemanusiaan, komputer, kejururawatan dan kecantikan. Ini menunjukkan pelajaran yang tinggi tidak menjamin seseorang itu mampu mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang mungkar. Nafsu yang ada dalam diri mereka lebih mengatasi akal fikiran yang waras.
Kebebasan yang mereka perolehi semasa belajar di kolej mahupun di mana-mana IPT, sering disalahgunakan. Pergaulan seharian mereka tidak mengikut kehendak syariat agama. Lelaki dan perempuan bebas berpegang tangan, berpeluk cium dan akhirnya melakukan zina yang akhirnya menyebabkan mereka ‘tersadai’ di Raudhatus Sakinah. Hal ini diakui oleh Puan Norlina Alawi yang merupakan pengerusi PERNIM semasa penulis menemubual beliau pada tahun 2009. Beliau berpendapat punca utama remaja pada hari ini sangat mudah terjebak dengan budaya ‘couple’ dan budaya bercinta-cinta adalah kerana wujudnya peluang yang diberikan kepada mereka. Sebagai contohnya pelajar IPT yang tinggal di asrama, mereka sudah terlepas daripada pemantauan ibu-bapa sepertimana pada zaman mereka berada di bangku sekolah menengah dahulu. Dengan adanya peluang tersebut maka mereka mudah berkawan dengan rakan-rakan berlainan jantina dan akan berlakunya kegiatan ‘fly’ yang akhirnya membawa kepada perzinaan dan melahirkan anak luar nikah seperti mana yang banyak berlaku di PERNIM.
Kenyataan di atas dibuktikan berdasarkan hasil soal selidik mendapati seramai 14 daripada 20 orang responden mengakui bahawa mereka sukakan dan mahukan kehidupan yang bebas tanpa batasan dan halangan. Kerana itulah juga majoriti daripada responden mengatakan mereka tidak begitu menitikberatkan soal aurat samaada di dalam mahupun di luar rumah. Walaupun mereka tahu berpakaian seksi dan ketat merupakan suatu perbuatan yang berdosa namun mereka tidak mampu menyekat keinginan tersebut. Apa yang lebih malang lagi ialah separuh daripada responden merupakan mereka yang memakai tudung. Ini menunjukkan tudung ataupun tutup kepala masih belum menjamin seseorang itu mampu menghindarkan diri daripada terjebak dalam pergaulan bebas yang akhirnya menyebabkan berlakunya perzinaan.
Sememangnya golongan remaja perempuan pada masa kini hanya menjadikan bertudung sebagai satu ‘trend’ bukannya sebagai satu cara untuk melindungi diri daripada gangguan lelaki seperti mana yang dikehendaki oleh syariat Islam. Ya memang benar mereka bertudung tetapi pakaian mereka sangat ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh yang mampu menggoncang iman para lelaki. Mereka sanggup mempamerkan sesuatu yang sangat mahal harganya semata-mata untuk mengikuti ‘trend’ yang akhirnya menjadi punca mereka hidup dalam kegelapan.
Seramai 18 orang daripada responden mengakui bahawa mereka menggemari lagu-lagu yang bertemakan cinta remaja. Manakala 15 orang pula mengatakan filem kesukaan mereka ialah filem-filem yang bertemakan cinta remaja. Memang benar lagu-lagu cinta remaja telah membanjiri pasaran dunia muzik di Malaysia kini. Begitu banyak lagu-lagu cinta remaja yang mampu membelai jiwa, menghanyutkan perasaan malah menggalakkan kepada pergaulan bebas antara pasangan yang sedang hangat bercinta. Hatta lagu nasyid sekalipun seperti menjadi satu trend untuk mereka menjadikan tema cinta remaja sebagai cara untuk menarik hati peminat muzik nasyid terutamanya di kalangan remaja. Persoalan mengenai hal ini pernah dibincangkan di dalam http://www.zaharuddin.net/content/view/907/72/ (Akses 9 Mac 2010). Berdasarkan artikel tersebut sekiranya jelas dan terang dari lirik cinta dan kasih sesuatu lagu itu merujuk kepada Allah, Rasul, sahabat Nabi sama ada lelaki atau perempuan, tokoh-tokoh ilmuan atau ikon Islam popular seperti Rabiatul Adawiyah, tokoh seperti Ratu Balqis, ibu dan bapa serta keluarga, maka hukumnya adalah harus. Namun apa yang berlaku kini ialah laungan-laungan cinta dan kasih yang tidak jelas watak yang ditujukan, sehingga memungkinkan 'double meaning" berlaku serta mengasyikkan para wanita dan lelaki yang sedang dilamun cinta.
Filem yang bertemakan cinta remaja juga semakin menjadi-jadi di Malaysia kini. Sedar atau tidak filem sebegini juga mampu mempengaruhi gaya hidup remaja kini kerana filem tersebut begitu menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang akhirnya menjunamkan remaja ke lembah yang paling hina. Perkara ini juga turut dipersetujui oleh Puan Yusnani bt Abdul Hamid yang merupakan pengerusi Raudhatus Sakinah Selangor semasa temubual penulis bersama beliau pada tahun 2009. Pada pendapat beliau remaja pada zaman sekarang terlibat dalam ‘couple’ akibat pengaruh daripada filem-filem cinta terutamanya filem-filem cinta daripada Korea. Cinta-cinta romantik yang dipaparkan di televisyen mahupun di pawagam menjadi kegilaan remaja kini terutamanya remaja perempuan. Sememangnya remaja perempuan mudah terusik dan terpengaruh dengan perkara-perkara melankolik yang akhirnya menjerumuskan mereka ke alam percintaan tanpa batasan.
Kesimpulannya memang benar cinta remaja kini lebih banyak mendatangkan bala daripada pahala. Walaupun ada yang mengatakan mereka adalah ‘islamic copule’ terutama di kalangan pelajar aliran agama di IPTS mahupun di IPTA. Mereka menghalalkan budaya couple dengan istilah-istilah yang menjurus kepada keislaman. Istilah ‘islamic couple’ sebenarnya hanya kulit semata-mata kerana isinya adalah lebih kurang sama dengan pasangan bercinta yang lain seperti mana yang berlaku kini, kerana keluar berdua-duaan dan sering bertelefon merupakan agenda utama mereka. Apapun istilah yang digunakan sebenarnya budaya ‘bercouple’ pada hari ini sudah jauh dari landasan Islam. Justeru untuk menangani masalah cinta tanpa batasan yang semakin menggila dan semakin mengganas di kalangan masyarakat remaja kita kini kesemua pihak perlu memperkasakan lagi usaha untuk membanteras perkara ini daripada terus-terusan berlaku. Institusi keluarga perlu diperkasakan dengan agama, institusi pendidikan perlu diperkasakan dengan agama, institusi masyarakat perlu diperkasakan dengan agama dan institusi pemerintahan negara perlu diperkasakan dengan agama. Pokok pangkalnya, kesemua pihak wajib ‘pulang’ semula kepada ajaran agama Islam yang sebenarnya, semoga akan lahirlah remaja yang mulia akhlaknya dan bebas daripada kesemua perkara yang menghancurkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
SUMBER RUJUKAN:
1. Ahmad Redzuan Mohd Yunus.2003.Gejala Sosial Dalam Masyarakat Islam.Kuala Lumpur.Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.
2. http://ekspresidiriku89.blogspot.com/2009/04/pergaulan-bebas-punca-keruntuhanakhlak_01.html
3. http://intim.wordpress.com/2008/04/24/kemelut-hukum-khalwat/
4. http://musafirsrikandi.blogspot.com/2008/09/petikan-berita-utusan-malaysia.html
5. http://humairah.net/seks-luar-nikah-dikalangan-remaja.html
6. http://www.utusan.com.my/utusan/info.
7. http://saifulislam.com.
8. http://www.zaharuddin.net
9. Ikhtiar Azahari.2004.”Pengguguran Bayi Membunuh Benih Harapan” dalam Majalah Famili.Kuala Lumpur. Creative Workshop Sdn.Bhd.
10. Kamus Dewan.2002.Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. 2008. Psikologi Pendidikan. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn. Bhd
11. Kamus Dwi Bahasa.2002.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Bahasa.
12. Marriage and Family The Missing Dimension.2007.USA. United Church of God.
13. Robiah K. Hamzah.2001.Teknik dan Strategi Membimbing Remaja Menghadapi Cabaran.Kuala Lumpur. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
14. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan.2004. Psikologi Pendidikan.Bentong.PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd.
15. Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor. 2008. Psikologi Pendidikan. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
16. www.scribd.com/doc/2677205/Kenakalan Remaja Dari Perpsektif Islam - 444k Cached